Categories
NASIONAL

Himpunan Rakyat 12 Januari, PR Jumpa Ketua Polis Negara

Mat-Sabu-Pas-Grafik123

PETALING JAYA 2 JAN : Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) akan menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk mendapatkan kebenaran dan bantuan bagi memastikan Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari ini berjalan dengan aman.

Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu berkata manakala jawatankuasa induk himpunan itu akan menemui Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Salleh.

Katanya, semua permohonan untuk dua pertemuan itu akan dihantar dalam minggu ini sebelum perhimpunan diadakan.

“Usaha untuk menghubungi kedua-dua polis itu akan dibuat melalui surat rasmi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu turut mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi kebenaran untuk mengadakan perhimpunan yang akan berlangsung di Stadium Merdeka.

“Kami memilih Stadium Merdeka itu seperti mana yang disarankan Perdana Menteri kita ketika perhimpunan Bersih 3.0 lalu yang mahukan perhimpunan itu dilakukan di stadium.

“Bagaimanapun, pihak Stadium Merdeka masih belum memberi jawapan walaupun pihak kami sudah menghantar surat permohonan pada 26 Disember lalu,” katanya.

Timbalan Presiden PAS itu menambah pihaknya tidak menyediakan sebarang rancangan alternatif menukar lokasi perhimpunan itu sekiranya pihak stadium tidak memberikan kebenaran.

Beliau berkata perhimpunan yang bersifat santai itu akan diadakan bermula jam 2 hingga 5 petang dan pihaknya akan turut melancarkan ‘Deklarasi Rakyat 12 Januari’ yang akan dibaca di akhir perhimpunan.

Mat Sabu turut menjangkakan seramai 1 juta rakyat akan hadir ke perhimpunan itu yang turut dihadiri oleh badan bukan kerajaan (NGO) Anak, royalti, gabungan Bersih dan sebagainya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Tidak Layak Bicara Soal Wang Rakyat

SHAH ALAM 3 OGOS : Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari menafikan dakwaan Datuk Seri Noh Omar yang kononnya Kerajaan Negeri menyalahgunakan wang rakyat untuk membiayai kos guaman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Sebaliknya, menurut Dr Yaakob, dana itu diperolehi menerusi peruntukan Geran Selangorku bernilai RM5 juta bagi Program Pembasmian Rasuah dan Penyelewengan.

Katanya, Noh tidak layak berbicara soal wang rakyat kerana beliau sendiri tidak mampu menyelamatkan penyelewengan dana Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) berjumlah RM250 juta oleh pemimpin Umno-BN.

Jelasnya, sejak kepincangan itu didedahkan, Noh selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani tidak mengambil sebarang tindakan bagi mendapatkan semula wang rakyat yang disalahgunakan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Salleh.

“Selaku Menteri, Noh gagal menunaikan tanggungjawab untuk berkhidmat dan menjaga amanah rakyat termasuk memastikan tiada penyelewengan melibatkan dana kerajaan.

“Walaupun pinjaman RM250 juta diluluskan sebelum Noh memegang kementerian itu, beliau sepatutnya mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil mengembalikan semula dana itu kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ujarnya, Geran Selangorku sememangnya diperuntukan untuk kegunaan rakyat antaranya, Pengenalan Gaji Minima, Program Memperkasakan Wanita, Pembinaan Infrastruktur Sukan, Pembaikan Infrastruktur dan Program Pengukuhan Demokrasi.

Katanya, bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri bukan untuk membantu kroni, sebaliknya sebagai sokongan terhadap usaha dan keberanian Rafizi mendedahkan kepincangan pengurusan dana rakyat.

“Rafizi adalah mangsa ketidakadilan sistem di negara ini apabila pelapor kes rasuah dan penyelewengan dilayan seperti pengganas dengan tangannya digari ketika dibawa ke mahkamah manakala suspek rasuah pula diberi layanan VIP.

“Rakyat Selangor dan Malaysia dapat menilai ketidakadilan yang berlaku di bawah pemerintahan Umno-BN dan kita yakin  bahawa penilaian ini akan membawa kepada perubahan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU-13) akan datang,” katanya lagi.