Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program kitar semula berjaya kumpul 799 kg minyak masak terpakai

SHAH ALAM, 21 FEB: Sebanyak 799 kilogram (kg) minyak masak terpakai berjaya dikumpul menerusi program kitar semula anjuran Team Selangor di tujuh lokasi ditetapkan.

Ketua sekretariatnya berkata tujuh kawasan itu adalah Bandar Tasik Puteri, Bukit Beruntung, Ampang, Taman Medan, Hulu Bernam, Kajang dan Kuang.

Syahaizel Keman menjelaskan program itu mula dilaksanakan sejak empat bulan lalu iaitu pada 6 November tahun lalu dan berakhir kelmarin.

“Kami akan meneruskan program ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan mengitar semula minyak masak terpakai sekali gus dapat menjaga alam sekitar.

“Kami harap usaha ini terus mendapat sambutan kerana banyak manfaat diperoleh daripada aktiviti kitar semula,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semalam sebanyak 113 kg minyak masak terpakai berjaya dikumpul daripada orang ramai dan peniaga sekitar Kuang.

Program di lokasi itu turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Selayang dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Kuang.

“PWB Kuang turut mengadakan demostrasi pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai. Kami harap insiatif ini mampu menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan penjagaan alam sekitar,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPS lancar kempen kumpul e-waste, minyak terpakai, RM500 bakal dimenangi

SHAH ALAM, 18 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melancarkan kempen kitar semula barangan elektrik dan elektronik (e-waste) serta minyak masak terpakai bermula Mac hingga Oktober depan.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata pihaknya akan membuat kutipan barangan tersebut mengikut Zon Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPS berdasarkan jadual yang ditetapkan.

“Semua barangan yang dihantar perlu dikumpulkan di pejabat ahli majlis atau kawasan yang bersesuaian untuk ditimbang dan serahan wang tunai menggunakan resit rasmi MPS mengikut kadar harga pasaran semasa,” katanya menerusi Facebook.

MPS juga menganjurkan pertandingkan kutipan terbanyak antara Zon JKP bagi kategori e-waste dan minyak masak terpakai.

“Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM500 bagi johan, naib johan (RM250) dan ketiga (RM150) bagi kedua-dua kategori,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, peserta boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) MPS di talian 03-61266024/03-61266081 atau layari laman sesawang http://www.mps.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ beli minyak masak terpakai 80 sen sekilo

SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan pembelian minyak masak terpakai dengan harga RM0.80 sekilogram.

Pihak berkuasa tempatan berkata inisiatif tersebut bagi menggalak orang ramai melupuskan bahan buangan itu dengan cara yang betul dan tidak mengancam kesihatan.

“Jika anda mempunyai minyak masak terpakai, jangan buang terus ke dalam saluran sinki atau longkang.

“Ini bagi mengelakkan gangguan terhadap sumber air, loji rawatan air, tapak pelupusan dan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK),” katanya menerusi Facebook.

MBPJ menambah orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di talian 03-79541440 atau Marini Mohammad di talian 017-3458529 untuk berbuat demikian.