Categories
KENYATAAN MEDIA

Kenaikan harga bahan api menambah derita rakyat

Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad

Kenaikan harga petrol hari ini merupakan tamparan yang hebat untuk rakyat Malaysia yang kini berterusan menanggung bebanan kenaikan harga barang.

Sememangnya harga petrol negara bergantung kepada harga pasaran dunia, namun begitu implementasi polisi untuk mengapungkan harga petrol tersebut tidak mengambil kira keadaan ekonomi masyarakat Malaysia yang semakin merosot dengan polisi gaji minima yang gagal dan juga pelaksanaan cukai GST yang membebankan.

AMK MinyakWalaupun dijanjikan bahawa harga barang akan turun selepas GST, namun jelas sekali perkara ini tidak benar.

Sekarang ditambah pula dengan kenaikan harga minyak yang kemungkinan tidak akan berkesudahan, sampai bila rakyat terpaksa menanggung beban?

Kenaikan ini terutamanya memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan juga anak-anak muda.

Bukan sahaja terdapat cabaran yang hebat bagi generasi muda mencari pekerjaan, malah tahap gaji yang rendah, tanggungan hutang PTPTN dan kos kehidupan yang semakin meningkat memang cukup membebankan.

Sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia sepatutnya memulangkan hasil bumi itu kepada rakyatnya pada harga yang berpatutan.

Namun begitu, Kerajaan Barisan Nasional terus boros berbelanja dan menekan rakyat sendiri, untuk menampung bebanan hutang, termasuk 1MDB akibat tadbir urus kerajaan yang lemah dan korup.

* NIK NAZMI NIK AHMAD ADALAH KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Categories
NASIONAL

Minyak naik, FB PM jadi sasaran tak puas hati

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 OKT: Akaun Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi sasaran rakyat sejak beberapa hari selepas pengumuman subsidi penarikan subsidi bahan api sebanyak RM0.20.

Rata-rata rakyat meluahkan rasa tidak senang dengan perkara terbabit yang mengakitbatkan kenaikan harga petrol dan diesel.

FacebookSejak hari pertama penarikan subsidi itu diumumkan pada lewat petang Rabu lalu, ruang komen di kebanyakan status Najib terutama yang dimuat naik selepas pengumuman itu, dihujani dengan luahan hati rakyat, walaupun status beliau bukan mengenai isu penarikan subsidi.

Malah lebih menimbulkan kemarahan apabila Najib bertindak berkongsi laman Facebook KPDNKK berhubung penjelasan isu rasionalisasi subsidi.

Status ‘share’ terbabit mendapat hampir 2,000 komen daripada rakyat.

Antaranya, mereka mahu gaji dan elaun Menteri dan Ahli Parlimen dikurangkan kerana mereka mendakwa pihak itu mempunyai kekayaan sendiri.

“Ramai menteri-menteri yang dilantik JPM dianggap rakyat sebagai pekerja buruh. Mereka lakukan tindakan membebankan rakyat, ” tulis Safuddin Yunus.

Ada juga yang mahu Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dihentikan kerana ia tidak dapat menyelesaikan masalah kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.

Penerangan dalam bentuk soal jawab yang dimuat naik Najib kira-kira jam 4 petang itu dihujani komen bantahan terhadap keputusan kerajaan menaikkan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen.

Ada juga pengguna media sosial yang mempersoalkan bentuk bantuan kerajaan terhadap golongan pertengahan bagi meringankan beban kos sara hidup yang tinggi.

Malah, status pemimpin tertinggi negara itu mengenai tragedi MH17 yang dimuat naik semalam turut disambut dengan komen yang membincangkan isu kenaikan harga minyak.

Selain itu, status di Facebook Najib tentang keputusan undian bahawa kebanyakan rakyat memilih kos sara hidup sebagai kategori pilihan utama melalui laman web #Bajet2015 menarik lebih 3,000 komen, kebanyakannya membantah kenaikan harga minyak.

Sejak pengumuman itu, pelbagai gambar mengenai kenaikan harga minyak menjadi viral di laman-laman sosial yang mana kebanyakannya memperli kerajaan.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

IKRAM kesal kenaikan harga petrol

Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melahirkan rasa kesal dengan pengumuman kerajaan menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak RM0.20 sen seliter.

Ini merupakan kenaikan sama seperti yang dilakukan tahun lepas berkuatkuasa pada 2 September 2013. Kenaikan harga minyak seperti biasa dijangka akan menyebabkan kenaikan harga barang-barang keperluan pengguna, sekaligus meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat.

harga-minyak-naik-20-senIKRAM bimbang ketika rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup masa kini yang tinggi, kenaikan harga minyak akan disusuli pula dengan kenaikan harga barangan keperluan yang lain yang menyebabkan rakyat semakin terbeban.

IKRAM juga bimbang rakyat bakal menerima beban kenaikan berganda harga barangan apabila GST diperkenalkan pada April 2015.

IKRAM sedar langkah kerajaan menaikkan harga minyak ialah ekoran pengurangan subsidi sebanyak 20 sen. Namun, pada masa yang sama, terdapat laporan yang mengatakan harga minyak dunia berada di tahap rendah sekarang dan beberapa negara telah menurunkan harga petrol sedangkan Malaysia menaikkan harga.

Adalah sesuatu yang menghairankan bilamana kenaikan harga minyak dilakukan dengan alasan untuk merasionalisasi subsidi minyak negara sekiranya laporan di atas benar.

IKRAM juga tidak pasti sejauh manakah keberkesanan kenaikan harga minyak ini dalam mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang dimaklumkan oleh kerajaan.

IKRAM faham bahawa kerajaan akan menyediakan bantuan dan insentif untuk meringankan beban rakyat di samping memastikan barangan keperluan harian dijual pada harga berpatutan dan mengambil tindakan tegas ke atas golongan yang mengaut keuntungan berlebihan.

Walaupun kenaikan harga minyak ini dikaitkan dengan pengurangan subsidi, namun IKRAM berpendapat kerajaan seharusnya memikirkan bagaimana membentuk ekonomi negara berkebajikan yang lestari dan stabil tanpa bergantung banyak kepada pemberian subsidi di samping mengupayakan rakyat untuk tidak bergantung kepada saguhati-saguhati kerajaan seperti BR1M dan sebagainya.

Jaminan kerajaan untuk memastikan bahawa harga barangan keperluan rakyat yang lain tidak terus meningkat dan ke mana hasil penjimatan itu akan dibelanjakan juga seharusnya dinyatakan dengan jelas kepada rakyat.

Oleh yang demikian, IKRAM menyeru supaya:

1. Kerajaan pada sepanjang masa terus berhemah dalam mengendalikan kewangan negara dan dilihat berhemah oleh rakyat, mengelakkan pembaziran di samping bersungguh-sungguh menangani amalan korupsi yang berleluasa.

2. Kerajaan menurunkan cukai kenderaan yang sekarang ini terlalu tinggi tinggi serta mengawal kenaikan berterusan harga rumah. Inilah masa yang terbaik bagi kerajaan berbuat demikian sebagai altenatif pilihan lain untuk mengurangkan beban kepada rakyat terutamanya terhadap generasi muda.

Sesungguhnya dua perkara ini begitu menekan kehidupan rakyat sehinggakan sebahagian besar rakyat terpaksa berhempas pulas mencari rezeki tambahan siang dan malam untuk menampung keperluan sara hidup mereka sehingga mengurangkan masa berkualiti mereka bersama keluarga dan masyarakat.

3. Rakyat berusaha mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan yang bukan merupakan keperluan, berbelanja secara sederhana dan berhemat dan berbelanja hanya berdasarkan kepada kemampuan pendapatan keluarga dan peribadi masing-masing di samping mengelakkan amalan berhutang. Lakukan perancangan kewangan terbaik pada saat menghadapi situasi kesan kenaikan harga minyak ini.

4. Masyarakat perlu menyedari bahawa kos sara hidup dan harga barang keperluan akan sentiasa naik. Oleh itu, usaha-usaha mewujudkan masyarakat contoh yang hidup secara sederhana amatlah wajar digalakkan di samping peka dengan hak untuk menegur kerajaan dan pimpinan.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

Categories
NASIONAL

Apa motif minyak naik ketika PM & TPM tiada dalam negara?

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Tindakan mengejut Kerajaan Umno-BN menaikan harga bahan api sebanyak 20 sen seliter ketika ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menimbulkan banyak persoalan.

Felo Pusat Penyelidikak PAS (PPP), Mohd Hafiz Jamaludin, berkata tindakan itu dilakukan tanpa pengetahuan sesiapa walaupun daripada Petronas.

harga-minyak-naik-20-sen“Kita tidak tahu kenapa kenaikan harga minyak kali ini dilakukan dengan ketiadaan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Ini persoalan menarik dan bukan setakat itu sahaja, tidak ada sesiapa yang mengetahuinya walaupun dari Petronas itu sendiri,” jelasnya dalam Bicara Harakah ‘Bajet 2015, Cabaran Rakyat’.

Katanya, rakyat bukan sahaja berdepan dengan kenaikan harga minyak sekarang tetapi dibebani dengan kenaikan berantai ditambah menjelang pembentangan Bajet pada 10 Oktober ini.

“Kita menjangkakan akan ada penarikan subsidi yang mengakibatkan kenaikan harga barangan lain.

“Kerajaan perlu mengambil pendekatan baru dalam membuat struktur baru bagi mencari penyelesaian dalam meringankan beban rakyat,” katanya lagi

Tambah beliau, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan langkah terbaik, sebaliknya kerajaan perlu memperkasakan terlebih dahulu sumber pendapatan.

“Dulu kita megah dalam pertanian dan mineral kenapa ini tidak diperkasakan semula, ia seolah-olah dilupakn begitu sahaja.

“Sektor ini tidak diutamakan dan kita tidak tahu apa dasar yang digunakan kerajaan dalam merealisasi sumber pendapatan negara.

“Kita perlu melakukan perubahan baru dengan membuat struktur melalui sumber terdahulu dan yang akan datang,” jelas beliau lagi.

Kegagalan Kerajaan Umno-BN meneliti dan hanya tertumpu kepada pelaksanaan GST katanya menyebabkan rakyat terutama golongan miskin bandar terus dihimpit dengan bebanan dalam meneruskan kehidupan.

EZY

Categories
NASIONAL

Sah harga minyak naik lagi dengan GST

SHAH ALAM 15 SEPT: Kerajaan Umno-BN akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel yang secara langsung bermakna harga minyak akan dinaikkan apabila GST dilaksanakan dalam April 2015 kelak.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata laporan akhbar Sin Chew Daily yang turut dipetik oleh laman kereta paultan.org mengesahkan bahawa Umno/Barisan Nasional akan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas petrol dan diesel.

Berikut adalah kenyataan media Rafizi Ramli berkenaan isu itu:

harga-naikLaporan akhbar Sin Chew Daily yang turut dipetik oleh laman kereta paultan.org mengesahkan bahawa Umno/Barisan Nasional akan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas petrol dan diesel.

Mengikut laporan, pengesahan ini dibuat oleh Ishak Daud, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam dan Eksais dalam satu taklimat GST anjuran Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) minggu lalu.

Ini mengesahkan sangkaan saya selama ini bahawa Umno/Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel yang secara langsung bermakna harga minyak akan dinaikkan apabila GST dilaksanakan dalam April 2015 kelak.

Pada kadar GST 6%, harga seliter petrol selepas ini adalah RM2.27 sen. Jika seorang pengguna biasa dianggarkan menggunakan 80 liter seminggu bersamaan 320 liter petrol sebulan, kenaikan harga minyak akibat pelaksanaan GST ini bermakna bil petrol satu isi rumah biasa akan meningkat sebanyak RM50 sebulan.

Pada masa yang sama, kenaikan harga minyak ini juga akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang lain.

Akhirnya, bebanan bulanan setiap isi rumah akan bertambah dan saya anggarkan sekurang-kurangnya meningkat RM100 sebulan (kenaikan terus harga minyak dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain) bagi setiap isi rumah di kawasan bandar dan separa bandar.

Saya juga telah menyatakan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak akan melaksanakan penarikan balik subsidi minyak dengan menghadkannya kepada golongan tertentu dan sebahagian pengguna akan terpaksa membayar harga penuh tanpa subsidi.

Saya dimaklumkan keputusan itu telah dibuat tetapi belum dilaksanakan sementara memuktamadkan syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk menaiktaraf semua pam minyak bagi tujuan ini.

Sudah tentu apabila ini juga dilaksanakan, bebanan akibat kenaikan harga minyak itu adalah lebih tinggi dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang menyusul juga lebih tinggi.

Pada ketika pegawai-pegawai Jabatan Kastam dan Eksais telah mula mengesahkan mengenai kenaikan harga minyak akibat pelaksanaan GST ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak masih diam seribu bahasa dan mahu berahsia.

Saya menggesa supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak mengesahkan dengan segera bahawa harga minyak akan naik dengan pelaksanaan GST dan berterus terang dengan rakyat.

Pada masa yang sama, saya seru seluruh rakyat Malaysia menzahirkan bangkangan mereka kepada kenaikan harga minyak ini melalui laman-laman sosial terlebih dahulu sebelum disusuli dengan protes yang lebih besar.