Categories
SELANGOR

Wajah Asnaf Ceria Terima Sumbangan Hari Raya

sultan selangor anak yatim 17 jul 01

AMPANG 18 JULAI: Golongan asnaf yang menerima sumbangan Hari Raya daripada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam merasa gembira dan terharu kerana dapat menampung perbelanjaan mereka bagi menyambut Hari Raya kelak.

Wajah ceria dilihat disebalik raut muka Fatimah Kaur Abdullah, 56, seorang asnaf miskin yang menyatakan wang itu akan digunakan untuk mempersiapkan diri dan anaknya menyambut hari lebaran kelak.

“Alhamdulillah, tidak kisah berapa jumlah yang diberikan tapi saya akan menggunakan sebaik mungkin untuk saya dan anak-anak di hari raya nanti,” katanya yang mempunyai tujuh orang anak.

sultan selangor buka puasa asnaf mualaf 03Perasaan yang sama turut dikongsi Rosmidah Nasir, 65, yang mengucapkan terima kasih kepada baginda Sultan serta Lembaga Zakat Selangor(LZS) yang sentiasa prihatin kepadanya setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Terima kasih kepada Baginda kerana prihatin terhadap rakyat di Selangor ini, khususnya golongan asnaf seperti kami,” katanya.

Seramai 143 orang asnaf fakir, 157 orang asnaf miskin, 184 orang anak yatim serta 100 orang muallaf menerima sumbangan Hari Raya dalam satu Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Al-Azim, Pandan Indah di sini semalam.

Asnaf fakir, miskin dan muallaf menerima sumbangan RM 400 setiap seorang kecuali anak-anak yatim yang menerima RM 100 seorang.

sultan selangor buka puasa 02Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Hadir bersama, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Dalam majlis yang sama, DYMM Sultan Selangor berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM 435,121 daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

PNSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Omar yang menyerahkan zakat perniagaan tersebut bagi tahun kewangan berakhir 2012.

Categories
SELANGOR

LZS Pergiat Promosi Kutip Zakat Saham

zakat saham 01

SHAH ALAM 20 JUN : Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mempergiatkan promosi zakat daham pada tahun ini bagi meningkatkan jumlah kutipan kumpulan zakat tersebut.

Dengan motto ‘Saham Dunia Saham Akhirat’, LZS mensasarkan usaha itu mampu mengubah kefahaman komuniti pelabur Muslim khususnya, agar menjadikan zakat saham sebagai satu tanggungjawab.

Ujar Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, kekayaan yang tercipta daripada permainan saham juga perlu dizakatkan demi kekuatan umat Islam secara keseluruhannya.

“Sebelum ini kebanyakan para pelabur Muslim kurang didedahkan dengan zakat saham secara terperinci, sedangkan sektor pelaburan pada masa ini ini lebih kompleks dengan pelbagai variasi.

zakat saham 02“Saham kini juga sudah menjadi salah satu aspek kekayaan baharu bagi umat Islam yang meliputi saham-saham syarikat, saham di akaun amanah, saham dalam bon yang dikeluarkan kerajaan dan banyak lagi,” katanya di hadapan kira-kira 100 hadirin.

Beliau berucap demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Zakat Saham yang diadakan di Plenary Hall, Shah Alam Convention Centre (SACC) semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof serta Pengurus Besar Kutipan LZS, Roszy Non.

Dengan promosi yang lebih giat pada tahun ini, LZS mensasarkan kutipan zakat saham akan meningkat sebanyak sepuluh peratus iaitu RM8.5 juta, berbanding kutipan pada tahun lepas, yang berjumlah RM 7.7 juta.

LZS merupakan institusi zakat pertama di Malaysia yang mengemas kini panduan kiraan zakat saham dan pelaburan dengan mewujudkan Warta Fatwa Zakat Pelaburan Saham pada 30 Mac 2011.

Nilai zakat yang dikenakan adalah sebanyak 2.5 peratus daripada nilai pelaburan di hujung haul(genap satu tahun) sementara bagi pelaburan yang diniagakan, jumlah keuntungan yang ditunaikan sepanjang tahun hendaklah dicampurkan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengiraan zakat saham, orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang LZS di www.e-zakat.com.my atau menghubungi terus wakil pegwai di pejabat LZS.

Categories
NASIONAL SELANGOR

226 Ibu Tunggal Seluruh Malaysia Terima Bantuan Pendahuluan Nafkah BSK

BSK Selangor 01

SHAH ALAM, 31 MEI : Seramai 226 ibu tunggal dan wanita seluruh Malaysia telah menerima bayaran pendahuluan nafkah daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bernilai RM 550,879 sehingga April tahun ini.

Daripada jumlah itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatakan pembayaran pendahuluan nafkah tertinggi dengan jumlah RM 285,690 diikuti Terengganu sebanyak RM78,590 dan Selangor, RM 64,250.

Pendahuluan nafkah itu merupakan bantuan sara hidup selama enam yang diberi kepada ibu tunggal dan isteri yang diabaikan oleh bekas suami masing-masing.

Manakala suami mereka diperintahkan mahkamah untuk membayar jumlah itu balik kepada JKSM.

Hakim Mahkamah Syariah JKSM, Datuk Seri Md Yusup Che Teh berkata, jumlah kutipan balik yang dicatatkan setakat ini adalah sebanyak RM 47,800 mewakili 51 orang pembayar dengan nilai peratusan sejumlah 8.7 peratus.

“BSK di setiap jabatan akan memantau pelaksanaan perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah bagi memastikan bekas suami membayar jumlah yang ditetapkan kepada bekas isteri mereka.

“Sehingga April 2013, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat kutipan balik tertinggi berjumlah RM 21,550.

Ini diikuti negeri Terengganu, RM 11,950 dan Pulau Pinang sebanyak RM 8,100,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran BSK Transit dan Penyerahan Pendahuluan Nafkah di bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Datuk Mukhyuddin Ibrahim, Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Tambahnya, sebanyak 1,581 kes telah didaftarkan di bawah Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga (SBSK) seluruh Malaysia sehingga Disember 2012.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 824 kes berjaya diselesaikan melalui tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh SBSK negeri dengan peratusan keseluruhan sejumlah 55.11 peratus.

BSK Selangor 02

Dalam pada itu, beliau turut merasmikan perkhidmatan BSK Transit pertama di Selangor yang memberi penginapan, pengangkutan dan makan minum percuma kepada mana-mana pihak yang menghadiri prosiding kes di Mahkamah Tinggi Syariah.

Jelasnya, perkhidmatan ini diberikan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan berada di luar kawasan Lembah klang termasuk saksi-saksi mahkamah dan mereka yang mempunyai kes di mana-mana tribunal.

“Sehingga kini, terdapat empat unit rumah BSK Transit yang disediakan pihak JKSM iaitu di kawasan Kuarters Perumahan Kerajaan Jalan Duta dan kawasan perumahan kerajaan Presint 9, Putrajaya.

“Selangor menjadi negeri pertama selepas JKSM yang berjaya menubuhkan BSK Transit ini bagi membantu pihak-pihak yang bermasalah untuk menghadiri prosiding kes di Mahkamah Syariah,” jelasnya.