Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pelan pemulihan pembiayaan Hijrah tawar modal pusingan niaga

SHAH ALAM, 8 NOV: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan modal pusingan untuk memulakan perniagaan kepada usahawan yang memohon pelan pemulihan pembiayaan.

Pengurus Promosinya Mohd Ridhwan Asmara berkata inisiatif itu bagi menggalakkan lebih ramai usahawan negeri ini menyertai kempen pemulihan kredit yang diperkenal sejak awal Jun lalu.

“Sekiranya pembiayaan semasa usahawan berjumlah RM2,000, mereka boleh ditawarkan (pembiayaan) untuk modal pusingan perniagaan sehingga RM5,000.

“Ini bermakna di tangan mereka akan ada RM3,000 untuk memulakan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Sudah tentu ia suatu perkara menarik dan usahawan harus mengambil peluang ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kempen berkenaan juga membolehkan usahawan membuat penstrukturan bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan sehingga lima tahun selain memperbaharui insurans pembiayaan.

Skim penjadualan semula ditawarkan kepada peminjam Hijrah yang berdepan masalah untuk membayar balik pembiayaan bermula 1 Jun, dengan permohonan dibuka sepanjang masa.

Pendekatan itu bertujuan meringankan beban usahawan yang terjejas susulan dampak Covid-19.

Melalui inisiatif itu, pegawai kutipan di 20 cawangan Hijrah akan menyemak dahulu nama peminjam yang mempunyai baki pinjaman tertunggak sebelum menghubungi dan menawarkan inisiatif tersebut kepada usahawan.