Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 8,000 daftar saringan percuma di Subang Jaya

SUBANG JAYA, 23 MEI: Program Saringan Komuniti sekitar Subang Jaya menerima lebih 8,000 pradaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Wakil rakyat Subang Jaya berkata angka itu antara tertinggi dicatatkan berbanding lokasi lain sekali gus bukti kesedaran orang ramai makin meningkat.

“Program berjalan lancar dan terkawal memandangkan lokasi saringan dipantau 155 petugas terdiri daripada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), polis dan sukarelawan.

“Kami berbesar hati atas bantuan MBSJ yang menyediakan tapak sebesar ini supaya ada ruang secukupnya untuk menempatkan khemah dan kerusi serta berbaris selamat,” kata Michelle Ng Mei Sze.

Beliau yang ditemui pada program saringan di Laman Sukan USJ 1 berkata lebih 2,000 individu hadir secara terus dan pandu lalu setakat jam 1 petang.

Michelle menambah ujian itu penting bagi mengesan lebih banyak kes selain memudahkan Kerajaan Negeri mengambil langkah seterusnya.

“Saya percaya, apabila Kerajaan Negeri melaksanakan saringan besar-besaran ini, angka jangkitan meningkat tetapi lebih baik untuk tahu keadaan sebenar daripada tidak tahu (kes).

“Kami akan berani menghadapinya, justeru saya menggalakkan orang ramai menyertai program saringan di DUN lain selepas ini,” katanya lagi.

Categories
ADN SELANGOR

Masjid, surau Subang Jaya terima RM27,000 sempena Ramadan

SHAH ALAM, 18 APRIL: Sebanyak RM27,000 disumbangkan kepada enam masjid dan 15 surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya sempena Ramadan ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata daripada jumlah itu setiap masjid menerima RM2,000 manakala surau RM1,000.

“Bantuan tersebut bertujuan menyokong usaha semua rumah ibadat untuk menjalankan majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan,” kata Michelle Ng Mei Sze dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun tidak dapat turut serta dalam majlis ibadah berkenaan kali ini namun pihaknya berbesar hati dapat bersama ahli jawatankuasa masjid dan surau ketika penyampaian sumbangan itu.

Katanya, kesempatan juga diambil  dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat membantu dalam pendaftaran program vaksinasi Covid-19 dan menjawab persoalan mengenainya serta agama.

“Saya berharap agar semua masjid dan surau memastikan kariah mereka mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) memandangkan jumlah kes harian semakin meningkat. Ini adalah untuk memastikan agar kesihatan dan keselamatan semua muslimin dan muslimat terjaga,” katanya.

Majlis penyampaian sumbangan Ramadan itu dihadiri ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya, Chia Yew Ken (Zon 1), Mohamad Syafiq Mohamad Norizan (Zon 2) serta wakil Zon 3 dan 4.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir RM60,000 tambah baik surau, sekolah agama Subang Jaya

SHAH ALAM, 21 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntukkan RM59,923 bagi menambah baik dua surau dan sebuah sekolah agama.

Ahli Dewan Negerinya berkata RM19,990 daripada jumlah itu dibelanja untuk Surau Nurul Hasanat USJ 8 bagi mengganti karpet baharu di ruang solat, menaik taraf tempat wuduk, baik pulih tandas wanita dan membekalkan khemah 6.1 meter x 6.1 meter.

“Manakala RM19,992 menaik taraf prasarana Surau Al-Mukminin PJS 9 meliputi kerja mengecat serta menyembur cecair rawatan anti serangga.

“Ketika lawatan ke kedua-dua surau tahun lalu saya dapati banyak peralatan perlu diganti demi keselesaan kariah beribadat,” kata Michelle Ng Mei Sze dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata baki RM19,941 pula disalurkan ke Sekolah Kafa Integrasi Jalan SS15/2E untuk menurap jalan, baik pulih pagar utama, membina longkang pencegah malaria dan memasang penutupnya.

“Difahamkan sebelum ini air sering bertakung menyebabkan guru dan pelajar perlu membuka kasut ketika melalui kawasan itu untuk ke sekolah,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Subang Jaya tawar saringan serendah RM70 untuk pelajar

SHAH ALAM, 17 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya menawarkan ujian saringan Covid-19 serendah RM70 kepada pelajar tingkatan lima yang akan menjalani pembelajaran secara bersemuka mulai 20 Januari ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata pihaknya maklum saringan hanya diwajibkan kepada pelajar bergejala namun tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Peluang ini dibuka kepada pelajar di sekolah SS12 hingga 19, USJ 1 hingga 22 serta PJS 7, 9 dan 11.

“Dengan kerjasama QHC Medical Centre, saringan akan menggunakan Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag),” kata Michelle Ng Mei Sze menerusi Twitter.

Menurutnya, mereka hanya perlu membawa surat tawaran atau kad pelajar untuk menjalani saringan dengan temujanji melalui panggilan telefon atau WhatsApp di nombor 012-9120536.

“Penuntut di enam institut pengajian tinggi (IPT) sekitar DUN iaitu Sunway University, Monash University Malaysia, Taylor’s University, Lakeside Campus, INTI International University & Colleges, SEGi College Subang Jaya dan Asia e University (AeU) Malaysia juga boleh memanfaatkan peluang ini,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan penuntut IPT dan pelajar sekolah tidak diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 untuk memasuki asrama atau menduduki peperiksaan kecuali jika bergejala sahaja.

Categories
ADN SELANGOR

200 keluarga B40 sekitar Subang Jaya terima bantuan

SHAH ALAM, 2 JAN: Sejumlah RM20,000 diperuntukkan kepada 200 keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya sempena sesi persekolahan 2021.

Ahli Dewan Negeri, Michelle Ng Mei Sze berkata jumlah membabitkan bantuan daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) serta Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).

“Pemilihan penerima dilakukan pihak sekolah. Dengan cara ini, bantuan akan sampai kepada golongan sasar.

“Setiap penerima mendapat bantuan tunai berjumlah RM100 dan membolehkan mereka melakukan persiapan sebelum sesi bermula,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Tambah Michelle, syarikat penjualan buku, BookXcess turut menyumbang 200 bahan bacaan yang akan diagihkan kepada 27 sekolah sekitar DUN itu.

“Sumbangan ini amat bermakna. Selain bantu sekolah ia turut menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

DUN Subang Jaya peruntuk hampir RM40,000 baik pulih taman permainan

SHAH ALAM, 9 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntukkan hampir RM40,000 bagi kerja baik pulih taman permainan di Jalan PJS 7/7 dan Laman Sukan USJ 1.

Ahli Dewan Negeri Michelle Ng Mei Sze berkata sebanyak RM19,980.80 dibelanjakan untuk membaiki laluan pejalan kaki yang retak di taman permainan Jalan PJS 7/7.

“Manakala RM19,990 pula dibelanja untuk memasang dua tiang lampu limpah sekitar gelanggang sepak takraw Laman Sukan USJ 1.

“Kita harap inisiatif ini mampu memberi keselesaan dan rasa selamat kepada pengguna yang beriadah di taman tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Michelle berkata sebelum ini keadaan di gelanggang sepak takraw itu hanya mempunyai satu lampu yang agak malap sehingga menyukarkan pemain beriadah pada waktu malam.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Subang Jaya baik pulih taman permainan Jalan USJ 3/4

SHAH ALAM, 9 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntukkan RM19,994.80 bagi membaik pulih taman permainan di Jalan USJ 3/4 untuk keselesaan penduduk.

Ahli dewan negerinya berkata kerja baik pulih termasuk menggantikan lima kerusi kayu yang rosak dan memasang pemegang susur tangan di laluan pejalan kaki.

“Dua alatan permainan ditambah, kerja pembersihan taman, mengikis, mengecat semula peralatan lama, meratakan tanah dan menanam rumput juga dilakukan.

“Kerja baik pulih dilakukan untuk memberi keselesaan kepada penduduk terutama kanak-kanak dan warga emas beriadah,” kata Michelle Ng Mei Sze dalam kenyataan.

Categories
ADN SELANGOR

Subang Jaya peruntuk hampir RM20,000 bina gelanggang badminton

SHAH ALAM, 19 NOV: Hampir RM20,000 diperuntukkan bagi membina gelanggang badminton di kawasan perumahan di Dewan Undangan Negeri Subang Jaya.

Ahli Dewan Negerinya berkata kemudahan sukan di Restrees USJ 17 yang siap pada 2 November lalu dibangunkan selepas dipohon persatuan penduduk kawasan berkenaan.

“Kita harap gelanggang badminton bernilai RM19,956.60 digunakan sebaiknya penduduk di 113 rumah taman ini dengan beriadah secara sihat dan mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka,” kata Michelle Ng Mei Sze kepada SelangorKini.

Beliau berkata susulan pandemik Covid-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, penduduk disaran mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika bermain badminton.

“Saya harap penduduk mengikuti tatacara sebaiknya dan tidak melakukan vandalisme,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Jawatankuasa pilihan sumber air puas hati langkah atasi LRA tercemar

SHAH ALAM, 1 NOV: Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor (JPK-SAS) menyambut baik pelan menyeluruh bagi menangani pencemaran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021.

Pengerusinya berkata sehingga Oktober ini sembilan kejadian berkaitan LRA dilaporkan hingga menjejaskan ratusan ribu akaun pengguna berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Pelan ini mengambil kira pelbagai aspek merangkumi pindaan undang-undang, rancangan sumber air kecemasan, penambahbaikan pemantauan dan penguatkuasaan serta pengunaan teknologi sesuai untuk mengenal pasti pencemaran seawal mungkin.

“Saya berbesar hati Kerajaan Negeri mengambil kira saranan dalam penyata dibentangkan pada sidang Julai oleh JPK-SAS,” kata Michelle Ng Mei Sze ketika dihubungi.

Beliau berharap Kerajaan Negeri dapat meletakkan satu tempoh masa kepada setiap rancangan dibentangkan sebagai langkah akauntabiliti dan ketelusan.

Menerusi Strategi Keempat: Memperkasa Kemampanan Alam Sekitar, Sumber dan Rantaian Bekalan Makanan, antara usaha akan dilakukan Kerajaan Negeri adalah meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 untuk meningkatkan bayaran denda bagi kesalahan pencemaran sumber air.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Projek Perintis Rawatan Biologikal/BioRemediation bagi tujuan pemuliharaan kualiti air Sungai Gong menggunakan kaedah kombinasi pendekatan biologi seperti peletakan bahan nano teknologi (Aquaritin) dan kaedah fizikal seperti Sistem Rawatan Air Mentah (RWTS).

Categories
ADN SELANGOR

Tambahan laluan bas Smart Selangor manfaat 8,000 penduduk

SHAH ALAM, 22 OKT: Laluan Bas Smart Selangor SJ02 yang ditambah liputannya ke PJS7 Subang Jaya hari ini dijangka memanfaatkan lebih 8,000 penduduk, kata Ahli Dewan Negeri Subang Jaya.

Lencongan baharu itu katanya melalui kawasan perumahan kos rendah, Kuil Guan Di, Kuil Sri Subramaniam, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway dan Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway.

“Sebelum ini penduduk sukar mendapatkan perkhidmatan bas berkenaan sehingga ada pelajar sekolah terpaksa melintas lebuh raya bagi mendapatkan bas untuk ke sekolah.

“Pada masa sama, terdapat ramai golongan berpendapatan rendah (B40) dari kawasan itu memerlukan perkhidmatan bas percuma, tambahan laluan ini tentu menggembirakan mereka,” kata Michelle Ng Mei Sze.

Pada 15 Mei lalu, EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata perkhidmatan Bas Smart Selangor telah memberi manfaat kepada 38.6 juta pengguna sehingga September tahun lalu.

Sebanyak RM78.6 juta juga telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri merangkumi kos operasi dan penyelenggaran lebih 130 bas yang digunakan setiap hari.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Cadangan ADN Muda dinilai sebelum dibawa ke sidang DNS

SHAH ALAM, 3 OKT: Beberapa cadangan yang dikemukakan pembahas program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Virtual akan dinilai sebelum dibawa ke persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata semua peserta mengemukakan pandangan yang baik malah ada beberapa perkara telah dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Kebanyakan cadangan yang dikemukakan sudah meliputi penyata yang kami bentangkan pada sesi DNS yang lepas menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor.

“Cadangan baharu kami akan teliti sebelum dicadangkan dalam sidang akan datang,” katanya ketika dihubungi selepas penggulungan program sesi pagi.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah penggunaan teknologi GPS bagi mengesan paip rosak, pemasangan penggera pencemaran selain menggesa kadar denda kepada pesalah ditingkatkan.

Michelle menjelaskan beberapa cadangan lain pernah dikemukakan sebelum ini menerusi Pelan Bersepadu Menangani Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor dengan penglibatan agensi berkaitan seperti Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Air Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Beliau turut memuji kesungguhan dan semangat ditunjukkan semua pembahas yang berperanan sebagai pembuat dasar supaya henti tugas loji rawatan air (LRA) dapat dielakkan pada masa depan.

Program itu disertai belia termuda berusia 15 tahun mewakili DUN Sentosa, Muhammad Mahdiyen Nafiz Mohd Azizi bersama 55 yang lain terdiri daripada 39 lelaki dan 17 perempuan.

Persidangan anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zon 16, Persatuan Pengundi Muda (Undi 18), Pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS) dan Pejabat Speaker (DNS) dibahagikan kepada dua sesi iaitu usul Kluster Perkhidmatan Air dan Kluster Ekonomi.

Categories
ADN SELANGOR

Kerajaan Negeri dicadang peruntuk dana bantuan guaman

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerajaan Negeri dicadang memperuntukkan dana bantuan guaman bagi membela rakyat yang menjadi mangsa penindasan dan penipuan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya.

Michelle Ng Mei Sze berkata isu pembuangan pekerja, pemotongan gaji dan pembatalan kontrak perniagaan tanpa alasan antara kes berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebagai pemulaan kita mencadangkan Kerajaan Negeri menyalurkan dana bantuan sebanyak RM3 juta. Penularan Covid-19 dan PKP menimbulkan banyak isu yang membelenggu rakyat bawahan.

“Kita bimbang keadaan hidup mereka semakin tertekan jika mereka tidak dapat pembelaan sewajarnya termasuk kemungkinan peningkatan kes muflis selepas tempoh moratorium tamat September ini,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata dana bantuan guaman yang dipraktikkan di luar negara berjaya memberi keadilan kepada rakyat bawahan.

Bagi mendapatkan hak kesaksamaan di mahkamah, pihak yang kurang berkemampuan boleh mendapatkan khidmat peguam disediakan Kerajaan Negeri.