Categories
SELANGOR

Azmin: Pemimpin Berkebajikan Tidak Akan Muflis

HULU KELANG, 17 FEB : Kerajaan yang melakukan kebajikan terhadap rakyatnya tidak akan sesekali dilanda muflis, sebaliknya kerajaan korup dan tidak amanah sahaja yang akan merugikan sesebuah negara atau negeri, ujar Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

“Ingin saya tegaskan negeri dan negara tidak akan bankrup jika kerajaan menolong rakyat.

“Tetapi ianya akan bankrup jika pemimpin mengamalkan rasuah, salahguna kuasa, zalim dan menekan rakyat. Itulah yang sebenarnya menghancurkan sesebuah kerajaan dan negara,” tegas Azmin.

Beliau turut memberitahu Negeri Selangor berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara sebanyak RM 1.6 billion walaupun Kerajaan Pakatan melakukan pelbagai program kebajikan terhadap rakyat.

“Setelah empat tahun kerajaan memberikan air percuma dengan peruntukan sebanyak RM 150 juta setahun, bermakna sudah RM 600 juta dibelanjakan untuk air percuma ini.

“Tiada negeri yang memberikan air percuma melainkan Selangor namun negeri ini masih mencatatkan pertumbuhan memberansangkan dan tidak bankrup,” jelas Azmin yang juga merupakan Adun Bukit Antarabangsa.

Azmin berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Penyampaian Pembayaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa Ke-dua peringkat Dun Gombak yang diadakan di Dewan Pusat Khidmat Rakyat Taman Melawati pagi tadi.

Salah seorang penerima bantuan SMUE, Bidasiah Sindin 67, berasa terharu hingga menitiskan airmata tatkala ditemubual wartawan TVSelangor.

“Saya berbesar hati menerima sumbangan ini dan akan menggunakan wang yang diberikan ini dengan sebaik mungkin.

“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Adun PKR Azmin Ali. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik beliau,” ujar ibu beranak tiga ini sebak.

Sementara itu, Mohd Anas Yosuf 27, yang baru kehilangan ayahanda tercinta berharap agar prgram-program kebajikan seumpama ini dapat diteruskan oleh Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah banyak pembangunan dan kebajikan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri setelah mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Mudah-mudahan PRU akan datang ini kerajaan yang ada sekarang ini beroleh kejayaan dan terus menerajui negeri,” ujar jejaka yang merupakan seorang penjawat awam ini.

Selain penyampaian sumbangan kepada 24 penerima SMUE, Azmin turut menyampaikan sumbangan wang kepada tujuh keluarga miskin bagi meringani beban mereka.