Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Zakat Selangor bina semula 18 rumah mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) sudah mengenal pasti 18 buah rumah asnaf fakir dan miskin yang perlu dibina semula akibat terjejas banjir tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata proses membina semula kediaman mangsa banjir itu bermula Mac ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

“Pembinaan rumah ini dikendalikan unit hartanah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan akan berusaha menyiapkannya secepat mungkin supaya mangsa dapat pulang segera ke kediaman mereka.

“Ketika ini, mangsa yang terkesan kini menetap di kediaman yang disewakan LZS. Bagi projek baik pulih rumah pula, ia sedang giat dilaksanakan dengan peruntukan lebih RM3 juta,” kata Saipolyazan M Yusop kepada Selangorkini.

Katanya, lebih 50,000 keluarga sudah menerima sumbangan tunai RM600 menerusi inisiatif LZS Peduli yang disalur secara berperingkat sejak 28 Disember tahun lalu.

Sebelum ini, LZS mengumumkan rancangan membina semula 32 rumah asnaf fakir dan miskin yang terjejas banjir bulan lalu manakala 150 rumah lagi akan dibaik pulih.

Pada 20 Disember lalu, agensi itu mengumumkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas banjir di Selangor.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada setiap ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan mangsa banjir selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS: Klang catat paling ramai asnaf fakir, miskin

SHAH ALAM, 21 DIS: Klang merekodkan daerah paling ramai mempunyai golongan asnaf fakir dan miskin di negeri ini, menurut Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi berkata berdasarkan data yang belum diaudit dari Januari hingga Oktober, seramai 10,256 keluarga didaftarkan dalam kategori berkenaan di daerah itu.

“Terima kasih kepada semua pengeluar zakat di Selangor. Sebanyak 2.5 peratus zakat yang anda tunaikan dapat meringankan beban mereka yang berhak,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, pihak LZS menziarahi beberapa keluarga asnaf di daerah tersebut untuk melihat keperluan mereka bagi menyalurkan sumbangan.

Pada 30 April lalu, Klang mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu 11,571 penerima dengan peruntukan sebanyak RM5.3 juta.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Program pembasmian kemiskinan terima RM10.4 juta

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Program pembasmian kemiskinan menerima peruntukan RM10.4 juta menerusi Belanjawan 2018 untuk meneruskan pelaksanaan program, pada tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu termasuk program Jom Shopping iaitu bantuan baucar perayaan sempena Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

“Sementara program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan iaitu pemberian bantuan peralatan perniagaan seperti mesin memproses makanan dan mesin jahit memulakan perniagaan akan diteruskan dengan peruntukan RM2 juta,” katanya.

Sementara itu, katanya, program Kerajaan Prihatin akan mempergiatkan komitmen membantu golongan miskin berpendapatan isi rumah bawah RM1,500 sebulan memiliki rumah selesa dan selamat melalui peruntukan RM1.5 juta.

Beliau berkata, peruntukan itu meningkat setengah juta berbanding RM1 juta, pada tahun ini.

“Usaha ini dijangka dapat membantu 120 keluarga bagi 2018 berbanding 81 keluarga yang menerima bantuan Kerajaan Prihatin, pada 2017,” katanya.