Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sukarelawan Selangor agih bantuan makanan, kelengkapan ibadah kepada penduduk Yan

YAN BESAR, 1 SEPT: Sebanyak 1,200 bakul makanan diagih oleh Sukarelawan Selangor (SERVE) kepada penduduk di Yan, Kedah dalam misi bantuan mangsa bencana fenomena kepala air.

EXCO Pembangunan Generasi Muda berkata seramai 50 sukarelawan digerakkan bagi menyertai misi bantuan selama tiga hari bermula semalam.

Mohd Khairuddin Othman memaklumkan misi bantuan tidak hanya memfokuskan agihan sumbangan makanan tetapi juga keperluan ibadah seperti telekung, sejadah dan set barangan dapur.

“Walaupun belum dilancar tetapi SERVE sudah digerakkan ke Yan, Kedah bagi membantu penduduk di sana yang perlukan bantuan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Secara keseluruhan, misi pertama SERVE berjaya dan boleh beri A+ kerana semua mereka berdikari dalam memberi khidmat kepada mangsa bencana,” katanya ketika ditemui pada Misi Bantuan Kerajaan Selangor di Yan, Kedah.

Pada 18 Ogos daerah Yan dilanda banjir kilat dipercayai akibat fenomena kepala air dari kawasan air terjun di kaki Gunung Jerai sehingga memusnahkan beberapa kediaman dan meragut enam nyawa penduduk sekitar kawasan terbabit.

Susulan itu, pada 29 Ogos,  ahli SERVE digerakkan ke Yan, Kedah bagi membantu mangsa bencana fenomena kepala air selaras dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas dan berbanding PeBS yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

Kerajaan Selangor menyasarkan 2,800 ahli atau 50 ahli di setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini manakala pada tahun hadapan sasaran 5,600 ahli atau 100 orang di seluruh DUN.