Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Pengeluaran i-Sinar beri kesan positif ekonomi tempatan

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Pengeluaran di bawah skim i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat memberi impak langsung yang positif kepada ekonomi sebenar yang menyokong penggunaan domestik.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata dari segi simpanan persaraan, bagaimanapun, penampan perlu diperkukuh dan dibina semula.

“Itu sebabnya pembaharuan pasaran buruh penting untuk memastikan rakyat mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik supaya mereka boleh menyimpan lagi untuk meningkatkan penampan kewangan mereka dari segi simpanan persaraan,” katanya dalam webinar anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia.

Beliau berkata langkah pembaharuan dalam perlindungan sosial juga penting terutamanya berkaitan bahagian insurans sosial dan skim persaraan swasta berikutan ia dapat membantu mengukuhkan lagi faedah persaraan.

Mengenai impak daripada pengeluaran i-Sinar kepada pasaran kewangan, katanya fokus BNM adalah mengurangkan potensi impak daripada kemusnahan pasaran iaitu memastikan kecairan yang mencukupi dalam pesisir untuk menyokong kestabilan kewangan.

“Hutang dan kecairan pasaran kewangan dalam pesisir telah menjadi faktor penting untuk memastikan pelarasan telah dibuat secara meluas dan teratur, disokong oleh jumlah dagangan harian yang baik dari semasa ke semasa dalam pasaran forex dan bon,” katanya.

Ketua Penyelidikan MIDF Imran Yusof berkata beliau turut berpandangan bahawa pengeluaran i-Sinar, terutamanya secara menyeluruh, sebagai positif kepada ekonomi sebenar.

Beliau berkata pengeluaran tersebut tidak akan memberi impak kepada kecairan KWSP yang disifatkannya sebagai antara peserta utama dalam pasaran ekuiti dan mempunyai kecairan yang mencukupi untuk menyokong pasaran.

“Ia (KWSP) juga mempunyai portfolio yang amat pelbagai dari segi pelaburan seperti pendapatan tetap, pasaran saham dan hartanah,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran i-Sinar secara menyeluruh juga telah memberi wang tambahan kepada mereka yang tidak benar-benar memerlukan bantuan.

“Satu perkara yang kami dapati pada tahun lepas apabila moratorium pinjaman menyeluruh diberikan adalah wang tambahan kepada mereka yang tidak benar-benar memerlukannya sama ada digunakan atau dilaburkan.

“Kami melihat penyertaan runcit dalam pasaran saham kembali rancak pada tahun lepas. Trend ini dilihat berterusan pada tahun ini setakat ini pada tahun ini, belian bersih daripada peruncit berjumlah kira-kira RM5 bilion,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan bagi Pendapatan Tetap Amundi Malaysia Eridani Tutiana Jusat berkata walaupun impak daripada pengeluaran i-Sinar positif kepada ekonomi tempatan, beliau terus berhati-hati dengan impaknya kepada pasaran bon domestik.

“Kami agak berhati-hati kerana KWSP adalah pelabur yang besar dalam bon kerajaan Malaysia. Jika terdapat sokongan yang berkurangan daripada KWSP dalam pasaran bon, ini akan mempengaruhi pasaran,” katanya.

Sehingga 14 Mac, sejumlah RM52.48 bilion melibatkan 5.94 juta pemohon untuk skim i-Sinar telah diluluskan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Malaysia perlu promosikan pelaburan intensif teknologi

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Malaysia kini harus fokus untuk menarik kemasukan pelaburan asing berintensifkan teknologi ke negara ini untuk selepas mencatatkan kemerosotan dalam daya saing industri berintensifkan buruh, kata Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Beliau berkata ia dapat dilakukan dengan melakukan pelaburan besar kepada prasarana fizikal untuk meningkatkan industri berasaskan teknologi dan kemahiran.

Kempen promosi lain adalah dengan mempromosikan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta memperkukuhkan kemudahan sedia ada seperti pembiayaan modal teroka bagi syarikat pemula niaga, katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

“Semakin banyak sokongan tempatan terhadap teknologi, semakin mudah untuk menarik syarikat multinasional menjalankan operasi merkea di Malaysia dan bukannya Singapura,” katanya mengulas kepada laporan media mengenai pelaburan asing yang merosot.

Minggu lepas, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNTACD) melaporkan bahawa pelaburan asing langsung (FDI) ke Malaysia jatuh lebih daripada dua pertiga kepada hanya US$2.5 bilion tahun lepas dalam persekitaran pandemik Covid-19.

Menurut Mohd Sheriff yang juga Pengasas Bersama Kumpulan Bekas Penjawat Awam (G25), trend penurunan pelaburan asing ke Malaysia sudah dijangka kerana negara tidak lagi berdaya saing dalam kos buruh berbanding dahulu.

“Sebenarnya, banyak syarikat di Malaysia telah memindahkan kilang pembuatan berintensifkan buruh mereka ke negara jiran, antaranya kilang tekstil yang telah pindah ke Vietnam dan Kemboja.

“Beberapa kilang semikonduktor asing di Bayan Lepas telah memindahkan operasi pemasangannya ke negara-negara Asean yang lain dengan mengekalkan operasi yang lebih berintensifkan teknologi di sini,” katanya.

Mohd Sheriff berkata Malaysia juga menghadapi banyak persaingan dari Indonesia dan Vietnam yang meningkatkan infrastruktur mereka sehingga sekarang mereka kini setanding dengan Malaysia.

“Mereka juga telah menambah baik pelbagai proses urusan seperti pemilikan tanah dan kawalan pemilikan asing dalam dalam usaha sama, Indonesia mencatatkan kemajuan yang baik dalam memerangi rasuah yang berleluasa sebelum ini,” kata Mohd Sheriff.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MIDF: Eksport Malaysia Mei 2020 terendah 11 tahun, impak Covid-19

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Eksport Malaysia susut 25.5 peratus tahun ke tahun pada Mei 2020 kepada paras terendah dalam tempoh 11 tahun, penurunan ketara sejak Mei 2019 dan menunjukkan kesan berterusan pandemik Covid-19 ke atas ekonomi yang bergantung kepada eksport, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikan semalam berkata prestasi tersebut sejajar dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, yang turut mengalami penurunan melebihi 20 peratus tahun ke tahun bagi eksport masing-masing.

“Seperti eksport, import Malaysia juga susut 30.4 peratus tahun ke tahun, penyusutan terbesar sejak Januari 2009. Bagaimanapun, memandangkan import susut lebih ketara berbanding eksport, imbangan perdagangan mencatatkan lebihan sebanyak RM10.4 bilion, menepati jangkaan kami,” menurutnya.

Ia berkata namun, eksport akan meningkat secara beransur-ansur pada bulan-bulan akan datang susulan ekonomi negara-negara utama akan dibuka secara perlahan-lahan.

MIDF berkata eksport ke semua negara utama mengalami penyusutan, kecuali ke China, yang terus mencatatkan pertumbuhan bagi bulan kedua berturut-turut pada 4.5 peratus dipacu oleh antaranya produk petroleum dan minyak sawit.

Bagaimanapun, eksport ke negara utama lain termasuk Amerika Syarikat (AS) Jepun, Kesatuan Eropah dan rantau ASEAN masih berada dalam lingkungan negatif.

“Kesan Covid-19 muncul sebagai risiko utama bagi aliran perdagangan global kerana ia menjejaskan penawaran dan permintaan barangan.

“Ini termasuk Malaysia khususnya dengan hampir dua bulan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menganggu pengeluaran dan eksport,” kata bank itu.

Prestasi perdagangan luaran terkini China menunjukkan beberapa peningkatan walaupun prestasi sektor utama amnya masih ada yang diragui.

Tambahan pula, langkah dasar perlindungan meningkat terutama disebabkan memuncaknya kembali ketengangan AS-China yang mungkin memberi ancaman besar ke atas perdagangan asing.

MIDF berkata eksport semua produk utama turut mengalami penurunan, dengan eksport sektor utama mencatatkan penyusutan pada Mei 2020, dengan sektor perlombongan yang termasuk petroleum mentah dan gas asli cecair, merekodkan penurunan paling ketara (-49.1 peratus tahun ke tahun).

Bank pelaburan itu berkata begitu juga dengan sektor elektrik dan elektronik yang menjadi bahagian terbesar daripada jumlah eksport, meneruskan prestasi negatif untuk bulan ke-10 namun pada kadar yang sedikit perlahan berbanding semasa April 2020.

Sektor ini akan tetap suram bagi bulan-bulan akan datang bukan sahaja disebabkan oleh Covid-19 malah susulan kemelut AS-China.

Minyak sawit dan produknya juga merosot pada kadar yang lebih ketara -15.6 peratus tahun ke tahun namun mungkin meningkat dalam beberapa bulan akan datang memandangkan India secara beransur-ansur membuka kembali ekonominya, kata MIDF.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Permintaan trafik udara dijangka pulih berperingkat

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Walaupun trafik udara mengalami penurunan ketara sebanyak 98.4 peratus tahun ke tahun pada April berikutan pandemik Covid-19, namun permintaannya dijangka pulih secara berperingkat pada separuh kedua tahun ini.

MIDF Bhd menerusi nota penyelidikan berkata meskipun trafik penumpang pada Januari hingga April 2020 hanya merekodkan 26.3 peratus daripada jangkaan setahun penuh, namun ia optimis dengan pendapatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memandangkan jangkaannya tidak berubah.

“Secara kumulatif, trafik penumpang di lapangan terbang di Malaysia bagi empat bulan pertama 2020 mencatat penurunan 45.8 peratus tahun ke tahun kepada 18.6 juta.

“Angka itu merangkumi 26.3 peratus daripada anggaran pertumbuhan trafik penumpang bagi tahun kewangan 2020 iaitu 70.7 juta,” menurut MIDF.

Ia berkata susulan penggantungan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istanbul (ISGA) bagi keseluruhan April 2020, keadaan berbeza akan dilihat pada Mei.

MIDF berkata ini kerana lebih banyak penerbangan kargo dan sewa khas dijangka dilaksanakan pada bulan itu, dengan Pegasus dan Turkish Airlines merancang untuk memulakan kembali operasi mulai 28 Mei, 2020 dan seterusnya.

MAHB merupakan pemegang saham utama ISGA dan pendapatan positif dari lapangan terbang itu akan menyumbang kepada pendapatan syarikat.

“Trafik domestik bagi lapangan terbang di Malaysia pada April 2020 masih berada dalam aliran menurun, merosot 97.8 peratus tahun ke tahun kepada 97 penumpang, terkesan susulan penguatkuasaan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata MIDF.

Ia berkata bagaimanapun susulan PKP Bersyarat (PKPB) dijadual berakhir pada 9 Jun yang akan memulihkan semula keadaan itu, syarikat penerbangan tempatan juga telah memulakan kembali penerbangannya bagi laluan domestik penting dengan kekerapan minimum mulai 29 April lepas.

MIDF berkata syarikat penerbangan bersedia menambah penerbangan dengan kebenaran kerajaan untuk membolehkan lebih banyak pergerakan sempadan antara negeri berlandaskan garis panduan perjalanan yang ketat.

“Berasaskan unjuran positif ini, kami mengekalkan harga sasaran kami pada RM5.13 sesaham,” menurutnya.

MAHB mengendalikan kebanyakan lapangan terbang di Malaysia bersama pemegang saham utama lain iaitu Khazanah Nasional Bhd (33.21 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (14.62 peratus) dan Amanah Saham Nasional Bhd (1.84 peratus)

-BERNAMA