Categories
AGENSI SELANGOR

Kutip minyak terpakai, Team Selangor pupuk budaya pulihara alam sekitar

SHAH ALAM, 29 JAN: Team Selangor merancang untuk mempergiat program mengumpul minyak masak terpakai tahun ini sebagai inisiatif memulihara alam sekitar.

Ketua sekretariatnya berkata aktiviti tersebut menyedarkan orang ramai supaya tidak membuang sisa minyak ke saliran air terutama saluran paip dan longkang.

Syahaizel Keman menjelaskan beberapa lokasi bakal dipilih dan diagihkan botol bagi memudahkan penduduk mengumpul sisa yang akan dikutip selepas beberapa minggu.

“Kita harap usaha ini mendapat sambutan kerana manfaatnya yang besar kepada alam sekitar serta masyarakat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah program itu dibuat tahun lalu bersama 92 sukarelawan di Kuang, Kajang, Hulu Bernam dan Taman Medan yang berjaya mengumpul 520 kilogram minyak terpakai.

Sepanjang tahun lalu, Team Selangor juga aktif menjalankan program memulihara ekosistem alam sekitar antaranya mengutip sampah di pesisir pantai dan kawasan riadah awam.