Categories
NASIONAL

Rafizi: Apa yang membezakan Malaysia dengan negara pengeluar minyak lain?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 OKT: Berbeza dengan rakyat di negara pengeluar minyak lain yang menikmati harga petrol dan diesel lebih rendah, rakyat negara ini terpaksa membeli setiap liter bahan api itu pada harga tinggi.

Perbezaan itu terjadi berikutan negara lain memastikan keuntungan daripada hasil keuntungan jualan minyak mentah di pasaran antarabangsa dikongsikan dengan rakyat dalam bentuk mengurangkan harga runcit petrol dan diesel bagi pasaran tempatan.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, sebaliknya Malaysia pula menyalurkan keuntungan jualan minyak mentah itu kepada projek yang tidak memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.

Demo Bantah Minyak Naik Depan Parlimen (11)“Keputusan soal harga minyak perlu dilihat soal keputusan Barisan Nasional (BN) menggunakan keuntungan minyak untuk projek lain dan pada masa sama memotong subsidi minyak.

“Ini berbeza dengan negara lain yang mempraktikkan kekayaan minyak adalah kekayaan rakyat bersama.

“Malaysia juga sekurang-kurangnya perlu mengekalkan prinsip kekayaan minyak milik rakyat dengan memastikan minyak kekal rendah,” kata Rafizi ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Rafizi menganggap alasan kerajaan BN yang kononnya terpaksa membayar subsidi petrol dan diesel yang tinggi tidak boleh diterima serta memperbodohkan rakyat.

“Dia cuma sebut bila harga minyak tinggi kerajaan kena bayar harga tinggi tetapi tak pula sebutkan bila harga minyak dunia tinggi kerajaan juga dapat keuntungan tinggi sebab kita adalah negara pengeluar minyak.

rafizi“Kerajaan terus gunakan bermacam alasan, terpaksa bayar subsidi tinggilah dan lain-lain tetapi salurkan kepada projek yang belum tentu beri manfaat atau hanya manfaat kecil sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, alasan yang digunakan BN sering memakan diri apabila harga petrol dan diesel tempatan kekal tinggi, tatkala harga pasaran antarabangsa jatuh merudum.

Jelas beliau, walaupun Malaysia dan negara pengeluar lain terikat dengan harga pasaran minyak dunia tetapi yang membezakan adalah prinsip berkongsi kekayaan minyak mentah bersama rakyat masing-masing.

“Pembayaran fizikal subsidi kerajaan kepada Petronas memang ada apabila kena bayar mengikut persetujuan syarikat minyak itu lebih tinggi daripada harga pasaran dibeli rakyat di stesen petrol.

“Negara lain pula, walaupun tertakluk dengan harga pasaran minyak mentah antarabangsa tetapi mereka mengambil pendirian gunakan keuntungan jualan minyak di pasaran antarabangsa untuk memastikan harga pasaran petrol dan diesel untuk rakyat mereka kekal rendah,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

FOMCA: Harga minyak naik undang kadar kemalangan meningkat

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 OKT: Kenaikan harga bahan api diumumkan Kerajaan Pusat berisiko tinggi meningkatkan kadar kemalangan maut jalan raya.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ia ekoran pengguna yang mahu berjimat menukar kenderaan daripada kereta menggunakan motosikal.

harga-minyak-naik-20-sen“Kita maklum penggunaan motosikal berisiko tinggi terbabit dalam kemalangan. Kita bimbang jika ramai menggunakan motosikal statistik kemalangan makin lama makin bertambah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pengguna juga mempunyai pilihan terhad berikutan kekurangan kemudahan pengangkutan awam.

“Ramai terpaksa menggunakan kenderaan sendiri kerana tiadanya pengangkutan awam di kawasan tempat tinggal atau tempat kerja. Ada kalanya masa juga agak lama bagi menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata rakyat berpendapatan rendah dan sederhana adalah golongan majoriti yang akan dibebani masalah itu secara tidak langsung memberi kesan kepada kenaikan harga barangan lain.

Katanya, peniaga kebiasaannya akan menaikan harga barangan jualan apabila berlaku kenaikan harga bahan bakar berkenaan.

“Ini kerana sebahagian besar barangan jualan membabitkan penggunaan pengangkutan untuk tujuan pasaran,” katanya.

Harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan ekoran keputusan kerajaan menurunkan subsidi minyak dan diesel sebanyak 20 sen.

Berikutan itu harga petrol RON95 dinaikkan kepada RM2.30 seliter daripada RM2.10 dan diesel RM2.20 daripada RM2.

EZY

Categories
NASIONAL

Kerajaan tak patut naikkan harga minyak ketika harga dunia menurun

SHAH ALAM 3 OKT: Kerajaan Umno-BN tidak patut menaikkan harga minyak sedangkan harga pasaran minyak dunia turun pada waktu ini.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri, berkata beliau menolak alasan kerajaan bahawa langkah rasionalisasi subsidi dibuat demi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

10620721_10204989166748217_6728577552286016461_n“Dasar rasionalisasi subsidi kerajaan bukan untuk menampung harga minyak untuk kesenangan rakyat, tetapi untuk menyembunyikan kerugian jual beli minyak negara.

“Kerajaan Umno BN sudah terbeban dengan hutang piutang melampau dan saya jangkakan bahawa negara jual beli minyak dunia dengan kontrak hadapan yang tidak menguntungkan,” kata Yahya dipetik Keadilan Daily.

Katanya, kenaikan harga bahan bakar itu menjejaskan kesemua sektor ekonomi dan mengakibatkan harga barangan lain mengalami kenaikan, apabila kos pengangkutan meningkat.

“Walaupun kenaikan hanya bernilai 10 sen atau 20 sen, ia tetap akan memberikan kesan kepada rakyat untuk mengurus kehidupan seharian,” katanya.

Pada 1 Oktober 2014, media antarabangsa melaporkan bahawa harga minyak dunia merosot dengan kontrak utama Amerika Syarikat jatuh 3.6 peratus kerana permintaan yang rendah dan lembab.

Harga minyak dunia kini berada pada USD90.73 setong, iaitu jatuh mendadak berbanding harga pada bulan Julai iaitu USD103 setong.

EZY

 

Categories
NASIONAL

Minyak naik: Kerajaan Umno-BN yang patut bersyukur

SHAH ALAM 3 OKT: Kerajaan Umno-BN sepatutnya bersyukur kepada rakyat di negara ini kerana mereka sehingga kini masih tidak dapat menumbangkan Umno BN.

Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai membidas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek baru-baru ini yang menyatakan rakyat perlu bersyukur dengan kenaikan harga minyak dan petrol.

hasan malekMing Kai berkata pemimpin Umno seperti Hasan tidak memahami realiti dihadapi golongan miskin kerana beliau sendiri dikategori sebagai golongan kaya.

“Hasan selalu buat kenyataan yang langsung tak masuk akal,” katanya dipetik Keadilan Daily.

Menurutnya lagi, rakyat di luar negara pasti mengambil tindakan untuk menumbangkan sesebuah kerajaan jika situasi yang sama berlaku di sana.

“Jika berlaku di negara luar, pasti sama ada rakyatnya akan tumbangkan kerajaan melalui pilihan raya atau di jalan raya,” katanya.

Harga petrol RON95 dan diesel mengalami kenaikan sebanyak 20 sen seliter dengan menjadikan harga runcit baharu bagi RON95 ialah RM2.30 manakala diesel, RM2.20.

“Kita bukan kaya macam mereka, semua harga barang naik, minyak dah mula naik. Selepas ni bila barang dikenakan GST, rakyat sudah tidak mampu menampung segala kenaikan dengan pendapatan yang diperoleh sekarang ni.

“Inilah jadinya bila kerajaan sendiri boros, rakyat yang terpaksa tampung ‘sakit’ nya,” katanya.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

Bersyukur atau protes: SAMM jawab kenyataan Menteri

Oleh: Ahmad Anwar Asyraf

Kenyataan Menteri KPDNKK, YB Datuk Hassan Malek yang meminta rakyat bersyukur dengan kenaikan harga bahan bakar dilihat begitu menghiris perasaan rakyat. Sama ada Menteri ini tidak sengaja mengeluarkan kenyataan itu atau sememangnya tidak mempunyai tahap pemikiran seorang pemimpin.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat pihak kerajaan tidak mempunyai alasan yang releven untuk kenaikan harga bahan bakar yang menjadi kunci kenaikan kos sara hidup. Ketika ini harga minyak pasaran dunia merundum ke aras paling rendah dalam tempoh 3 tahun.

hasan malekMengapa kerajaan tergamak menaikkan harga minyak domestik?

Kata-kata untuk menjimatkan perbelanjaan negara, pembangunan luar bandar, menaiktaraf sistem pengangkutan awam, menambah kadar BR1M dan sebagainya hanyalah satu penyedap halwa telinga sahaja.

Imbas kembali, zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu kenaikan harga bahan bakar mencecah 78 sen seliter, yang ketika itu harga minyak global mencanak tinggi.

Maka lebihan pendapatan dari kenaikan itu kononnya digunapakai untuk menaik-taraf pengangkutan awam. Apa hasilnya? Hanya lambakan bas-bas Rapid yang tersadai menjadi besi buruk kerana urustadbir yang penuh ketirisan.

September 2013, Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Najib Razak umum kenaikan harga bahan bakar RON95 dan Diesel untuk menjimatkan perbelanjaan negara. Sama juga alasannya ketika ini.

Namun, siapakah yang boros dan tidak amanah dalam mengurus perbelanjaan? Rakyat atau Kerajaan? Banyak kelompongan dalam pengurusan perbendaharaan negara yang tidak diatasi sehingga kini.

Alasan menteri kononnya kenaikan harga bahan bakar kali ini didorong oleh langkah untuk mencegah penyeludupan. SAMM melihat sepatutnya pihak kerajaan pertingkat operasi di pintu sempadan untuk mencegah penyeludupan. Bukan menghukum rakyat di atas kebocoran sempadan.

Semua lorong-lorong tikus laluan penyeludup perlu dipantau rapi yang melibatkan pelbagai agensi. Atau apakah agensi-agensi terbabit di pintu sempadan telah gagal sama sekali sehingga Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil langkah menaikkan harga bahan bakar?

Sekali lagi, Kerajaan Persekutuan menggunakan hujah kononnya harga bahan bakar kita antara yang termurah. SAMM berpandangan tidak patut jika ingin dibandingkan dengan negara “net importer” lain kerana hakikatnya kita adalah negara “net exporter” petroleum.

Rakyat juga sering dimomokkan dengan ungkapan sumber minyak negara semakin habis sedangkan penemuan-penemuan telaga minyak baru sering sahaja dirahsiakan daripada pengetahuan khalayak umum.

Adalah tidak adil juga jika kita membandingkan harga bahan bakar di antara negara kita dan negara jiran dengan menggunakan matawang kita. Umum mengetahui bagaimana nilai matawang kita yang semakin rendah berbanding matawang negara jiran.

Tambahan lagi, kita juga harus melihat Pendapatan Per Kapita negara tersebut berbanding dengan kita. Dengan kuasa beli mereka yang besar walaupun harga minyak mereka tinggi, ia tidak akan mengganggu keadaan taraf hidup rakyat mereka.

Apa pun hujahnya, kenaikan harga bahan bakar ini menunjukkan kegagalan dahsyat Perdana Menteri dan Kabinetnya dalam menjaga amanah menguruskan perbendaharaan negara. Lantas, mengambil jalan mudah menaikkan harga bahan bakar bagi membendung defisit yang semakin membesar.

Untuk kesekian kalinya, rakyat Malaysia harus membayar harga yang mahal diatas siri kelemahan dan kegagalan Perdana Menteri dan kabinetnya mengurustadbir negara. Maka rakyat harus protes, bukan bersyukur membabi-buta.

* Ahmad Anwar Asyraf adalah Pengarah Badan Penyelidik Solidariti Anak Muda Malaysia

Categories
NASIONAL

Keperluan asas kurang lagi menjelang Ramadan, KPDNKK pelu ambil langkah proaktif

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JUN: Kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum di pasaran yang berlaku sejak dua minggu ini perlu diberi perhatian khusus ekoran menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Pengerusi Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Shari, berkata kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu mengambil langkah proaktif dan serius dalam menangani isu yang sering berlaku itu.

Katanya, isu kekurangan bekalan keperluan asas sudah berlaku sejak tahun 1960, namun sehingga kini tiada langkah drastik diambil bagi menangani isu itu menjelang musim perayaan.

1yahya-1024x460Beliau berkata, masalah yang sering berlaku itu dilihat seakan dirancang dan mempunyai usaha komplot pihak tertentu dalam usaha menaikkan harga barangan.

“Kami di Biro Kepenggunaan menerima aduan dan reaksi daripada pengguna khususnya di Selangor dan Kedah. Kami bimbang jika ia berterusan, akan menyebabkan kekurangan bekalan di setiap kedai runcit dan pasaraya.

“Minyak masak paket juga kurang berbanding minyak masak botol. Ini sangat merisaukan pengguna kerana tuntutan bekalan itu meningkat menjelang perayaan.

“Kita bimbang jika peniaga terpaksa mengawal pembelian dengan hanya boleh membeli satu paket untuk satu keluarga sahaja,” katanya ketika di hubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Yahya menyarankan kementerian memantau secara terus bekalan itu melalui semua rantaian pengeluar termasuk pengilang, pembekal, pemborong dan peniaga.

“Agensi yang terbabit boleh menyemak data pengeluaran harian daripada rantaian itu bagi memastikan keluar masuk barangan.

“Ia bukan satu tindakan yang sukar jika dilakukan secara berterusan. Agensi terbabit juga perlu mempunyai integriti yang tinggi dan mereka perlu berusaha lebih bersungguh untuk menangani perkara ini,” katanya.

DSCN5256Baru-baru ini, tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasaraya negeri ini mendapati dua bekalan itu mula berkurangan, bahkan peniaga kedai runcit dan pasar mini turut berdepan masalah stok minyak masak dalam paket.

Di Kedah, dua keperluan asas itu dilaporkan habis di pasaran dan peniaga sukar untuk mendapatkan bekalan.

Rentetan daripada permintaan yang melebihi pengeluaran atau bekalan itu, harga dua barang yang disenaraikan di bawah barang kawalan juga sudah tidak terkawal.

Harga jualan minyak masak meningkat sehingga RM3.20 sekilogram berbanding RM2.50 sebelum ini, manakala tepung gandum kepada RM1.80 sekilogram berbanding RM1.35, khususnya di kawasan luar bandar.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Sistem subsisdi baru bahan api, tingkat risiko penyelewengan

Oleh: RAFIZI RAMLI

Laporan-laporan berita yang mengesahkan bahawa Barisan Nasional sedangmemuktamadkan satu sistem subsidi baru petrol dan diesel sudah tentu menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan di kalangan rakyat.

Setakat ini, laporan-laporan berita memberi gambaran bahawa sistem subsidi baru petrol dan diesel itu akan beroperasi seperti berikut:

1. Subsidi petrol dan diesel hanya akan diberikan kepada golongan tertentu mengikut kadar pendapatan. Setakat ini, laporan menyebut jumlah pendapatan yang dipertimbangkan ialah RM5,000 ke bawah (bermakna bagi mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah, mereka masih boleh membeli petrol dan diesel pada harga subsidi);

2. Bagi mereka yang berpendapatan di antara RM5,000 hingga RM10,000, pengguna hanya diberikan kuota bulanan tertentu untuk membeli petrol dan diesel bersubsidi. Sekiranya jumlah penggunaan melebihi kuota bulanan, pengguna perlu membayar harga pasaran;

3. Bagi mereka yang berpendapatan lebih RM10,000 sebulan, pengguna perlu membeli pada harga pasaran.

Saya kerap kali memberi amaran kepada Barisan Nasional supaya sebarang keputusan yang melibatkan kebajikan rakyat perlulah dibincangkan dan mengambil pandangan umum supaya keputusan itu tidak membelakangkan hasrat rakyat.

Rombakan sistem subsidi petrol dan diesel adalah satu keputusan besar yang akan mempunyai kesan mendalam kepada rakyat. Dalam keadaan harga barang terus meningkat dan tangga gaji masih belum berjaya dilonjakkan, sebarang perubahan yang drastik terhadap harga petrol dan diesel sudah tentu akan mempunyai kesan berganda kepada harga barang.

Oleh sebab itu, Barisan Nasional wajar membentangkan cadangan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel ini ke Parlimen terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Rakyat perlu diberikan masa yang secukupnya, sekurang-kurangnya satu tahun untuk memberi pandangan sebelum sistem baru subsidi petrol dan diesel ini berkuatkuasa, mengambil kira kesusahan yang telah pun dialami rakyat akibat kenaikan harga petrol, elektrik, gula dan barang-barang keperluan lain.

Berdasarkan maklumat yang dilaporkan setakat ini, saya khuatir sistem subsidi baru petrol dan diesel ini akan mewujudkan pasaran gelap yang menjual petrol dan diesel seperti berikut:

1. Kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi boleh membeli secara kerap dan menyimpan petrol dan diesel ini;

2. Mereka kemudian menjual kepada ejen pasaran gelap yang membeli petrol dan diesel ini pada harga yang lebih tinggi;

3. Ejen pasaran gelap kemudian menjual petrol dan diesel ini pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran kepada syarikat, pengusaha atau pun orang persendirian yang mahu mendapatkan harga petrol dan diesel pada harga yang lebih rendah.

Misalnya, jika harga subsidi satu liter petrol adalah RM2.10 dan harga pasaran adalah RM2.80 satu liter, pasaran gelap berikut boleh berlaku:

1. Kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi menjualnya pada harga RM2.30 satu liter kepada ejen pasaran gelap;

2. Ejen pasaran gelap menjualnya pada harga RM2.50 satu liter kepada syarikat, pengusaha dan orang persendirian yang membeli dari pasaran gelap.

Jelas bahawa sistem subsidi baru yang dilaporkan mempunyai risiko ketirisan subsidi yang tersendiri, seperti mana sistem sekarang yang sering dipersalahkan oleh Barisan Nasional sebagai punca berlakunya penyeludupan.

Saya khuatir sekiranya sistem baru subsidi ini tidak diperhalusi dan dibincangkan secara terbuka, apabila dilaksanakan kelak ia mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel yang menimbulkan masalah baru yang lebih besar dari masalah penyeludupan sedia ada kerana ia melibatkan lebih ramai orang dan rakyat biasa.

Ini sudah tentu tidak berbaloi apabila dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi oleh rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel serta kesan kenaikan berganda kepada harga barang, sedangkan ketirisan subsidi petrol dan diesel yang dijadikan alasan untuk menukar sistem makin berleluasa.

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya Barisan Nasional membentangkan secepat mungkin segala butiran sistem baru subsidi petrol dan diesel ini serta dibahaskan di Parlimen dalam sidang yang bermula minggu depan, sebelum sebarang keputusan diambil.

Saya akan terus mengeluarkan kenyataan media dan menyemak keputusan Barisan Nasional mengenai rombakan sistem subsidi petrol dan diesel ini bermula hari ini.

#Rafizi Ramli adalah Ahli Parlimen Pandan

Categories
NASIONAL

Dr Dzulkefly: Minyak naik 20 sen, IHP tertinggi dalam tempoh 20 bulan

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 12 JAN: Kenaikan harga petrol RON 95 sebanyak 20 sen oleh Kerajaan Pusat menyebabkan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat tertinggi dalam tempoh 20 bulan.

Pengarah Eksekutif Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kenaikan yang tertinggi dalam tempoh itu menyebabkan kos sara hidup rakyat semakin meningkat dan membebankan.

najib minyakIHP bagi tempoh Januari hingga November 2013 meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada 107.0 dibandingkan dengan 104.9 pada tempoh yang sama tahun lepas.

Berbanding dengan bulan sama tahun 2012, IHP November 2013 mencatatkan kenaikan sebanyak 2.9 peratus daripada 105.5 kepada 108.6 dan apabila dibandingkan dengan bulan sebelumnya, IHP merekodkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus.

“Pada September, Kerajaan Pusat menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen maka berlaku kenaikan dalam IHP melonjak dalam tinggi dalam tempoh 20 bulan terdahulu.

“Berapa barang yang akan naik sekaligus selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

dr dzul close 02“Inflasi yang berlaku ini disebabkan oleh Najib Razak dan suku sakatnya, hanya kerana itu (minyak) sahaja kenaikan 20 sen itu kesannya amat mendadak,” kata beliau.

Katanya, kenaikan tarif elektrik oleh Kerajaan Pusat juga mencetuskan kesan rantaian kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang parah seterusnya memberikan kesan kepada perbelanjaan rakyat.

“Kesan kenaikan tarif elektrik itu memberi pengaruh kepada proses pembuatan makanan dan perkhidmatan yang akan meningkatkan harga di pasaran,” kata beliau di Dialog Kenaikan Kos Sara Hidup anjuran PAS Johor yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, IHP bagi kawasan bandar dan luar bandar bagi November 2013 masing-masing naik sebanyak 2.9 dan 3.0 peratus berbanding dengan bulan yang sama tahun 2012.

Berbanding dengan bulan sebelumnya, IHP bagi kawasan bandar dan luar bandar masing-masing naik sebanyak 0.3 peratus.

harga-naikIHP bagi kumpulan pendapatan kurang daripada RM3,000 mencatatkan kenaikan sebanyak 3.2 peratus daripada 105.7 kepada 109.1 berbanding bulan yang sama 2012 dan apabila dibandingkan dengan bulan sebelumnya, IHP naik sebanyak 0.3 peratus.

Bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol bulan November 2013 pula, sebanyak 4.0 peratus kenaikan dicatatkan berbanding bulan yang sama tahun 2012.

EZY