Categories
NASIONAL

Kolam Udang Haram Cemar Paya Bakau Di Tanjung Karang

TANJUNG KARANG, 21 FEB: Keunikan hutan bakau semula jadi sepanjang pantai di Tanjung Karang tercemar akibat penerokaan secara haram dengan menjalankan projek penternakan udang secara haram.

Projek penternakan udang ini didakwa oleh Naib Yang Dipertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman sebagai milik kroni Umno.

“Pantai Selangor ini memang unik, mempunyai hidupan akuatik yang bernilai tinggi seperti kerang, mentarang dan sebagainya yang tidak terdapat di negeri-negeri lain dalam Malaysia Barat ini.

“Tetapi sayang, kawasan pantai lumpur sepatutnya dijadikan kawasan ini hutan simpan negeri Selangor,” jelasnya.

Jelasnya lanjut, akibat aktiviti penternakan haram itu menyebabkan kawasan pantai Selangor yang terkenal dengan kerang dan benihnya yang bermutu tercemar.

Pencemaran ini menyebabkan kemusnahan habitat semula jadi haiwan-haiwan akuatik di kawasan paya bakau itu.

“Sekarang, benih kerang yang bermutu tinggi dari sepanjang pantai Jeram hingga Kuala Selangor sudah tidak lagi sebanyak dahulu, dah susut banyak,” beritahu Misran ketika membuat tinjauan ke lokasi terbabit baru-baru ini.

Beliau juga memberitahu, keadaan ini menyebabkan penduduk di sepanjang kawasan ini termasuk di Sungai Burong kehilangan salah satu sumber mata pencarian mereka.

“Disebabkan benih kerang dah terjejas teruk, maka pendapatan penduduk di sini terjejas dan tidak mustahil suatu hari nanti ia akan lenyap terus dari pantai Selangor,” beritahu beliau lagi.

Misran turut mendakwa mempunyai dokumen yang mengandungi senarai nama pemilik kolam ternakan udang terbabit yang didakwanya adalah milik kroni pemimpin Umno tempatan.

Categories
NASIONAL

Umno Tanjung Karang Jual Tanah Kerajaan Negeri

TANJUNG KARANG, 17 FEB: Sebidang tanah berkeluasan 4370 meter persegi yang sebelum ini dimiliki Kerajaan Negeri Selangor dipercayai telah dijual oleh Umno Bahagian Tanjong Karang kepada dua buah syarikat berasingan.

Tanah tersebut dikatakan telah ‘dianugerahkan’ oleh kerajaan negeri terdahulu kepada Umno sebelum menjualkannya kembali kepada dua syarikat swasta untuk mendapatkan ‘untung atas angin’.

Tanah yang kini menempatkan bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Tanjong Karang tersebut telah didaftarkan atas nama Bumi Utama Building Material Sdn Bhd dan Bayacorp Sdn Bhd pada 1 Mac 2007, ketika BN masih menerajui pentadbiran negeri terbabit.

Demikian menurut Naib Yang DiPertua PAS Tanjung Karang, Hj Misran Serman ( gambar) ketika ditemubual TVS hari ini.

“Asalnya tanah kerajaan, tetapi sudah dipindah milik, dianugerahkan kepada Umno dan Umno pula jual pada syarikat bukan bumiputra.

“Kalau macam itu, senang-senanglah Umno dapat keuntungan atas penjualan tanah milik kerajaan negeri itu,” kata Misran.

Beliau turut menyerahkan dokumen yang diperolehi dari Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) dan Suruhan Jaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada TVS bagi membuktikan dakwaan tersebut.

Semakan TVS terhadap dokumen-dokumen terbabit menunjukkan tanah yang bernombor lot PT115 dan terletak di Bandar Tanjung Karang itu kini dimiliki dua buah syarikat seperti yang didakwa oleh Misran sebelumnya.

Hasil carian terhadap dokumen SSM pula mendapati pengarah-pengarah Syarikat Bumi Utama Building Sdn Bhd ialah Datin Chia Mee Sim, Lau Chuan Mei dan setiausahanya Gangngadeve a/p Narsaiah.

Manakala Ahli Jawatan Kuasa Umno Bahagian Tanjong Karang, Mohd Kifli Abu Samah pula merupakan pemegang 60 peratus syer syarikat terbabit.

Individu bernama Hamyzar Toha yang tidak diketahui indentitinya pula memegang sebanyak 40 peratus kepentingan syarikat terbabit.

Sementara itu, hasil carian yang sama terhadap Bayacorp Sdn Bhd pula mendapati tiga individu yang dilantik sebagai pengarah syarikat itu juga merupakan individu yang sama dalam syarikat Bumi Utama Building Material Sdn Bhd.

Misran yang juga merupakan anggota Ahli Majlis Tanjong Karang juga memberitahu satu permohonan untuk membina sebuah hotel telah dibuat di atas tanah tersebut.

“Selepas itu pihak terbabit ada membuat permohonan untuk membina sebuah hotel di tapak tanah itu, tetapi saya sebagai ahli majlis telah membuat bantahan dan permohonan itu tidak mendapat kelulusan majlis.

“Tak tahulah kalau mereka cuba buat rayuan kepada Menteri Besar pula selepas itu,” kata beliau lagi.

Susulan itu TVS akan membuat susulan Isnin depan.