Categories
AGENDA NASIONAL

Kepimpinan baharu Pertuduhan Peladang perlu lebih berintegriti

REMBAU, 6 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta barisan kepimpinan Pertubuhan Peladang di setiap peringkat yang bakal dilantik kelak, memegang prinsip integriti tinggi supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sehubungan itu, mereka yang dilantik akan diberi masa selama enam bulan sebelum dibuat penilaian bagi melihat prestasi masing-masing.

“Saya tekankan aspek integriti, sesiapa dipilih dalam mesyuarat agung dan sesiapa yang dilantik atas kuasa menteri mesti pelihara integriti kerana ini membabitkan duit rakyat termasuk isu bantu peladang.

“Saya minta yang dilantik ini benar-benar bertanggungjawab, enam bulan selepas dilantik saya akan buat penilaian terhadap mereka, jadi siapa pun yang duduk di situ mesti berperanan majukan peladang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Warga Tani Daerah Rembau Sempena Memperingati Hari Peladang, Penternak dan Nelayan.

Katanya, Pertubuhan Peladang Kawasan perlu mampu mewujudkan perniagaan atau aktiviti menguntungkan supaya boleh berdiri sendiri, sekali gus tidak terlalu bergantung dengan kerajaan.

Salahuddin berkata, sektor pertanian ternyata menjanjikan pendapatan lumayan bukan sekadar bagi mereka yang ingin menjadikan ia sebagai profesion baharu tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Saya sudah teliti sama ada sektor perikanan, perladangan, buah-buahan, padi dan sektor sayuran sekalipun sebenarnya kita punya potensi.

“Saya juga melihat satu petanda yang baik atau fenomena dalam lawatan saya ke seluruh negara di mana pertanian sudah mula jadi pilihan anak muda yang ingin bekerjaya.

“Mereka juga yakin semua sektor dalam pertanian menjanjikan pendapatan lumayan jika mereka benar-benar fokus,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MOA: Tiada lagi import cili merah dari Vietnam tahun ini

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Tiada lagi pengimportan cili merah dari Vietnam dibenarkan sepanjang tahun ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, ini berikutan pemantauan persampelan cili merah dari negara berkenaan menunjukkan kandungan ‘maximum residue limit’ (MRL) melebihi paras dibenarkan.

“Kementerian juga telah menghantar notifikasi kepada pihak berkuasa Vietnam bagi mengambil tindakan sewajarnya dan melaporkan tindakan pencegahan yang membolehkan penggantungan import permit ditamatkan.

“Kementerian juga menetapkan syarat sanitasi dan fitosanitasi bagi kemasukan cili segar dari Vietnam seperti mensyaratkan pensijilan amalan pertanian baik selain menggalakkan penanaman dan meningkatkan pengeluaran cili tempatan yang bebas racun serta berkualti bagi memenuhi permintaan cili dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara di sini, hari ini menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad.

Tze Tin berkata, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sentiasa melakukan pemantauan berterusan dan pemeriksaan lebih teliti bagi sebarang produk pertanian khususnya dari Vietnam.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Mohd Suhaimi Abdullah yang ingin tahu kesahihan penularan video makanan pemprosesan yang didakwa beracun antaranya dengan mewarnakan durian supaya kelihatan lebih segar, beliau berkata, ia adalah video lama dan tidak berlaku di negara ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Padi, perikanan jadi tumpuan mesyuarat MOA dan EXCO negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JULAI: Selaras hala tuju baharu pertanian negara, sektor padi dan perikanan menjadi antara isu utama dalam Mesyuarat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama EXCO Pertanian Negeri, kali ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat dwi tahunan itu juga akan membincangkan isu membabitkan agropreneuer muda dan tanah.

“Esok (hari ini) adalah mesyuarat pertama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bersama EXCO pertanian seluruh negara, termasuk Menteri Pertanian Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, kita juga bincang isu tanah jika ada yang membabitkan Kerajaan Negeri yang boleh kita selaraskan untuk melicinkan urus tadbir antara agensi peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Kementerian Pertanian bersama EXCO Pertanian Seluruh Malaysia, di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini, semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan Salahuddin akan dilangsungkan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam hari ini.

Selain mesyuarat, mereka yang terbabit akan dibawa meninjau fasiliti di Selangor Fruit Valley seperti ladang pertanian, penternakan dan buah-buahan.

Categories
NASIONAL

RM200,000 bina jeti baharu di Kuala Penyu

KUALA PENYU, 14 JULAI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) terus peka terhadap keperluan nelayan di Sabah khususnya di daerah ini, apabila mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi membina baharu Jeti Sitompok, di sini.

Peruntukan itu diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam lawatan kerja dan majlis ramah mesra bersama nelayan Kuala Penyu, yang turut dihadiri timbalannya Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha MOA Datuk Sallehhuddin Hassan, hari ini.

Selepas pengumuman itu, Salahuddin kemudian menyampaikan replika cek bagi membina jeti berkenaan kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Penyu Mohd Yusof Mohamad.

Bercakap kepada pemberita Salahuddin berkata, peruntukan itu adalah bantuan segera daripada kementerian, memandangkan jeti sementara yang ada pada ketika ini terlalu daif dan tidak selamat untuk para nelayan mendaratkan hasil laut mereka.

“Jeti ini perlu dibina baharu sebagai kemudahan para nelayan di daerah ini mendaratkan hasil tangkapan mereka, selain memastikan mereka tidak menghadapi masalah seperti sebelum ini.

“Justeru, saya berharap pihak bertanggungjawab menguruskan pembinaan jeti ini, akan memastikan kerja-kerja pembinaan dilakukan mengikut masa ditetapkan, bagi membolehkan para nelayan dapat menggunakan jeti ini dalam masa terdekat,” katanya.

Pembinaan sementara Jeti Sitompok dimulakan sendiri oleh PNK Kuala Penyu pada 21 Feb lalu dengan kos RM15,000, yang dibina di atas rizab perikanan Kuala Penyu dengan mendapat kelulusan daripada Jabatan Perikanan Sabah dan Pejabat Daerah Kuala Penyu.

Pada majlis sama, Salahuddin turut meluangkan masa hampir sejam berdialog bersama agropenur muda Sabah selain menyampaikan geran Agropreneur Muda Negeri Sabah bernilai RM342,000 kepada seramai 40 peserta program tersebut.

Program Agropreneur Muda adalah satu daripada inisiatif MOA untuk menarik serta menggalakkan pembabitan golongan muda dalam sektor pertanian seterusnya membangunkan lebih ramai usahawan muda dalam sektor itu.

Seramai 419 agropreneur muda di Sabah menerima kelulusan geran Agropreneur Muda berjumlah RM5.8 juta sejak 1 Januari 2016 hingga 31 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 267 agropreneur muda menerima geran RM3 juta bagi sektor tanaman, 97 orang menerima RM1.6 juta (sektor industri asas tani); 28 orang menerima RM663,000 (sektor ternakan) dan 27 orang menerima RM607,000 bagi sektor perikanan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MOA bawa teknologi China dalam sektor tanaman padi

KOTA BELUD, 13 JULAI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mahu bekerjasama dengan China bagi membawa masuk teknologi baharu dalam usaha meningkatkan hasil tanaman padi di negara ini, kata Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, penggunaan teknologi moden dalam sektor tanaman padi di China membolehkan negara itu menghasilkan padi sehingga 8 tan sehektar selain berupaya menyimpan bekalan beras mencukupi untuk kegunaan kira-kira 1.4 bilion rakyatnya.

Katanya, semasa lawatan ke China baru-baru ini, pihaknya mendapat maklumat menarik bagaimana China mengekalkan bekalan padi selama setahun dan mencukupi untuk 1.4 bilion rakyatnya.

“Berasaskan fakta itu, kita menyahut hasrat perdana menteri supaya Malaysia khususnya MOA berkolaborasi dengan China supaya teknologi baharu (digunakan China dalam tanaman padi) dibawa masuk ke negara kita,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum itu, beliau menyerahkan kunci jentera penuai padi kepada Kumpulan Pengguna Air Kampung Merabau, pada satu majlis di sini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong; Ketua Setiausaha MOA, Datuk Sallehhuddin Hassan dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Salmah Labulla.

Salahuddin berkata, beliau bercadang mengadakan lawatan ke Hainan, China kerana ia adalah antara lokasi berjaya dalam sektor tanaman padi di negara itu selain melawat beberapa institusi penyelidikan berkaitan.

Beliau berkata, teknologi moden tanaman padi itu merangkumi keseluruhan rantaian nilai dalam sektor itu termasuk melihat kepada penggunaan dron serta teknologi ‘Kecerdasan Buatan’.

Katanya, teknologi itu diharap dapat diaplikasikan IADA Kota Belud ke arah meningkatkan hasil padi seterusnya melonjakkan pendapatan petani.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, MOA akan mengemukakan dasar baharu dalam sektor perikanan negara bagi memastikan nelayan mampu meningkatkan hasil laut seterusnya memberi pulangan lumayan kepada golongan itu.

Berhubung penyerahan jentera penuai, katanya ia adalah hasil program promosi mekanisasi dan automasi agro-makanan Rancangan Malaysia Kesebelas IADA Kota Belud yang diharap dapat membantu para petani di Kampung Merabau meningkatkan sumber pendapatan dan hasil pengeluaran padi.

—BERNAMA

Categories
NASIONAL

Parlimen: MOA bawa isu pinda Akta Perikanan 1985

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan membawa Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 bagi menangani pencerobohan nelayan asing, pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jemaah Menteri pada 26 Jun lalu bersetuju supaya kementerian meminda Akta Perikanan 1985.

“Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 akan diangkat untuk bacaan kali pertama dan kedua semasa Persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Keempat Belas Tahun 2019.

“Antara pindaan yang dicadangkan bagi menangani pencerobohan nelayan asing dalam RUU ini adalah menaikkan denda maksimum di bawah Seksyen 25 Akta 317 bagi vesel (kapal) penangkapan ikan asing yang menceroboh perairan Malaysia, iaitu daripada RM1 juta kepada RM6 juta bagi nakhoda dan bagi setiap anggota kru dari RM100,000 kepada RM600,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat.

Halimah mengemukakan persoalan berhubung kesediaan MOA untuk meminda Akta Perikanan sedia ada bagi menangani pencerobohan nelayan asing ke perairan negara seterusnya mengenakan hukuman berat ke atas pelaku.

Dalam pindaan yang dicadangkan, turut dimasukkan penalti baharu denda maksimum di bawah Seksyen 25 Akta 317 bagi kesalahan yang dibuat menggunakan vesel penangkapan ikan tempatan yang beroperasi di laut lepas, iaitu tidak melebihi RM4 juta.

Salahuddin berkata, cadangan pindaan RUU turut menambah baik Seksyen 31 Akta 317 berkaitan pengkompaunan selaras akta terkini yang diluluskan di Parlimen dengan memperjelaskan lagi kuasa Ketua Pengarah Perikanan dan memasukkan peranan Pendakwa Raya dalam memutuskan kes kompaun serta pendakwaan.

Selain itu, subseksyen berkenaan juga memperjelas tatacara berhubung pengkompauan dengan amaun perlu dibayar dalam tempoh ditetapkan dan jika gagal, pendakwaan boleh dimulakan.

Categories
NASIONAL

MOA sedang teliti model terbaik majukan tanah pesawah warga emas

PENDANG, 30 Mei: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang meneliti untuk mengenal pasti model terbaik bagi menyatukan tanah milik pesawah warga emas di negara ini supaya berada di bawah satu tadbir urus lebih baik.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata langkah itu juga sebagai salah satu usaha untuk memajukan tanah pesawah berkenaan bagi menarik minat golongan muda melibatkan diri dalam sektor pertanian sawah padi.

“Dalam data kementerian kita, warga emas ini secara purata memiliki dua hektar sawah padi dan ia sangat kecil…(jadi) sekarang kita sedang meneliti beberapa model seperti mini estet padi dan model lain di negara luar supaya tanah kecil ini dapat disatukan di bawah satu tadbir urus.

“Beri peluang kepada mereka berminat untuk mengusahakan tanah sawah (tersebut nanti), dan saya percaya ia dapat atasi isu pesawah dimamah usia ini, di samping model ini nanti menggamit perhatian anak muda untuk menjadi pesawah moden,” katanya pada sidang media selepas berjumpa dengan peladang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Mada Datuk Fouzi Ali.

Salahuddin berkata setakat ini terdapat sebanyak 80 peratus pesawah warga emas yang berada dalam kawasan Mada Kedah dan Perlis.

Sementara itu, beliau berkata kini terdapat ramai golongan muda sudah berani menyewa tanah untuk menanam padi dalam skala besar apabila terdapat 6,000 pesawah muda bagi kawasan Mada Kedah dan Perlis.

“Kebanyakan mereka menyewa tanah untuk sawah padi ini dalam lima hektar ke atas,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu NFC perlu selesai segera-Salahuddin

KOTA BHARU, 21 MEI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mahu isu National Feedlot Corporation (NFC) dapat diselesaikan dengan segera kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, dalam masa terdekat iaitu beberapa bulan lagi sudah ada sebuah syarikat yang berminat untuk membeli NFC.

“Saya telah membuat kenyataan seawal berada di MOA, sebuah syarikat berminat untuk beli NFC, kita telah lihat syarat-syarat itu dan perkara ini telah diajukan kepada perdana menteri dan menteri kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama warga MOA Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, pihaknya menyambut baik sekiranya syarikat berkenaan dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk menyelesaikan pinjaman dengan Kementerian Kewangan.

“Menteri kewangan dah beri respon bahawa NFC perlu kembalikan semula pinjaman, itu terma yang perlu dipatuhi.

“Saya dimaklumkan syarikat ini memang amat berminat untuk ambil alih NFC dan sekiranya semua syarat dipenuhi, kita tak ada masalah. Syarikat baru boleh meneruskan projek NFC, mungkin kita tukar nama baru, ” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MOA komited laksana cadangan akta bendung pembaziran makanan

SERDANG, 2 DIS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) komited untuk meneliti kajian mengenai cadangan bagi mewujudkan satu akta untuk membendung pembaziran dan mengurangkan kadar sisa makanan di negara ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata kajian itu bakal melibatkan perbincangan dengan beberapa kementerian antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, makanan banyak terbuang berlaku terutamanya menjelang musim perayaan.

“Saya sedar daripada pengalaman kita terutama pada bulan Ramadan… hotel atau resort yang buat jamuan atau bufet kebanyakannya membuang makanan dengan begitu banyak.

“Jadi saya melihat perkara ini dengan sangat serius,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis penutup pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan akta itu yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada majlis penutup MAHA 2018 hari ini.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata sepanjang berlangsungnya MAHA 2018, sebanyak 26 Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bernilai RM2.8 bilion berjaya ditandatangani antara pedagang tempatan dan antarabangsa dari 22 Nov lepas sehingga hari ini.

“Lebih membanggakan lagi, kita berjaya mencipta sebanyak 2,083 potensi perniagaan melalui program padanan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, ekspo pertanian terbesar Malaysia itu menerima seramai 3.2 juta pengunjung setakat ​​​​​​​pagi ini dan beliau yakin ia akan terus meningkat sehingga mencapai sasarannya iaitu 3.5 juta.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

MOA saran nelayan Selangor usaha ternakan akuakultur

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 27 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyarankan nelayan di Selangor untuk mengusahakan ternakan akuakultur secara sendiri bagi mengurangkan sikap kebergantungan bekalan hasil laut dari luar negara.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, selain menangkap ikan, nelayan di Selangor berupaya meningkatkan hasil pendapatan mereka jika mengusahakan ternakan akuakultur itu.

“Pada tahun lalu, Selangor mencatat pengeluar kelima akuakultur terbesar di Malaysia dengan pengeluaran 18,618 tan metrik bernilai RM230 juta.

“Malah, di daerah Klang sahaja pengeluaran hasil akuakultur sejumlah 1,105 tan metrik dengan nilai RM17 juta, sekali gus meningkat 10.6 peratus berbanding 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Ketam, di sini.

Katanya, sistem ternakan utama di daerah Klang adalah sistem sangkar air payau, kultur dasar laut kerang, air tawar tangki simen dan ikan hiasan.

“Bilangan penternak yang mengusahakan ternakan akuakultur di daerah ini adalah 111 orang dengan 92 peratus daripadanya adalah penternak air payau,” katanya.

Pada masa sama, Tze Tzin menegaskan pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada nelayan di negeri ini yang menceburkan diri secara serius dalam sektor akuakultur, sekali gus cuba untuk mengusahakannya.

“Kita akan bantu daripada segi penyediaan mesin atau teknologi yang diperlukan jika mereka ini komited menjana ekonomi menerusi aktiviti akuakultur.

“Malah, kementerian juga merancang untuk mempelbagaikan insentif dan bantuan kepada kumpulan nelayan ini, pada masa akan datang sebagai usaha menjadikan sektor akuakultur lebih maju dan berdaya saing,” katanya.