Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Gembira Sekolah Aliran Agama Semakin Diterima Masyarakat

DYMM rasmi Sek Men Agama Bestari USJ5 Subang Jaya 02

SUBANG JAYA, 4 APRIL : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kegembiraan apabila bilangan masyarakat Islam yang menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama semakin meningkat.

Baginda bertitah, permintaan yang semakin tinggi saban tahun itu jelas menunjukkan bahawa sekolah aliran agama mula mendapat kepercayaan daripada masyarakat di negeri ini.

Titah baginda, sekolah aliran agama bukan sahaja bakal melahirkan pelajar Islam yang berdedikasi dan berhemah tinggi bagi memartabatkan agama Islam, malah kelak akan memenuhi permintaan institusi pengajian tinggi Islam yang terdapat di negara ini.

“Beta difahamkan sekolah-sekolah beraliran agama di negeri Selangor ini dari segi pengurusan dan pentadbiranya semakin mantap.

DYMM rasmi Sek Men Agama Bestari USJ5 Subang Jaya 01“Malah guru-gurunya juga menikmati peluang perjawatan serta bantuan pembangunan kurikulum dan ko-kurikulum yang berjalan lancar serta program pembangunan murid yang semakin baik,” titah baginda semasa merasmikan Sekolah Agama Menengah Bestari (Sambest), di sini pagi tadi.

Penubuhan Sambest yang dirancang oleh Bahagian Pendidikan dan Pelajaran Jabatan Agama Islam (Jais) bertujuan memantapkan sistem pendidikan yang menawarkan jurusan sains tulen dan sains teknikal sebagai kurikulumnya.

Sekolah ini mula beroperasi sepenuhnya pada 29 Mei 1998 di kawasan seluas 37 ekar dengan jumlah guru seramai 70 orang.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Titah baginda lagi, untuk memartabatkan maruah agama, bangsa dan negara, umat Islam mestilah menguasai ilmu pengetahuan yang mampan dan mendalam dalam semua bidang, di samping mempunyai pegangan agama yang kukuh.

Menurut baginda, pendidikan Islam yang kukuh mampu melahirkan generasi Islam dan bangsa Melayu yang mempunyai akidah yang teguh serta mulia akhlaknya.

“Selain daripada pelajaran agama Islam, pelajaran ilmu sejarah yang mantap, tepat dan mendalam hendaklah diajar dan diberi pengetahuan kepada pelajar-pelajar di sekolah beraliran agama ini.

“Ini akan membantu melahirkan murid dan penuntut yang cemerlang di dalam akademiknya dan cintakan agama serta negara dan juga akan mempertahankan kedaulatan negara dalam apa jua cara sekalipun,” titah baginda.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Sedia Bantu Penduduk Tuntutan Mahkamah Daripada Syabas

Miter_air_Syabas

SHAH ALAM 16 JAN : Kerajaan Negeri sedia membantu penduduk di beberapa kawasan yang mengalami gangguan bekalan air untuk mengemukakan tuntutan mahkamah daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Kira-kira 500,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air sejak dua minggu akibat kegagalan pam di rumah pam Wangsa Maju.

Syabas juga didakwa cuai kerana kesemua lima pam termasuk dua pam dalam simpanan (standby pump) rosak dan keraguan timbul apabila dua pam yang jarang digunakan turut rosak menunjukkan syarikat konsesi air itu gagal menyelenggaranya dengan baik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan menggunakan peruntukan daripada Geran Selangorku untuk membiayai penduduk yang ingin mengemukakan tuntutan daripada Syabas di mahkamah.

Katanya, penduduk berhak mengemukakan tuntutan di atas kegagalan Syabas menyediakan perkhidmatan yang sempurna kepada penduduk.

“Rakyat boleh memfailkan tuntutan di mahkamah dan Kerajaan Negeri akan membantu melalui Geran Selangorku untuk membela perkara-perkara yang tidak adil,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata Jawatankuasa Pemantauan Air Selangor yang dipengerusikan Datuk Mohamed Khusrin Munawi akan memantau operasi Syabas setiap hari terutamanya pelan tindakan dan pemulihan air syarikat itu.

Jawatankuasa tersebut juga telah meminta penjelasan daripada Syabas mengenai kegagalan rumah pam dan penyelesaian jangka pendek dan panjang gangguan itu.

Categories
SELANGOR

Pesara Kerajaan Terharu Dirai Sultan Selangor

KLANG, 9 DIS :Pesara-pesara kerajaan melahirkan kegembiraan di atas perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Pesara Kerajaan Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-67.

Bertempat di Istana Alam Shah, Klang, majlis ini dianjurkan untuk tahun kedua, hasil cetusan Tuanku Sultan dimanfaatkan sepenuhnya pesara bagi beramah mesra lebih dekat bersama baginda.

Bagi bekas Ketua Inspektor Polis, Nashatan Singh, majlis ini dapat merapatkan hubungan semua kaum dan boleh bertemu sahabat baru sekaligus memperlihat suasana negara yang lebih meriah.

“Saya sangat gembira Tuanku sudi menjemput saya dan isteri pada majlis ini. Saya melihat suasana meriah dan kami lihat tuanku cukup mesra bersama pesara,” katanya.

Beliau turut memuji cara pemerintahan Kerajaan Negeri kini yang bertindak pantas dalam menyelesaikan sesuatu masalah rakyat.

“Didapati masa ini negeri Selangor kita dapat pelbagai kemudahan, pentadbiran pun bagus.

“Bila kita ke pejabat kerajaan perkara yg sepatutnya dilaksanakan, dibuat dengan baik,” katanya ketika ditemui TV Selangor.

Sementara itu, Ng Kok Chuan selaku bekas guru berharap agar Kerajaan Negeri dapat meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini selain meneruskan kecemerlangan pentadbiran negeri yang sedia ada.

Sultan Selangor mencemar duli pada jam 3.35 petang sambil diiringi Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Datuk Paduka Raya Datuk Wan Mahmood Pawan Teh, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Emran Kadir dan Ketua Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi serta beberapa kenamaan lain.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negeri Selangor, diikuti dengan ucapan daripada Jeneral Tan Sri Datuk Shahrom Nordin, mewakili pesara-pesara kerajaan serta bacaan doa yang diketuai Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Acara santapan turut diirngi persembahan daripada kumpulan Win Okestra, Sekolah Alam Shah, Putrajaya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bakal menyambut ulangtahun keputeraan yang ke-67 pada Selasa, 11 Disember ini.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Sampaikan Hadiah Golf Worldwide Selangor Masters 2012


SHAH ALAM,8 SEPT : Jaguh Thailand, Thaworn Wiratchant, muncul juara di dalam pertandingan golf Worldwide Selangor Masters 2012 di sini semalam.

Beliau yang mendapat mata 66-69-68-69 dan mengalahkan 165 pemain lain dari serata dunia menerima hadiah berupa wang berjumlah RM190,200 dan piala.

Hadiah tersebut disampaikan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas pusingan terakhir pertandingan tersebut di di Kota Permai Golf & Country Club.

Tempat kedua dimenangi oleh Gaganjeet Bhullar (India) dengan mata 68-71-70-66 dan ketiga Siddikur (Bangladesh) dengan 73-71-66-66.

Kejohanan tersebut dilihat oleh kerajaan negeri sebagai pemangkin kepada industri pelancongan Selangor kerana edisi keenam pertandingan itu dipancarkan secara langsung ke peringkat global buat kali pertama.

Turut hadir di majlis itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Belia dan Sukan,Dr Yunus Hairi, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM 1.2 juta manakala kereta Perodua MyVy dan Nissan Teana bagi kategori ?Hole In One?.

Salah sebuah kereta Perodua jenis Myvi itu dimenangi oleh pemain Amatur Malaysia, Abel Tham.

Perlawan tersebut mendapat penyertaan dari pemain golf profesional dari Bangladesh, Vietnam, India, Sepanyol, Amerika Syarikat, Australia, China, Taiwan, Filipina dan Finland.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Situasi Sebenar Air Selangor Akan Diketahui Setiap Hari

SHAH ALAM, 16 OGOS : Rakyat Selangor akan mendapat maklumat terkini tentang situasi bekalan air negeri setiap hari daripada Jawatankuasa Pemantau Kerajaan Negeri terhadap  Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Jawatankuasa tersebut akan mengeluarkan kenyataan akhbar setiap hari selepas selesai mengadakan mesyuarat harian dengan pengurusan Syabas.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah ini bertujuan memaklumkan perkembangan terkini tentang status pembekalan dan perkhidmatan air kepada seluruh rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Cara ini juga membuktikan Kerajaan Selangor sangat telus dalam menangani isu pembekalan air demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan setimpal dengan kadar tarif air yang dibayar.”

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Jawatankuasa Pemantauan SYABAS yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamed Khusrin Munawi betanggungjawab memantau operasi SYABAS bermula 18 Julai lalu.

Ia anggotai pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS).

Laporan pertama jawatankuasa mendapati keupayaan pengeluaran semua 34 loji ialah 4,807 juta liter sehari (MLD) berbanding keupayaan agihan SYABAS 4,371 MLD.

Ini bermaksud terdapat lebihan 436 MLD yang Syabas tidak mampu agihkan.

Sebelum ini, dilaporkan jawatankuasa tersebut juga mendapati angka peratusan rizab air terawat yang dikeluarkan Syabas sebanyak dua peratus tidak tepat.

Rizab kapasiti pengeluaran sebenar pada masa ini adalah 11 peratus dan akan meningkat kepada 18 peratus selepas Mac 2013 apabila projek mitigasi air siap sepenuhnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Serah Sumbangan Buku

SHAH ALAM 14 OGOS : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan sumbangan buku kepada Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini pagi tadi.

Baginda turut diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Sebanyak 1414 buah buku berkaitan agama Islam disumbangkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sementara 214 buah buku berkaitan perundangan pula disumbangkan Thomson Reuters.

Dalam pada itu, baginda bertitah agar lebih banyak pihak samada daripada agensi kerajaan, badan korporat mahupun orang perseorangan untuk turut serta memberi sumbangan demi manfaat perpustakaan tersebut.

“Beta menyeru agar banyak lagi sumbangan dari segi material atau kewangan dapat disalurkan supaya dapat menambah program-program ilmiah dan kemudahan infrastruktur.

“Beta juga ingin menekankan supaya landskap perpustakaan ini ditanam dengan lebih banyak pokok besar agar dapat memberi ketenangan kepada pembaca,” titah baginda.

Majlis turut dihadiri Pengerusi MAIS, Datuk Setia , Timbalan Mufti, Datuk Abdul Majid Omar serta Ahli Exco Negeri antaranya Teresa Kok, Dr. Halimah Ali serta Dr. Yaakob Sapari.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jawatankuasa Timbang Tara Selesai Isu Unisel – Jana Niaga

SHAH ALAM, 8 OGOS : Kerajaan Negeri memutuskan untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Timbang Tara berkuatkuasa hari ini bagi menyelesaikan konflik antara Universiti Selangor (Unisel) dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).

Jawatankuasa ini dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berhubung dakwaan hutang hampir RM15 juta Unisel kepada JNSB yang mengawal selia asrama di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu diputuskan Kerajaan Negeri menerusi Mesyuarat Exco yang berlangsung di sini, tengah hari tadi.

Beliau menyifatkan keputusan itu adalah cara terbaik untuk menyelesaikan segala kontroversi dan dakwaan yang dilemparkan ke atas universiti milik penuh Kerajaan Negeri itu secara adil.

“Masalah ini hanya boleh diselesaikan melalui mesyuarat dan perbincangan bersama Datuk SUK, bukan dengan memberi kenyataan balas kepada akhbar. Saya memaklumkan perkara ini kepada Khusrin dan beliau bersetuju untuk bertemu dengan wakil Unisel serta pihak JNSB supaya perkara ini dapat di atasi segera,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan asrama berkenaan gagal mendapatkan sijil kelulusan bangunan (CF) ekoran kegagalan JNSB membinanya mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, menerusi perjanjian yang dibuat pada Jun 2008, Unisel juga perlu membayar sewa menduduki asrama tersebut kepada JNSB 100 peratus walaupun ia tidak berpenghuni.

“Pada saya nampaknya ia satu perkara berat sebelah untuk Unisel. Kita sudah maklumkan pada JNSB untuk dibincangkan sebagai timbang tara. Bangunan asrama dan Unisel secara keseluruhannya juga tiada CF.

“Sekarang JNSB kata dia tiada duit untuk betulkan kesemua asrama itu. Kalau tiada duit, serahkan pada Unisel. Tetapi ia dikira sebagai pembayar hutang kerana Unisel terpaksa menanggung beban tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan JNSB yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, tunggakan bayaran itu membabitkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti itu.