Categories
SELANGOR

Dalamkan Sungai,Elak Banjir di Ampang

SHAH ALAM, 16 APR : Kesemua sungai utama di sekitar Ampang perlu didalamkan semula sebagai alternatif jangka masa panjang bagi mengelakkan kejadian banjir kilat dari terus berulang.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk Mohammad Yacob, pendalaman kesemua 12 sungai di kawasan itu kali terakhir dilakukan pada 2005 dengan peruntukan melebihi RM5 juta.

Beliau berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan segera memandangkan taburan hujan di Ampang adalah tidak menentu yang ada kalanya melebihi paras normal, 70 milimeter (mm).

Jelasnya, penurunan hujan yang direkodkan pada 7 Mac lalu adalah 164mm, di mana melebihi paras maksimum sistem perparitan (longkang) yang dibina.

“Sejak 2006, sistem perparitan dan longkang diselenggara oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Peruntukan ini kebiasaannya didahulukan PBT dan kemudiannya dibayar semula oleh kerajaan negeri.

Untuk jangka masa pendek, MPAJ telah membaiki kebanyakan longkang di Ampang dengan kos melebihi RM27 juta. Kita tidak mampu untuk membaiki kesemua sistem perparitan secara serentak kerana ia menelan belanja tinggi. Bagaimanapun, kita akan terus membaiki serta menambah sistem saliran supaya dapat menampung hujan yang turun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan Selangor (SELCAT) berhubung usaha MPAJ untuk mengelak banjir di kawasan berkenaan.

Tambahnya, pihak MPAJ turut mengenakan syarat ketat kepada pemaju untuk membina sistem perparitan teratur terutama di kawasan perumahan baru.

Ia merujuk kepada konsep Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang diperkenalkan pihak Jabatan PJPS  sebagai garis panduan kepada setiap pembinaan perumahan baru.

“Pada tahun 2000, JPS memperkenalkan kaedah ini yang perlu digunapakai oleh setiap pemaju di Selangor. Saya juga meminta pihak JPS untuk melihat keadaan sungai di Selangor dan mencadangkan supaya kolam takungan dibina dengan lebih banyak,” jelasnya.

Pada 7 Mac lalu, beberapa kawasan di sekitar Ampang antaranya Kampung Lembah Jaya Utara, Kampung Melayu Ampang serta Kampung Pinggir Tiga ditenggelami air akibat hujan lebat tanpa henti selama empat jam.

Hujan lebat itu turut mengakibatkan banjir teruk di beberapa kawasan lain di Kuala Lumpur seperti Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Tun Razak dan Bukit Bintang.