Categories
AGENDA GLOBAL

ASEAN, China setuju satu lagi eksesais maritim

BANGKOK, 17 NOV: ASEAN dan China bersetuju untuk mengadakan satu lagi eksesais maritim bagi memupuk perdamaian di rantau ini.

Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu berkata, kesemua 10 negara anggota ASEAN dan China pada prinsip bersama telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam latihan tentera laut pelbagai hala yang kedua itu.

“Kami bersetuju mengadakan eksesais maritim kali kedua itu bagaimanapun belum membincangkannya secara terperinci bila dan di mana ia akan diadakan.

“Eksesais bersama tentera laut merupakan satu lagi usaha oleh ASEAN dan China dalam mempastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Ditanya sama ada eksesais maritim itu akan menjadi acara tahunan, Mohamad berkata, “ianya belum diputuskan lagi.”

Terdahulu, Mohamad menghadiri Permukiman ASEAN+1(China).

Mohamad berada di Bangkok bagi menghadiri Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-13 (ADMM) dan ADMM-PLUS ke-6. Thailand merupakan pengerusi ASEAN tahun ini.

ADMM merupakan mesyuarat di kalangan menteri pertahanan 10 negara anggota ASEAN bagi membincangkan mekanisme pertananan dalam memupuk keamanan dan kestabilan di rantau ini serta mengeratkan kerjasama pertahanan strategik.

Eksesais maritim buat pertama kali diadakan pada tahun 2015.

Pada Oktober tahun lepas, ASEAN and China mengadakan latihan tentera laut yang pertama di pangkalan tentera laut Zhanjiang di selatan China.

Pada September tahun ini, ASEAN dan Amerika Syarikat mengadakan eksesais maritim pertama bermula dari Pangkalan Tentera Laut Sattahip di Thailand dan berakhir di Singapura.

Dipimpin bersama oleh Amerika Syarikat dan Tentera Laut Diraja Thai, eksesais itu merentasi perairan antarabangsa di Asia Tenggara termasuk Teluk Siam dan Laut China Selatan sebelum berakhir di Singapura.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kekalahan Tanjung Piai tidak lemah semangat PAKATAN

SHAH ALAM, 17 NOV: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, semalam, tidak melemahkan semangat Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Mohamad Sabu.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, kekalahan PAKATAN adalah hasil pilihan rakyat dan pihaknya menerima keputusan itu dengan terbuka namun penuh kesedaran.

“Keputusan ini tidak sedikitpun melemahkan semangat kami malah menyemarakkan lagi tekad untuk terus bekerja kuat memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, perkara itu menuntut kerajaan PAKATAN untuk terus memperbaiki pemerintahan bagi memastikan segala usaha dan inisiatif dilaksanakan, dapat dirasai keseluruhan rakyat.

“Kami juga akan berusaha merapatkan saf kepimpinan antara parti dalam PAKATAN dan pada masa sama, mempergiatkan lagi program penerangan,” katanya.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Beliau memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi untuk mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekat yang juga calon PAKATAN, Karmaine Sardini, memperoleh 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam (1,707 undi).

Tiga calon lain, iaitu Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz meraih 850 undi, manakala Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (BEBAS) sekadar mendapat 380 dan 32 undi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal siap reka bentuk terperinci punca enam kapal TLDM lewat diterima

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Kegagalan pihak kontraktor menyiapkan reka bentuk terperinci mengikut tempoh dan kelewatan memuktamadkan perolehan sebahagian besar peralatan di bawah tanggungjawab mereka menjadi antara punca kelewatan penerimaan enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jenis kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, selain itu keadaan kualiti kerja yang tidak memuaskan, tidak mengikut spesifikasi sehingga berlaku kerja berulang, dan kerja-kerja tertangguh yang tinggi juga menjadi penyebab aset TLDM yang sepatutnya mula diterima April lepas tidak diterima sehingga kini.

Mohamad berkata, kementerian itu bagaimanapun tidak boleh menghentikan pembelian kerana telah membayar kos sebanyak RM6 bilion.

“Kami akan berusaha untuk memastikan ia dapat siap mengikut jadual yang telah diberi pihak kontraktor. Sepatutnya kapal yang pertama dijangka siap pada April tahun ini, tetapi dimaklumkan ia hanya akan siap pada Februari 2022,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata hal itu juga akan menyebabkan berlaku kelewatan penerimaan terhadap lima kapal yang lain.

Sementara itu, menyentuh tentang pemberhentian operasi mencari dua anggota tentera darat dari Sarawak yang hilang ketika bertugas di Pulau Perak, Kedah Julai lepas, Mohamad berkata aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa melaksanakan pemantauan di kawasan itu bagi mendapatkan petunjuk baharu.

“Mereka (ATM) masih belum peroleh (petunjuk), bagaimanapun mereka terus berusaha dari semasa ke semasa sehinggalah disahkan betul-betul (meninggal dunia), itupun mengambil masa tujuh tahun untuk mahkamah mengisytiharkannya. Semasa tujuh tahun itu segala faedah anggota tentera akan diperolehi warisnya. Ini yang dibuat setakat ini oleh ATM,” katanya.

Persidangan Dewan disambung hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Industri pertahanan perlu proaktif, letak sasaran sebagai pengeksport

KAJANG, 23 OKT: Industri pertahanan tempatan perlu lebih proaktif dengan sentiasa mengikut kehendak pasaran dan tidak hanya menumpukan produk atau perkhidmatan kepada Kerajaan Malaysia sahaja, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, peserta industri perlu turut meletakkan sasaran menjadi pengeksport di peringkat rantau atau global, di samping menghasilkan produk dwiguna untuk pasaran komersial.

“Industri pertahanan mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi sesebuah negara dengan mengambil kira skopnya yang luas meliputi bidang aeroangkasa, maritim dan persenjataan.

Banyak peluang pekerjaan yang dapat dimanfaatkan selain membawa lebih banyak kepakaran dalam industri,” katanya semasa berucap merasmikan Program ‘Hari Pemadanan Perniagaan 2019’ Kementerian Pertahanan di Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kementerian mengalu-alukan penglibatan pemain industri dalam menjalin kerjasama ke arah pengembangan projek-projek inovasi.

Beliau berkata, sokongan dan kerjasama erat perlu wujud antara pencipta inovasi dan pihak industri untuk memenuhi keperluan pengguna.

“Sebagai sebuah negara, kita perlu mencari formula sesuai untuk terus membangunkan industri pertahanan yang kukuh. Pembangunan industri pertahanan ini juga perlu berteraskan perkembangan teknologi dan evolusinya,” katanya.

Mohamad berkata, penyelidikan dan pembangunan tidak berkesan sekiranya penggunaan teknologi terhad dan tidak menepati keperluan pengguna dan pasaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM150 juta baik pulih 6,000 rumah keluarga tentera

SHAH ALAM, 23 OKT: Kementerian Pertahanan memperuntukkan kira-kira RM150 juta bagi membaik pulih 6,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), menjelang 2020.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata ia bagi memastikan RKAT sedia ada dapat didiami dengan selesa oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, fokus kepada penyelenggaraan dan pemulihan RKAT juga jelas diperlukan berdasarkan penemuan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1.

“Pelbagai jenis kelemahan dalam perancangan pengurusan penyelenggaraan RKAT ekoran kegagalan pentadbiran terdahulu untuk mematuhi peraturan sehingga menyebabkan banyak unit rosak serta terbiar.

“Daripada 54,497 unit RKAT, didapati bahawa 12,261 unit tidak selamat untuk diduduki kerana terlalu uzur akibat kecuaian pentadbiran sebelum ini yang tidak peka terhadap keperluan sebenar ATM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Sabu berkata, kediaman RKAT lebih selesa akan meningkatkan semangat anggota ATM yang banyak berkorban ketika menyertai operasi sepanjang tahun.

“Maka anggota ATM tidak perlu bimbangkan keadaan keluarga mereka ketika bertugas.

“Keselesaan dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat hanya tercapai melalui titik peluh dan darah anggota ATM. Oleh itu, sewajarnya anggota ATM dan keluarga mereka turut dapat menikmati keselesaan ini.

“Kementerian Pertahanan sentiasa bersedia untuk memastikan setiap anggota ATM yang berkeluarga menduduki unit RKAT yang terbaik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya kepimpinan PAKATAN putus siapa PM

KLANG, 22 OKT: Hanya mesyuarat kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) sahaja yang berhak menentukan siapa selayaknya mengetuai pentadbiran kerajaan masa kini, demikian tegas Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

“Buat masa ini kita (PAKATAN) telah melantik dan mengesahkan jawatan itu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan sudah tentu tidak ada sebarang tarikh penentu kepada tamat tempoh beliau mengalas tanggungjawab itu,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menegaskan Tun Dr Mahathir sewajarnya kekal sebagai Perdana Menteri sehingga selesai tempoh penggal kali ini kerana itu mandat diberikan rakyat.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, Kerajaan PAKATAN tidak mempunyai masalah terhadap isu yang dibangkitkan.

“Siapapun boleh bangkitkan isu ini, kita tiada masalah tetapi walau apapun keputusannya ia bergantung kepada mesyuarat kepimpinan parti,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan PAKATAN utama semua kaum

KLANG, 22 OKT: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengutamakan semua kaum dan mengamalkan prinsip ‘hidup rakyat Malaysia’, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

“Dalam PAKATAN kita menghormati semua kaum dan jika inginkan persaingan kita berlumba, malah ALLAH SWT juga minta kita sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan (fastabiqul-khairat).

“Orang Melayu, Cina dan India semua ada kebaikan, dan masing-masing berlumba buat kebaikan bukannya buat jahat.

“Jika orang India hebat jual rempah, kita belajar, jika Cina hebat berniaga di bengkel, cuba lihat cara mereka layan pelanggan dan begitu juga Melayu yang pandai menjahit atau menjalankan perniagaan makanan, kita sama-sama belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Penyampaian Sumbangan Deepavali anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja bersama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) dah Pertubuhan Kebajikan Amal Isteri Isteri Harapan dan Penyampaian Hijrah Selangor di sini, hari ini.

Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Seramai 130 penduduk yang terdiri daripada kaum India menerima bantuan Deepavali sementara 52 lagi mendapat bantuan daripada Yayasan Hijrah Selangor.

Majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Kota Raja itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan ADN Sentosa, Gunarajah R George.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, warganegara Malaysia sepatutnya menjadi rakyat yang berguna dengan tidak bertikam lidah serta memainkan isu perkauman.

“Janganlah kita hidup begitu, jika diteruskan kita hidup pun tak akan aman.

“Sempena sambutan Deepavali tidak lama lagi, saya berharap supaya kesemua penduduk di Kota Raja menyambutnya dengan aman dan gembira serta pada masa sama menghayati maksud keharmonian yang kita kecapi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kertas Putih Pertahanan dibentang 2 Disember

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kertas Putih Pertahanan Negara kini dalam peringkat akhir penyediaan dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Disember ini, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, deraf awal kertas putih itu telah diluluskan selepas dibentangkan pada Mesyuarat Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

“Ini adalah peringkat akhir dan kertas putih ini adalah sebagai panduan untuk Kementerian Pertahanan dalam rancangan 10 tahun bagi kementerian itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Kementerian Pertahanan di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Mohd Ali dan Pemangku Panglima Angkatan Tentera merangkap Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Mohamad berkata, Kertas Putih Pertahanan yang pertama kali dibuat di Malaysia itu mengambil contoh beberapa negara lain antaranya Brunei, Australia, Jerman dan New Zealand.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Kementerian Pertahanan adalah penerima kelima terbesar dalam Belanjawan 2020 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15.6 billion.

Beliau berkata, bagi program kesiapsiagaan dan operasi dalam memastikan kedaulatan negara terus dipertahan, sebanyak RM5.7 billion diperuntukkan kepada Tentera Darat Malaysia, TLDM (RM2 bilion), Tentera Udara Diraja Malaysia (RM2.5 bilion) dan RM1.4 bilion untuk Angkatan Bersama.

“Komitmen akan diteruskan bagi memastikan setiap perancangan perbelanjaan mengikut prosedur sedia ada bagi mengelak berlakunya pembaziran,” katanya.

Sementara itu, Mohd Reza, berkata, kerajaan bercadang untuk menyediakan kira-kira 20 bot Pemintas Laju (Fast Interceptor Crafts) sebagai usaha mempertahankan perairan negara terutama di Sabah.

Beliau berkata kira-kira RM220 juta disediakan untuk membeli bot itu dan tender telah dibuka bagi proses pembelian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kertas Putih Pertahanan dibentang selepas Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Kertas Putih Pertahanan Negara dijangka dibentang di Parlimen selepas Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Kertas Putih Pertahanan itu yang pertama kali dibuat di Malaysia, mengambil contoh beberapa negara lain antaranya Brunei, Australia, Jerman dan New Zealand.

“Sebelum ke Parlimen yang dijangka pada awal Disember, kertas putih itu akan dibentang kepada Kabinet terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata, deraf kertas putih itu mengambil pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin ketika ditemui baru-baru ini berkata, kertas putih itu antaranya merangkumi penstrukturan gaji yang kompetitif, elaun dan insentif khas, faedah-faedah perubatan/penjagaan kesihatan serta perkara berkaitan perumahan.

Beliau berkata, ia akan memberi ganjaran bukan sahaja terhadap profesionalisme dan pengalaman warga tentera, malah pengorbanan serta kesusahan yang telah mereka hadapi.

“Selain itu, anggota tentera juga mempunyai peluang untuk mengembangkan kepakaran profesional yang mendalam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka melalui gabungan pendidikan, latihan serta program pembangunan diri,” katanya dalam wawancara khas sempena Hari ATM yang ke-86.

Zulkifli berkata, daripada segi perkembangan kerjaya, Kertas Putih Pertahanan itu turut menggariskan proses dan peluang kenaikan pangkat daripada semua cabang serta peringkat yang hendaklah berdasarkan kelayakan/keupayaan profesonal termasuk pengalaman.

“Ia juga turut menyentuh kebajikan veteran ATM dengan penyediaan sokongan penjagaan kesihatan yang lebih baik serta komprehensif, termasuk bantuan dan sokongan kewangan seperti rawatan hemodialisis serta pembelian peralatan pendengaran, konsentrator oksigen, ubat-ubatan dan banyak lagi,” katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata, keperluan pekerjaan dan keperluan sosial warga ATM diberi perhatian dalam kertas putih itu iaitu membantu mereka mencari pekerjaan baharu selepas tamat perkhidmatan dalam angkatan tentera.

Katanya, ia juga akan memastikan keperluan sosial veteran dipelihara dengan baik serta meneruskan usaha menyediakan bantuan berkaitan perumahan, bantuan pendidikan dan kewangan bagi membantu meningkatkan kualiti hidup mereka pada masa akan datang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LTAT perlu pertingkat strategi jana pulangan lebih baik

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mahu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mempertingkat strategi bagi menjana pulangan yang lebih baik, mampan dan bertanggungjawab demi kebaikan dan kebajikan ahli.

Mengulas tindakan segelintir pihak yang mempertikai kadar dividen yang diumumkan LTAT, Mohamad berkata, LTAT telah menjalankan tanggungjawabnya untuk menjana pulangan yang mampan untuk ahli-ahlinya.

Beliau berkata, pengurusan LTAT mewarisi organisasi yang sarat dengan pelbagai ketidakpatuhan serta kelemahan pengurusan, kesan daripada kepimpinan yang tidak telus sebelum ini.

“Untuk LTAT mengisytiharkan dividen yang lebih tinggi, ia memerlukan pulangan yang baik, hasil daripada pelaburannya.

“Pelaburan tidak munasabah yang dijalankan oleh kepimpinan terdahulu telah menyebabkan kurangnya pulangan untuk tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, LTAT telah menerima Pendapat Berteguran daripada Jabatan Audit Negara bagi Tahun Kewangan 2017 dan jumlah keuntungan bersih tahun itu telah diselaraskan kerana mengambil kira hasil daripada jualan tanah yang belum dimuktamadkan.

“Untuk rekod, pendapatan bersih LTAT pada 2017 turun sebanyak lebih 30 peratus daripada RM686.8 juta kepada RM459.5 juta.

“Bagi Tahun Kewangan 2016, pendapatan bersih LTAT juga turun sebanyak 48 peratus daripada RM685.5 juta kepada RM356.2 juta setelah mengambil kira penyelarasan daripada penjualan tanah yang tidak dimuktamadkan namun hasil daripada jualan itu telah diambil kira sebagai pendapatan LTAT,” katanya.

Beliau berkata, LTAT juga diingatkan supaya terus menjaga kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk jangka masa panjang.

“Tumpuan kerajaan Pakatan Harapan dan pentadbiran baharu LTAT adalah bagi menjaga kebajikan anggota ATM dan kerajaan tidak gusar untuk mengisytiharkan pulangan yang rendah kerana ia seiring dengan kemampuan LTAT pada ketika ini,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan LTAT mengumumkan dividen sebanyak 2.0 peratus bagi ahlinya untuk tahun kewangan 2018 berakhir 31 Disember 2018.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lihat kesesuaian, kewangan negara sebelum ganti jet pejuang

KLANG, 8 SEPT: Cadangan menggantikan jet pejuang jenis Rusia SU dan MiG yang digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan jet pejuang versi baharu adalah bergantung kepada keadaan kewangan negara.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata cadangan itu masih dalam peringkat kajian malah kerajaan akan melihat terlebih dahulu kesesuaiannya untuk menggantikan jet pejuang berkenaan.

“Aset pertahanan milik negara memang sudah usang dan perlu diganti. Namun, kita akan lihat kesesuaiannya (untuk menggantikan jet pejuang sedia ada dengan versi baharu).

“Ia (langkah pembelian jet pejuang baharu) bergantung kepada kedudukan kewangan negara dan rundingan (antara Malaysia dan Rusia mengenai pembelian itu),” katanya dalam sidang media selepas melepaskan kira-kira 12,000 peserta acara larian ‘Run For Peace 2019’ anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia di sini, hari ini.

Pada 5 September lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia amat berhati-hati untuk berbelanja terlalu banyak wang menggantikan kedua-dua jenis jet pejuang buatan Rusia dengan versi baharu itu.

Dr Mahathir turut menyifatkan penggunaan wang yang terlalu banyak untuk membeli jet pejuang mahal amat tidak produktif kepada negara kerana Malaysia tidak mahu berperang dengan mana-mana pihak.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai perkembangan siasatan insiden kematian melibatkan seorang komando semasa melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah pada Rabu lepas, Mohamad berkata siasatan masih dijalankan namun yakin siasatan tidak mengambil masa terlalu panjang.

“Perkara ini (siasatan mengenai insiden kematian seorang komado) masih dalam siasatan. Ia adalah suatu kemalangan. Sekejap saja siasatan itu, tidak lama,” ulasnya ringkas.

Dalam insiden itu, Mej Mohd Zahir Armaya, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas maut tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah.

Sementara itu, mengulas mengenai acara larian pada hari ini, Mohamad memuji usaha persatuan itu dalam meningkatkan kesedaran masyarakat supaya menghargai keamanan dan sentiasa menjaga alam sekitar.

Katanya, tahap kesedaran rakyat terhadap kedua-dua nilai murni itu dilihat masih rendah, justeru lebih banyak program menyantuni masyarakat seumpamanya harus dilaksanakan supaya sikap berkenaan dapat diterapkan demi generasi akan datang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mohamad Sabu rakam takziah kepada keluarga Mejar Mohd Zahir

SHAH ALAM, 4 SEPT: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas, Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut, ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah, hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berharap keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan itu.

“Saya merakamkan simpati mendalam dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya berharap keluarga Allahyarham tabah menghadapi suasana pilu ini dan kami di Kementerian Pertahanan amat bersimpati atas kesedihan ini,” katanya.

Mohamad turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga laporan bedah siasat selesai bagi menghormati keluarga Allahyarham.

Allahyarham yang juga anak kepada seniman AR Badul menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 9.20 pagi.

Mohd Zahir dilaporkan menyertai demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu bermula kira-kira 8.30 pagi dan kumpulan demonstrasi itu adalah persembahan ketiga yang dilakukan.

Ketika kejadian, mangsa berbaju putih dan bertopeng beraksi sebagai penjenayah yang ditembak mati anggota tentera.

Mangsa kemudian rebah dan diheret ke tepi sebelum persembahan ditamatkan.

Bagaimanapun, mangsa didapati tidak sedarkan diri sebelum topeng mukanya dibuka dan mukanya berlumuran darah.

Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, sebelum disahkan meninggal dunia.