Categories
AGENDA NASIONAL

Lori bawa minyak masak terbabas, lebuh raya sesak lima kilometer

NILAI, 18 FEB: Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer hari ini berikutan sebuah lori minyak masak terpakai terbabas di Kilometer 278.8 arah utara dari Bandar Ainsdale ke Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata kemalangan pada 6.45 petang itu menyebabkan muatan minyak masak terpakai di dalam tujuh tong mengalir hingga ke lorong keempat lebuh raya lalu menyebabkan kesesakan.

Beliau berkata siasatan awal mempercayai lori jenis Hino berwarna putih itu terbabas akibat tayar belakang kenderaan itu pecah.

“Kejadian berlaku di lorong kedua dari kanan, pasukan bomba dan penyelamat sedang membersihkan laluan tersebut.

“Pemandu lori itu telah dibawa orang awam ke hospital terdekat untuk rawatan manakala kelindannya, seorang lelaki berusia 39 tahun hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Fazley, kemalangan itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembekal perlu segera agih minyak masak elak kekurangan di pasaran

MARANG, 30 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengarahkan semua syarikat di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) dan pembekal supaya menyegerakan pembungkusan dan agihan minyak masak bagi mengelakkan kekurangan bekalan di pasaran.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata isu kekurangan bekalan tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah meluluskan pengeluaran sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi setiap bulan bagi meringankan beban pengguna daripada golongan kurang berkemampuan.

“Namun disebabkan beberapa faktor seperti pembelian panik oleh pengguna, berlaku sedikit gangguan bekalan di pasaran, dan diburukkan lagi dengan berita-berita tidak sahih mengenai kenaikan harga barangan,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Wakaf Tapai di sini, hari ini.

Menurut Azman selain pembelian panik, pembukaan sektor ekonomi secara penuh dalam tempoh cuti perayaan turut menyumbang kepada kekurangan bekalan di pasaran.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan golongan peniaga supaya tidak mengenakan syarat tertentu bagi pembelian minyak masak peket bersubsidi kerana ia menyalahi undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

Azman berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tindakan itu diminta menyalurkan aduan secara rasmi berserta informasi lengkap kepada KPDNHEP agar tindakan tegas dapat diambil terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab.

“Ada kedai yang meletakkan syarat pelanggan perlu membeli barangan lain sebelum boleh mendapatkan minyak masak. Ini kami dah ambil beberapa tindakan berdasarkan aduan pengguna,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azman memaklumkan bahawa pihaknya telah menjalankan pemeriksaan harga dan bekalan di 80,465 premis seluruh negara bermula 1 hingga 28 Jan lalu dan daripada jumlah itu, 19 peratus atau 12,834 premis terletak di kawasan luar bandar.

“Pemeriksaan itu adalah bagi memastikan pengguna di kawasan luar bandar turut menikmati bekalan keperluan asas seperti gula, tepung gandum dan minyak masak pada kadar harga yang sama dengan penduduk di bandar.

“Jarak perjalanan jauh, keadaan geografi atau kemudahan akses ke sesuatu tempat tidak seharusnya dijadikan alasan untuk peniaga menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya kerana ia adalah sebahagian daripada rutin sistem rantaian pembekalan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mekanisme kawalan harga minyak masak dilanjut hingga Mac 2022

PUTRAJAYA, 9 DIS: Kerajaan bersetuju melanjutkan Program Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak sehingga Mac tahun depan dengan melibatkan kos sebanyak RM150 juta, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP menerusi satu kenyataan berkata perkara tersebut dipersetujui dalam mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Pada 27 Julai lepas, kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol berkuat kuasa 1 Ogos, dengan jaminan pengguna akan mendapat minyak masak di bawah harga RM30 untuk botol lima kilogram (kg).

Harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit dalam kemasan botol lima kg adalah RM29.70 sebotol, RM6.70 (1kg), RM12.70 (2kg) dan RM18.70 (3kg).

Sementara itu, KPDNHEP berkata mesyuarat khas itu turut bersetuju untuk melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di 222 kawasan Parlimen sehingga Mac tahun depan dengan kos sebanyak RM100 juta.

Mesyuarat turut bersetuju yang pemantauan dan pelaporan secara langsung akan dibuat kepada Naccol bagi 41 inisiatif dengan peruntukan sebanyak RM14.32 bilion yang telah diluluskan di bawah Bajet 2022.

“Pemantauan secara langsung ini akan memastikan semua agensi kerajaan melaksanakan segera inisiatif tersebut memandangkan peruntukan yang besar ini perlu di rasai oleh rakyat,” menurut kenyataan itu.

KPDNHEP turut memaklumkan isu kekurangan buruh asing dalam sektor berkaitan penghasilan makanan akan segera dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok (10 Disember).

Menurut kenyataan itu, mesyuarat peringkat Jawatankuasa Teknikal Naccol yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad itu akan diadakan segera untuk menyusul, memperhalusi dan menyelaras cadangan lain yang telah dibentangkan dalam mesyuarat khas Naccol itu.

Mesyuarat khas Naccol hari ini turut membincangkan mengenai pendekatan menyeluruh kerajaan yang merentasi seluruh kementerian bagi menyelaras inisiatif-inisiatif baharu dalam menangani isu sara hidup.

Ia diadakan sebagai salah satu kesinambungan kepada Mesyuarat Peringkat Eksekutif yang telah diadakan sepanjang 2021 iaitu sebanyak tiga kali pada 23 Februari, 15 Julai dan 15 Oktober lepas.

Sebanyak lapan kertas pembentangan daripada pelbagai agensi merangkumi perspektif makro ekonomi, sektor logistik, industri perumahan, penguatkuasaan dan advokasi kepenggunaan serta isu berkaitan buruh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permintaan tinggi antara punca harga ayam, minyak masak naik

ISKANDAR PUTERI, 23 NOV: Pembukaan sektor ekonomi dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) mendorong kepada permintaan tinggi sekali gus menyebabkan kenaikan harga mendadak barangan asas seperti ayam dan minyak masak kebelakangan ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Dr Chong Fat Full berkata terdapat dua faktor menyebabkan kenaikan harga ayam iaitu peningkatan kos bahan mentah seperti kacang soya, jagung dan pertukaran mata wang asing selain faktor permintaan dan bekalan.

“Situasi ini menyebabkan permintaan meningkat dan menyebabkan harga barangan seperti juga turut meningkat yang mana penternak tidak dapat menjangka pembukaan ini.

“Justeru, apabila berlaku permintaan tinggi terhadap ayam, penternak memerlukan masa bagi menyediakan ayam dan ini akan mengambil masa untuk bekalan ayam menjadi stabil di pasaran,” katanya pada hari keempat persidangan DUN Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail hari ini.

Dr Chong (Bersatu-Pemanis) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Umno-Penawar), Md Ysahruddin Kusni (PH-Bukit Naning) dan Dr Faizul Amri Adnan (PH-Serom) mengenai tindakan kerajaan berhubung kenaikan harga keperluan asas terutama selepas beralih ke Fasa Empat PPN seperti ayam, minyak masak dan sayur-sayuran.

Menerusi tinjauan baru-baru ini, harga ayam di bandar raya ini didapati antara RM9.80 dan RM10.30 sekilogram.

Menjawab soalan tambahan Faizul Amri dan Sharifah Azizah mengenai tindakan kerajaan negeri dalam menangani isu harga minyak dan sayur-sayuran, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan kawalan harga bagi minyak masak bungkusan polibeg pada harga RM2.50 sekilogram.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah.

Bagaimanapun, Dr Chong berkata situasi dialami kini tidak pernah berlaku yang turut dialami seluruh dunia, dan kerajaan perlu mengimbangi antara permintaan pembeli, peruncit, pemborong dan pengilang.

“Saya sentiasa konsisten dalam menjawab persoalan mengenai kenaikan harga barangan. Isu ini begini…kalau permintaan tinggi dan bekalan tidak cukup, harga akan naik. Sebab itu, kerajaan telah tetapkan harga siling untuk memastikan tidak membebankan pembeli,” katanya yang sering turun padang untuk meninjau harga barang di pasaran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan pekerja asing ditahan seleweng minyak masak subsidi di Rawang

MELAKA, 13 OKT: Tujuh pekerja warga Myanmar dan seorang warga Thailand ditahan dipercayai terlibat dalam kes penyelewengan minyak masak bersubsidi membabitkan nilai rampasan sebanyak RM87,300 susulan serbuan ke atas sebuah stor di Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor kelmarin.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya Azman Adam berkata kesemua mereka yang berumur antara 18 dan 45 tahun itu, ditahan ketika berada di premis dua tingkat yang dijadikan stor pada serbuan kira-kira 11.30 pagi.

“Stor tersebut dikenal pasti sebagai tempat melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi paket 1 kilogram yang dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri bukan bersubsidi.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis itu kita menemukan 36 unit tangki fiber berkapasiti 1,000 liter dan berisi minyak masak kira-kira 31,500 kg bersama peralatan bagi memindahkan minyak masak itu,” katanya pada sidang media di Pejabat Stor Ekshibit KPDNHEP Melaka di Krubong, di sini malam tadi.

Beliau berkata hasil maklumat risikan penguat kuasa KPDNHEP mendapati sindiket terbabit telah beroperasi hampir dua bulan dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi paket 1kg daripada beberapa pemborong berlesen di sekitar Lembah Klang.

Azman berkata minyak masak bersubsidi paket 1kg itu kemudiannya dileraikan dan dikumpulkan di dalam tangki fiber berkapasiti 1,000 liter untuk dipasarkan pada harga bukan subsidi.

“Kami juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pihak-pihak lain yang terlibat dalam rantaian pengedaran minyak masak ini termasuk sumber bekalan minyak masak tersebut diperoleh berdasarkan jenama minyak masak yang ditemukan di tempat kejadian.

“Lapan suspek itu ditahan reman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 di bawah peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Tambahnya kes itu juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001 bagi memberi kesan kepada mana-mana penjenayah dan sindiket penyelewengan yang lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: 111 kes jual minyak masak melebihi harga kawalan

KUALA BERANG, 2 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 111 kes menjual minyak masak dalam botol melebihi harga kawalan membabitkan nilai sitaan RM13,961.50 dan kompaun RM26,850.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata kesalahan itu dikesan hasil 19,266 pemeriksaan yang dilakukan KPDNHEP di seluruh negara sejak penguatkuasaan Harga Runcit Maksimum minyak masak sawit tulen dalam botol sejak 1 Ogos lepas.

“Daripada jumlah itu, kes tertinggi direkodkan di Johor iaitu 44 kes diikuti Perak (23 kes), Pulau Pinang (sembilan), masing-masing enam kes di Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Melaka, Pahang (empat), Negeri Sembilan (tiga), Sabah (dua) dan masing-masing satu di Kedah dan Selangor.

“Selain itu, pemeriksaan mendapati 14,456 peniaga yang lain mengikut harga kawalan ditetapkan dan 4,699 peniaga lagi menjual di bawah harga kawalan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek ternakan kelulut usahawan Agropreneur Muda Jabatan Pertanian Terengganu di Kampung Machang di sini hari ini.

Ketika ini, harga maksimum runcit ditetapkan bagi minyak masak sawit tulen dalam botol ialah RM29.70 untuk lima kilogram (kg), RM18.70 untuk 3 kg, RM12.70 untuk 2 kg dan RM6.70 untuk 1 kg manakala minyak paket bersubsidi 1 kg ialah RM2.50.

Ditanya mengenai dakwaan kekurangan stok bekalan minyak masak bersubsidi dalam paket di pasaran ketika ini, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata KPDNHEP tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai perkara tersebut.

“Mungkin ada salah faham di mana-mana, kita akan siasat dan cari punca ketiadaan stok seperti didakwa media dan laman sosial…sebenarnya minyak paket bersubsidi adalah untuk kegunaan isi rumah, namun ada juga peniaga yang membelinya dan ini antara punca stok tiada.

“Jadi, langkah sementara ialah peniaga boleh mengehadkan pembelian minyak paket ini mungkin seorang boleh beli dua atau tiga paket sahaja sementara kementerian menyiasat puncanya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP serbu premis seleweng minyak masak lebih 1 juta kg

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Sebuah premis pemborong minyak masak di Bandar Tun Razak di sini diserbu selepas disyaki menyeleweng minyak masak dianggarkan berjumlah 1.6 juta kilogram sejak April lepas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Kuala Lumpur Nurul Syarina Md Anuar berkata serbuan dilakukan pada 12 tengah hari semalam menerusi Operasi Penyelewengan Bekalan Minyak Masak susulan laporan dan maklumat yang diterima berhubung kegiatan itu.

Beliau berkata premis berlesen itu beroperasi sejak Mac lepas dengan mendapatkan sumber bekalan minyak masak dari pengilang dan pembungkus di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pahang serta dipercayai dijual kepada sebuah syarikat tidak berlesen di Johor Bahru, Johor.

“Jumlah bekalan yang dibekalkan kepada syarikat tidak berlesen berkenaan sejak April lepas sehingga sekarang dianggarkan sebanyak 1.6 juta kilogram melibatkan nilai subsidi RM960,000,” katanya dalam sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP KL di sini hari ini.

Beliau berkata pemilik premis terbabit yang juga seorang warga tempatan berusia 40 tahun telah diambil keterangan manakala beberapa dokumen disita untuk siasatan lanjut.

Nurul Syarina berkata bekalan minyak masak bersubsidi berkenaan juga dipercayai dieksport ke luar negara dan kegiatan itu menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan di pasaran tempatan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 9(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana membekalkan barang kawalan iaitu minyak masak kepada pihak yang tidak berlesen.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan ke atas semua rangkaian pengedaran minyak masak bagi memastikan bahan itu sentiasa ada di pasaran dan tidak diseleweng pihak tidak bertangggungjawab.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Minyak masak 5kg hanya RM20 jika buat dua peringkat harga

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan persekutuan perlu menimbang cadangan membuat dua peringkat harga bagi minyak sawit mentah untuk mengawal kenaikan kos minyak masak.

EXCO hal ehwal pengguna berkata langkah termasuk menjual eksport minyak sawit mengikut harga pasaran selain memperkenal harga lebih rendah untuk kegunaan domestik.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan kaedah itu membolehkan minyak masak 5kg dijual paling mahal pada kadar RM20 sebotol setelah mengambil kira semua kos terlibat.

“Sukacita ingin saya ingatkan Malaysia antara pengeksport minyak sawit mentah dunia terbesar iaitu 27 juta tan dan hanya 1 juta tan untuk kegunaan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Jadi, kegunaan domestik bagi minyak sawit mentah ini masih boleh ditawarkan pada harga rendah. Ia lantaran kenaikan harga minyak masak sudah ke tahap yang membebankan rakyat.”

Menurut Mohd Zawawi, kerajaan kini berpandukan kaedah simulasi harga runcit minyak sawit bagi menetapkan harga minyak masak bersubsidi dengan mengambil kira semua komponen kos.

Katanya, komponen kos itu sama untuk pengeluaran minyak masak tanpa subsidi termasuk harga minyak sawit RBD Olein, kos pengilang, margin keuntungan pemborong dan peruncit serta kos pentadbiran.

Pada Selasa, timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) berkata kenaikan harga minyak masak dipengaruhi kenaikan harga buah tandan sawit di ladang iaitu RM1,000 satu tan, berbanding RM300 satu tan sebelum ini.

Pada 9 Jun, bekas Menteri KPDNHEP Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyaran harga dua peringkat dibuat susulan kenaikan 100 peratus harga minyak masak botol yang disifatkan tidak munasabah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Subsidi minyak masak hanya bungkusan 1 kilogram – KPDNHEP

PUTRAJAYA, 17 JAN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini menjelaskan bermula November 2016, subsidi harga minyak masak hanya diberikan kepada bungkusan polibeg satu kilogram (kg).

Katanya pelaksanaan itu dibuat menerusi Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

“Tujuan kerajaan mengekalkan pemberian subsidi bagi minyak masak dalam polibeg satu kg adalah untuk memastikan rakyat masih boleh mendapatkan bekalan minyak masak bagi kegunaan isi rumah pada harga mampu milik iaitu RM2.50 satu kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, pengguna media sosial membanjiri platform itu dengan rungutan harga minyak masak dalam bungkusan lima kilogram dijual pada harga jauh lebih tinggi daripada kebiasaan.

Mengulas lanjut, Nanta berkata pada masa ini sebanyak 60,000 tan minyak masak bersubsidi disediakan setiap sebulan untuk diedarkan di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan jumlah itu mencukupi bagi kegunaan rakyat Malaysia.

Kementerian komited memastikan keberadaan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran menerusi pemantauan ke atas pengilang dan syarikat pembungkus minyak masak, mengaudit di setiap rantai bekalan minyak masak serta menjalankan pemeriksaan harian di peringkat peruncit, pemborong dan pasar raya, katanya.

Sementara itu, Nanta berkata sebanyak 477 premis perniagaan diberi amaran agar melakukan penambahbaikan segera terhadap tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka.

Premis terbabit merupakan antara 321,850 premis perniagaan yang diperiksa oleh penguat kuasa kementerian dalam tempoh pelaksanaan PKP pada 13 Jan lalu hingga semalam, katanya, menambah sebanyak 7,355 premis diberi nasihat menambah baik dan mengekalkan pematuhan secara konsisten semasa beroperasi.

Nanta berkata mereka yang gagal mematuhi SOP PKP akan dikompaun RM1,000 menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Hantar minyak masak terpakai elak pencemaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 APR: Peniaga bazar Ramadan digesa supaya menghantar minyak masak terpakai kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sepanjang Ramadan kali ini untuk mengelakkan pencemaran dan ke arah sasaran bandar rendah karbon.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, MBSA menyediakan tong minyak masak terpakai di beberapa lokasi bazar Ramadan yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Diharap pada tahun ini penjaja yang memasak di bazar tidak menggunakan minyak berlebihan untuk makanan bergoreng.

“Sekiranya ada minyak sudah tidak digunakan, jangan buang ke longkang atau tong sampah, minyak ini boleh dihantar kepada MBSA, buat kali pertamanya tong minyak ini diletakkan di bazar berbanding sebelum ini hanya di Pusat Kitar Semula yang terpilih,” katanya.

Program kitar semula minyak masak telah dilaksanakan MBSA sejak 2009 sehingga kini bertujuan mengawal pencemaran longkang.

MBSA mula mengambil inisiatif memupuk kesedaran orang awam selepas mendapati kebanyakan minyak masak terpakai terus dibuang sehingga menyebabkan pencemaran.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, minyak masak terpakai bersifat hidrofobik bertindak mengumpulkan bahan pencemar sebelum mendap di dalam kolam takungan banjir dan memberikan kesan kepada kualiti air dan rantaian makanan.

“Minyak masak dikumpulkan di kawasan pentadbiran MBSA seperti pengusaha kantin, peniaga kedai makan atau gerai makanan kebiasaannya dikitar semula menjadi biodiesel.

“Menerusi program menggunakan konsep ‘waste to wealth’ ini, komuniti boleh menjana pendapatan dengan menyertainya bagi mengisi tabung persatuan penduduk,” katanya.

MBSA menyediakan tong pengumpulan minyak masak terpakai khusus untuk kemudahan penduduk Shah Alam bagi membuang minyak masak terpakai di lokasi seperti Pusat Kitar Semula Seksyen 6, Seksyen 11, Seksyen 17, Seksyen 25 dan Seksyen U8.

Dalam masa yang sama MBSA turut menyediakan perkhidmatan menghantar dan mengambil tong bagi pengumpulan minyak masak untuk restoran, kantin, kilang makanan, dan hotel dengan kapasiti tong adalah 60 liter, 200 liter dan 1,000 liter.

=EZY=

Categories
NASIONAL

JAKIM tidak keluarkan sijil halal pada minyak masak kitar semula

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 JUN: Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendakwa tidak pernah memberikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia ke atas minyak masak yang dikitar semula.

JAKIM melalui satu kenyataannya menjelaskan, ia susulan selepas isu minyak masak jenama Buah Sawit tular dan didakwa di proses dari minyak guna pakai dari kedai makan dan restoran Cina mula dikongsi pengguna di alam maya.

“JAKIM tidak pernah memberi Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk minyak masak yang dikitar semula.

minyak masak“Minyak masak jenama Buah Sawit keluaran Syarikat Jaburan Sdn Bhd pernah diambil tindakan pada tahun 2016 kerana menggunakan logo halal tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah,” katanya.

Bagaimanapun, status terkini syarikat itu adalah dalam proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Sehubungan itu, JAKIM amat mengalu-alukan usaha syarikat di luar untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia bukan sahaja dijamin halal, malahan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut standard serta panduan halal yang serta ditetapkan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut dan mengetahui produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia, pengguna boleh layari direktori halal di www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar MyJakim.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MPK kongsi pengetahun kitar semula minyak masak

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 18 OGOS: Minyak masak terpakai mempunyai kelebihan tersendiri dan tidak wajar dibazirkan sebaliknya mampu dimanfaatkan melalui kaedah kitar semula.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata pembuangan sisa minyak masak akan mengundang pencemaran alam sekitar khususnya kepada sumber air.

Beliau berkata, pembuangan sisa minyak ke dalam sistem perparitan dan longkang akan menyebabkan saluran air tersumbat selain mengundang pelbagai penyakit bawaan.

????????????????????????????????????

“MPK mengambil inisiatif berkongsi pengetahuan mengenai cara mengitar semula dan cara pelupusan minyak yang betul serta mesra kepada alam sekitar.

“Dua syarikat dilantik untuk mengadakan program pengumpulan minyak masak terpakai daripada peniaga restoran, pasar malam, gerai MPK dan kantin sekolah sekitar bandar Klang,” katanya pada perasmian Program Pasalewa MPK bertempat di Masjid Kampung Raja Uda, di sini, baru-baru ini.

Yasid menjelaskan, sisa minyak tersebut akan menjadi pejal dan menyebabkan longkang tersumbat dan banjir serta menyebarkan wabak penyakit daripada nyamuk dan tikus.

Katanya, masalah pencemaran alam sekitar khususnya sumber air disebabkan sikap masyarakat yang tidak mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian.

“Lebih teruk lagi dengan membuang sampah di tempat yang tidak sesuai seperti longkang, parit, tepi jalan dan kawasan lapang yang mengakibatkan pencemaran bau dan alam sekitar serta wabak penyakit seperti denggi juga taun,” katanya.

-NFN-