Categories
NASIONAL

Naikkan rebat air, Johor sekadar ‘menunjuk-nunjuk’

V-GanabatirauOleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 9 NOV : Langkah kerajaan Johor menaikkan pemberian rebat air percuma kepada pengguna di negeri itu disifatkan sekadar menunjuk-nunjuk kononnya Barisan Nasional (BN) serius dalam membantu rakyat.

Exco Selangor, V Ganabatirau berkata, kerajaan Johor mampu berbuat demikian kerana meraih sokongan dan bantuan kewangan yang kukuh daripada kerajaan pusat.

“Hanya Selangor yang serius dalam isu pemberian air percuma, bukan Johor kerana mereka ini dilihat lebih menunjuk-nunjuk.

“Kita harus ingat, kerajaan BN yang kutuk kita dulu apabila Selangor memberi air percuma, tetapi sekarang mereka mencontohi kita pula,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada portal Selangor Kini, di sini, semalam.

Semalam, kerajaan Johor mengumumkan untuk menaikkan pemberian rebat air daripada 20 meter padu kepada 35 meter padu dalam usaha meringankan beban golongan miskin dan miskin tegarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata selain itu kerajaan negeri juga akan memastikan menjelang 2017 semua penduduk Johor akan menikmati bekalan air bersih.

Pelaksanaan itu bukan sahaja tertumpu kepada akses bekalan air tetapi juga merangkumi kualiti serta tahap perkhidmatan setanding dengan negara maju.

-NFN-

Categories
NASIONAL

SMM: Khaled Nordin Perlu Letak Jawatan

PETALING JAYA, 7 JUN : Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin perlu meletak jawatan serta merta kerana didakwa borkomplot dengan pentadbiran PTPTN untuk menyekat pinjaman kepada mahasiswa UNISEL.

Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Haziq Abdul Aziz, berkata tindakan Khaled bersifat kebudak-budakkan serta tidak professional dalam menjalankan tugas sebagai seorang menteri.

“Hanya kerana mahu membalas dendam kepada Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khaled bertindak menindas dan mendiskriminasikan lebih 1000 mahasiswa yang baru mendaftar di UNISEL,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau turut membidas sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang mendiamkan diri dalam isu ini serta membiarkan tindakan Khaled yang secara terang-terang menindas mahasiswa.

Sementara itu, pembekuan pinjaman PTPTN ini bertentangan dengan perjanjian pinjaman itu kerana pelajar telah menandatanganinya dan borang dokumen telah dihantar.

“PTPTN sewenang-wenangnya menyekat pinjaman dan ini merumitkan sejumlah pelajar baru yang ingin membayar yuran pengajian,” katanya lagi.

Tambahnya, satu protes besar-besaran mahasiswa akan dilakukan jika PTPTN tidak menyelesaikan masalah ini.

Categories
NASIONAL

Kenyataan Pengerusi PSC Lynas Berat Sebelah

SHAH ALAM, 18 MEI: Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Khas Lynas (PSC) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa Kilang nadir bumi Lynas adalah yang terselamat di dunia dan berada 6 km dari penempatan penduduk bercanggah dengan Laporan Jabatan Alam Sekitar.

Pengerusi Green Clean World (GCW), Zulkefly Mohamad Omar berkata, merujuk kepada laporan itu, terdapat lima buah kampung penempatan dan 11 syarikat yang lokasinya 1 ? 3 km dari kilang itu.

“Manakala dalam jarak 3km-5km terdapat penempatan penduduk sepanjang pantai ke Kuala Terengganu, (lebuhraya) Kuantan-Pelabuhan Bypass (dan kawasan) Sg.Tunggak,? Zulkefly berkata di dalam satu kenyataan media.

Terdapat juga penduduk di sepanjang jalan dari pekan ke pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur dan Pantai Cherating, kata Zulkefly yang juga AJK PAS Pusat.

Maklumat ini terdapat di dalam Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 15hb Febuari 2008.

Statistik pada tahun 2000 juga menunjukkan seramai 5,973 orang menetap di kawasan antara 1km – 3km, yang mana 87 peratus daripada mereka adalah Melayu.

Bagi menyangkal dakwaan bahawa loji tersebut adalah terselamat di dunia, Zulkefly berkata ia mampu menurunkan kualiti udara, air Sungai Balok, air bawah tanah dan tanah kawasan tersebut jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan.

Beliau berkata potensi kebocoran dari tempat simpanan sisa dan langkah-langkah melindungi tanah dan air bawah tanah yang tidak mencukupi mampu menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

“Bagaimanakah kenyataan bahawa Kilang Lynas adalah Kilang Memproses Nadir Bumi yang terselamat di dunia jika langkah-langkah pencegahan malah kemudahan ?state-of-the-art? yang terdapat di kilang itu masih belum dibuktikan lagi?” ujar beliau.

Tambah beliau, kenyataan yang tidak betul dan berat sebelah Khaled itu menunjukkan yang niat sebenar Umno dan Barisan Nasional dalam penubuhan PSC Lynas adalah untuk menghalalkan kilang Lynas untuk kepentingan diri mereka.

“Malah kredibiliti Pengerusi Jawatankuasa PSC Lynas itu untuk memimpin Jawatankuasa itu dengan telus dan adil kini dipersoal,” katanya.

Categories
NASIONAL

PTPTN: Umno Jaja Modal Melayu

SHAH ALAM, 9 APRIL : Sekali lagi modal ‘Melayu’ digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu kononnya peluang kaum ini untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti bakal terjejas ekoran pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata persoalan pokok yang seharusnya dijawab kerajaan ialah keikhlasan mereka merealisasi hak pendidikan percuma kepada Melayu (bumiputera) seperti yang termaktub didalam perlembagaan.

“Inilah modal terakhir mereka untuk menakut-nakutkan rakyat, penghianat Melayu sebenarnya adalah Umno itu sendiri,”ujarnya.

Nasir menyoal, tidakkah Umno sedar bahawa Melayu jugalah kumpulan terbesar kadar kemiskinannya di negara ini.

Nasir berkata, penafian hak pendidikan percuma yang disusuli dengan pelaksanaan skim pinjaman PTPTN jugalah penyebab utama kaum Melayu terikat dengan beban hutang selepas menamatkan pendidikan diperingkat tinggi.

Mengulas lanjut, berhubung dakwaan Khaled kononnya penghapusan PTPTN akan memberi kesan kepada meritokrasi dan persaingan sengit di kalangan pelajar untuk mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Tidakkah pemimpin Umno sedar bahawa meritokrasi juga adalah buah fikiran bekas pemimpin mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad,”katanya.

Tindakan ini mungkin disebabkan kerajaan berasa tidak selamat dari sudut politik apabila melihat sokongan positif daripada mahasiswa terhadap cadangan Pakatan Rakyat.

Sebagai rumusan, Nasir menjelaskan sikap liat kerajaan untuk menghapuskan PTPTN ini adalah kerana mereka tidak mampu menyelesaikan hutang ini kecuali menggunakan jalan mudah dengan mengembalikan beban hutang ini dibahu rakyat.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, pemansuhan pinjaman itu juga akan menyebabkan pelajar kurang berkemampuan menghadapi masalah untuk menanggung kos sara hidup di kampus.