Categories
NASIONAL

Umno-BN Monopoli Penggunaan Balairaya Di Sungai Burong

TANJONG KARANG, 10 JUN : Tujuan utama pembinaannya adalah untuk kegunaan semua pihak tetapi lain pula ceritanya di DUN Sungai Burong di sini apabila balairaya yang dibina dimonopoli pembangkang Umno-BN untuk agenda politik mereka.

Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong, Mohamad Judi Sarjo berkata, pihak pembangkang(Umno-BN) di Selangor harus memahami kerajaan mewujudkan kemudahan awam seperti balairaya adalah untuk kepentingan semua dan bebas digunakan apabila diluluskan pihak berkuasa.

Menurutnya, Umno-BN tidak sewajarnya menganggap balairaya tersebut seperti kepunyaan mereka kerana ia menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Setelah diadukan perkara ini, kita memandang serius mengenainya dan akan merujuk kepada Pejabat Daerah untuk reaksi seterusnya. Kita berharap semua pihak dapat bekerjasama dalam perkara ini demi kepentingan bersama.

“Balairaya itu boleh digunakan semua pihak seandainya dibenarkan untuk berbuat demikian,” katanya kepada SelangorKini.

Isu balairaya di Kampung Sungai Kajang Baru mendapat perhatian orang ramai apabila didakwa digunakan Umno-BN sejak sekian lama untuk kepentingan sendiri. Ia dikatakan satu-satunya balairaya yang ada di kampung itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung, Khairon Dahalan berkata, pihaknya kesal dengan apa yang berlaku kerana Umno-BN cuba memonopoli balairaya tersebut.

Dakwanya, sebelum ini beberapa program yang ingin dijalankan menghadapi kesulitan dan ada yang terpaksa dibatalkan berikutan tidak dapat menggunakan balairaya tersebut.

“Umno-BN perlu memahami bahawa balairaya itu dibina bukan untuk mereka. Ia kemudahan untuk semua. Tidak kiralah sama ada untuk badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak lain termasuk parti politik.

“Kita harap pihak berkuasa dapat mengambil langkah sewajarnya bagi penyelesaian isu ini,” katanya.

Khairon menjelaskan Umno-BN juga menyalahgunakan balairaya itu apabila memasang dan mengibarkan bendera parti di bangunan dan di sekitar kawasannya.

Categories
SELANGOR

Tuisyen Rakyat Dapat Sambutan Menggalakkan

TANJUNG KARANG, 8 MAC: Bersemangat untuk memperolehi keputusan peperiksaan lebih cemerlang, Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) Dun Sungai Burung menerima sambutan hangat di kalangan pelajar-pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

Menurut Penyelaras Dun Sungai Burong, Mohamad Judi Sarjo, kira-kira 140 orang pelajar yang layak telah mendaftarkan diri dalam program tersebut.

“Sebenarnya kouta cuma seratus pelajar sahaja untuk setiap Dun, tetapi sambutan amat menggalakkan hingga mencecah 140 pelajar.

“Jadi kami masukan semua 140 pelajar yang layak tu sertai program PTRS ini,” kata beliau.

Mohamad Judi turut berharap agar pelajar-pelajar yang berpeluang menyertai program ini tidak mensia-siakan kemudahan percuma yang disediakan kerajaan negeri.

PTRS merupakan sebuah program yang diwujudkan sebagai bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan percuma khusus untuk calon-calon SPM.

Program ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Selangor di bawah portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Program yang diadakan di semua 56 kawasan Dun ini ditawarkan kepada pelajar bakal menduduki SPM di seluruh Selangor dan pelajar yang terlibat adalah berasal daripada keluarga berpendapatan kurang RM1,500 dan mempunyai tahap pencapaian akademik sederhana atau lemah.

Empat matapelajaran yang ditawarkan dalam program ini adalah matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Seramai 8,841 pelajar dari seluruh Selangor telah mengikuti program ini semenjak ianya dimulakan pada 2009.