Categories
AGENDA NASIONAL

MH370: Genap tujuh tahun tragedi berlalu

IPOH, 7 MAC: Acapkali apabila tiba 8 Mac, ada sekelumit perasaan ingin tahu tercetus dalam kalangan waris penumpang dan anak kapal penerbangan Malaysia Airlines MH370, apa sebenarnya yang terjadi kepada pesawat itu tujuh tahun lepas, mengiringi doa dan harapan agar keajaiban akan muncul satu hari nanti.

Ada juga yang sudah tidak mahu mengingatinya dan hanya berserah kepada Tuhan serta pihak berkuasa dalam merungkai misteri paling pelik dalam sejarah penerbangan dunia itu.

Maira Elizabeth Nari, anak perempuan ketua pramugara pesawat itu, Andrew Nari berkata tiada apa yang boleh dilakukan dan kehidupan perlu diteruskan walaupun tahun demi tahun sejak kehilangan pesawat itu silih berganti, tanpa sebarang jawapan bagi merungkai misteri kehilangannya.

“Sudah bertahun berlalu, cepat sungguh tujuh tahun. Perasaanya sama seperti keadaan tujuh tahun lepas semasa saya berumur 17 tahun, tapi tiada apa yang boleh kita lakukan, hanya teruskan sahaja kehidupan, kami baik-baik sahaja, setiap tahun sama,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, adik ipar kepada Ketua Pramugari MH370, Goh Sock Lay yang enggan dikenali, sewaktu ditemui dirumahnya di Kampung Tawas disini baru-baru ini berkata peristiwa yang berlaku itu tidak mahu diingati mereka lagi.

“Kami sudah tidak mahu ingat lagi peristiwa (tragedi MH370), hal sudah lama kami sekeluarga sudah lupa. Apa mahu cerita lagi, ini sedih punya hal tak nak ingat lagi,” katanya.

Beliau berkata suami Goh Sock Lay kini bekerja di sebuah kilang sarung tangan di Seremban dan sudah agak lama tidak pulang ke kampung halaman, hanya berhubung dengan mereka sekeluarga menerusi panggilan telefon untuk bertanya khabar.

Lelaki berkenaan berkata mereka sekeluarga menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada kerajaan Malaysia dan mereka tidak mempunyai hak untuk mencampuri misi pencarian penerbangan MH370.

Sementara itu, wakil keluarga kepada salah seorang penumpang MH370, Tan Ah Meng di Kampung Kanthan, Chemor di sini turut mengakui sudah melupakan peristiwa itu.

“Kami sekeluarga sudah lupa kejadian itu, tidak ada apa mahu cakap,” katanya menambah, kedua ibu bapa Tan Ah Meng sudah meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Sementara itu, seorang pakar penerbangan Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata tiada petunjuk baru mengenai kehilangan pesawat itu timbul setakat ini, dan keadaan ini kemungkinan menggusarkan ramai pihak.

Namun juruterbang ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata ada beberapa kes rujukan, yang menyaksikan bangkai kapal terbang dijumpai selepas hilang beberapa tahun dan tidak salahnya jika ada pihak yang ingin meneruskan usaha mencari pesawat Boeing 777 itu.

“Contohnya ialah bangkai kapal terbang Piper dijumpai di Michigan Amerika Syarikat selepas 21 tahun manakala bangkai kapal terbang Learjat yang dijumpai di New Hampshire Amerika Syarikat selepas 3 tahun.

“Di dalam kes kes itu, usaha pencarian dilakukan secara besar-besaran dan terperinci, namun kesan kemalangan udara itu tidak dijumpai sehingga selepas beberapa tahun kemudian. Ini menunjukkan harapan masih jikalau ada pihak masih berhasrat untuk meneruskan usaha pencarian,” katanya.

Esok genap tujuh tahun pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dan keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu masih menanti pengakhiran episod tragis terbabit.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini dilaporkan masih belum memutuskan sama ada akan melancarkan semula pencarian MH370 atau tidak, kerana setakat ini tiada sebarang bukti baharu mengenainya ditemui untuk mengerakkan semula pencarian.

Sumber Kementerian Pengangkutan memberitahu Bernama, kerajaan akan membuat satu pengumuman penting berkaitan tragedi tersebut dalam masa terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MH370: Kementerian Pengangkutan jumpa PM bincang pampasan kepada waris

PUTRAJAYA, 8 MAC: Kementerian Pengangkutan dijangka bertemu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu hadapan bagi membentangkan kertas Kabinet berkaitan pampasan kepada waris mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Ketua Setiausahanya Datuk Isham Ishak berkata pampasan itu adalah sebagai penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman waris mangsa terhadap kerajaan Malaysia dan agensi berkaitan.

“Saya telah mengemukakan permintaan untuk bertemu Perdana Menteri minggu hadapan supaya dapat membentangkan kertas yang telah disediakan sebelum pembubaran kerajaan baru-baru ini.

“Kami sepatutnya mendapatkan sokongan ini untuk ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang. Saya akan cuba yang terbaik untuk mendapat sokongan yang anda inginkan sejak enam tahun lepas,” katanya pada majlis ulang tahun keenam memperingati kehilangan MH370 di sini semalam.

Isham berkata, kementerian juga akan terus berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada kerajaan baharu bagi meneruskan misi pencarian MH370 yang telah dihentikan sebelum ini.

“Saya tahu terdapat banyak harapan dan saya dapat rasakan, siapa lagi yang anda harapkan selain daripada kerajaan Malaysia,” katanya.

Majlis yang dihadiri waris mangsa insiden MH370 dari seluruh negara itu turut disertai bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata beliau sepatutnya dijadualkan membentangkan kertas Kabinet berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pada 26 Februari lepas namun hasrat itu tidak kesampaian susulan kemelut politik ketika itu.

“Memorandum itu amat penting kerana melaluinya, kita sudah mendapat persetujuan daripada peguam waris mangsa untuk penyelesaian membabitkan kes saman di luar mahkamah dengan memberikan pampasan kepada mereka,” katanya.

Loke berkata, beliau akan menemui menteri pengangkutan yang baharu selepas pembentukan Kabinet bagi memohon supaya misi pencarian pesawat malang itu digerakkan semula.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MH370: Belum ada keputusan aktifkan semula pencarian

PUTRAJAYA, 10 FEB: Kementerian Pengangkutan belum memutuskan untuk melancarkan semula pencarian MH370 kerana tiada bukti baharu berhubungnya.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan akan mengkaji sebarang bentuk bukti baharu yang diterima secara rasmi.

“Sebagai tambahan, kementerian juga perlu merujuk kepada China dan Australia, jika sebarang keputusan dibuat bagi melancarkan semula pencarian itu,” katanya.

Penerbangan MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 orang penumpang.

Satu laporan berita mengenai gerakan pencarian semula dilaporkan pada Sabtu (8 Februari) menyatakan pencarian kapal terbang MH370 mungkin akan dimulakan semula dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Laporan itu menyebut, keluarga mangsa dan kerajaan Malaysia kini sedang melihat kemungkinan menghantar pasukan pencarian dasar laut ‘Ocean Infinity’, untuk satu misi baharu bagi mencari kapal terbang yang hilang.

-BERNAMA
 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Genap 5 tahun esok, kehilangan MH370 kekal misteri

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Esok, genap lima tahun penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa jejak di selatan Lautan Hindi dan persoalan yang kekal misteri, di manakah ia dan apa sebenarnya terjadi?

Kehilangan pesawat penumpang Boeing 777 yang hilang daripada radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada 8 Mac 2014, dengan 239 penumpang terus membelenggu fikiran pakar penerbangan, anggota keluarga, sahabat dan seluruh dunia.

Operasi pencarian terakhir pesawat itu berakhir, pada Mei tahun lalu apabila syarikat eksplorasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu selepas melakukan pencarian lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut selama lebih tiga bulan tempoh operasi.

Sehingga kini, hanya tiga serpihan sayap, dikenali sebagai flaperon, disahkan berasal dari pesawat MH370.

Laporan berita menunjukkan bahawa penyiasat menemui nombor pada bahagian serpihan itu sepadan dengan nombor siri dan pengenalan dimiliki bahagian yang dibuat secara unik untuk Malaysia Airlines.

Serpihan sayap kanan ditemui di Saint Denis di Reunion Island, pada Julai 2015, dua lagi serpihan lain ditemui di Mauritius, pada Mei 2016 dan di sebuah pulau di Tanzania, pada Jun 2016.

Selain itu, dilaporkan kira-kira 30 serpihan ditemui orang awam di kepulauan dan pantai Afrika di Lautan Hindi dan kebanyakannya diserahkan kepada pihak berkuasa dengan sebahagiannya disahkan sebagai ‘hampir pasti’ milik pesawat malang itu.

Laporan berita turut memaparkan penyiasat mendapati beberapa keping serpihan itu mempunyai nombor dan huruf stensil yang sama jenis tulisan dan warna digunakan oleh Malaysia Airlines serta beberapa bahagian dengan corak hiasan sepadan dengan Malaysia Airlines dan tidak digunakan mana-mana syarikat penerbangan yang lain.

“Dengan melancarkan semula penyiasatan mungkin cara yang baik jadi kita dapat menentukan dengan lebih konkrit asal-usul 30 atau lebih serpihan bangkai pesawat dan kita dapat merancang dengan teratur lokasi di mana kepingan ini ditemui,” kata seorang pakar penerbangan tempatan, Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian.

“Memplot 30 keping atau lebih serpihan bangkai itu akan merungkai corak aliran kepingan ini di lautan dan menyusunnya dengan algoritma matematik tertentu, kita mungkin dapat menentukan lokasi kemalangan,” kata juruterbang ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kepada Bernama baru-baru ini.

Pada Julai tahun lalu, Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 dalam laporan setebal 449 muka surat, merumuskan bahawa mereka tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat itu, tetapi tidak menolak kemungkinan ‘campur tangan yang menyalahi undang-undang’ oleh pihak ketiga telah menyebabkan kejadian itu.

Bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata: “Satu-satunya harapan kita adalah untuk menemui dua kotak hitam: perakam suara kokpit (CVR) dengan harapan dapat menunjukkan siapa atau mungkin mengapa atau bagaimana sekiranya ada apa-apa petunjuk; dan dengan perakam data penerbangan (FDR) kita dapat tahu bagaimana (ia terjadi)”.

Bekas juruterbang itu berkata mencari dua unit kotak hitam itu sahaja dilihat seperti satu keajaiban, apatah lagi mengekstrak data selepas lima tahun tenggelam enam kilometer di bawah permukaan lautan.

Ahad lepas, semasa acara Peringatan Tahunan MH370 ke-5, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersedia mendengar cadangan daripada mana-mana syarikat penerokaan atau pencarian dengan petunjuk yang boleh dipercayai dan mempunyai teknologi untuk memulakan semula pencarian.

Mengulas lanjut, bekas ketua juruterbang MAS Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata pencarian baharu hanya perlu dimulakan dengan pendekatan baharu kerana ia mungkin agak memakan kos yang tinggi.

Nik Ahmad Huzlan berkata pelancaran semula pencarian itu akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya pasukan penyiasatan tidak mengambil kira atau menolak kemungkinan dan senario tertentu detik terakhir penerbangan itu sebelum kehabisan minyak.

Prof Dr Mohd Harridon pula berharap situasi MH370 dikendalikan secara berterusan yang mana banyak pihak akan membantu mengurangkan tekanan emosi waris yang melaluinya.

“Situasi ini masih diselubungi misteri dan diharapkan pada masa akan datang maklumat atau metodologi baharu akan muncul untuk mengurangkan senario,” katanya.

“’Good Night, Malaysian Three Seven Zero’ adalah mesej radio terakhir yang dihantar dari kokpit MH370 dan ia akan terus bermain di fikiran kita serta kehilangan MH370 akan menjadi misteri penerbangan terbesar di dunia sehingga ada petunjuk baharu atau bukti utama yang ditemui,” katanya.
-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Parlimen: Kerajaan sedia cari semula MH370 jika ada bukti kukuh

KUALA LUMPUR 30 NOV: Kerajaan sedia memulakan semula usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak empat tahun lepas, jika ada bukti kukuh mengenai keberadaannya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

“Kerajaan telah menyatakan bahawa jika ada bukti kukuh dan penemuan meyakinkan bahawa kita dapat mencari pesawat itu, kita akan mempertimbangkan semula.

 

“Kita tidak menutup sepenuhnya ruang untuk kemungkinan meneruskan misi pencarian, tetapi kerajaan tidak boleh buat pencarian sepanjang masa, tanpa bukti kukuh,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Hakim AS tolak saman waris MH370

WASHINGTON 25 NOV: Hakim Amerika Syarikat (AS) menolak tindakan undang-undang oleh ahli keluarga penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 supaya pengeluar pesawat itu, Boeing Co dan syarikat insurans, Allianz SE bertanggungjawab ke atas kehilangan pesawat itu yang sehingga kini masih menjadi misteri.

Hakim Mahkamah Daerah Columbia, Ketanji Brown Jackson pada perbicaraan Rabu lalu menyatakan bahawa kematian dan litigasi tanggungan produk daripada 40 saman yang dikemukakan tidak berkaitan di negara itu.

 

Beliau berkata, kes yang terjadi di Malaysia mempunyai satu ‘minat luar biasa’ dan ‘nilai hubungan’ terhadap kehilangan penerbangan MH370, sebuah pesawat Boeing 777 yang menuju ke Beijing, China dari Kuala Lumpur dengan 239 penumpang di dalamnya.

“Pada asasnya, kes ini mengenai kehilangan pesawat penumpang yang tidak dapat dijelaskan dan dikendalikan oleh MAS sebagai salah satu daripada armada pengangkutannya yang berlepas dari sebuah lapangan terbang di Malaysia,” jelas Jackson dalam keputusan bertulisnya.

“Tindakan undang-undang di AS berkaitan bencana penerbangan MH370 adalah tidak sesuai,” tambahnya.

Keputusan penghakiman sebanyak 61 muka surat itu merupakan jawapan kepada plaintif dari Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun dan Malaysia yang mewakili lebih daripada 100 penumpang MH370.

Kapal terbang itu dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi selepas tersasar jauh dari laluannya, namun sehingga kini masih tiada mayat ataupun serpihan besar ditemui.

Kehilangan pesawat MH370 kekal sebagai salah satu kemalangan penerbangan paling misteri di dunia.

Satu laporan 495 halaman oleh penyiasat Malaysia pada Julai lalu juga masih tidak jelas mengenai apa yang berlaku.

Plaintif memfailkan saman di bawah Konvensyen Montreal, satu perjanjian antarabangsa urus tadbir kemalangan pengangkutan udara dan beberapa undang-undang negeri AS.

Mary Schiavo yang merupakan peguam untuk beberapa orang plaintif dalam satu e-mel kelmarin berkata, anak guamnya kini bersedia untuk perbicaraan mengenai pesawat itu di Kuala Lumpur pada Jun tahun hadapan.

SUMBER: REUTERS

Categories
NASIONAL

MH370: Benarkan pihak lain ketuai misi pencarian – Pakar

KUALA LUMPUR 2 OGOS: Waris kepada mangsa Penerbangan Malaysia Airlines MH370 perlu mengambil tindakan selanjutnya dengan secara rasminya meminta ataupun memberikan peluang kepada organisasi bebas atau pihak lain untuk terus mencari pesawat yang hilang itu.

Juruterbang pandu uji Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata pihak lain seperti ahli akademik atau pakar dengan sumber antarabangsa yang luas mahupun kecil, dan kaedah metodologi untuk melakukan analisis dan kebarangkalian yang lain, mungkin akan memberikan keputusan yang berbeza mengenai kejadian pesawat Boeing 777 -200ER itu.

“Perbezaan ini sebenarnya bersifat positif kerana ini akan memberi kita pendekatan yang berbeza atau yang belum dicuba untuk mencari pesawat tersebut, yang mana ini mungkin satu pendekatan di luar kotak,” katanya kepada Bernama.

Dua hari lepas, penyiasat utama, Datuk Kok Soo Chon dilaporkan berkata, pasukan penyiasat keselamatan bagi MH370 tidak dapat menentukan sebab sebenar kehilangan pesawat malang itu setelah mengenal pasti tujuh teori munasabah termasuk teori konspirasi, khabar angin dan gosip dalam media sosial.

Kok juga berkata, laporan 449 lembaran itu bukan merupakan laporan terakhir bagi pencarian pesawat yang hilang itu tetapi hanya meliputi siasatan keselamatan dan berasingan daripada pencarian dan siasatan kehakiman.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengulangi bahawa aspirasi untuk menemukan MH370 tidak pernah diabaikan ekoran laporan Pasukan Penyiasat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa ICAO terhadap siasatan keselamatan MH370 tidak dapat menentukan sebab kehilangan pesawat itu empat tahun lepas.

Pada bulan Mei, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia menghentikan misi mencari selepas carian selama tiga bulan yang dijalankan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika secara rasmi berakhir tanpa menemui sebarang bukti baru.

Mengulas lanjut, Mohd Harridon berkata misteri MH370 telah menarik banyak minat, terutamanya pihak luar yang mahu menyelesaikannya.

“Sebagai contoh, sebuah organisasi yang dikenali sebagai Shipwreck Explorer yang menjadikan kehidupan mereka untuk menjelajah lautan bagi mencari kapal yang hilang atau bangkai kapal dengan menggunakan sumber sendiri dan kita harus mengalu-alukan inisiatif ini kerana ianya suatu yang positif untuk membantu mencari MH370,” katanya.

Berkaitan laporan itu, Mohd Harridon berkata, dalam beberapa cara, laporan itu boleh menjadi contoh untuk mengenal pasti kekurangan tertentu yang ada dalam ekosistem penerbangan dan contoh ini akan menjadi sesuatu yang baik untuk pemain industri melihatnya dalam semangat meningkatkan lagi tahap keselamatan dalam industri penerbangan.

Tegas beliau, walaupun mungkin data daripada bahagian terakhir pesawat tersebut berjaya dikeluarkan ataupun ditemui masih terdapat kemungkinan punca sebenar tidak akan dapat diketahui disebabkan terdapatnya pelbagai faktor lain.

“Mungkin penting untuk mencari motif atau punca kejadian itu,” katanya dan menambah bahawa laporan yang diterbitkan itu mengandungi analisis yang sangat baik dan secara teknikalnya apa yang berlaku di mana pesawat itu hilang tanpa diketahui lokasi kedudukannya persemadiannya yang terakhir.

Sementara itu, pensyarah Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Kamarul Arifin Ahmad berkata pasukan penyiasat telah melakukan yang terbaik sepanjang empat tahun ini walaupun tidak memberikan penutup seperti yang dinantikan waris.

“Pendapat saya, memang tidak dapat dikesan punca kerana banyak sebab dan salah satunya adalah tiadanya kotak hitam. Dengan tiadanya bukti utama yang lain, maka sukar untuk pasukan penyiasat membuat sebarang konklusi yang konkrit,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Pegawai Penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata waris pesawat malang itu perlu menerima hakikat dan kenyataan bahawa pesawat tersebut telah diterbangkan secara manual.

“Apa punca pesawat tersebut diterbangkan dalam keadaan tersebut mungkin tidak akan diketahui dalam masa terdekat. Mungkin tidak akan diketahui sepanjang hayat kita. Yang tentu, ianya diterbangkan oleh seseorang.

“Waris perlu menerima kenyataan tersebut, sebab kita tidak ada bukti fizikal pesawat tersebut selain serpihan yang hanyut. Kalau jumpa pun pesawat tersebut, bagaimana hendak kita tentukan motif?,” katanya.

Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac 2014, ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, sebahagian besarnya terdiri daripada warga China.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

ATSB tolak teori juruterbang MH370 sengaja junam pesawat

CANBERRA 23 MEI: Seorang pengarah pencarian dasar laut penerbangan Malaysia Airlines 370 (MH370) semalam, tidak bersetuju dengan rumusan sebuah buku baharu bahawa juruterbangnya menerbangkan pesawat itu di luar kawasan pencarian dan sengaja menenggelamkannya di kawasan tidak diteroka di Lautan Hindi.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) percaya, pesawat itu kemungkinan kehabisan minyak dan terhempas selepas terbang di luar laluannya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.

Ia percaya, kesemua 239 penumpang dan kru di dalamnya sekian lama sudah mati dalam kabin dan kokpit tanpa tekanan.

Pengarah carian itu, Peter Foley, yang menyelaras pencarian bagi pihak Malaysia, ditanya jawatankuasa Senat Australia berkaitan teori itu dalam buku baharu ditulis penyiasat nahas udara Kanada, Larry Vance bertajuk, ‘MH370: Mystery Solved’, dalam laporan di portal Arab News.

Buku itu mendakwa, dua sayap pesawat yang ditemui di luar sebuah pulau Afrika pada 2015 dan 2016 menuding kepada juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah yang sengaja melencongkan pesawat di luar 120,000 kilometer persegi pencarian sonar berharga A$198 juta (RM595.30 juta), berakhir Januari 2017.

Katanya, sasaran Zaharie ialah memastikan pesawat sebahagian besarnya utuh supaya dapat lenyap sepenuhnya di lautan selatan terpencil.

Foley, yang berkata sudah membaca buku itu, menuding kepada bukti pesawat itu tidak berada dalam kawalan sesiapa apabila terjunam ke dalam air.

Beliau berkata, analisis transmisi satelit saat akhir pesawat menunjukkan, jet itu sedang menjunam dalam keadaan laju dan memecut sehingga ke akhirnya.

Serpihan bahagian dalaman pesawat ditemui hanyut di pantai barat Lautan Hindi, mencadangkan tenaga ketara ketika impak, kata Foley.

“Jika ia dikawal sehingga ke akhirnya, pesawat tidak dikawal dengan berjaya. Sayap tidak digerakkan,” kata Foley.

Buku itu mendakwa, dua sayap yang ditemui menunjukkan bukti ia digunakan ketika juruterbang memperlahankan pesawat untuk mendarat dengan berhati-hati di atas air.

Foley berkata, satu analisis di ibu pejabat biro itu di sini pada sayap kedua ditemui di pulau Pemba, luar pantai Tanzania pada Jun 2016 mengenal pasti, ia ‘kemungkinan tidak digunakan.’

Namun pihak berkuasa Perancis menghalang seorang penganalisis Australia daripada ‘melakukan apa-apa yang berguna dari segi analisis’ terhadap sayap pertama yang ditemui.

Sayap pertama, dikenali flaperon, ditemui di kepulauan Perancis, di Reunion pada Julai 2015. Pihak berkuasa Perancis menahan flaperon itu sebagai bukti untuk sebarang pendakwaan potensi jenayah.

Foley berkata, bironya tidak dapat menyimpulkan, flaperon itu kehilangan kelebihan pandu arah kerana ia digunakan apabila pesawat menjunam ke dalam air.

Syarikat teknologi berpusat di Texas, Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity memperbaharui pencarian tahun ini berdasarkan faktor Malaysia akan membayar sehingga AS$70 juta (RM277.69 juta) jika ia dapat menemui bangkai pesawat atau kotak hitam.

Foley berkata, beliau masih berharap pencarian itu akan berjaya dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Jika tidak, sudah pasti, ia adalah kesedihan besar buat kami semua,” katanya.

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL

ATSB: Kehilangan MH370 mustahil dan sukar diterima diera moden

GLOBAL 4 OKT: Pihak berkuasa Australia memohon maaf kerana gagal menemukan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 malah menegaskan misteri kehilangan pesawat berkenaan yang tiada penghujung itu tidak boleh diterima.

Melalui laporan akhir tentang kegagalan pencarian pesawat tersebut, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) memaklumkan, punca kehilangan pesawat itu tidak boleh dibuktikan sehingga pesawat ditemukan, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

“Mustahil dan sukar diterima dalam era penerbangan moden ini tentang kehilangan pesawat komersial yang besar dan pada masa yang sama dunia tidak tahu secara jelas apa yang terjadi terhadap pesawat ini dan kesemua penumpangnya,” jelas biro berkenaan.

Kehilangan pesawat Boeing 777 membawa 239 penumpang pada 8 Mac 2014 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China itu merupakan misteri penerbangan terbesar dunia.

MH370Difahamkan pesawat berkenaan dilencongkan beribu-ribu kilometer daripada laluan asalnya ke Lautan Hindi sebelum terhempas di luar pantai barat Australia.

Australia yang mengetuai pencarian pesawat itu di laut dalam, Malaysia dan China menamatkan pencarian bernilai AS$160 juta (RM677 juta) pada Januari lalu selepas gagal menemukan sebarang kesan walaupun menerima bantahan daripada keluarga mangsa.

Agensi saintifik utama negara ini juga memaklumkan pada Ogos lalu bahawa pihaknya percaya ‘ketepatan dan kepastian yang belum pernah berlaku’ bahawa pesawat itu terhempas di timur laut zon pencarian.

Namun penemuan itu ditolak oleh kerajaan Australia kerana tidak spesifik dan pencarian itu tidak diteruskan.

Laporan ATSB itu yang didedahkan memperincikan kegagalan pencarian selama 1,046 hari, di permukaan dan dalam Lautan Hindi, analisis saintifik dan gambar satelit, arus laut dan penemuan teritip pada serpihan sebuah pesawat di Pulau Re­union.

“Pemahaman tentang kemungkinan lokasi MH370 ini semakin baik berbanding sebelum ini. Pencarian laut dalam telah mencakupi kawasan berkemungkinan tinggi.

“Kami memohon maaf kerana tidak dapat mengesan pesawat itu mahupun 239 mangsa yang masih hilang,” kata ATSB.

=EZY=

Categories
NASIONAL

MH370: Jangan buat spekulasi kematian Houseinaly

KUALA LUMPUR 2 SEPT: Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab untuk membuat spekulasi mengenai kematian Konsul Kehormat Malaysia ke Madagascar Zahid Houseinaly Reza lewat bulan lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Azharuddin berkata perkara itu masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Allahyarham Zahid Houseinaly Reza, banyak memberi sumbangan kepada kerajaan Malaysia dalam membantu proses penyerahan serpihan MH370 yang dijumpai di Madagascar.

MH370“Ingatan dan doa kami adalah bersama keluarga dan orang tersayang beliau dalam keadaan yang sukar ini.” kata beliau.

Beliau membuat kenyataan itu susulan laporan oleh akhbar harian Australia, Perth Now yang memetik penyiasat persendirian Amerika Syarikat Blaine Gibson yang mendakwa Houseinaly bertanggungjawab bagi penyerahan serpihan MH370 kepada kerajaan Malaysia dibunuh pada 24 Ogos.

Beliau juga mendakwa bahawa Houseinaly sepatutnya menyerahkan serpihan baharu itu kepada kerajaan Malaysia apabila beliau dikatakan dibunuh.

Dalam satu kenyataan pada 30 Ogos, Wisma Putra juga telah memaklumkan mengenai kematian Allahyarham. Houseinaly dilantik sebagai Konsul Kehormat Malaysia ke Madagascar pada Disember 2013 untuk tempoh tiga tahun.

Kerajaan Malaysia telah memperbaharui kontraknya untuk jawatan tersebut untuk tempoh tiga tahun lagi sehingga Disember 2019.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Serpihan dipercayai milik MH370 ditemui

VICTORIA, 14 JULAI: Dua serpihan disyaki milik pesawat MH370 yang hilang, pada 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan ditemui, lapor Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Seychelles (SCAA).

Pihak berkuasa itu berkata, serpihan terbabit ditemui terdampar di Farqhar oleh saintis yang menjalankan penyelidikan berkenaan burung dan penyu.

Katanya, perkara berkenaan juga sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia.

“Arah arus laut menunjukkan kemungkinan serpihan itu berasal dari lokasi lain yang dilaporkan turut menemui kepingan pesawat berkenaan di beberapa negara Lautan Hindi,” kata pegawai kanan SCAA, lapor Reuters.

Farqhar adalah antara pulau yang membentuk negara tropika di Lautan Hindi itu.

Sementara itu, hjurucakap agensi pentadbir semua kepulauan di Seychelles, Michael Payet berkata, serpihan terbesar daripada kedua objek itu adalah sepanjang 120 sentimeter dan 30 sentimeter lebar, dipercayai diperbuat daripada aluminium dan gentian karbon.

MH370“Ia mungkin sebahagian daripada penutup enjin. SCAA berhubung dengan pihak berkuasa di Malaysia yang menyatakan minat untuk bekerjasama,” katanya dalam kenyataan.

Sejumlah serpihan dipercayai milik pesawat penumpang Boeing 777 itu ditemui, selepas lebih tiga tahun usaha pencarian dijalankan.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan kru itu hilang pada 8 Mac 2014 sebaik berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Categories
GLOBAL

Saintis: MH370 mungkin di hujung selatan, dekat 35 darjah selatan

KUALA LUMPUR 22 APRIL: Saintis terkemuka Australia dari Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) yakin pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang kemungkinan besar berada di utara zon pencarian sebenar.

Saintis penyelidikan utama CSIRO, Dr David Griffin berkata, dapatan laporan terbaharu itu menyokong kesimpulan kawasan pencarian baharu yang dikenal pasti First Principles Review yang dikeluarkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), agensi utama bagi pencarian MH370 pada Disember lalu.

“Ia menunjukkan lokasi yang kemungkinan besar bagi MH370 ialah di kawasan pencarian baharu yang dikenal pasti dan disyorkan Laporan First Principles Review, dan kemungkinan besar di hujung selatan, dekat 35 darjah selatan.

“Kita tidak boleh pasti sepenuhnya, tetapi di situlah semua petunjuk kita menjurus kepadanya dan usaha baharu ini memberi lebih keyakinan dalam pencarian kita,” kata Griffin dalam laporan yang dimuat naik ke laman web ATSB hari ini.

Laporan First Principles Review mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 25,000 persegi di utara kawasan pencarian asal sebagai kawasan dengan kebarangkalian tertinggi menemui bangkai pesawat tersebut.

MH370 hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur bersama 239 orang yang berada dalam pesawat pada 8 Mac 2014. Laluan penerbangan terakhir MH370 dipercayai ialah di selatan Lautan Hindi.

MH370Dalam ujian terkini, Griffin berkata, laporan terbaharu itu menampilkan data dan analisis daripada pengujian di samudera terhadap flaperon Boeing 777 yang asli – sebahagian daripada sayap pesawat yang menambah tahap kepastian tambahan terhadap penemuan hasil model penyimpangan sebelumnya.

Pengujian itu mahu memastikan jika flaperon yang asli hanyut lurus melawan arah angin seperti replika atau berada pada sudut, dan tahap kelajuannya merentasi air.

“Kami mendapati flaperon asli hanyut kira-kira 20 darjah ke kiri, dan lebih pantas daripada replika, seperti yang kami fikir ia berkemungkinan. Penemuan flaperon MH370 di Pulau La Reunion pada Julai 2015 sekarang baru masuk akal.”

Menurut beliau, adalah penting untuk mengetahui bagaimana flaperon dan serpihan lain MH370 yang ditemui itu bertindak balas kepada angin, ombak dan arus Lautan Hindi.

“Kami menambah kedua-duanya (angin dan ombak) bersamaan model untuk simulasi bagaimana ia hanyut melintasi lautan, kemudian membandingkan hasilnya dengan pengamatan yang serpihan ditemui dan tidak ditemui untuk merungkaikan mengenai lokasi pesawat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA