Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri tidak tutup kilang ada kelulusan Miti

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kerajaan Negeri tidak menutup kilang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah mendapat kelulusan beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menjelaskan pihak berkuasa tempatan hanya bertanggungjawab dalam memastikan sesebuah kilang mematuhi syarat lesen.

“Oleh sebab itu Kerajaan Negeri tidak akan menutup kilang sekiranya mendapat kelulusan Miti dan mematuhi semua syarat lesen ditetapkan PBT,” katanya  dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Leong Tuck Chee sama ada Kerajaan Negeri diberi kuasa menutup kilang dan berdepan risiko saman jika tidak mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengenai persoalan itu, Sze Han berkata menurut subseksyen 3(2) Akta 776, MKN adalah pihak berkuasa pusat bagi kerajaan untuk mempertimbangkan perkara berkenaan dengan keselamatan negara.

“Akta 776 tidak memperuntukkan hukuman atau kesalahan berkaitan kegagalan atau ketidakpatuhan Kerajaan Negeri dalam mematuhi apa-apa arahan dikeluarkan MKN,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Balik kampung guna surat Miti cetus kluster Covid-19

JEMPOL, 18 JULAI: Larangan pergerakan rentas negeri menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selama empat hari bermula hari ini diputuskan kerana terdapat individu menyalahgunakan surat berkenaan untuk pulang ke kampung.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu terbukti berlaku pada sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 12 Mei lepas sehingga mencetuskan 36 kluster Covid-19.

“Saya fikir semua orang sudah mula bercuti hari ini (sempena Hari Raya Aidiladha), pada Hari Raya Aidilfitri lalu, beratus ribu (individu) dengan pelbagai alasan termasuk menggunakan surat kebenaran merentas negeri untuk bekerja.

“Mungkin ada yang menggunakan ‘kecekapan’ mereka menipu polis dengan merentas negeri melalui jalan kebun kelapa sawit dan sebagainya tetapi anda tidak boleh menipu Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol hari ini.

Ismail Sabri sekali mengingatkan orang ramai supaya tidak mencuba merentas negeri atau daerah sempena sambutan Aidiladha sebaliknya mengambil iktibar daripada peningkatan kes jangkitan wabak itu ketika ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan malam tadi berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai, untuk pergerakan rentas negeri susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata pihaknya masih belum menerima permohonan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan pembinaan hospital medan.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun kementerian itu bersedia membina empat lagi hospital medan bagi membantu menangani pandemik Covid-19 dengan pengambilan secara kontrak membabitkan 30 doktor dan 100 petugas kesihatan.

Katanya setakat ini terdapat enam hospital medan diwujudkan di Pokok Sena, Kedah; Tawau, Sabah; Kapit, Sarawak; Kepala Batas, Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah di Johor Bharu, Johor dan Labuan.

Pada program hari ini, Ismail Sabri juga berkata PPV pandu lalu perlu diperbanyakkan lagi di lokasi lain bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negara ini.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih banyak sektor sokongan kritikal dibenar beroperasi mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan rantaian bekalannya, sektor aeroangkasa, mesin dan peralatan (M&E) bagi pengeluaran produk kesihatan dan makanan serta syarikat pembuatan makanan dan minuman utama dibenarkan untuk beroperasi di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri Selangor bermula hari ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertindak segera untuk melaksanakan keputusan tersebut secepat mungkin dengan mengadakan perbincangan selanjutnya dengan Menteri Kewangan dan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) selepas mesyuarat Kabinet yang diadakan hari ini.

“Keputusan ini dibuat berikutan peranan sektor-sektor ini yang penting dan signifikan dalam menyokong pengeluaran produk dalam rantaian bekalan global serta pengeluaran kritikal bagi sektor kesihatan dan makanan & minuman di dalam negara,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi sektor aeroangkasa kebenaran diberikan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan.

Syarikat-syarikat dalam sektor berkenaan boleh memulakan semula operasi dengan menggunakan surat kelulusan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 sedia ada yang mempunyai akronim ‘PKP 3.0’ dan bertarikh pada bulan Jun 2021 dan ke atas.

“Syarikat-syarikat diingatkan untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Pengilangan dan Pembuatan PKPD Selangor semasa sepenuhnya yang merangkumi antaranya sektor dan aktiviti yang dibenarkan untuk beroperasi, dan keperluan mematuhi kapasiti operasi pada kadar 60 peratus bagi pekerja di premis dan 40 peratus lagi pekerja untuk melaksanakan amalan bekerja dari rumah,” katanya.

Melalui Proram Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), yang bermula 16 Jun 2021, MITI akan memastikan program vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor pembuatan akan dipertingkat dan dipercepatkan untuk melindungi kesihatan pekerja dan menjamin kelangsungan ekonomi negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sepakat putuskan sektor boleh operasi, pastikan PKP berkesan

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Setiap kementerian perlu sepakat memutuskan sektor yang boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengelak kekeliruan.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 berkata langkah itu bagi memastikan tempoh PKP dapat disingkatkan selain melandaikan lengkung jangkitan Covid-19.

“Kerajaan harus tegas dalam memastikan PKP ini berkesan. Jika Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) izinkan lebih 100,000 kilang beroperasi, ia akan menjejaskan keberkesanan PKP.

“Justeru, MITI dan kementerian lain pastikan ada kesefahaman, jangan tutup pintu depan buka pula pintu belakang. Perkara itu hanya menjejaskan kerajaan,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau ditemui ketika meninjau program Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah di sini hari ini.

MITI membenarkan sebanyak 128,150 syarikat beroperasi melibatkan 1.57 juta pekerja sepanjang PKP.

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak dipalsu, surat kebenaran Miti dilengkapi kod respon pantas

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Bagi mengelakkan pemalsuan surat kebenaran syarikat beroperasi, surat yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan dilengkapi dengan kod respon pantas (QR).

SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman SAC M V Srikumar M Nair berkata kod berkenaan akan diimbas oleh polis di sekatan jalan raya bagi memastikan ia adalah tulen.

“Apabila kod berkenaan diimbas (pautan berkenaan) akan meminta satu nombor kod yang mana hanya pihak polis sahaja mempunyai kod tersebut. Apabila kita memasukkan nombor kod itu, maka kita akan dapat tahu sama ada surat itu betul tally (selaras) dengan pemegang surat,” katanya kepada Bernama semasa hadir menjadi tetamu dalam Ruang Bicara PDRM malam tadi.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan wujudnya layanan dwistandard terhadap kebenaran merentas negeri dan daerah terhadap mana-mana individu atau kumpulan seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.

“PDRM tidak melihat golongan kayangan atau sebaliknya…jika mempunyai dokumen yang sah dan bukti (kukuh), maka (permohonan rentas daerah atau negeri) adalah dibenarkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Sektor ekonomi terus operasi, 30 peratus boleh ke pejabat

SHAH ALAM, 6 MEI: Semua sektor ekonomi termasuk perkilangan di enam daerah di Selangor beroperasi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata tatacara operasi piawai (SOP) Am PKP mengikut arahan sedia ada, kecuali aktiviti makan di restoran.

“Syarikat perlu mematuhi SOP Am PKP dan tertakluk kepada tatacara bekerja dari rumah sedia ada iaitu hanya 30 peratus kakitangan pengurusan boleh hadir ke pejabat.

“Sementara kehadiran pekerja operasi atau sokongan ditentukan majikan mengikut budi bicara,” kata kementerian dalam kenyataan semalam.

MITI berkata aktiviti penguatkuasaan dipertingkat berdasarkan penilaian sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (Hide) yang mampu mengesan lokasi berisiko tinggi.

Menurut kementerian, langkah tersebut lebih bersasar dan efektif untuk mencegah penularan Covid-19 dalam komuniti berbanding penutupan secara keseluruhan.

“Mana-mana syarikat yang tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan perundangan termasuk penutupan operasi syarikat untuk tempoh tertentu,” katanya.

SOP Am PKP boleh didapati melalui laman web Majlis Keselamatan Negara di www.mkn.gov.my.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Mesyuarat bersemuka masih dilarang, patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Kerajaan sekali lagi menegaskan mesyuarat secara bersemuka adalah dilarang, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata larangan dan tatacara operasi piawai (SOP) itu terpakai kepada semua pihak, termasuk kementerian dan agensi kerajaan.

“Tiada siapa yang terkecuali dalam arahan atau peraturan ini dan tiada sebab ada (dalam) kalangan kementerian atau agensi untuk berbuat demikian.

“Kita tak mahu ada double standard (pilih kasih) dalam peraturan. Malah, sidang mesyuarat khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) juga dilaksanakan secara maya,” katanya pada sidang media perkembangan PKP, di Wisma Pertahanan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan terdapat agensi kerajaan dan organisasi lain yang mengadakan mesyuarat secara bersemuka dalam tempoh PKP ketika ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengingatkan semua pemilik premis perniagaan agar akur dengan senarai jenis perniagaan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Jelasnya, senarai perniagaan atau perkhidmatan perlu serta rantaiannya telah dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

“Tak kira premis itu dalam pusat beli belah, hypermarket (pasar raya besar) atau tepi jalan sekalipun, SOP dan senarai terlarang tetap sama. Jika yang buka (bagi senarai telarang), ini (adalah) pelanggaran SOP dan tindakan boleh diambil,” katanya.

Mengenai aduan kelewatan bantuan disalurkan kepada keluarga yang terpaksa dikuarantin bersama ahli keluarga pesakit Covid-19, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada KKM untuk tindakan lanjut.

Beliau menyarankan agar individu terlibat segera melaporkan kepada KKM atau pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk mendapatkan bantuan kesihatan, bagi bekalan makanan pula adalah di bawah tanggungjawab keluarga sendiri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Komuniti niaga digesa patuhi SOP, elak aktiviti ekonomi ditutup

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) berkata komuniti perniagaan harus memandang serius terhadap laporan media mengenai mengenai kluster Covid-19 yang dikaitkan dengan kilang, tapak pembinaan dan kawasan tempat kerja lain.

“Apa yang penting, mereka (komuniti perniagaan) harus memainkan peranan mereka dengan melabur dalam bantuan sumber bagi melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) lebih ketat untuk mengelakkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya yang akan mengakibatkan aktiviti ekonomi ditutup,” kata Pengerusi EuroCham Malaysia, Oliver Roche.

Eurocham Malaysia yang ditugaskan sebagai pusat perhubungan utama bagi komuniti perniagaan Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia telah bekerja rapat dengan kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak awal pandemik yang pada tahun 2020 sehingga kini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Eurocham Malaysia merujuk kepada surat edaran dalamannya berhubung perbincangan tidak rasmi EuroCham Malaysia.

EuroCham Malaysia menjelaskan, ia dihantar kepada semua ahli bagi menyampaikan intipati tidak rasmi dan usaha kerajaan Malaysia untuk menangani Covid-19.

“Intipati perbincangan tidak rasmi itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bagaimana komuniti perniagaan dapat memainkan peranan penting dalam meratakan keluk Covid-19 dan kesan ekonomi jika kita semua tidak memainkan peranan aktif.

“Surat itu yang telah mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak itu berkali-kali menyatakan peranan semua pihak amat diperlukan untuk memutuskan rantaian pandemik,” katanya.

Eurocham Malaysia menjelaskan bahawa penekanan MITI adalah merujuk kepada peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang menuntut peranan semua bagaimanapun tidak disebut mengenai PKP sepenuhnya selepas 4 Februari, 2021.

“Sehubungan itu, kami berusaha supaya orang ramai kekal fokus, memainkan peranan bagi memastikan tidak berlaku PKP sepenuhnya sama seperti tahun lepas.

“Dalam masa yang mencabar ini, kami menghargai hubungan baik dengan kerajaan Malaysia, khususnya MITI dan kami berpendapat kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam menangani pandemik itu sejak tahun 2020,” kata Roche.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Eurocham Malaysia, Sven Schneider sebelum ini mendedahkan bahawa sekiranya kes Covid-19 terus meningkat, kerajaan Malaysia dijangka akan mengumumkan penutupan aktiviti ekonomi selepas 4 Februari depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Revolusi 4.0 wujud banyak kerja kemahiran tinggi baharu – Miti

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Revolusi industri 4.0 (Industri 4.0) yang sedang rancak dibangunkan oleh kerajaan bakal mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baharu pada masa hadapan berbanding menyebabkan pengangguran yang tinggi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata Industri 4.0 memberi peluang kepada negara untuk melahirkan generasi pekerja yang baharu dan boleh menggunakan teknologi baharu dalam sektor perkilangan dan perindustrian.

“Ia juga akan menambah peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang memetik laporan McKinsey Global Institute (MGI) yang menyatakan bahawa revolusi Industri 4.0 bakal menyebabkan sekitar 75 juta sehingga 375 juta tenaga kerja dunia digantikan oleh robot dan seumpamanya menjelang 2030.

Menurut Lim, bagi Malaysia, tenaga kerja digantikan dalam industri adalah tenaga buruh yang mana negara bergantung sebahagian besarnya kepada buruh asing buat masa ini.

“Industri 4.0, walaupun kita nampak penggunaan teknologi dalam industri perkilangan, perkhidmatan dan lain-lain, tetapi ia juga akan mencipta kerja-kerja (baharu)  berkemahiran tinggi.

“Di mana kita nampak hala tuju pembangunan negara kita pada masa hadapan dalam sektor perkilangan dan pembangunan industri, kita menuju kepada mendapatkan pelaburan berteknologi tinggi dan kita berharap pekerja-pekerja dalam bidang ini akan mempunyai pendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata peralihan kepada Industri 4.0 akan meningkatkan permintaan terhadap kumpulan sumber tenaga berkemahiran tinggi berteraskan teknologi yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Selain meningkatkan produktiviti, kecekapan kos, pengukuhan keupayaan inovasi dan pembangunan teknologi tempatan, dasar ini juga katanya menyediakan kerangka ke arah melahirkan tenaga mahir bagi pekerjaan diwujudkan.

Menurutnya, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha melalui program dan inisiatif termasuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Kerja Industry4WRD atau TWG-S yang diletakkan di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melaksanakan inisiatif memperkukuhkan tenaga mahir sedia ada dan melahirkan tenaga kerja baharu pada masa hadapan.

Kerajaan juga, katanya memperkenalkan dua program khusus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) iaitu Readiness Assessment (RA) dan Industry4WRD Intervention Fund (Dana Intervensi) untuk membantu mereka dalam transformasi Industri 4.0.

“Bagi tempoh 2019 hingga 2020, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM22 juta untuk melaksanakan program RA yang turut merangkumi latihan untuk penilai-penilai RA, Industry4WRD Summit, program seranta Industry4WRD dan lain-lain.

“MITI mencapai sasaran dalam pelaksanaan program RA bagi 2019 apabila sebanyak 508 syarikat PKS menyertai program ini, manakala bagi 2020 pula, kerajaan menyasarkan sebanyak 373 syarikat PKS mengikuti program RA ini,” katanya.

Setakat ini, Lim berkata, sebanyak 808 PKS dipilih untuk menjalani program RA.

Bagi Dana Intervensi pula, sejumlah RM35 juta diperuntukkan pada 2019 dan 2020 meliputi kos latihan kemahiran, penambahbaikan proses pembuatan dan aplikasi teknologi industri 4.0 oleh syarikat.

Kesemua syarikat PKS yang menjalani program RA dibiayai kerajaan layak memohon Dana Intervensi menerusi permohonan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

“Sehingga November 2020, sebanyak 138 permohonan Dana Intervensi diterima dan 63 syarikat PKS diluluskan dengan geran padanan tersebut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Malaysia catat pelaburan dilulus nilai RM109.8 bilion Jan-Sept 2020

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan RM109.8 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Katanya, sektor pembuatan menyumbang RM65.3 bilion atau 59.5 peratus, diikuti sektor perkhidmatan (RM42.8 bilion atau 39.0 peratus) dan sektor utama (RM1.7 bilion atau 1.5 peratus).

“Pelaburan ini membabitkan 2,395 projek dan akan mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan di Malaysia,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumlah pelaburan diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah 61.2 peratus atau RM67.2 bilion, manakala selebihnya adalah pelaburan langsung asing (FDI).

Miti berkata lima sumber utama FDI bagi pelaburan yang diluluskan dalam ketiga-tiga sektor berkenaan ialah China (RM17.0 bilion), Singapura (RM8.0 bilion), Amerika Syarikat (AS) (RM2.8 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion) dan Netherlands (RM2.4 bilion).

Mengenai projek diluluskan negeri, Miti berkata Selangor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menyumbang RM76.8 bilion atau 69.9 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi Januari hingga September 2020.

Dalam sektor pembuatan, sebanyak 740 projek bernilai RM65.3 bilion diluluskan dalam tempoh sembilan bulan tahun ini daripada 669 projek bernilai RM56.0 bilion dalam tempoh yang sama pada 2019.

Mitu berkata ini mewakili 16.6 peratus peningkatan dalam pelaburan modal dan projek-projek ini akan mencipta 51,172 peluang pekerjaan dalam ekonomi.

Ini kebanyakannya merangkumi produk petroleum termasuk petrokimia (RM15.0 bilion), produk logam asas (RM14.5 bilion), elektrik dan elektronik (RM7.7 bilion), jentera serta peralatan (RM5.8 bilion), produk kimia serta kimia (RM4.5 bilion), pengeluaran makanan (RM3.0 bilion), peralatan pengangkutan (RM3.0 bilion) dan peralatan saintifik dan pengukuran (RM2.1 bilion).

DDI dalam sektor pembuatan mencatat peningkatan 45.5 peratus kepada RM25.9 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas, manakala nilai FDI diluluskan naik 3.2 peratus kepada RM39.4 bilion.

“Sumber utama FDI bagi tempoh Januari hingga September 2020 adalah China, Singapura, Switzerland, AS, Netherlands, Thailand, Jepun dan Korea Selatan. Ini menyumbang kepada 91.4 peratus atau RM36.0 bilion daripada jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan,” katanya.

Menurut Miti, bagi sektor perkhidmatan, ia merekodkan 2,180 projek yang diluluskan dengan pelaburan RM42.8 bilion dalam tempoh Januari hingga September. Projek-projek perkhidmatan ini dijangka mewujudkan 13,390 pekerjaan kepada ekonomi.

Jelasnya, DDI mendahului jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan dengan menyumbang RM40.6 bilion (94.9 peratus) manakala FDI mewakili RM2.2 bilion.

“Kebanyakan sub-sektor perkhidmatan utama menunjukkan penurunan yang ketara dalam pelaburan diluluskan melainkan perkhidmatan sokongan, projek berstatus MSC serta perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti status BioNexus dan pembangunan perisian.

“Lima penyumbang utama ialah hartanah (RM23.7 bilion), utiliti (RM7.2 bilion), perkhidmatan sokongan (RM4.0 bilion), telekomunikasi (RM2.6 bilion) dan perkhidmatan kewangan (RM2.1 bilion),” menurut kementerian itu.

Sementara itu, sektor utama — terdiri daripada perlombongan, pertanian dan perladangan dan sub-sektor komoditi — menarik pelaburan bernilai RM1.7 bilion.

Menurut Miti, FDI mendominasi jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini dengan merekodkan RM1.0 bilion (58 peratus), manakala DDI menyumbang RM653.2 juta atau 41.2 peratus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Dagangan Malaysia naik 5.5 peratus kepada RM155.88 bilion

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020 meningkat 5.5 peratus kepada RM155.88 bilion berbanding September 2019.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata kenaikan perdagangan ini direkodkan terutamanya dengan China, Hong Kong, Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Taiwan.

“Eksport pulih dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6 peratus kepada RM88.93 bilion, iaitu nilai eksport tertinggi pernah direkodkan bagi bulan September, 2020 manakala import menyusut 3.6 peratus kepada RM66.96 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Miti berkata eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian mencatatkan pertumbuhan dua digit pada September 2020.

“Eksport barangan perkilangan pada September 2020 yang merangkumi 87.7 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 16.3 peratus tahun ke tahun kepada RM77.99 bilion

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran getah, barangan perkilangan lain terutamanya peranti ‘solid-state storage’ (SSD), barangan besi dan keluli serta barangan optik dan saintifik.

Ia berkata eksport keluaran pertanian melonjak 26.6 peratus kepada RM6.55 bilion berbanding September 2019, disokong terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Miti berkata produk elektrik dan elektronik turut memacu eksport ke Asean pada September 2020, dengan menyumbang RM38.79 bilion atau 24.9 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, mencatatkan peningkatan 0.5 peratus berbanding September 2019.

“Eksport pulih dengan pertumbuhan 6.7 peratus kepada RM23.1 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E yang meningkat sebanyak 47.8 peratus atau RM3.2 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, perdagangan dengan China menyumbang 19.8 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020, meningkat 21.5 peratus tahun ke tahun kepada RM30.85 bilion.

“Eksport ke China melonjak 41.9 peratus kepada RM15.56 bilion berikutan kenaikan eksport bagi barangan E&E, barangan besi dan keluli serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.

Miti menambah eksport ke AS terus meningkat dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 22.1 peratus kepada RM10.32 bilion pada September 2020 berikutan kenaikan dicatatkan bagi keluaran getah, barangan E&E, barangan kayu, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan lain.

Eksport ke Eropah telah pulih kembali dengan peningkatan dua digit sebanyak 28.6 peratus kepada RM8.63 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran getah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam.

Sementara itu, barangan perkilangan telah mengimbangi pengurangan eksport ke Jepun sebanyak 11.3 peratus kepada RM4.76 bilion disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport gas asli cecair (LNG).

“Penguncupan ini bagaimanapun, telah diimbangi oleh kenaikan eksport barangan perkilangan yang berkembang sebanyak 1.6 peratus kepada RM3.67 bilion,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

10 peratus pekerja tertentu di pejabat, 10 pagi hingga 2 petang – Miti

SHAH ALAM, 21 OKT: Maksimum 10 peratus kakitangan dalam sesebuah syarikat dibenar berada di pejabat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata maksimum mereka berbuat demikian selama empat jam, 10 pagi sehingga 2 petang untuk tiga hari seminggu.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata bidang tugas tersebut ialah perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan teknologi komunikasi maklumat.

Beliau berkata majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan untuk kakitangan dan menetapkan garis panduan bersesuaian dengan keperluan syarikat.

“Berdasarkan sistem pangkalan data Miti Covid-19 Intelligent Management System (CIMS), jumlah pekerja berdaftar dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya seramai 3.1 juta.

“Daripada jumlah pekerja di atas, seramai 776,135 pekerja atau 25 peratus adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan. Kumpulan ini diwajibkan menjalani bekerja dari rumah bermula 22 Oktober selaras keputusan Majlis Keselamatan Negera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sidang Khas MKN semalam membincangkan situasi terkini pandemik Covid-19 bagi membendung penularan wabak itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendesak kerajaan supaya memperketatkan tatacara operasi piawai (SOP) dalam tempoh PKP termasuk mengehad pergerakan orang ramai di lokasi PKPB.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikenakan PKPB sehingga 27 Oktober antara wilayah yang menggerakkan sektor ekonomi dan perindustrian di negara ini.