Categories
NASIONAL SELANGOR

Mohd Zin Buka Pekung Umno-BN, Dasar Perumahan Pakatan Rakyat Lebih Baik Dari BN

SHAH ALAM, 27 NOV : Dasar perumahan pentadbiran Umno-BN Selangor dahulu telah menimbulkan banyak masalah, dari segi projek rumah terbengkalai dan penempatan peneroka bandar yang tidak cukup, yang terpaksa diselesaikan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Misalnya, dasar setinggan sifar oleh bekas Menteri Besar Dr Mohamad Khir Toyo didakwa lebih untuk membantu pemaju kaya yang mahu merampas tanah yang didiami berdekad-dekad oleh peneroka kata Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Di samping menyelesaikan masalah warisan Umno-BN, dasar perumahan pentadbiran PR Selangor telah dilaksanakan dengan jaya sehingga ia ditiru oleh Kerajaan Umno-BN diperingkat persekutuan.

Faekah mendakwa program perumahan untuk mereka yang berpendapatan rendah oleh Kerajaan Selangor seperti skim rumah mampu milik, telah ditiru oleh Kerajaan Pusat.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal kenyataan BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed yang menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal menangani isu perumahan dan menyebabkan masalah setinggan berulang.

?Mohd Zin tidak memberi bukti kukuh walaupun beliau mendakwa BN Selangor ada membuat kajian tentang isu ini.

?Mohd Zin itu sekadar iri hati terhadap kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dalam menyediakan perumahan untuk rakyat terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

“Umno-BN terlalu bangga dengan di bawah Dr Mohd Khir Toyo tetapi hakikatnya program (setinggan sifar) tidak berjaya.
?Malah menimbulkan banyak masalah lain seperti kemudahan awam yang tidak lengkap, bumbung bocor, paip tersumbat, lif sentiasa rosak, bangunan usang, kemudahan jalan yang dibuat tergesa-gesa selain masalah sosial,? katanya di dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, sejak 2008, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan beberapa projek perumahan terbengkalai, antaranya Projek Perumahan Rakyat Berembang Indah, Sungai Sering di Ampang dan Projek Perumahan Rakyat di PJS1 di Petaling Jaya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri juga berjaya membina 1,422 unit Projek Rumah Berkembar Bukit Botak di Selayang yang kini hampir siap 100 peratus setelah gagal diselesaikan Kerajaan Umno-BN.

Sehingga kini, katanya, Kerajaan Negeri berjaya menyiapkan 14,245 unit kediaman dan perniagaan terbengkalai selain membina 6,470 unit rumah kos rendah dalam tempoh empat tahun pemerintahan.

Tegasnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga merancang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik pada tahun hadapan di Shah Alam, Gombak, Sepang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

“Segala perancangan dan statistik ini menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor komited untuk memastikan setiap rakyat Selangor memiliki rumah yang selesa.

?Kerajaan Umno-BN perlu terima hakikat bahawa Pakatan Rakyat lebih baik dalam menangani isu perumahan untuk rakyat dengan telus dan bertanggungjawab,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Menteri Besar Akan Dedahkan Bukti Selangor Lebih Maju di Bawah PR Berbanding Umno-BN

SUBANG JAYA, 5 NOV : Kerajaan Negeri akan membuat pembentangan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berhubung pencapaian Selangor masakini bagi menepis tuduhan Umno-BN bahawa negeri ini mengalami kemerosotan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perkembangan di Selangor ketika ini jauh lebih baik berbanding era Umno-BN terutama dari segi pencapaian ekonomi hingga muncul sebagai negeri utama dengan sumbangan terbesar kepada hasil pendapatan negara.

Contohnya kata Abdul Khalid, Selangor di bawah PR kini telah menyumbang 23 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Tetapi di bawah Khir Toyo, jumlah itu tidak sampai 20 peratus.

“Saya akan bentangkan pembangunan dari 2005 sampai 2007 (era Umno-BN) dan 2008 sampai 2012 (era PR) dalam Dewan Negeri Selangor untuk pengetahuan semua.

“Saya tak nak mengadakan perbincangan di kedai kopi tetapi saya akan bentangkan perangkaan sejak ia diumumkan sebagai negeri maju pada 2005.

?Saya rasa pencapaian sekarang lebih baik berbanding pada 2005,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Hakmilik Kepada Pembeli Rumah Teres Lestari Perdana di sini semalam.

Semalam bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo mencabar Kerajaan Negeri membuat penilaian petunjuk status negeri maju serta menjawab dakwaan Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) bahawa Selangor akan hilang status negeri maju jika gagalkan selesaikan masalah air.

Kerajaan Umno-BN dahulu mengumumkan bahawa Selangor mencapai status negeri maju pada tahun 2005.

Abdul Khalid berkata, pencapaian Selangor ditadbir Umno-BN pada 2005 hingga 2007 lebih teruk jika dibanding pada 2008 hingga kini semasa PR dan berharap pemimpin Umno-BN tidak membuka “pekung di dada”.

“Indikator yang paling penting sumbangan Selangor kepada ekonomi Malaysia, dari segi pelaburannya dan pendapatan perkapita Selangor berbanding dengan seluruh negeri di Malaysia.

?Selangor memberi sumbangan 23 pratus manakala negeri lain paling banyak sembilan peratus.

“Masa Khir Toyo dulu kurang dari 20 peratus. Boleh jadi dia tidak baca angka itu,” katanya.

Abdul Khalid menambah, Selangor kekal dengan pencapaian dari segi jumlah pelaburan tinggi dengan kedudukan membanggakan.

“Setengah negeri bila dapat pojek besar, dia naik nombor satu tetapi selepas itu jatuh tetapi Selangor tahapnya nombor satu, dua dan tiga maknanya konsisten,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dakwa PKNS Jual Aset, Noh ‘Naif’ Hal Urus Korporat

SHAH ALAM, 26 OKT : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar digesa untuk memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rakyat Selangor kerana mendakwa PKNS mahu menjual lima asetnya pada harga RM321 juta.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, dakwaan Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang itu jelas membuktikan bahawa beliau tidak mahir selok belok urus tadbir korporat.

Beliau berkata, tindakan Noh itu juga adalah sesuatu yang memalukan kepada Umno-BN kerana memliki menteri kabinet yang ‘naif’ tentang hal ehwal korporat.

“Bagaimanakah seorang menteri peringkat Persekutuan boleh menerima bulat-bulat maklumat yang diberikan tanpa membuat kajian? Jika inilah calon Menteri Besar yang dibanggakan Umno-BN, tidak mustahil Negeri Selangor akan jatuh bankrap kerana menteri besarnya berfikiran cetek dan dangkal.

“Noh patut merasa malu kerana tuduhan terhadap PKNS ternyata palsu. Saya percaya Mantan Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo dan koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed pasti senyum sinis dan bertepuk tangan melihat ‘kecerdikan’ Noh ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kelmarin, Noh mencabar Kerajaan Negeri Selangor untuk menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa Lembaga Pengarah PKNS telah bersetuju untuk menjual lima aset bernilai RM321 juta.

Beliau mendakwa, aset-aset terlibat yang dikatakan bakal dijual ialah Menara PKNS Petaling Jaya (RM90 juta), Shah Alam Convention Centre (SACC) (RM93 juta), Kompleks PKNS Shah Alam (RM88 juta), Kompleks PKNS Bangi (RM42 juta) dan Wisma Yakin (RM7 juta).

Mengulas lanjut, Faekah berkata, kesemua aset komersial yang dimaksudkan Noh masih kekal milik PKNS.

Menurutnya, PKNS ketika ini sedang dalam proses menyelaras aktiviti-aktiviti teras Kumpulan PKNS di mana salah satu inisiatif korporat yang sedang dilaksanakan adalah penubuhan syarikat milik penuh perbadanan itu iaitu Private Real Estate Company atau PREC.

Jelasnya, syarikat itu akan memfokuskan kepada bidang pelaburan dan pengurusan hartanah dan secara jelasnya kelima-lima aset komersial tersebut dipindah milik kepada PREC.

“Sebagai menepati urustadbir korporat yang telus, penubuhan anak syarikat ini (PREC) dan pindah milik aset-aset komersil PKNS kepada PREC telah mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Kewangan dan Lembaga Pengarah PKNS.

“Untuk makluman Noh, jawatankuasa ini turut diwakili Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri. Bahkan pihak Kementerian Kewangan juga telah memberikan kelulusan bertulis untuk proses pindah milik.

“Noh perlu belajar lebih gigih lagi hal ehwal urustadbir korporat sekiranya beliau mahu kelihatan relevan untuk berada dalam senarai calon Menteri Besar BN,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Tuduh Campurtangan Hapus Kegiatan Pelacuran Khir Toyo Mohon Maaf Kepada Ronnie

SHAH ALAM 23 OKT : Bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo hari ini memohon maaf kepada Ronnie Liu kerana memfitnah Exco Kerajaan Negeri itu dalam satu artikel yang dikeluarkan oleh China Press empat tahun lalu.

Permohonan maaf itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang difailkan Ronnie pada 2008.

Khir dalam kenyataan permohonan maafnya berkata, beliau memohon maaf kerana menyebabkan penyiaran sebuah artikel itu yang bertajuk “Khir Toyo membongkarkan laporan polis Ronnie Liu Tian Khiew pernah bercampur Tangan dalam urusan menghapuskan kegiatan pelacuran”.

Beliau sebelum ini mendakwa Ronnie yang juga Adun Pandamaran menghalang pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan pihak polis dalam satu operasi untuk menutup sebuah hotel di Puchong yang digambarkannya sebagai pusat pelacuran.

“Saya juga memohon maaf kepada Ronnie kerana terus menggambarkan beliau terlibat dalam kegiatan seumpama itu sedangkan gambaran itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Menerusi permohonan maaf itu, Khir turut menyatakan kekesalan dan menarik balik kesemua kenyataan yang dibuat terhadap Ronnie serta memohon maaf tanpa syarat terhadap beliau.

“Saya benar-benar menyesal kerana menyebabkan YB Ronnie Liu Tian Khiew mengalami kesusahan yang amat akibat penyiaran artikel tersebut. Saya dengan ini menarik balik kesemua kenyataan yang dibuat terhadap beliau sepertimana terkandung dalam artikel tersebut dan memohon maaf tanpa syarat terhadap beliau,” katanya.

Pada 6 Oktober 2008, Ronnie menyaman Khir kerana didakwa memfitnah dengan mengaitkan beliau dalam usaha menghalang penghapusan kegiatan pelacuran.

Ronnie mendakwa Khir mengeluarkan perkataan palsu dan berunsur fitnah mengenai perkara itu dalam satu artikel yang dicetak dan disiarkan di sebuah akhbar berbahasa Cina pada 9 Mei 2008.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Talam: Kalau Penakut, Jangan Marah Orang Lain Yang Berani!

ULASAN : Agak lama tidak mendengar Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong dari MCA ‘berkokok’ tentang isu Talam.

Tahu-tahu sahaja pada minggu lepas, pemilik rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS) berdemonstrasi menuntut agar Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih hutang perumahan mereka.

Menurut mereka, jika Kerajaan Negeri boleh ?mengambil alih hutang Talam?, mengapa tidak boleh ambil alih hutang mereka?

Tatkala mendengar hujah semudah itu, tahulah kita bahawa mungkin Chua dan pimpinan BN yang lain memberikan maklumat mengelirukan kepada pemilik-pemilik rumah ini.

Namun sebenarnya bukanlah susah untuk Chua ?kelentong’ pemilik-pemilik rumah ini. Kerana penstrukturan semula hutang Talam merupakan kaedah yang agak kompeks.

Ia satu kaedah baru yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri ?memaksa? pihak berhutang membayar balik hutang, tanpa melaksanakn pendekatan ‘bailout’ yang sering diamalkan oleh kerajaan BN.

Memahami Kes Talam

Kes Talam memang nampaknya mengelirukan. Walaubagaimanapun, dengan sedikit sebanyak kesabaran dan huraian yang jelas, kes ini sebenarnya mudah difahami.

Cerita ini bermula pada 80an dan 90an, apabila seorang jurutera bernama Chan Ah Chye yang bekerja di PKNS.

Chan mengasaskan Talam Corporation, dan mungkin hasil hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin tertentu seperti Menteri Besar waktu itu Muhammad Taib, berjaya menjadi antara pemaju-pemaju utama di Selangor.

Banyak tanah di Selangor diperuntukkan ke Talam secara percuma! Tanah ini dicagarkan kepada bank untuk mendapatkan pinjaman-pinjaman besar yang membiayai projek-projek Talam.

Barangkali pembaca boleh meneka siapa yang dapat berkongsi untung dari projek-projek ini.

Akhirnya, krisis ekonomi sekitar tahun 1997 melanda Talam. Akibat tidak berupaya untuk membayar balik pinjaman-pinjaman besar, kedudukan kewangan Talam semakin merosot dan projek-projek semakin terbengkalai.

Malangnya, Talam dan sekutu-sekutu politiknya gagal insaf atau bertaubat. Pada 2001, di bawah Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo, tiga bidang tanah diperuntukkan kepada anak syarikat Talam Maxisegar Sdn Bhd sebagai pembiayaan pembinaan kampus induk UNISEL dengan kos pembinaan RM 750 juta.

Projek ini akhirnya turut terbengkalai dan pada September 2006, Talam diklasifikasikan sebagai ‘Affected Company’ menurut amalan Practice Note 17 (PN 17) akibat kedudukan kewangannya yang parah.

Reformasi di Selangor

Pada 2008, apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyandang jawatan Menteri Besar, beliau mewarisi masalah ini di mana Talam berhutang besar kepada Kerajaan Negeri serta anak-anak syarikatnya.

Untungnya rakyat Selangor, selaku Menteri Besar Abdul Khalid dengan berpengalaman dalam bidang kewangan korporat. Beliau memulakan usaha mengutip balik hutang Talam.

Rancangan yang akhirnya dipilih berasaskan prinsip yang mudah: menggunakan aset-aset Talam yang masih ada untuk menjelaskan hutang tersebut.

Rumusannya: Pertama, hutang Talam disahkan dan direkod dalam akaun (sesuatu yang tidak dibuat sebelum 2008). Selepas disahkan semua pihak, hutang ini dipindahkan kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) yang akhirnya bertanggungjawab mengutip hutang dalam bentuk tanah dan wang tunai.

Bahagian seterusnya menjelaskan proses secara terperinci.

Walaupun rumit dan mungkin membosankan, proses disenaraikan untuk sesiapa yang ingin tahu dan untuk menegakkan nilai-nilai ketelusan.
1. Talam berhutang RM 392 juta kepada tiga anak syarikat Selangor: KHSB, PIYSB, dan PNSB.
2. Setelah hutang ini dipersetujui, disahkan dan direkodkan, satu lagi anak syarikat Selangor,Selangor Industrial Corporation (SIC), membeli hutang tersebut daripada tiga syarikat itu.
3. SIC mengambil pinjaman RM 392 juta dari CIMB untuk membeli hutang tersebut.
4. Pada November 2009, Exco Negeri serta Dewan Negeri meluluskan geran RM 392 juta kepada MBI yang menggunakan dana tersebut untuk membeli dan mengambilalih hutang – hutang dari SIC.
5. SIC kemudiannya mengguna dana tersebut untuk membayar balik pinjaman daripada CIMB.

Proses rumit, objektif mudah – tanpa sebarang perbelanjaan tinggi, Talam kini berhutang jumlah yang sama kepada satu sahaja anak syarikat Selangor, bukan lagi tiga yang asal.
Kita harus memerhatikan bahawa tidak wujud pada bila-bila masa atau mana-mana peringkat transaksi sebarang pemindahan dana kerajaan kepada Talam. Pemindahan dana hanya berlaku dari satu saku Kerajaan Negeri kepada saku yang lain.

Ini adalah perbezaan yang amat ketara berbanding syarikat-syarikat seperti Indah Water Konsortium, MAS, atau Putra/Star LRT, di mana duit rakyat dimasukkan terus ke dalam syarikat-syarikat yang kelihatan hilang beratusan juta ringgit melalui penyalahgunaan kuasa, rasuah dan ketirisan.

Pengstrukturan semula hutang Talam berjaya mengesahkan hutang Talam dan membuka jalan untuk Talam membayar balik hutang tersebut ke satu sahaja anak syarikat negeri.

Satu lagi pencapaian yang amat penting adalah bahawa MBI berjaya kutip semula jumlah sepenuhnya hutang Talam, iaitu RM 392 juta.

Kutipan ini wujud dalam 2 bentuk:

Fakta jadi bukti, skandal jadi tanda tanya

Lebih satu dekad bawah BN, satu syarikat berhutang ratusan juta kepada Kerajaan Negeri Selangor. Dalam setahun dua sahaja mentadbir di Selangor, Abdul Khalid berjaya kutip semula hutang ini, dan meningkatkan dana yang boleh dibelanja untuk membiayai program-program kebajikan di seluruh Selangor.

Skandalnya adalah cara Talam dibiarkan sahaja dan tidak diminta pun untuk bayar balik hutang ini bawah BN, dan skandalnya adalah kita terpaksa tunggu 50 tahun sebelum mengangkat pemimpin yang berupaya mereformasikan amalan-amalan kotor ini.

Chua Tee Yong sepatutnya membuat kerja rumah sebelum berhadapan dengan Abdul Khalid. Ketidaksediaan anak lelaki Presiden MCA ini menyaksikan angka-angka yang disebut berubah-ubah setiap masa, hari pertama kata RM1 bilion, hari kedua RM260 juta dan hari ketiga RM42 juta pula.

Yang menjadi kemarahan BN ialah bagaimana Kerajaa Negeri berjaya secara sistematik memaksa Talam membayar hutang tersebut secara aset dan tunai.

Jadual di bawah menjelaskan kaedah hutang Talam dikutip:



Jika dilihat pada aset-aset dan jualan aset yang terlibat, rata-ratanya mencatatkan kepentingan kroni yang bukan sedikit. Kerana itu kita tidak pelik apabila puluhan tahun BN di Selangor masih gagal mendesak Talam membayar hutang dengan kaedah ini.

Jika digunapakai, pasti ada kalangan kroni-kroni, baik dalam parti, mahupun di luar parti, yang akan?mengamuk?.

Dan puluhan tahun ketakutan BN mengambil kembali hak rakyat Selangor yang dirampas rasanya sudah terjawab.

Kalangan kroni yang terlibat dengan kawasan-kawasan aset dan jualan aset berkenaan mungkin boleh mengangguk bersetuju bahawa merekalah punca BN selama ini takut untuk menyentuh aset-aset Talam yang nilainya ratusan juta ini.

-Syed Junaidi Syed Abu Bakar-

Categories
NASIONAL

Dakyah Blogger Umno Hanya Sia-sia

SHAH ALAM, 17 MEI : Blogger pro Umno-BN hanya membuang masa dengan cerita rekaan mereka kerana segala usaha bagi melemahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berkesan sama sekali.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata usaha blogger pro Umno-BN itu adalah sia-sia dan tidak memberi kesan langsung terhadap keutuhan parti itu bagi menempuh pilihanraya umum ke 13 (PRU13) nanti.

“Ia hanyalah usaha yang dibuat sekumpulan blogger kecil pro Umno-BN bagi mewujudkan satu keadaan yang memihak kepada Umno-BN tetapi malangnya tidak berlaku.

?Kita tidak terkesan langsung dengan segala usaha yang dibuat mereka,” begitu kata Shuhaimi kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media berhubung penafian Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Beliau dituduh meminta wang RM10 juta daripada bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo supaya keluar dari PKR selepas PRU12 2008 seperti didakwa blogger pro Umno-BN.

Tuduhan itu dipaparkan di dalam sebuah artikel blog yang mengatakan Manikavasagam bertemu Dr Mohamad Khir pada akhir 2008 untuk meminta wang tersebut.

Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda berkata tiada apa yang perlu dilakukan PKR bagi membetulkan keadaan berikutan segalanya berjalan seperti sedia kala.

Katanya, PKR tidak akan melayan sebarang usaha sebegitu kerana ianya hanya membuang masa dan tenaga.

“Tiada apa yang perlu kita lakukan bagi menanganinya kerana ia tidak memberi kesan.

“Ia dilihat usaha bagi melemahkan parti menjelang berlangsungnya PRU ke 13 nanti. Usaha untuk melaga-lagakan pemimpin dan ahli di dalam PKR.

?Bagaimanapun ia tidak menjejaskan kita dan tiada apa yang menggugatkan keutuhan kita,” katanya.