Categories
SELANGOR

LZS Pergiat Promosi Kutip Zakat Saham

zakat saham 01

SHAH ALAM 20 JUN : Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mempergiatkan promosi zakat daham pada tahun ini bagi meningkatkan jumlah kutipan kumpulan zakat tersebut.

Dengan motto ‘Saham Dunia Saham Akhirat’, LZS mensasarkan usaha itu mampu mengubah kefahaman komuniti pelabur Muslim khususnya, agar menjadikan zakat saham sebagai satu tanggungjawab.

Ujar Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, kekayaan yang tercipta daripada permainan saham juga perlu dizakatkan demi kekuatan umat Islam secara keseluruhannya.

“Sebelum ini kebanyakan para pelabur Muslim kurang didedahkan dengan zakat saham secara terperinci, sedangkan sektor pelaburan pada masa ini ini lebih kompleks dengan pelbagai variasi.

zakat saham 02“Saham kini juga sudah menjadi salah satu aspek kekayaan baharu bagi umat Islam yang meliputi saham-saham syarikat, saham di akaun amanah, saham dalam bon yang dikeluarkan kerajaan dan banyak lagi,” katanya di hadapan kira-kira 100 hadirin.

Beliau berucap demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Zakat Saham yang diadakan di Plenary Hall, Shah Alam Convention Centre (SACC) semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof serta Pengurus Besar Kutipan LZS, Roszy Non.

Dengan promosi yang lebih giat pada tahun ini, LZS mensasarkan kutipan zakat saham akan meningkat sebanyak sepuluh peratus iaitu RM8.5 juta, berbanding kutipan pada tahun lepas, yang berjumlah RM 7.7 juta.

LZS merupakan institusi zakat pertama di Malaysia yang mengemas kini panduan kiraan zakat saham dan pelaburan dengan mewujudkan Warta Fatwa Zakat Pelaburan Saham pada 30 Mac 2011.

Nilai zakat yang dikenakan adalah sebanyak 2.5 peratus daripada nilai pelaburan di hujung haul(genap satu tahun) sementara bagi pelaburan yang diniagakan, jumlah keuntungan yang ditunaikan sepanjang tahun hendaklah dicampurkan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengiraan zakat saham, orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang LZS di www.e-zakat.com.my atau menghubungi terus wakil pegwai di pejabat LZS.

Categories
SELANGOR

Muallaf Care Bantu Saudaru Baru

KLANG 2 DIS : Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melancarkan ?Muallaf Care? bagi memberi bantuan dan sokongan bagi saudara baru Islam di Selangor memulakan kehidupan baru.

Inisiatif tersebut bagi menyalurkan bantuan dengan lebih cekap
pada tahun pertama pengislaman untuk meringankan beban mereka seperti bantuan bulanan, sewa rumah, berkhatan dan perubatan.

Bagi muallaf seperti Fatin Ardini Monica Abdullah, 24, bantuan dan sokongan itu adalah penting di dalam keadaan mereka berasa terasing dan jauh dari keluarga.

Pelajar Diploma Pengurusan dari Kolej Astin itu berkata, bantuan pelajaran RM 20,800 dari Mais memberikan kekuatan dirinya untuk meneruskan pelajaran selain meningkatkan pengetahuan mengenai Islam.

“Saya jauh dari keluarga dan dengan cara ini saya tidak berasa keseorangan kerana sebagai saudara baru bimbingan amat perlu.

?Perhatian diberikan mencerminkan Islam begitu pentingkan penyatuan dalam kehidupan,” kata gadis berbangsa Iban dari Sarawak yang memeluk Islam pada Julai tahun lepas.

Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, program yang bertemakan “We Love Muallaf” merupakan strategi baru bagi mendekati dan memastikan perkhidmatan yang baik terus diberikan kepada muallaf.

“Di samping memastikan golongan muallaf ini dibantu dari pelbagai aspek, program ini akan banyak membantu dalam menyebarkan  Islam secara lebih teratur kepada bukan Islam.

“Dengan program dakwah diatur, Mais berharap akan dapat terus meningkatkan bilangan muallaf dan umat Islam di Selangor,” katanya selepas majlis pelancaran Muallaf Care di Pusat Konvensyen Setia Alam, Setia Alam di sini semalam.

Mohamad Adzib berkata terdapat kira-kira 7,000 muallaf di seluruh Selangor ketika ini.

Pelancaran Muallaf Care menjadikan Mais sebagai Majlis Agama Islam Negeri pertama melaksanakan sistem seperti itu.

Mohamad Adzib berkata, peruntukan keseluruhan bagi asnaf muallaf tahun ini ditingkatkan sebanyak RM 23.7 juta berbanding RM 21 juta pada tahun lepas.

“Mais telah mewujudkan skuad Mesra Muallaf yang akan turun padang memantau keperluan dan aduan diterima berkaitan muallaf,” katanya.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tengku Sulaiman Shah turut berkenan menyampaikan bantuan bina rumah kepada 10 muallaf berjumlah RM 442,000 dan lapan penerima bantuan pelajaran bernilai RM 154,000 dalam majlis berkenaan.

Majlis tersebut turut meraikan 30 pasangan pengantin baru muallaf.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Muallaf Selangor, Profesor Madya Dr Halim Tamburi dan  Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Dzulkefly : Saya Sedia Mengadap Sultan Bela Nurul Izzah

KUALA LUMPUR, 7 NOV : MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad bersedia mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan isu sebenar kontroversi kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

“Saya yakin mereka tidak berlaku adil. Ini disebabkan memutarbelitkan maklumat. Tidak munasabah Nurul Izzah mengajak orang keluar agama.

“Saya yakin Sultan tidak mendapat kenyataan Nurul Izzah sebenar, saya bersedia mengadap Sultan, bagi memberi informasi yang sebenarnya,” katanya di lobi parlimen reaksi Sultan Selangor berhubung isu berkenaan.

Dilaporkan bahawa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) terkejut dengan kenyataan Nurul Izzah berkaitan kebebasan beragama, sebagaimana dipetik oleh beberapa media sejak hujung minggu lalu.

Nurul Izzah berkata kenyataannya telah diputar-belitkan oleh setengah media bagi mengambarkan yang beliau menyokong tindakan orang Islam untuk keluar agama.

Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor dan pelindung hak dan kepentingan kaum Melayu juga berasa terkejut dan kesal dengan kenyataan tersebut.

Semalam, Nurul Izzah berkata beliau telah menghantar surat saman kepada beberapa surat khabar dan blog pro-Umno yang memfitnah beliau sebagai menyokong kebebasan orang Islam untuk menukar agama.

Categories
NASIONAL

MB Nafi Ketepikan Sultan, Ia Cuma Amalan Biasa

SHAH ALAM 31 OGOS : Kerajaan Negeri menafikan laporan media pro Umno-BN, Utusan Malaysia yang menyatakan pentadbiran Selangor mengenepikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke -55 negara di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini malam tadi.

Sebaliknya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata memang menjadi amalan dan kebiasaan Sultan Selangor tidak dijemput bagi menghadiri majlis tersebut.

“Memang tiada dalam program menjemput Sultan. Memang biasa kita buat macam ini setiap tahun. Itu sahaja,” katanya kepada pihak media selepas menghadiri majlis bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Kemerdekaan serta solat sunat Jumaat di Masjid Negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid turut menyangkal dakwaan akan kemurkaan Sultan Selangor berhubung insiden itu sambil menjelaskan perkara tersebut tidak berlaku.

“Tidak ada…..tiada ada,” ujarnya.

Sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor malam tadi bertemakan Sebangsa, Senegara, Sejiwa itu dihadiri lebih 10,000 hadirin.

Sementara itu, majlis bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Kemerdekaan serta solat sunat Jumaat di Masjid Negeri dianjurkan Kerajaan Negeri hari ini dihadiri ramai rakyat Selangor dari pelbagai lapisan masyarakat kerana Aidilfitri masih diraikan umat Islam.

Majlis tersebut turut dihadiri Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Marzuki Husin; Pengarah Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Adun Negeri Selangor.

Tambahan pula hari ini adalah cuti umum sempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Hadirin tidak melepaskan peluang berbaris di sepanjang laluan dilalui Sultan Selangor untuk berjabat salam dengan Tuanku.

Ternyata majlis mesra ini mengeratkan silaturrahim antara Sultan Selangor dan barisan pembesar negeri bersama rakyat jelata.

Syawal Disambut Jauh Di Perantauan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Walaupun Solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah meriah dengan kehadiran berpuluh ribu umat Islam, terdapat ramai juga insan yang menyambut Syawal pertama dengan perasaan sayu.

Dianggarkan, lebih 15,000 umat Islam terdiri daripada penduduk Shah Alam menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi.

Lebih setengah dari jemaah di masjid itu terdiri dari warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang mengorbankan peluang untuk menyambut hari yang bermakna ini dengan isteri, anak dan ibubapa kerana mencari nafkah untuk keluarga.

Seorang warga Bangladesh Mohd Fidaus Abdullah, 29, berkata, ini merupakan kali ketiga beliau meraikan Aidilfitri jauh di perantauan.

“Saya diberi cuti oleh majikan selama dua hari dan peluang ini akan digunakan untuk berkumpul bersama kawan-kawan bagi mengubat kerinduan di kampung,” katanya yang bekerja di sebuah restoran India-Muslim di Seksyen 18, Shah Alam.

Tidak ketinggalan mengambil peluang berkumpul beramai-ramai ialah seorang warga Indonesia, Raditya Khusni, 35, yang berkata dia tidak dapat pulang ke kampung kerana bekerja.

“Saya mahu pulang tetapi lebih baik saya tinggal di sini dan mengirim wang kepada isteri saya,” katanya yang sudah lapan tahun menyambut aidilfitri di sini.

Turut menunaikan solat, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi.

Juga hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Serah Sumbangan Buku

SHAH ALAM 14 OGOS : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan sumbangan buku kepada Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini pagi tadi.

Baginda turut diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Sebanyak 1414 buah buku berkaitan agama Islam disumbangkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sementara 214 buah buku berkaitan perundangan pula disumbangkan Thomson Reuters.

Dalam pada itu, baginda bertitah agar lebih banyak pihak samada daripada agensi kerajaan, badan korporat mahupun orang perseorangan untuk turut serta memberi sumbangan demi manfaat perpustakaan tersebut.

“Beta menyeru agar banyak lagi sumbangan dari segi material atau kewangan dapat disalurkan supaya dapat menambah program-program ilmiah dan kemudahan infrastruktur.

“Beta juga ingin menekankan supaya landskap perpustakaan ini ditanam dengan lebih banyak pokok besar agar dapat memberi ketenangan kepada pembaca,” titah baginda.

Majlis turut dihadiri Pengerusi MAIS, Datuk Setia , Timbalan Mufti, Datuk Abdul Majid Omar serta Ahli Exco Negeri antaranya Teresa Kok, Dr. Halimah Ali serta Dr. Yaakob Sapari.