Categories
NASIONAL

RON97 naik 8 sen, RON95 dan diesel kekal

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 Mei: Harga runcit petroleum RON95 dan diesel kekal manakala RON97 naik 8 sen seliter kepada RM2.76 berbanding RM2.68 bagi tempoh 25 hingga 31 Mei.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, pengekalan dua produk petroleum itu menyaksikan harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi diesel.

Katanya, anggaran subsidi yang perlu ditanggung kerajaan dalam tempoh 25 Mei sehingga 31 Mei adalah berjumlah RM126.52 juta.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 sepatutnya RM2.46 seliter manakala RM2.52 seliter bagi diesel.

“Namun, harga runcit produk petroleum RON95 dan diesel bagi tempoh di atas adalah dikekalkan masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berikutan keputusan kerajaan untuk menyekat kenaikan harga runcit produk petroleum demi mengurangkan beban kewangan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah dunia terus merosot

SINGAPURA 24 OKT: Harga minyak mentah meneruskan kemerosotan daripada hari sebelumnya apabila susut sehingga lima peratus.

Ia selepas Arab Saudi berkata ia akan menampung gangguan bekalan daripada sekatan Amerika Syarikat terhadap eksport petroleum Iran bermula bulan depan.

Niaga hadapan Brent berada pada AS$76.37 setong, tujuh cents merosot daripada penutup akhirnya.

Niaga hadapan AS West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$66.31 setong, susut 12 cents daripada sesi terdahulu.

Kemerosotan itu berlaku selepas Brent ditutup rendah 4.3 peratus dan WTI ditutup rendah empat peratus dalam sesi terdahulu.

Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih berkata Arab Saudi akan memenuhi sebarang permintaan bagi memastikan pelanggan berpuas hati walaupun jangkaan gangguan bekalan akan berlaku berikutan sekatan As terhadap Iran pada 4 November depan.

Rivkin Securities di Australia berkata harga minyak susut dengan ketara berikutan jaminan yang dibuat Arab Saudi itu.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah dunia stabil

SINGAPURA 23 OKT: Harga minyak stabil hari ini berikutan janji Arab Saudi untuk memainkan peranan dalam pasaran tenaga, walaupun sentimen kekal memberikan kebimbangan menjelang sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran yang akan bermula bulan depan.

Niaga hadapan Brent didagangkan pada AS$79.87 setong, empat cents mengatasi penutup akhirnya.

Niaga hadapan AS West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$69.41 setong, naik lima cents daripada penutup akhirnya.

Sekatan AS terhadap eksport minyak Iran dijangka bermula 4 November ini dengan Washington memberi tekanan kepada kerajaan dan syarikat di seluruh dunia untuk turut sama menyertai mereka dan mengurangkan import daripada negara Asia Barat.

Pengeksport utama minyak mentah, Arab Saudi telah berjanji akan mengekalkan bekalan dalam pasaran biarpun berhadapan dengan kritikan meluas berhubung pembunuhan wartawannya, Jamal Khashoggi.

Terdapat kebimbangan bahawa pasaran akan mengecil berikutan sekatan terhadap Iran dan Arab Saudi boleh mengurangkan bekalan sebagai membalas kemungkinan sekatan dikenakan terhadapnya berhubung dengan pembunuhan Khashoggi.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak Brent susut kepada AS$83.25 setong

SINGAPURA 8 OKT: Harga minyak mentah Brent susut lebih satu peratus hari ini selepas Washington dilaporkan berkata ia mungkin memberikan pengecualian sekatan ke atas eksport minyak Iran bulan depan.

Kejatuhan harga komoditi itu juga disebabkan faktor Arab Saudi yang dikatakan akan menggantikan sebarang potensi kekurangan bekalan daripada Tehran.

Niaga hadapan penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent berada pada AS$83.25 setong pada 0115 GMT, susut 91 cent atau 1.1 peratus daripada penutup yang terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) susut 57 cent atau 0.8 peratus kepada AS$73.77 setong.

Sekatan AS dijangka dilaksanakan ke atas eksport minyak Iran bermula 4 November dengan Washington memberi tekanan kepada kerajaan dan syarikat seluruh dunia untuk tidak mengimport minyak dari Tehran.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, pegawai kerajaan AS berkata, negara berkenaan mungkin mempertimbang pengecualian ke atas negara yang sudah mengurangkan import minyak Iran.

Dana lindung nilai mengurangkan kenaikan harga minyak mentah AS minggu terbaharu kepada paras terendah dalam tempoh hampir setahun, demikian menurut data yang dikeluarkan pada Jumaat.

Mengulas mengenai harga minyak mentah, Ketua Pedagang Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata terdapat juga ‘cakap-cakap’ yang Arab Saudi sudah menggantikan semua ‘kehilangan’ bekalan dari Iran.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga Minyak Brent naik 3 cent kepada AS$75.98 setong

SINGAPURA 30 OGOS: Pasaran minyak kekal kukuh hari ini, disokong penyusutan bekalan dari Iran menjelang pelaksanaan sekatan Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, pasaran memantau kenaikan pengeluaran daripada bukan ahli Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Niaga hadapan minyak mentah antarabangsa Brent berada pada AS$75.98 setong, naik tiga 3 cent daripada penutup semalam.

Niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) juga menokok tiga cent kepada AS$68.56 setong.

Peniaga berkata, harga minyak mentah disokong prospek sekatan AS ke atas Iran, yang mana sasaran ke atas industri minyak itu akan bermula November ini.

Dengan tekanan daripada Washington, kebanyakan pengimport minyak mentah sudah mengurangkan tempahan daripada pengeluar ketiga terbesar OPEC itu.

Meskipun Tehran menawarkan diskaun ke atas bekalannya, jumlah keseluruhan minyak mentah termasuk kondensat bulan ini dijangka berada pada 64 juta tong atau 2.06 juta tong sehari (bpd), berbanding tahap tertinggi 92.8 juta tong atau 3.09 juta bpd pada April, demikian menurut Thomson Reuters Eikon.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI GLOBAL

Harga minyak dunia mentah susut

SINGAPURA 15 OGOS: Harga minyak mentah susut hari ini, dipengaruhi oleh laporan peningkatan inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) dan unjuran ekonomi yang tidak memberangsangkan menyebabkan jangkaan permintaan bahan api yang rendah.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$72.14 setong, susut 32 cents, atau 0.4 peratus daripada penutup semalam.

AS West Texas Intermediate (WTI) pula susut 34 cents, atau 0.5 peratus kepada AS$66.70 setong.

Bekalan minyak mentah AS meningkat sebanyak 3.7 juta tong dalam minggu berakhir 10 Ogos lalu kepada 410.8 juta tong, menurut Institut Petroleum AS (API) semalam.

Menurut API, bekalan minyak mentah di pusat penghantaran, Cushing, Oklahoma juga meningkat sebanyak 1.6 juta tong.

“Harga minyak susut selepas data inventori API menunjukkan peningkatan bekalan minyak mentah di luar jangkaan minggu lalu,” kata Penganalisis Pelaburan di Rivkin Securities Australia, William O’Loughlin.

Data rasmi inventori bahan api AS dijangka dikeluarkan lewat petang ini. –

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Arab Saudi sambung semula eksport minyak

RIYADH 5 OGOS: Arab Saudi memaklumkan telah menyambung semula penghantaran minyak melalui Selat Bab al-Mandab, mengakhiri penggantungan selama 10 hari susulan serangan pemberontak di perairan Yemen.

Menteri Tenaga, Khaled al-Falih seperti dipetik oleh Saudi Press Agency sebagai berkata, keputusan itu dibuat setelah tindakan oleh tentera pakatan diketuai Arab Saudi dilakukan bagi memastikan keselamatan di selat tersebut serta Laut Merah.

“Langkah-langkah tertentu diambil dalam penyelarasan dengan komuniti antarabangsa,” katanya.

Selat Bab al-Mandab merupakan laluan perkapalan penting antara Semenanjung Arab dan Afrika yang menghubungkan Laut Merah ke Teluk Aden.

Pada 26 Julai lalu, Arab Saudi menggantung sementara penghantaran minyak melalui selat itu selepas dua kapal tangki minyak yang dikendalikan oleh syarikat penghantaran Bahri diserang.

SUMBER: AFP

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia jatuh

TOKYO 1 OGOS: Harga minyak merosot hari ini selepas data industri menunjukkan simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) mengalami kenaikan tidak dijangka.

Ia meletakkan permulaan bulan baharu dalam wilayah negatif selepas penurunan bulanan terbesar dalam tempoh dua tahun pada Julai.

 

Niaga hadapan minyak mentah Brent pada Oktober jatuh 29 cents, atau 0.4 peratus kepada AS$73.92 setong pada 0044 GMT, menambah kerugian kepada 1.8 peratus dalam sesi sebelumnya.

Niaga hadapan minyak mentah AS susut 44 cents, atau 0.6 peratus, pada AS$68.32 setong, kejatuhan hampir dua peratus pada Selasa.

Minyak mentah Brent merosot lebih enam peratus pada Julai, manakala niaga hadapan minyak mentah AS mencatatkan penurunan sekitar tujuh peratus, penurunan bulan terbesar bagi kedua-dua penanda aras itu sejak Julai 2016.

Data daripada Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan inventori minyak mentah domestik meningkat sebanyak 5.6 juta tong minggu lalu. Reuters menjangkakan kejatuhan sebanyak 2.8 juta tong.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
EKONOMI GLOBAL

Harga minyak didagang bercampur-campur

TOKYO 30 JUL: Harga minyak bercampur-campur pada awal dagangan hari ini dengan West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) didagangkan kukuh disokong oleh pertumbuhan ekonomi AS yang berkembang baik sementara Brent dibuka rendah selepas mencatatkan keuntungan mingguan pertamanya minggu lalu.

Niaga hadapan minyak mentah WTI AS naik 22 cent atau 0.3 peratus kepada AS$68.91 setong pada 0058 GMT. WTI turun 1.3 peratus pada Jumaat, susut empat minggu berturut-turut.

 

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 11 cent atau 0.2 peratus kepada AS$74.18 setong, selepas mencatatkan peningkatan 1.7 peratus minggu lalu, keuntungan pertama dalam tempoh empat minggu.

Ekonomi AS berkembang pada kadar paling pantas dalam tempoh hampir empat tahun pada suku kedua apabila pengguna meningkatkan perbelanjaan dan petani menggandakan penghantaran kacang soya ke China.

Bagaimanapun, data yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan bahawa syarikat tenaga AS menambah tiga pelantar minyak pada tempoh seminggu hingga 27 Julai, kali pertama dalam tempoh tiga minggu lalu ketika aktiviti penggerudian ditingkatkan.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia turun

TOKYO 27 JUL: Harga minyak turun pagi ini selepas mencatat kenaikan selama tiga hari.

Bagaimanapun, harga masih disokong pemberhentian penghantaran minyak mentah oleh Arab Saudi menerusi laluan perkapalan utama, penyusutan inventori Amerika Syarikat (AS) dan redanya ketegangan perdagangan antara Washington dan Eropah.

Brent turun enam cent pada AS$74.48 satu tong pada 0043 GMT, selepas menokok 0.8 peratus Khamis.

West Texas Intermediate (WTI) juga turun enam cent, pada AS$69.55 satu tong, selepas mencatat kenaikan 0.5 peratus dalam sesi sebelumnya.

Presiden Donald Trump dan Presiden Kesatuan Eropah (EU) Jean-Claude Juncker, mencapai kesefahaman Rabu lalu untuk mengakhiri risiko perang perdagangan antara kedua-dua kuasa besar dunia itu.

Perang perdagangan akan memberi kesan kepada komoditi seperti minyak, yang digunakan meluas dalam aktiviti perkapalan, pembinaan dan aktiviti ekonomi lain.

Arab Saudi berkata ia memberhentikan buat sementara penghantaran minyak menerusi laluan Bab al-Mandeb di Laut Merah selepas serangan tentera Houthi di Yaman.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia susut kesan eksport minyak mentah Iran

TOKYO 11 JUL: Harga minyak susut hari ini dengan Brent merosot lebih daripada AS$1 selepas Amerika Syarikat (AS) berkata ia akan mempertimbangkan pengecualian sekatan berikutan kesan yang dialami ke atas eksport minyak mentah Iran.

Niaga hadapan Brent susut AS$1.10 atau 1.4 peratus kepada $77.76 setong, manakala minyak mentah AS susut 68 cents, atau 0.9 peratus kepada AS$73.43.

Kedua-dua kontrak itu mencatatkan keuntungan dalam sesi terdahulu selepas data industri menunjukkan inventori susut lebih daripada jangkaan minggu lalu di AS.

Washington akan mempertimbangkan permintaan daripada beberapa negara yang mahu dikecualikan daripada sekatan itu yang akan berkuatkuasa pada November ini bagi menghalang Iran daripada mengeksport minyak, kata Setiausaha Negaranya, Mike Pompeo semalam.

“Terdapat beberapa negara yang datang ke AS dan memohon pelepasan berkenaan. Kami akan mempertimbangkannya,” kata Pompeo. Beliau bagaimanapun tidak menamakan negara berkenaan.

Terdahulu, Washington memberitahu negara sekutunya perlu menghentikan semua import minyak Iran bermula 4 November ini atau akan berhadapan dengan langkah kewangan AS, tanpa sebarang pengecualian.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI GLOBAL

Harga minyak dunia terus susut

SINGAPURA 19 JUN: Harga minyak dunia jatuh hari ini berikutan jangkaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu utama Russia akan meningkatkan pengeluaran secara beransur-ansur setelah menahan bekalan sejak 2017.

Selain itu, pertikaian perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meningkat, apabila kedua-dua pihak mengugut untuk mengenakan tarif pada barangan eksport utama masing-masing, turut menjejaskan pasaran dan mendorong penjualan besar-besaran saham di China.

Indeks saham Shanghai menyusut di bawah 3,000 mata untuk kali pertama dalam hampir 21 bulan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$74.90 setong pada 0241 GMT, turun 44 cents atau 0.6 peratus dari penutupan terakhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$65.55 setong, turun 30 cents atau 0.5 peratus.

OPEC bersama-sama dengan sekumpulan bukan OPEC termasuk Russia mula mengurangkan bekalan minyak pada tahun lalu bagi meningkatkan harga komoditi itu.

Berikutan kenaikan mendadak harga minyak dari paras AS$30 setong pada 2016, kumpulan itu pada 22 Jun ini akan bertemu di Vienna, Austria, untuk membincangkan dasar masa depannya.

Ketua Strategi Pasaran AxiTrader, Greg McKenna, berkata kemungkinan akan berlaku turun naik harga minyak pada minggu depan menjelang pertemuan itu.

“OPEC telah goyah atau sedang goyah,” kata McKenna, susulan Iran, Venezuela dan Iraq “berusaha untuk memberikan veto ke atas peningkatan pengeluaran masing-masing”.

SUMBER: REUTERS