Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Empat tertuduh tidak tampil bicara MH17

AMSTERDAM, 10 MAC: Seperti yang dijangkakan, tiada seorang pun tertuduh daripada empat lelaki yang menghadapi pertuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 membuat kemunculan di mahkamah semalam untuk menghadapi pertuduhan jenayah itu.

Hakim Hendrik Steenhuis yang mengetuai panel tiga hakim dalam ucapan pembukaannya berkata pihak pendakwaan membuat segala percubaan untuk menyerahkan saman kepada mereka memaklumkan kes itu.

Mereka terdiri daripada tiga warga Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko.

Mereka menghadapi pertuduhan menyebabkan pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas, mengakibatkan kematian 298 orang orang di dalam pesawat, yang boleh dihukum mengikut Perkara 168 Kanun Jenayah Belanda dan Perkara 289 Kanun Jenayah Belanda.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara 30 tahun tanpa parol atau peluang untuk dibebaskan lebih awal.

Hakim itu berkata dalam usaha menyerahkan saman, pihak pendakwa menghantarnya kepada seorang daripada defendan di alamat kediamannya yang terakhir tetapi dikembalikan semula.

Beliau berkata seorang lagi defendan sebaik mengetahui mengenai saman itu mendedahkan kepada media bahawa dia tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Beliau berkata selepas gagal untuk menyerahkan saman, pihak pendakwa menghubungi mereka melalui media sosial untuk memaklumkan mengenai kes mahkamah.

“Pihak pendakwaan juga cuba menghubungi defendan (pihak tertuduh) melalui FB (Facebook), WhatsApp dan Messenger, tetapi tiada jawapan daripada mereka,” kata hakim itu.

Beliau berkata seorang daripada defendan ketika dihubungi ada menjawab panggilan telefon tetapi menafikan beliau adalah orang yang dicari.

Hakim itu berkata, kemudian ketika dihubungi semula pihak pendakwa, tertuduh tidak mengangkat panggilan tersebut.

Hakim tersebut berkata memandangkan defendan tidak hadir ke mahkamah, kesemua tertuduh akan dibicarakan tanpa kehadiran mereka.

Beliau juga menegaskan seorang daripada defendan, Pulatov diwakili oleh dua peguam dari Belanda dan mereka telah diberi kebenaran untuk mengkaji kes yang dihadapi anak guam mereka untuk persediaan perbicaraan.

Beliau berkata pihak pendakwa telah memfailkan kes yang mengandungi dokumen lebih 36,000 muka surat.

Perbicaraan bersambung hari ini pada 10 pagi.

Seramai 298 penumpang dan anak kapal terdiri daripada 43 rakyat Malaysia, 193 warganegara Belanda dan 27 warga Australia terkorban selepas pesawat penerbangan MH17 itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

MH17: Ahli keluarga, wartawan bersedia ikuti perbicaraan bermula esok

AMSTERDAM, 8 MAC: Ratusan ahli keluarga mangsa pesawat MH17 Malaysia Airlines dan wartawan telah berdaftar untuk menghadiri perbicaraan yang ditunggu-tunggu dan dengan kawalan keselamatan ketat di Mahkamah Daerah The Hague di Kompleks Kehakiman Schiphol yang bermula Isnin.

Persoalan sama ada empat tertuduh akan hadir di mahkamah atau hanya diwakili peguam mereka, atau mereka akan dibicarakan tanpa kehadiran, hanya akan diketahui pada hari tersebut.

Pegawai Kehakiman Media Mahkamah Daerah The Hauge, Yolande Wijnnobel berkata, beliau tidak boleh mendedahkan nama peguam dan juga suspek, namun mengesahkan dua peguam mahu mewakili seorang daripada suspek tersebut di mahkamah.

“Ini adalah kes jenayah Belanda di Mahkamah Belanda dan hanya peguam Belanda sahaja boleh mewakili tertuduh di sini,” tegas beliau.

Pada Jun 2019, pasukan penyiasatan bersama (JIT) terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap tiga warganegara Rusia – Igor Girkin, Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov dan seorang warganegara Ukraine Leonid Kharchenko – atas dakwaan menembak jatuh MH17 berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, membunuh kesemua 298 penumpang dan kru pesawat tersebut.

Ketika ditanya sama ada mahkamah akan mendengar perbicaraan sebenar dengan saksi memberi keterangan pada hari tersebut, Winjnnobel menjelaskan, pada peringkat ini hanya membabitkan prosedur pemeriksaan bahan kes.

“Ia adalah prosedur, yang hakim mahu selesaikan pada Isnin, dan ia terlalu awal untuk hakim mendengar merit kes tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wijnnobel berkata sehingga kini perbicaraan akan diteruskan seperti dijadual walaupun dalam situasi semasa di Eropah akibat penularan wabak Covid-19.

“Kami sedang memantau perkara ini. Kami ada RIVN (Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Kebangsaan Belanda) di sini, yang memantau perkembangannya dan akan membuat cadangan, yang kami laksanakan.

“Jadi jika ada sebarang perkembangan, kami akan maklumkan anda atau kami akan letakkan di dalam laman sesawang kami. Tetapi buat masa ini, ia berjalan seperti biasa, kes ini akan diteruskan seperti dijadualkan,” katanya.

Pada 17 Julai 2014, penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu anti-pesawat BUK oleh puak pemisah pro-Rusia dalam konflik dengan Ukraine berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine – kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia sambut baik perbicaraan suspek tembak MH17

PUTRAJAYA, 7 MAC: Malaysia menyambut baik perbicaraan terhadap empat suspek kes menembak jatuh pesawat MH17 Malaysia Airlines di Mahkamah Daerah The Hague, di Belanda yang bermula pada Isnin (9 Mac).

Wisma Putra berkata langkah itu amat penting dalam usaha untuk mengetahui kebenaran dan memberikan keadilan kepada mangsa tragedi pesawat MH17 yang berlaku pada 17 Julai 2014.

“Dengan bermulanya perbicaraan di mahkamah, kita diingatkan akan tragedi tidak berperikemanusiaan yang meragut nyawa 298 orang, termasuk 43 penumpang dan kru pesawat MH17 yang merupakan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut kementerian itu, Malaysia menekankan betapa pentingnya proses yang berwibawa dan telus, berdasarkan kedaulatan undang-undang dalam menegakkan keadilan.

“Sebagai ahli Pasukan Jawatankuasa Bersama (JIT), Malaysia kekal komited terhadap proses kehakiman dan penyiasatan.

“Malaysia menggesa semua negara dan pelakunya untuk memberikan kerjasama penuh dalam penyiasatan menurut Resolusi 2166 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2014),” katanya.

Wisma Putra berkata Malaysia akan memantau rapat prosiding mahkamah itu nanti.

“Ingatan dan doa kami sentiasa bersama-sama mangsa dan keluarga serta orang tersayang mereka yang bersedih,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia tidak boleh terima dengan mudah sebahagian penemuan MH17

VLADIVOSTOK (Rusia), 5 SEPT: Malaysia ada kesangsian dan tidak dapat menerima dengan mudah sebahagian daripada penemuan-penemuan pasukan penyiasat bersama (JIT) diketuai Belanda yang menyiasat insiden penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata terdapat keperluan kepada sebuah badan bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dari banyak negara yang biasa dengan kejadian pesawat terhempas seperti itu untuk menyiasatnya kerana pandangan JIT mungkin tidak adil dan berpihak.

“Pandangan mereka mungkin tidak adil dan berpihak, kita perlukan sebuah badan bebas untuk melakukan siasatan. Dan penemuan-penemuannya juga adalah sesuatu yang tidak boleh kita terima dengan mudah.

“Hendak mengenal pasti siapa yang melepaskan tembakan adalah amat sukar (tetapi) untuk mengenal pasti jenis peluru berpandunya, ya…tapi kawasan di mana ia berlaku, itu boleh dipastikan tetapi untuk mengenal pasti siapa sebenarnya yang melepaskan tembakan, itu amat sukar dalam keadaan biasa,” katanya semasa diwawancara oleh agensi berita Sputnik, yang ibu pejabatnya di Moscow, Rusia.

Dr Mahathir kini berada di Vladivostok untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF).

Perdana Menteri berkata beliau tidak mempertikaikan keikhlasan mereka tetapi ada perkara-perkara tertentu yang sukar bagi Malaysia hendak menerimanya terutama mengenai identiti orang yang sebenarnya melepaskan tembakan peluru berpandu itu.

“Adalah amat sukar hendak ditentukan kerana sebaik sahaja peluru berpandu itu dilepaskan, mereka boleh bergerak ke mana-mana sahaja dan perkara seumpama itu, tetapi anda boleh kenal pasti bahagian peluru berpandu itu dan menentukan jenis peluru berpandu berkenaan atau bahagian pesawat dan bahagian mana pesawat yang rosak.

“Tetapi untuk mengatakan anda tahu siapa yang melepaskan tembakan peluru berpandu itu, itu adalah sesuatu yang melampau dan amat sukar untuk kami menerimanya.

“…Saya tidak ada saudara-mara yang terbunuh di sana, saya tidak berhak ke atas mana-mana tuntutan insurans tetapi saya telah melihatnya sebagai seorang pemerhati dari luar dan sebahagian daripada penemuan-penemuan yang dibuat nampak kepada saya dan ramai orang di Malaysia macam tidak betul,” katanya.

Pada 17 Julai 2014, pesawat yang membawa 298 orang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh di ruang udara Donetsk, Ukraine.

Pasukan penyiasat JIT menyimpulkan bahawa MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu anti-pesawat BUK oleh puak pemisah yang pro-Rusia dalam konflik mereka dengan Ukraine.

Pada Jun, pasukan penyiasat JIT, yang terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, mengumumkan bahawa empat individu – tiga rakyat Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov, dan seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko – akan didakwa kerana menembak jatuh pesawat MH17.

Dr Mahathir berkata adalah penting untuk mencari bukti lain untuk mengenal pasti penjenayahnya dan dari negara mana yang terlibat dalam penembakan peluru berpandu itu.

“Jika mereka boleh menjumpainya dari bukti lain, maka ia menjadi bukti yang sahih dan saya fikir saudara-mara mangsa akan boleh membuat tuntutan,” tambah beliau.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Australia, Belanda anjur majlis peringati mangsa MH17

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Suruhanjaya Tinggi Australia dan Kedutaan Belanda di Malaysia semalam mengadakan upacara memperingati mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, lima tahun lalu.

Diketuai Pesuruhjaya Tinggi Australia, Andrew Goledzinowski dan Duta Belanda, Karin Mössenlechner, hadirin bertafakur seminit pada 9.20 malam, tepat lima tahun selepas tragedi itu.

Antara yang hadir termasuk waris, duta dari negara lain yang turut berdukacita selain wakil daripada kerajaan Malaysia dan Malaysia Airlines.

Bercakap kepada pemberita, Goledzinowski berkata, suruhanjaya itu menganjurkan acara berkenaan untuk mengingati mangsa dan menunjukkan sokongan kepada waris mereka.

“Kita tidak boleh membiarkan ulang tahun kelima tiba pada hari ini tanpa berbuat apa-apa. Acara ini semata-mata bagi mangsa dan waris mereka,” katanya.

Sementara itu, ketika bercakap pada majlis berkenaan, kaum keluarga mangsa menyatakan penghargaan kepada Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) diketuai Belanda berikutan usaha mereka tanpa mengenal penat lelah selama lima tahun lalu.

“Tanpa JIT, siasatan ini tidak akan sampai hingga ke peringkat ini. Kerana itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada JIT serta pihak yang terlibat kerana berusaha membawa keadilan bagi ibu saya,” kata Nur Diyana Yazeera, anak perempuan ketua pramugari, Dora Shahila Kassim.

Kira-kira 50 waris mangsa tragedi itu menghadiri majlis peringatan itu yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Australia di sini malam ini.

Penerbangan MH17 yang berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol Airport, Amsterdam, menuju ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 orang, termasuk 15 anak kapal.

Penumpang yang menaiki MH17 adalah dari Malaysia, Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Belgium, Jerman, New Zealand, Kanada dan Filipina.

Di Belanda pada 19 Jun tahun ini, penyiasat antarabangsa diketuai Belanda mendakwa empat orang iaitu tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine, atas tuduhan membunuh berhubung tragedi itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak gembira dengan laporan terkini insiden menembak jatuh penerbangan MH17 dan meminta supaya dikemukakan bukti, bukan sekadar keterangan dengar cakap, dalam siasatan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan akan terus mencari keadilan bagi mangsa MH17

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Kerajaan akan terus mengejar mereka yang bertanggungjawab atas kejadian tragis yang melibatkan Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine lima tahun lalu.

“Lima tahun mungkin telah berlalu tetapi tekad kami untuk akauntabiliti dan keadilan tidak akan berkurang. Kerajaan Malaysia akan terus mengejar mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah kejam ini dan memastikan keadilan bagi mangsa,” kata Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan ahli-ahli Pasukan Penyiasatan Bersama dan negara-negara yang bersedih hati serta masyarakat antarabangsa dalam memaklumkan kemajuan kepada para waris dalam mencari akauntabiliti dan keadilan.

“Tidak syak lagi, setiap keluarga dan waris terdekat yang terjejas oleh tragedi ini berhak menerima keadilan. Kami sangat berharap ini akan membawa kepada keselesaan dan kesenangan kepada keluarga dan waris terdekat mereka yang hilang dalam tragedi ini.

“Kami berharap dan berdoa supaya keluarga dan orang tersayang dari mereka yang berada di atas kapal itu akan diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan normal, atau seperti biasa kehidupan mungkin tanpa orang tersayang.

“Kita akan tetap tegas dalam meneruskan perjuangan ini dan berusaha sedaya mungkin sehingga keadilan terlaksana,” menurut kenyataan itu lagi.

Penerbangan MH17 yang berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, ditembak sebelum jatuh berhampiran Torez di Donetsk Wilayah, Ukraine, kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Peristiwa itu mengorbankan 298 orang termasuk 15 anak kapal.

Pada 19 Jun, penyiasat antarabangsa menuduh empat orang – tiga rakyat Rusia dan seorang rakyat Ukraine – dengan pertuduhan membunuh dengan menembak jatuh MH17 di timur Ukraine di mana semua 298 penumpang terbunuh.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak puas hati dengan laporan terbaharu mengenai penembakan jatuh penerbangan MH17 itu dan meminta siasatan mengemukakan bukti bukan hanya khabar angin.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia mahu bukti kukuh Rusia tembak MH17

TOKYO, 31 MEI: Kerajaan Malaysia mahu bukti kukuh menunjukkan Rusia bertanggungjawab berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang di timur Ukraine, pada Julai 2014.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia menerima laporan pasukan siasatan yang diketuai Belanda tetapi hanya setakat pesawat itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia.

Walaupun kerajaan bersetuju pesawat ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia tetapi ia tidak dapat dipastikan peluru berpandu itu dilancarkan oleh Rusia, katanya.

“Mereka menuduh Rusia tetapi apa buktinya? Kami tahu pesawat itu ditembak jatuh adalah peluru berpandu jenis Rusia tetapi ia juga boleh dibuat di Ukraine.

“Anda memerlukan bukti kukuh untuk menunjukkan ia dilancarkan oleh Rusia. Ia mungkin oleh kumpulan pemberontak di Ukraine…boleh jadi oleh kerajaan Ukraine kerana mereka juga menggunakan peluru berpandu yang sama,” katanya semasa dialog dan sidang media dengan Kelab Pewarta Asing Jepun (FCCJ) di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata tentera Rusia tahu bahawa MH17 adalah sebuah pesawat penumpang.

“Saya tidak fikir pihak yang mempunyai tahap disiplin yang begitu tinggi bertanggungjawab dalam melancarkan peluru berpandu tersebut,” katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga harus terbabit dalam pemeriksaan kotak hitam pesawat malang itu kerana pesawat itu milik negara dan terdapat penumpang rakyat Malaysia.

“Mungkin kami tidak mempunyai kepakaran tetapi boleh mendapatkan khidmat pakar. Atas sebab tertentu, Malaysia tidak dibenarkan mengkaji kotak hitam tersebut untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Kami tidak tahu kenapa kami dikecualikan daripada pemeriksaan kotak hitam itu tetapi dari awal lagi, kami melihat terlalu banyak politik dan idea bukanlah untuk mengetahui bagaimana kejadian ini berlaku tetapi nampaknya tertumpu kepada usaha menunding jari kepada Rusia.

-fotoBERNAMA (2019) COPYRIGHT RESERVED

“Ini bukan jenis siasatan yang berkecuali,” kata Dr Mahathir.

Seandainya, pihak siasatan bertindak berkecuali dan membuat kesimpulan, Malaysia sanggup menerima dapatan itu tetapi di sini kita mempunyai pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik dalam perkara ini, katanya.

Penerbangan MH17 berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh berhampiran, Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Kesemua 298 penumpang termasuk 15 anak kapal terbunuh dalam insiden itu.

Pasukan Siasatan Bersama yang diketuai Belanda, berkata pasukan itu yakin bahawa peluru berpandu BUK TELAR digunakan untuk menembak jatuh MH17 dan mendakwa peluru berpandu itu berasal daripada briged antipesawat ke-53 iaitu sebuah unit ketenteraan Rusia yang berpangkalan di Kursk, barat Rusia.

Bagaimanapun, Presiden Vladmir Putin, menolak dakwaan bahawa pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Menteri Luar Malaysia, Belanda bakal bincang MH17 esok

PUTRAJAYA, 27 MAC: Menteri Luar Malaysia dan Belanda yang akan bertemu, di sini esok, bakal membincangkan insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh, pada 17 Julai 2014.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Menteri Luar Belanda, Stef Blok, akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Malaysia dan beliau dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, selain MH17, kedua-dua menteri dijangka membincangkan pelbagai isu berkenaan kepentingan bersama termasuk minyak sawit, Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU), ASEAN dan Brexit.

“Lawatan ini dijangka dapat mengukuhkan lagi ikatan persahabatan dan mencerminkan hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Belanda,” kata Wisma Putra.

Pesawat MAS itu yang dalam penerbangan dari Armsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh, di ruang udara timur Ukraine dan mengorbankan kesemua 298 penumpang serta anak kapal.

Pada masa sama, Wisma Putra memaklumkan, Malaysia dan Belanda juga menyasarkan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang baharu.

Pada 2018, jumlah perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Belanda masing-masing pada RM32.57bilion (US$7.82 bilion) dan RM8.4bilion (US$2.06 bilion). -BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

MH17 mungkin antara tajuk perbincangan pertemuan Dr M dan Putin

SINGAPURA 12 NOV: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di luar Sidang Kemuncak ke-33 ASEAN di sini nanti.

Mesyuarat dijadualkan pada hari Selasa. Putin berada di negara pulau ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ke-3 ASEAN-Russia dan Sidang Kemuncak ke-13 Asia Timur.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang mengesahkan pertemuan itu berkata insiden Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh semasa melalui zon konflik di Ukraine Timur pada tahun 2014, mungkin akan menjadi antara tajuk perbincangan.

“Pendirian kita sentiasa jelas, kita masih menunggu laporan konklusif dari Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT),” katanya dalam satu persidangan media di sini, semalam.

Selepas empat tahun siasatan berhubung insiden Penerbangan Malaysia MH17 itu, pasukan JIT yang diterajui negara Belanda itu berkata pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Russia, BUK TELAR.

GILZE-RIJEN, NETHERLANDS – OCTOBER 13: A general view of the cockpit wreckage at the Gilze-Rijen Military Base on October 13, 2015 in Gilze-Rijen, Netherlands. The reports focus on four subjects: the cause of the crash, the issue of flying over conflict areas, the question why Dutch surviving relatives of the victims had to wait two to four days before receiving confirmation from the Dutch authorities that their loved ones were on board flight MH17, and lastly the question to what extent the occupants of flight MH17 were consciously of the crash. (Photo by Dean Mouhtaropoulos/Getty Images)

Pasukan itu percaya senjata BUK TELAR digunakan untuk menembak jatuh MH17, dan ia berasal dari Briged ke-53 Anti-Aircraft Missile (53rd Brigade), yang merupakan satu unit Tentera Russia dari Kursk dalam Persekutuan Russia.

Anggota JIT terdiri daripada polis dan pendakwa raya dari Belanda, di samping para pegawai dari Malaysia, Australia, dan Ukraine.

Pesawat Boeing 777 itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak semasa melintasi zon konflik di Ukraine Timur, mengakibatkan 298 orang terbunuh.

Selain Putin, Dr Mahathir juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Rusia dedah Ukraine ‘dalang sebenar’ tragedi pesawat MAS MH-17

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 17 SEPT: Kementerian Pertahanan Rusia hari ini mendakwa Ukraine disebalik tragedi  pesawat Malaysian Airlines (MAS) jenis Boeing 777 MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 lalu.

Agensi Berita Rusia RT NEWS melaporkan dalam sidang media Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan nombor siri yang ditemui pada serpihan-serpihan Buk yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine menunjukkan ia dihasilkan pada tahun 1986, kata tentera Rusia. Roket itu dimiliki oleh Ukraine, kata mereka.

Terdapat dua nombor siri yang terdapat pada serpihan roket, yang telah menutup pesawat penumpang pada bulan Jun 2014, menurut pasukan penyiasat antarabangsa yang diketuai oleh Belanda. Mereka menandakan enjin dan muncung peluru itu.

Tentera Rusia pada hari Isnin mengatakan mereka mengesan peluru berpandu tertentu, yang mempunyai nombor siri 8868720.

Bercakap kepada wartawan, Jeneral Nikolay Parshin, menunjukkan jejak dokumen peluru berpandu Buk.

Menurut dokumen tersebut, sebahagian daripadanya telah dikemukakan untuk penyampaiannya, ia dihasilkan di kilang tentera di Dolgoprudny di rantau Moscow pada tahun 1986.

Peluru berpandu telah dihantar dari kilang pada 29 Disember 1986 dan dihantar ke unit ketenteraan 20152 yang terletak di kawasan yang sekarang menjadi Ukraine.

Ia kini dipanggil rejimen pertahanan anti-pesawat 223 pasukan bersenjata Ukraine, kata laporan itu. Unit itu mengambil bahagian dalam tindakan keras Kiev terhadap pemberontak di timur Ukraine pada Jun 2014, kata jeneral.

Foto Sumber: RT NEWS

Tentera Rusia juga mencabar rakaman video yang digunakan oleh kumpulan yang berpangkalan di UK Bellingcat, yang menyeru dirinya sebagai organisasi kewartawanan warga negara, untuk menyokong tuduhannya mengenai penyampaian pelancar Buk dari Rusia.

Kementerian Pertahanan menunjukkan klip video dengan beberapa rakaman, yang menonjolkan tidak konsiste, yang dikatakan membuktikan bahawa rakaman itu telah dimanipulasi untuk menyiarkan gambar peluncur ke latar belakang yang tidak ada pada asalnya.

Foto Sumber: RT NEWS

Video itu menunjukkan contoh bagaimana sebuah tangki Abrams boleh ditunjukkan dibawa oleh treler di jalan-jalan di Ukraine dengan cara yang sama.

Jeneral Igor Konashenkov, yang menganjurkan taklimat itu, mengingatkan bahawa Ukraine gagal menyediakan data radar dari stesennya kepada penyiasat Belanda.

Beliau juga mencadangkan bahawa dokumen arkib dari unit Ukraine, yang menerima peluru berpandu Buk kembali pada tahun 1986, akan digunakan untuk siasatan, kecuali Kiev mendakwa bahawa mereka tidak lagi tersedia.
Beliau menegaskan mandat undang-undang bahawa dokumen itu masih disimpan di Ukraine.

Foto Sumber: RT NEWS

Sebelum ini, pasukan penyiasat antarabangsa telah menuding kesalahan itu terhadap Moscow, mengatakan video dan bukti lain menunjukkan peluru berpandu yang diangkut ke dalam zon perang di timur Ukraine dari negara jiran Rusia.

Pada Mei laly, penyiasat antarabangsa berkata peluncur peluru berpandu yang digunakan untuk menembak MH17 di rantau Donetsk adalah sebahagian daripada angkatan tentera Rusia.

Wilbert Paulissen, ketua pasukan jenayah polis kebangsaan Belanda, berkata peluru berpandu itu ditembak dari Briged Anti-Pesawat Rusia ke-53.

Empat tahun lalu, pada 17 Julai 2014, sebuah pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 yang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas berhampiran bandar Donetsk.

Kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat mati. Kiev menuduh anggota militia tempatan menjatuhkan pesawat itu, sementara mereka mengatakan bahawa tidak ada senjata yang mampu menjatuhkan pesawat itu.

SUMBER: RT NEWS/ MIRROR UK

 

Categories
GLOBAL

Tragedi MH17: Belgium mahu cari keadilan dalam Majlis Keselamatan PBB

KUALA LUMPUR 28 JUL: Sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mulai tahun depan, Belgium berikrar untuk memburu secara aktif pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 pada 17 Julai 2014 dan menegakkan keadilan kepada mangsa serta keluarga mereka.

Duta Besar Belgium ke Malaysia, Daniel Dargent, berkata pemilihan negara itu bagi penggal 2019-2020 bersama-sama Indonesia, Jerman, Afrika Selatan dan Republik Dominica, akan melebarkan peluang Belgium untuk memastikan semua negara terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap usaha negara benua Eropah itu dalam mencari kebenaran, keadilan serta akauntabiliti buat mangsa dan waris mereka.

“Apabila kami berada dalam sistem majlis, kami akan membawa kes MH17 ke dalam agenda Majlis Keselamatan PBB.

“Kami akan mencadangkan satu penyelesaian bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, tidak hanya mereka yang berada di lapangan, tetapi juga yang memberikan arahan untuk melancarkan peluru berpandu terbabit,” katanya dalam satu temu bual eksklusif di kedutaan itu baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dargent berkata Resolusi 2166 UNSC secara khusus mengesahkan kesepakatan untuk mencari keadilan dan akauntabiliti dengan memastikan pelaku jenayah itu dipertanggungjawabkan, harus dihormati oleh semua pihak tanpa pengecualian.

“Kami menyokong resolusi itu seperti yang diminta, oleh itu kami berharap semua negara akan terus bekerjasama dalam siasatan yang sedang berlangsung,” katanya sambil menambah siasatan jenayah itu kekal menjadi keutamaan kerajaan Belgium.

Beliau berkata Belgium, sebagai anggota pasukan penyiasat bersama 5 negara yang diterajui Belanda (JIT) dalam kes MH17, sudah pasti akan memberi sokongan kuat kepada Belanda bagi membolehkan pihak yang menembak jatuh pesawat itu dipertanggungjawabkan atas perlakuan jenayah tersebut.

“Kami menyokong Belanda, khususnya kerana kami begitu rapat dan kami tahu kami (berdua) adalah mangsa (dalam penerbangan malang itu) dan justeru, adalah penting bagi kami untuk memburu mereka yang bertanggungjawab atas bencana tersebut,” kata Dargent.

Dalam sidang akhbar JIT pada 24 Mei lepas, hasil siasatan menunjukkan bahawa pasukan itu yakin sebutir peluru berpandu jenis BUK TELAR telah digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 dan ia telah dilancarkan oleh briged peluru berpandu anti-pesawat ke-53 (Briged 53), satu unit tentera Rusia yang berpangkalan di Kursk dalam Persekutuan Rusia.

Kementerian Pertahanan Rusia bagaimanapun menyangkal dakwaan itu.

Sejumlah 298 penumpang dan kru terkorban dalam tragedi itu, terdiri daripada 193 rakyat Belanda; Malaysia (43); Australia (27); Indonesia (12); Britain (10); 4 masing-masing dari Jerman dan Belgium; Filipina (3); dan seorang masing-masing dari Kanada dan New Zealand.

Dargent berkata, “kami tidak sabar untuk menantikan detik itu (berada dalam UNSC) kerana kami juga mempunyai beberapa mangsa dalam bencana ini dan kami juga sebahagian daripada pasukan penyiasat.

“Jadi apa sahaja yang terdaya kami lakukan, sudah pasti kami akan melakukannya.”

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

MH17: Parlimen Belanda lulus perjanjian Ukraine

THE HAGUE 14 JUN: Parlimen Belanda semalam meluluskan satu perjanjian yang ditandatangani antara Belanda dan Ukraine bagi memudahkan pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat penerbangan MH17, termasuk membicarakan suspek melalui pautan video.

Bekas Menteri Kehakiman Belanda, Stef Blok menandatangani perjanjian itu dengan rakan sejawatnya dari Ukraine, Pavlo Petrenko pada Julai tahun lalu, tiga tahun selepas tragedi tersebut yang mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal.

Perjanjian yang diluluskan semalam menetapkan bahawa pendakwaan suspek akan berlaku di sebuah mahkamah Belanda, berkemungkinan besar di The Hague.

Ia juga membenarkan perbicaraan melalui siaran video dan hukuman penjara akan dikenakan di Ukraine jika suspek yang disabitkan tidak boleh diekstradisi ke Belanda.

“Perjanjian ini adalah langkah penting ke arah mencari kebenaran dan mengheret suspek ke muka pengadilan, sekali gus memberi kelegaan kepada keluarga mangsa,” jelas Blok ketika menandatangani perjanjian itu.

Belanda dan Australia bulan lepas menyalahkan Rusia sebagai dalang insiden tersebut.

Pesawat Malaysia Airlines MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh dengan peluru berpandu BUK bu­atan Rusia ketika melintasi kawasan dikuasai pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Walaupun lima negara iaitu Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine sedang menyia­sat kejadian itu, majoriti mangsa dalam penerbangan tersebut adalah rakyat Belanda.

Langkah itu dilakukan selepas pasukan penyiasat antarabangsa membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu BUK itu milik pasukan tentera Rusia berpangkalan di barat daya Kursk.

Moscow dengan tegas menafikan penglibatan mereka dan telah memberikan beberapa teori lain yang menuding ke arah Kiev.

SUMBER: AFP