Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tumpahan minyak kilang sawit, tindakan pantas LUAS elak gangguan air

SHAH ALAM, 15 JUN: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengelak gangguan bekalan air susulan insiden tumpahan minyak melibatkan kilang minyak sawit mentah di Semenyih.

EXCO alam sekitar berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 7 malam semalam dan jarak lokasi siasatan ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih adalah 15.9 kilometer.

“LUAS mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA Sungai Semenyih.

“Inisiatif pencegahan dipertingkatkan dengan meletakkan empat beg serbuk karbon teraktif di kawasan aliran air keluar dari kilang untuk mencegah pencemaran ke Sungai Rinching,” kata Hee Loy Sian menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata LUAS turut memasang pemecah minyak bagi meminimumkan dan menghalang aliran sisa minyak terus memasuki Sungai Rinching serta seterusnya ke Sungai Semenyih.

“Kerja pembersihan dan penyedutan baki minyak yang bertakung di dalam aliran kawasan premis bagi mengelakkan berlakunya limpahan dijangka selesai dalam tempoh 24 jam.

“LUAS akan melaksanakan pemantauan statik di Sungai Rinching dan pemantauan susulan terhadap kerja pembersihan yang telah dijalankan.

“Berdasarkan pemantauan statik LUAS sehingga jam 5 pagi hari ini di Sungai Rinching dan Sungai Semenyih, ujian pensampelan bau mencatatkan bacaan sifar ton dan aliran sungai dalam keadaan normal,” katanya.

Tegas beliau, LUAS akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999 kepada premis kilang terlibat berhubung risiko serta ancaman insiden kepada kualiti sumber air.

“Selaras dengan Seksyen 79, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 bagi larangan pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada dua ratus ribu ringgit dan tidak melebihi satu juta ringgit,” katanya.

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi seketika sebelum menyusut

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Bursa Malaysia diniagakan rendah pada awal urus niaga pagi Jumaat, terjejas oleh prestasi lemah pergerakan semalaman di Wall Street serta pasaran minyak.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 2.71 mata kepada 1,625.28 daripada 1,627.99 pada penutupan urus niaga petang Khamis.

Indeks utama dibuka 3.05 mata lebih tinggi pada 1,631.04 pada jam 9 pagi dan kemudiannya bertukar menjadi rendah seminit selepas itu.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 431 berbalas 132 sementara 299 kaunter tidak berubah, 1,385 tidak diniagakan dan 55 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 553.83 juta saham bernilai RM224.41 juta.

Menurut Malacca Securities, Wall Street menyusut daripada paras kemuncak yang dicatatkan baru-baru ini dengan Purata Perindustrian Dow Jones merosot 0.5 peratus di tengah-tengah kebimbangan yang berterusan mengenai tekanan inflasi, ditambah dengan kejatuhan harga minyak mentah.

Ia menambah penurunan harga minyak Brent dan minyak sawit mentah setelah mencapai puncak masing-masing, mungkin juga memberikan sentimen negatif bagi sektor tenaga.

“FBM KLCI naik lebih tinggi semalam didorong oleh keyakinan pasaran saham untuk kaunter bertemakan pemulihan berkaitan indeks terhadap pemulihan ekonomi selepas pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pakej rangsangan ekonomi Pemerkasa.

“Namun, kami percaya penurunan urus niaga semalaman Nasdaq mungkin akan melimpah ke pasaran dan sektor teknologi yang lebih luas hari ini,” katanya dalam catatan.

Firma penyelidikan itu turut menambah peniaga mungkin memberi tumpuan kepada kaunter yang ketinggalan seperti hartanah, pembinaan, pengguna dan pelancongan.

Berita mengenai kerjasama tiga syarikat telekomunikasi Malaysia untuk membangunkan infrastruktur gentian dapat menarik minat belian dalam sektor ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petchem dan TM masing-masing susut 12 sen kepada RM8.08 kepada RM6.29.

MISC dan Press Metal pula, kedua-duanya merosot 10 sen kepada RM6.87 dan RM10.06.

Sebaliknya, Top Glove naik lima sen kepada RM5.31 dan Maybank dan Digi masing-masing tiga sen lebih tinggi pada RM8.40 dan RM3.71 sementara Maybank meningkat dua sen kepada RM4.65.

Antara kaunter paling cergas, Macpie menambah lapan sen kepada 37.5 sen, KNM turun setengah sen pada 19.5 sen dan Nexgram tidak berubah pada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 41.05 mata kepada 11,910.06, FBMT 100 turun 35.86 mata kepada 11,589.74 dan FBM Emas Syariah lebih rendah sebanyak 55.92 mata kepada 13,182.22.

Indeks FBM 70 merosot 112.57 mata kepada 15,652.65 dan FBM ACE 23.38 mata lebih rendah pada 10,613.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 8.61 mata kepada 15,559.31, Indeks Perladangan berkurangan 17.50 mata kepada 7,142.29 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kerugian 1.34 mata kepada 192.63.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Maritim tahan kapal kargo buang sisa minyak di perairan Selangor

LUMUT, 7 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo yang disyaki membuang sisa minyak di perairan Selangor kira-kira 21.7 batu nautika timur laut Pulau Jarak dekat sini.

Pengarahnya, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata terdahulu, pesawat agensi itu memaklumkan rondaan di perairan perairan berkenaan dan mengesan tindakan kapal kargo yang mencurigakan sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada Maritim Malaysia Selangor.

Beliau berkata susulan maklumat itu, pihaknya melalui Kapal Maritim (KM) Gagah yang sedang melakukan rondaan segera ke lokasi terbabit untuk melakukan pintasan serta penggeledahan secara menyeluruh ke atas kapal tersebut pada kira-kira 12 tengah hari kelmarin.

“Kapal kargo tersebut dikatakan dalam perjalanan menghala ke utara dan telah memasuki perairan negeri Perak.

“Kapal berkenaan (yang) berdaftar di Haiphong, Vietnam (sedang) dalam perjalanan menuju ke Eropah dengan dikendalikan 22 kru warga Vietnam berumur lingkungan 30 hingga 65 tahun yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Shahrizan berkata kapal itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) dan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana membuang sisa minyak ke dalam laut.

Beliau berkata kapal itu bersama kesemua kru kini ditahan di ‘South East Point’ (SEP) perairan Pulau Pangkor bagi tujuan pengambilan sampel minyak oleh Jabatan Alam Sekitar Perak untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia kembali pulih, belian saham harga rendah

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Bursa Malaysia kembali pulih pagi ini selepas merosot semalam menarik aktiviti belian saham pada harga rendah.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 9.91 mata kepada 1,62249 dengan kenaikan hampir secara menyeluruh.

Indeks dibuka tinggi 5.64 mata kepada 1,617.68 daripada 1,612.04 semalam.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 377 berbanding 173, manakala 299 kaunter tidak berubah, 1,250 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 538.49 juta unit bernilai RM295.59 juta.

Malacca Securities menjangka bursa tempatan akan stabil tidak lama lagi berikutan terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah dalam pasaran.

“Saham berharga rendah dijangka meneruskan kenaikan semalam berikutan peningkatan indeks disokong oleh jumlah dagangan yang meningkat sepanjang hari,” katanya dalam nota hari ini.

Ia turut yakin pelabur dijangka menyertai sektor penjagaan kesihatan, yang menyaksikan pendapatan yang pasti dalam situasi kes Covid-19 meningkat.

Selain itu, katanya kaunter pengangkutan dan logistik juga akan mendapat perhatian berikutan langkah sekatan pergerakan bermula hari ini hingga 26 Januari untuk mengekang penularan Covid-19.

Jualan panik dalam pasaran tempatan berkurangan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa aktiviti perniagaan akan kekal seperti biasa walaupun diisytiharkan darurat di seluruh negara semalam.

Sementara itu, petunjuk daripada Wall Street tidak berubah selepas pasaran saham AS ditutup tinggi.

Dow naik 0.2 peratus berikutan sesi dagangan tidak menentu susulan perhatian pelabur beralih kepada prospek pemulihan ekonomi dan pelaksanaan vaksin.

Selain itu, bekalan yang berkurangan telah mendorong harga minyak mentah lebih tinggi dengan minyak mentah Brent kini melebihi US$56 setong sekali lagi.

Kaunter perbankan mendahului dalam kalangan saham wajaran tinggi dengan Maybank dan Public Bank, masing-masing meningkat semula daripada jualan semalam, masing-masing menambah enam sen kepada RM8.06 dan 62 sen kepada RM20.70.

TNB naik 12 sen kepada RM10.24 dan PetChem tidak berubah pada RM7.20.

Top Glove meningkat dua sen kepada RM6.70, bagaimanapun Hartalega merosot empat sen kepada RM13.10.

Daripada saham cergas, Sealink menambah 2.5 sen kepada 18.5 sen, XOX tidak berubah pada 11.5 sen dan Sapura Energy naik setengah sen kepada 12.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 69.55 mata kepada 11,621.61, Indeks FBMT 100 meningkat 69.02 mata kepada 11,369.26 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 37.48 mata kepada 13,197.31.

FBM 70 meningkat 71.91 mata kepada 14,581.50 manakala FBM ACE naik 58.73 mata kepada 10,562.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 174.65 mata kepada 14,721.16, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.26 mata kepada 173.22 dan Indeks Perladangan meningkat 2.60 mata kepada 7,465044.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka terus momentum naik minggu depan

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Ringgit dijangka meneruskan momentum kenaikannya berbanding dolar AS pada minggu depan berikutan pelabur menunggu pemangkin baharu susulan perkembangan positif vaksin Covid-19 dan peningkatan harga minyak, kata penganalisis.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata ringgit berada dalam jajaran kecil pada sepanjang minggu ini kerana sentimen risiko telah dihadkan dengan lonjakan kes Covid-19 di peringkat global.

“Amerika Syarikat (AS) terutamanya terjejas teruk dan jangkaan ekonomi terjejas dalam jangka pendek memberi kesan kepada sentimen pasaran sedang pesat membangun.

“Namun, pasaran menunggu rapat mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang sepatutnya terus mengurangkan paras semasa pengeluaran minyak yang dilihat memanfaatkan minyak dan ringgit berikutan Malaysia mempunyai hasil eksport minyak yang signifikan.

“Oleh itu, saya tidak terlalu berharap untuk melepasi julat semasa melainkan terdapat kejutan dalam perjanjian rangsangan AS,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Innes berkata ringgit didagangkan antara 4.0750 dan 4.1050 memandangkan beliau membayangkan harga minyak untuk diniagakan lebih tinggi pada minggu depan berdasarkan jangkaan keputusan daripada mesyuarat OPEC yang menyokong minyak.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen bersedia mengambil risiko adalah agak ketara ketika ini, terutamanya didorong oleh berita mengenai vaksin.

“Pada masa sama, kes-kes baharu meningkat, manakala data ekonomi agak memuaskan.

“Ini menyebabkan dolar US mengalami penyusutan, justeru menyebabkan kenaikan dalam mata wang negara sedang pesat membangun termasuk ringgit,” katanya.

Pfizer, Biontech dan Moderna merupakan syarikat utama yang terlibat dalam pembangunan vaksin dan ia dijangka menerima kelulusan daripada pihak Pentadbir Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) tidak lama lagi.

“Sekiranya ini berlaku, ekonomi seharusnya dapat beroperasi seperti biasa sebaik sahaja vaksin itu diperoleh.

“Jadi, itulah naratif utamanya. Bagaimanapun, yang dilihat agak mudah itu akan mengambil masa untuk diselesaikan. Oleh itu, pasaran akan memantau rapat perkara ini untuk memberikan pendapat dan strategi,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata setakat ini ringgit seharusnya kekal positif dalam masa yang terdekat.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar US kepada 4.0900/0940 daripada 4.1220/1260 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0434/0479 daripada 3.0624/0668 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.8495/8559 daripada 4.8923/8995 sebelum ini.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.9399/9445 daripada 3.9918/9978 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4295/4360 daripada 5.4231/4313 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah namun meningkat semula

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Bursa Malaysia dibuka susut seketika namun meningkat semula selepas pelabur terus memburu kaunter-kaunter saham yang berharga rendah.

Pada 9.30 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.77 mata kepada 1,513.84 berbanding 1,513.07 pada Khamis.

Sewaktu dagangan dibuka, indeks petunjuk utama itu susut 1.29 mata kepada 1,511,78.

Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 314 berbanding 247 manakala 347 kaunter tidak berubah, 1,177 tidak diniagakan manakala 41 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.02 bilion unit bernilai RM715.82 juta.

Sementara itu, Malacca Securities berkata kehadiran semula ketidaktentuan yang dilihat semalam akan terus menjadikan pelabur berhati-hati dengan aktiviti pengambilan untung berkemungkinan mengehadkan kenaikan dalam masa terdekat.

FBM KLCI juga dilihat tidak berubah selepas mencatat kenaikan selama tiga hari berturut-turut, membolehkan pelabur menerima reaksi pulangan awal selain meneliti semula keadaan pasaran semasa.

“Kami melihat saham-saham pengguna berada di landasan pemulihan apabila perbelanjaan pengguna semakin ketara sejak kebelakangan ini, terutamanya berkaitan perabot yang menyaksikan peningkatan permintaan apabila semakin ramai bekerja dari rumah.

“Selain itu, peningkatan semula harga minyak dan minyak sawit mentah dijangka menarik minat dagangan kaunter saham-saham berkaitan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Dalam pada itu, harga minyak juga meningkat, dipacu oleh hasil positif susulan mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC).

Ini berikutan OPEC dan sekutunya telah membayangkan bahawa mereka akan menjejaki negara-negara yang gagal mematuhi peraturan mengurangkan jumlah pengeluaran.

Dalam pada itu, saham-saham wajaran tinggi menyaksikan Top Glove pulih daripada tekanan pada Khamis apabila meningkat 18 sen kepada RM7.97, Hartalega menambah 20 sen kepada RM14.30 dan IOI naik lima sen kepada RM4.44.

Maybank sebaliknya kekal rendah apabila susut satu sen kepada RM7.36 manakala Axiata berkurangan dua sen kepada RM3.03.

Selain itu, CME untung satu sen kepada 12.5 sen, MCT naik dua sen kepada 21 sen, Kanger tidak berubah pada 30 sen dan Nexgram turun setengah sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 3.5 mata kepada 10,862.19 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 26.69 mata kepada 12,816.22.

FBM 70 turun 24.60 mata kepada 13,964.72, Indeks FBMT 100 susut 0.62 mata kepada 10,677.00 dan FBM ACE naik 17.07 mata kepada 11,163.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kekal dalam wilayah negatif apabila susut 42.39 mata kepada 12,692.46, Indeks Perladangan sebaliknya naik 14.48 mata kepada 7,112.18 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.18 mata kepada 135.73.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.2680/2730 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Ringgit dibuka rendah pada Selasa, menjejaki penurunan semalaman dalam pasaran AS selepas optimisme mengenai pembukaan semula ekonomi terjejas berikutan perintah oleh Gabenor California untuk aktiviti dalaman ditutup di seluruh negeri.

Sehingga 9 pagi, unit tempatan rendah kepada 4.2680/2730 berbanding dolar AS daripada 4.2630/2680 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata spekulasi mengenai strategi anggota OPEC menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Menteri Bersama kartel minyak esok boleh menjadi menarik.

“Pelan sedia ada menggesa OPEC+ kepada pengurangan pada Ogos selepas lanjutan selama sebulan.

“Walaupun Rusia menunjukkan ia menjangka untuk meningkatkan pengeluaran sejajar dengan persetujuan, terdapat kemungkinan ketidaktentuan berhubung permintaan berikutan jangkitan Covid-19 yang meningkat yang akan membawa kepada satu lagi lanjutan fasa awal pengurangan,” katanya melalui e-mel hari ini.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent sebanyak US$42.06 setong, susut 1.54 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi pada pembukaan kecuali berbanding euro, yang merosot kepada 4.8416/8490 daripada 4.8253/8318.

Berbanding dolar Singapura, yang Kementerian Perdagangan dan Industri republik itu menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua rendah dalam persekitaran ekonomi global yang merosot, ringgit diniagakan tinggi kepada 3.0657/0699 daripada 3.0660/0707.

Berbanding yen, unit tempatan naik kepada 3.9799/9849 daripada 3.9800/9858 dan meningkat kepada 5.3542/3622 daripada 5.3731/3815 berbanding pound.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga RON95, RON 97, diesel turun

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Harga runcit petrol RON95 dan RON97 turun empat sen seliter, masing-masing kepada RM1.65 dan RM1.95 manakala diesel turun dua sen kepada RM1.84 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 10 Julai ini.

Kementerian Kewangan, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan penurunan tersebut dipengaruhi oleh perubahan harga minyak yang diproses selari dengan harga minyak mentah dunia pada masa ini.

“ Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Grafik: BERNAMA
Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah, tekanan jualan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari dagangan terakhir minggu ini, berikutan tekanan jualan susulan prestasinya yang baik dalam beberapa hari lepas.

Pada 9.02 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.56 mata, atau 0.698 peratus kepada 1,360.20 daripada 1,369.76 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks utama dibuka rendah 8.14 mata kepada 1,361.62.

Suasana pasaran, bagaimanapun, menyakinkan dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 153 berbanding 82, manakala 193 kaunter tidak berubah, 1,491 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 157.82 juta bernilai RM42.58 juta.

Rakuten Trade dalam nota hari ini berkata Wall Street Amerika Syarikat (AS) terus mencatatkan aliran turun naik tetapi ditutup tinggi susulan Rizab Persekutuan AS mengumumkan pakej pembiayaan berjumlah US$2.3 trilion untuk memulihkan ekonomi AS berikutan pandemik COVID-19.

Purata Perindustrian Dow Jones melepasi paras 24,000 pada satu ketika sebelum aktiviti pengambilan untung mendorong indeks untuk ditutup lebih rendah kepada 23,700, menunjukkan sentimen yang lemah dalam kalangan pelabur.

Oleh itu, firma penyelidikan tersebut menjangka trend itu akan mempengaruhi peringkat serantau, terutamanya menjelang hujung minggu.

Di samping itu, harga minyak mentah terus merosot walaupun Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong sehari mulai Mei.

Penanda aras minyak mentah Brent diniagakan pada US$31.48 setong, susut 4.14 peratus.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot lima sen kepada RM7.46, Dialog susut dua sen kepada RM3.10 manakala Genting Malaysia naik satu sen kepada RM2.11 dan Genting meningkat dua sen kepada RM3.81.

Keputusan untuk mengurangkan pengeluaran oleh ahli kartel minyak yang diketuai Arab Saudi dan Rusia tidak membantu memberi petunjuk yang positif kepada kaunter tenaga.

Daripada saham aktif, Sapura Energy dan Bumi Armada, masing-masing tidak berubah pada 11 sen dan 18.5 sen, manakala Hibiscus Petroleum susut dua sen kepada 51 sen.

Kaunter paling untung didahului oleh United Plantation, yang naik 14 sen kepada RM25.08, BAT menambah 10 sen kepada RM10.80 dan PetGas meningkat lapan sen kepada RM15.46.

Indeks FBM Emas susut 44.46 mata kepada 9,425.45, Indeks FBM Emas Shariah merosot 0.25 mata kepada 10,403.83 manakala Indeks FBMT 100 turun 48.17 mata kepada 9,312.63.

FBM 70 menambah 14.52 mata kepada 11,065.95 dan FBM Ace melonjak 13.87 mata kepada 4,193.57.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.34 mata kepada 110.78, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 208.60 mata kepada 12,266.52 dan Indeks Perladangan merosot 20.19 mata kepada 6,263.66.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendapatan negara susut akibat harga minyak rendah

SHAH ALAM, 5 APRIL: Pendapatan negara dijangka berkurangan kira-kira RM300 juta bagi setiap kejatuhan harga minyak dunia sebanyak AS$1, kata menteri di jabatan perdana menteri (ekonomi).

Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kejatuhan harga mendadak kali ini disebabkan bekalan yang banyak di pasaran dan permintaan rendah ekoran penularan Covid-19.

“Kejatuhan harga minyak dunia di bawah AS$25 setong (daripada AS$62 setong yang dianggarkan semasa pembentangan Belanjawan 2020) memberikan impak yang bukan kecil kepada pendapatan negara disebabkan kemerosotan dividen Petronas dan cukai pendapatan petroleum semakin berkurangan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan menjangkakan tempoh harga minyak dunia pulih akan mengambil masa lebih lama berbanding sebelum ini memandangkan 30 peratus pendapatan negara bergantung kepada minyak.

Harga purata minyak mentah dunia dianggarkan akan berada pada paras AS$35 hingga AS$45 setong bagi tahun 2020 dan 2021.

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit terus merosot kepada 4.3090/3130 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Ringgit meneruskan aliran penurunan semalam untuk dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, berikutan kebimbangan mengenai pandemik Covid-19 yang mengekang minat pedagang mengambil risiko, kata peniaga.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3090/3130 berbanding dolar AS daripada 4.3030/3080 semasa ditutup pada Isnin.

Beliau berkata pakej rangsangan ekonomi 2020 Malaysia yang diumumkan bulan lepas untuk mengurangkan impak daripada Covid-19 gagal menyokong ringgit, berikutan seramai 125 disahkan dijangkiti virus tersebut semalam, meningkatkan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan mendorong pihak berkuasa untuk mengambil tindakan drastik.

Semalam, kerajaan mengumumkan ia akan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara hingga akhir Mac 2020 untuk mengawal penyakit itu.

“Selain itu, prospek ekonomi negara turut dijejaskan oleh kejatuhan harga minyak mentah dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0356/0405 daripada 3.0260/0312 dan naik berbanding yen Jepun kepada 4.0403/0452 daripada 4.0613/0672 semasa ditutup semalam.

Unit tempatan jatuh berbanding pound kepada 5.2772/2834 daripada 5.2711/2876 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8127/8189 daripada 4.8155/8228.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Rusia boleh bertindak tangani harga rendah minyak dunia

MOSCOW, 11 MAC: Rusia boleh meningkatkan pengeluaran minyak antara 200,000-300,000 tong sehari (bpd) untuk jangka pendek dan sehingga 500,000 bpd pada masa depan bagi menangani kejatuhan berlarutan harga minyak.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Menteri Tenaga, Alexander Novak, berkata tumpuan utama Rusia ketika ini untuk bertindak balas pantas terhadap keadaan pasaran bagi menangani akibat kejatuhan harga.

“Tugas kami sekarang memberi respon pantas terhadap keadaan pasaran bagi mengurangkan kebanyakan kesan buruk selain terus melakukan pemantauan,” katanya.

Harga minyak terus menjunam selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan pengeluar utama lain termasuk Rusia, gagal mencari kata sepakat di Vienna bagi melanjutkan lagi tempoh pengurangan pengeluaran yang sepatutnya tamat pada hujung bulan ini.

Novak berkata, pada mesyuarat itu Rusia dan beberapa negara bukan anggota OPEC mencadangkan memperluaskan perjanjian sedia ada iaitu pengurangan pengeluaran sebanyak 1.7 juta bpd untuk sekurang-kurangnya satu perempat lagi dan memantau pasaran sebelum mengambil langkah lanjut.

Bagaimanapun, OPEC terutama Arab Saudi mencadangkan meningkatkan lagi jumlah pemotongan pengeluaran sehingga sebanyak 1.5 juta bpd lagi daripada jumlah sedia ada bermula 1 April hingga hujung 2020.

“Rusia tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana menyatakan, pilihan Rusia mampu menstabilkan dengan ketara keadaan harga tidak menentu di pasaran.

“Pintu tidak tertutup. Hakikat bahawa perjanjian pengurangan pengeluaran tidak dilanjutkan bermula 1 April tidak bermakna kita tidak lagi boleh terus bekerjasama dengan OPEC dan negara bukan anggota OPEC,” kata Novak.

Katanya, perjanjian yang dikenali sebagai OPEC+ yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu, menunjukkan keberkesanannya, membolehkan Rusia menjana keuntungan tambahan sebanyak 10 trilion ruble (kira-kira US$140 bilion).

Beliau berkata, Rusia dan OPEC bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dengan lebih kerap pada Mei dan Jun bagi menilai keadaan pasaran.

-BERNAMA