Oleh Syed Azwan Syed Ali
KUALA LUMPUR, 23 NOV: Baru-baru ini seorang wakil rakyat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah membangkitkan isu ‘miskin digital’, yang ramai melihat hanya dari segi keupayaan ekonomi seseorang dalam memiliki komputer, telefon dan akses kepada sambungan internet pantas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, ‘miskin digital’ juga merujuk kepada individu yang tidak mahir menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu dilaporkan berkata, seseorang itu dianggap ‘miskin digital’ jika tidak mahir menggunakan ICT kerana dalam dunia hari ini, orang ramai bekerja, berniaga dan berurusan melalui dalam talian.
Pada hari sama, ahli-ahli parlimen dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat turut menyentuh mengenai isu jurang digital dan cabaran pendidikan pasca Covid-19.
Dengan penutupan sekolah sehingga Januari tahun hadapan, mahu tidak mahu, lebih 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara terpaksa meneruskan sesi pengajian secara dalam talian.
Ini tidak termasuk ratusan ribuan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang turut terjejas.
Pun begitu, realiti pembelajaran dalam talian adalah normal baharu yang telah diterima ibu bapa di Malaysia akibat penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.
Merujuk kepada kajian Kementerian Pendidikan (KPM), Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dalam perbahasan di Dewan Rakyat berkata, 37 peratus pelajar di bawah KPM tidak mempunyai sebarang peranti bagi sesi pembelajaran dalam talian.
Angka ini bersamaan 1.7 juta pelajar yang tidak mempunyai sama ada telefon pintar, tablet atau komputer iaitu peranti yang menjadi pra-syarat untuk membolehkan mereka belajar dalam talian.
Ini bermakna, jika takrifan di atas diambil kira, 1.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah secara automatik tergolong dalam kelompok ‘miskin digital’ dan ini realiti yang amat menyedihkan!
Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) dalam perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini menegaskan isu capaian internet harus diberikan perhatian, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“(Mereka) tiada akses (internet), tiada komputer. Ramai ibu bapa yang tiada kemampuan untuk beli komputer,” kata wakil rakyat dari Sarawak itu yang turut mencadangkan dana khas diperuntukkan bagi mengatasi isu jurang digital.
Seperti yang kita maklum, isu jurang digital atau miskin digital adalah lebih parah di Sabah dan Sarawak apabila lebih 50 peratus pelajarnya dilaporkan tiada akses internet dan tiada peranti yang diperlukan bagi pembelajaran dalam talian.
Jika diteliti Belanjawan 2021 yang dicadangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), KPM menerima peruntukan terbesar iaitu RM50.4 bilion atau mewakili 15.6 peratus daripada keseluruhan RM322.5 bilion peruntukan belanjawan negara.
Pun begitu majoriti daripada peruntukan yang melibatkan isu jurang digital diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Kerajaan antara lain memperuntukkan RM500 juta bagi merapatkan jurang digital melalui Inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) dengan tujuan meningkatkan akses internet di 430 sekolah.
Sejumlah RM7.4 bilion juga akan diperuntukkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meningkatkan khidmat jalur lebar pada tahun 2021 dan 2022.
Dilaporkan, syarikat telekomunikasi juga akan menyediakan data percuma bernilai RM1.5 bilion kepada pengguna.
Berbalik kepada isu miskin digital, Belanjawan 2021 ada menyentuh secara langsung bantuan kepada kelompok pelajar terbabit melalui inisiatif GLC/GLIC di bawah seliaan Yayasan Hasanah yang akan menyumbang RM150 juta kepada Dana Cerdik untuk memberi komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah perintis.
Jika kajian KPM yang mendapati 1.7 juta pelajar tiada peranti untuk pembelajaran dalam talian dirujuk, maka inisiatif Yayasan Hasanah itu hanya menampung sebahagian keperluan yang ada buat masa ini.
Harus diingat 1.7 juta pelajar terbabit, sebahagian besarnya adalah daripada kelompok B40 iaitu keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang RM4,800 sebulan.
Perbahasan di Dewan Rakyat turut menyaksikan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) mencadangkan mengenai pelepasan cukai untuk membeli komputer bagi dua anak dari sebuah keluarga.
Cadangan ini baik, namun harus diingat bahawa majoriti daripada ibu bapa terbabit bukanlah pembayar cukai dan tidak berkemampuan.
Dalam era digital sekarang yang dipacu normal baharu pandemik Covid-19, urusan dan interaksi dalam talian termasuk pembelajaran dalam talian bukan lagi pilihan sebaliknya ia satu keperluan.
Malah secara puratanya, bayaran telekomunikasi bulanan yang adalah utiliti ketiga keperluan sesebuah keluarga menelan kos tinggi ketika isu akses jalur lebar dan khidmat syarikat telekomunikasi yang masih perlu ditambah baik.
Penulis, contohnya, membayar kira-kira RM120 sebulan bagi bil elektrik dan air tetapi membelanjakan purata RM250 sebulan untuk kos telekomunikasi (akses internet) bagi tiga telefon pintar yang dikongsi bersama ahli keluarga.
Tidak dinafikan peruntukan RM1.5 bilion dalam bentuk kredit RM180 setiap individu bagi lapan juta penerima manfaat B40 untuk langganan internet atau menampung kos membeli telefon akan membantu rakyat. Ini tentunya akan memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.
Bagaimanapun, pihak terbabit khususnya syarikat telekomunikasi boleh menyumbang ‘lebih’ kepada pengguna (rakyat) dengan menurunkan lagi harga data internet tanpa mengurangkan kualiti akses internet.
Hakikatnya, kos komunikasi adalah satu keperluan dan dengan keuntungan berbilion ringgit, inilah masanya untuk syarikat telekomunikasi membantu kerajaan dan rakyat yang kini terjejas akibat Covid-19.
Penulis mencadangkan agar kerajaan boleh mempertimbangkan keluarga yang tergolong ‘miskin digital’, dibenar mengeluarkan simpanan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah pengeluaran pendidikan bagi membeli peranti (komputer riba, tablet atau telefon pintar) untuk tujuan pembelajaran dalam talian kepada anak mereka. (Kadar pengeluaran sesuai boleh ditentukan pihak KWSP)
Ketika ini, pengeluaran bagi tujuan pendidikan di bawah Akaun 2 KWSP hanya meliputi pembayaran kos pengajian sahaja.
Mungkin ada cerdik pandai ekonomi atau kelompok tidak terjejas (berkeupayaan dari segi kewangan) yang akan melihat cadangan ini sebagai ‘simplistic’, tetapi inilah suara golongan bawahan yang memerlukan.
Percayalah, mereka (ibu bapa) yang tergolong dalam ‘miskin digital’ tidak akan mengambil hak orang lain (kelompok tidak terjejas) tetapi menggunakan simpanan titik peluh sendiri untuk masa hadapan anak mereka!
Realitinya, kerajaan tidak perlu mencari peruntukan baharu tetapi hanya perlu membenarkan mereka yang layak untuk membuat pengeluaran khas pendidikan dari Akaun 2 KWSP.
Hanya dengan cara ini kelompok ‘miskin digital’ akan dibantu dengan menyeluruh. Hanya dengan mekanisme ini 1.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah terbabit boleh dikeluarkan dari kepompong ‘miskin digital’ secara bersasar dan berkesan.
(Artikel ini adalah semata-mata pandangan peribadi penulis)
– BERNAMA