Categories
SELANGOR

Kuala Selangor membangun, kekal indah dan sejarah

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 28 OGOS: Kuala Selangor mempunyai potensi besar menjadi bandar tumpuan pembangunan baru di Selangor.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, daerah itu menawarkan pelbagai prospek kemajuan yang boleh dikembangkan dan membawa keuntungan kepada pihak berkepentingan.

“Namun biarlah ia seiring dengan persekitarannya yang indah, tarikan sejarah serta produk pelancongannya.

kuala selangor“Aspek tarikan ini mesti dijaga sekalipun Kuala Selangor melalui proses transformasi ke arah bandar maju sepertimana Petaling Jaya dan Shah Alam.

“Kita tidak mahu Kuala Selangor menjadi bandar batu,” katanya kepada Selangor Kini, baru-baru ini.

Mohd Azhar berkata, pembangunan bandar baru di Selangor juga seharusnya menekankan aspek ‘smart development’ dan tidak mengabaikan kepentingan alam sekitar.

“Kita mahu ia maju sebagai bandar tumpuan dengan pembangunan ekonomi rancak dan diisi dengan masyarakat bertamadun dan persekitaran lestari,” katanya.

Mula berkhidmat di MDKS pada 1 Februari 2017, Mohd Azhar sudahpun menamatkan perkhidmatannya sebagai YDP pada 25 Ogos lalu.

Ia bagi memberi laluan kepadanya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang alam sekitar, bermula 4 September ini.

Sebelum ini, beliau bergelar YDP di Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) selama lima tahun.

Categories
SELANGOR

Promosi Kuala Selangor sampai ke negara matahari terbit

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 28 OGOS: Produk pelancongan Kuala Selangor bakal dipromosikan di Jepun menerusi ‘JATA Tourism Expo Japan 2017’ yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 September ini.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, pihaknya dengan Tourism Selangor antara lain akan mempromosikan destinasi menarik di daerah itu termasuk tempat bersejarah dan destinasi unik.

Azhar MDKSKatanya, ia termasuk Bukit Melawati, Kelip-kelip Kampung Kuantan dan tarikan terbaru, Permatang Angsa yang tular dengan fenomena ‘Salar De Uyuni’ (pantulan imej seakan cermin).

“Kita selalu terlibat mempromosi bersama Tourism Selangor dan inilah terbesar ke Jepun yang menghimpunkan pemain industri pelancongan seluruh dunia.

“Kita juga ada kerjasama dengan persatuan homestay di sana, mereka akan datang ke sini pada hujung bulan ini, dan kita akan melakukan lawatan balas pada bulan hadapan ketika expo berkenaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Mohd Azhar berkata, Kuala Selangor menerima lebih sejuta pelancong dalam setahun dan merupakan antara penyumbang utama pelancongan Selangor.

“Secara puratanya Selangor menerima kira-kira lima ke enam juta pelancong setahun, dan Kuala Selangor sahaja tarik lebih 1 juta.

“Dengan sokongan Tourism Selangor, Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan lain, Kuala Selangor diyakini akan terus maju sebagai destinasi pilihan pelancong di negeri Darul Ehsan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDKS beri duit raya kepada anak yatim kakitangan

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 19 JUN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan duit raya kepada 13 anak yatim dalam kalangan anak kakitangannya, baru-baru ini.

Yang DiPertua MDKS, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu mereka membuat persiapan menjelang Syawal pada hujung minggu ini.

“Majlis ini adalah landasan MDKS berkongsi sedikit sinar kepada anak yatim berkenaan dan memberi senyuman keceriaan buat mereka di Hari Raya Aidilfitri.

DSC_0609“Ia juga tanda keprihatinan MDKS terhadap anak kakitangan kurang bernasib baik serta mengeratkan hubungan antara majikan dan pekerja,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan di Kuarters MDKS, di sini, baru-baru ini.

Selain menyampaikan sumbangan, MDKS turut mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama kakitangan, Majlis Khatam al-quran serta ceramah agama.

Terdahulu, Mohd Azhar turut berkesempatan mengetuai Program Ziarah Ramadan bagi melawat kakitangan yang sedang menghadapi masalah kesihatan.DSC_0596 DSC_0546 DSC_0499

Categories
SELANGOR

Operasi tanpa lesen, enam premis pusat siber disita

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 MAC: Enam premis pusat siber beroperasi tanpa lesen di sekitar Jeram dan Tanjung Karang dikenakan tindakan sitaan.

Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, tindakan penguatkuasaan diambil sejurus menerima aduan awam serta risikan awal terhadap premis terbabit sebelum operasi dijalankan.

Katanya, sebanyak 111 unit komputer disita di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber MDKS 2007.

DSC_5146“Operasi dijalankan selama dua hari dan hasil pemeriksaan mendapati ke semua pemilik premis gagal mengemukakan lesen perniagaan.

“Hasil serbuan turut mendapati sebuah premis menawarkan hadiah berunsur perjudian dibayar melalui bonus sehingga RM100,000,” katanya.

Mohd Azhar berkata, MDKS sedang mengumpul maklumat bagi mendakwa pemilik premis yang membenarkan penyewa menyalahgunakan premis mereka.

Katanya, tindakan penguatkuasaan tetap diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung penyalahgunaan premis perniagaan.

“Kepada pengusaha pusat siber haram yang masih berdegil meneruskan operasi, hentikan segera atau berdepan tindakan daripada MDKS.

“MDKS juga akan membatalkan lesen premis perniagaan pusat siber kepada pengusaha yang berlesen jika didapati melanggar syarat termaktub di dalam peraturan lesen atau mendapat aduan pelanggaran syarat polis,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan aduan mengenai pusat siber mencurigakan boleh berbuat demikian menerusi aplikasi SPARKS.

-nR-

Categories
SELANGOR

MDKS tutup kilang ais kotor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 17 MAC: Sebuah kilang ais diarah menghentikan operasi serta merta kerana beroperasi di dalam keadaan kotor dan tanpa lesen.

Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, tindakan dilakukan berikutan penarikan semula lesen dikeluarkan kepada kilang terbabit pada Januari lalu.

Katanya, penarikan lesen dibuat susulan kegagalan mematuhi Peraturan 394A(Standard bagi Ais Yang Selamat Digunakan) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dari segi infrastruktur.

“Pengusaha kilang juga didapati gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) yang boleh memberi risiko kemudaratan kepada pengguna.

“Selain itu, pengusaha kilang turut mengingkari arahan dan meneruskan aktiviti tanpa kebenaran/lesen dibawah peruntukan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MDKS) 2007,” katanya.

DSC_4790Mohd Azhar berkata, tindakan kompaun juga dikeluarkan selepas hasil siasatan MDKS mendapati pemilik premis menggajikan pekerja tanpa suntikan vaksin Tifoid dibawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MDKS) 2007.

Katanya, kompaun juga dikeluarkan akibat kegagalan kilang menjaga persekitaran dalam keadaan bersih dibawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007.

“Peniaga dinasihatkan untuk menyelidik terlebih dahulu latar belakang syarikat yang membekalkan ais kepada mereka.

“Jika terdapat keraguan, peniaga disaran segera melaporkan kepada MDKS melalui aplikasi SPARKs,” katanya.

Operasi dijalankan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor, Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad.

-nR-

Categories
SELANGOR

MDKL PBT pertama Selangor diiktiraf SAGA

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 12 JAN: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) terus cemerlang apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama Selangor menerima pengiktirafan ‘Standard Accounting System for Government Agencies’ (SAGA).

Yang Dipertuanya, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, kejayaan itu juga menjadikan MDKL sebagai PBT kedua di Malaysia mendapat Sijil Pematuhan SAGA daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) itu.

Katanya, ia membuktikan pengurusan kewangan MDKL berintegriti selaras dengan objektif SAGA.

MDKL“Usaha bagi melengkapkan keperluan dalam pematuhan pelaksanaan SAGA mengikut syarat ditetapkan sejak 2014
ternyata membuahkan hasil amat positif.

“Lebih membanggakan MDKL menjadi salah satu daripada dua PBT seluruh negara yang terlibat dan layak menerima penganugerahan SAGA ini,” katanya.

Pada 14 November lalu, Mohd Azhar menerima pengiktirafan berkenaan dalam satu majlis disempurnakan Akauntan Negara, Dato’ Che Pee Samsudin, di sebuah hotel di Ipoh, Perak.

Mohd Azhar berkata, kejayaan itu didorong komitmen tinggi pasukan pengurusan kewangan MDKL yang mantap dan berwibawa.

“Saya amat berterima kasih atas komitmen tinggi ditunjukkan pegawai dan kakitangan MDKL untuk pengiktirafan membanggakan ini,” katanya.

SAGA diwujudkan untuk memastikan agensi kerajaan mematuhi peraturan kewangan selaras pemakaian Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 2 Tahun 2015.

Terdahulu, seramai enam panel penilai dari Jawatankuasa Pematuhan SAGA membuat lawatan bagi menilai Sistem Perakaunan dan Kewangan MDKL iaitu Century Financial System 8.0.

Hasil penilaian mendapati ia memenuhi semua kriteria ditetapkan JANM dan diiktiraf tanpa bersyarat.

Sebelum ini, MDKL turut mengekalkan perakuan Sijil Bersih tanpa teguran daripada Jabatan Audit Negara bagi Pengauditan Terhadap Penyata Kewangan tahun 2015 buat kali kesembilan berturut-turut.

-nR-

Categories
SELANGOR

MDKL: Lebih 20,000 pengguna sudah nikmati bas percuma

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 12 JAN: Lebih 20,000 pengguna menerima manfaat perkhidmatan bas percuma Smart Selangor di daerah Kuala Langat sejak dilancarkan pada Mei 2016.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, jumlah penumpang meningkat kepada 24,782 pada Disember lalu.

Katanya, ia adalah petanda positif jika dibandingkan dengan 1,926 pengguna pada awal perkhidmatan ditawarkan.

BAS SMART SELANGOR MDKL“Peningkatan paling ketara adalah pada Oktober hingga November 2016 dengan peningkatan berjumlah 13,306 pengguna.

“Sambutan amat menggalakan ini jelas menunjukkan kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap mutu perkhidmatan Bas Smart Selangor,” katanya.

Mohd Azhar berkata, MDKL juga sentiasa memantau perkhidmatan berkenaan agar sentiasa berada dalam kondisi baik untuk kemudahan awam.

“Justeru, saya menyeru warga Kuala Langat untuk terus memanfaatkan perkhidmatan disediakan ini.

“Mereka bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi pada masa sama menjimatkan wang,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

MDKL: Kaunter tambahan mudahkan pembayar cukai

OLEH AFIX REDZUAN

BANTING, 9 JAN : Warga Kuala Langat boleh menjelaskan cukai taksiran dan pelbagai bayaran lain kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menerusi kaunter tambahan di 11 lokasi mengikut jadual yang ditetapkan bermula 9 Januari hingga 28 Februari hadapan.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, pihaknya peka terhadap jumlah warga Kuala Langat yang terlibat dan memutuskan supaya kaunter tambahan di buka bagi kemudahan orang ramai menjelaskan bayaran.

“Ia sebagai menyokong moto baharu yang dilancarkan pihak pentadbiran Kerajaan Negeri ‘Membangun Bangsa Memakmur Negeri’ dan kita berharap dengan adanya kemudahan ini perkhidmatan akan melancarkan lagi urusan rakyat sekaligus membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memakmurkan daerah ini,” katanya.

MDKLMenurutnya, MDKL telah menggerakkan kakitangan mengenalpasti lokasi-lokasi tumpuan awam dan pusat komersil untuk memudahkan masyarakat melunaskan bayaran tanpa perlu mereka ke pejabat MDKL.

“Cukai Taksiran merupakan tangggungjawab masing-masing yang perlu dijelaskan secara berpenggal iaitu sebelum 1 Mac (Penggal pertama) atau sebelum 1 September (Penggal kedua) setiap tahun.

“Pemilik pegangan di daerah Kuala Langat juga boleh membuat semakan cukai taskiran masing-masing dan melakukan transaksi pembayaran secara atas talian menerusi kemudahan E-taksiran yang boleh dicapai melalui pautan http://etaksiran.mdkl.gov.my/login.php,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan jadual kaunter tambahan dan pertanyaan berkaitan Cukai Taksiran dengan menghubungi Bahagian Hasil MDKL di talian 03-318702825 atau melayari laman sesawang rasmi MDKL di http://www.mdkl.gov.my

-nR-

Categories
SELANGOR

Warga Kuala Langat bakal nikmati bas percuma bermula Mei

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 23 MAC : Warga Kuala Langat bakal menikmati perkhidmatan bas percuma, Bas Smart Selangor bermula Mei depan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali, berkata perkhidmatan itu akan merentasi laluan Stesen Bas Banting sehingga Stesen ERL Salak Tinggi yang menghubungkan dua daerah (Kuala Langat – Sepang).

mohd azhar mohd ali mdkl“Laluan ini dipilih memandangkan ia merentasi kawasan tumpuan pembangunan iaitu laluan antara daerah melalui Banting, KLIA, Kota Warisan, ERL Salak Tinggi, Melalui Labohan Dagang, MRSM dan terus ke ERL Salak Tinggi melalui Kota Warisan,” katanya.

Mohd Azhar berkata, cadangan laluan itu juga dipilih dengan mengutamakan laluan kawasan perumahan padat, sekolah, pusat kesihatan, pejabat kerajaan, kawasan komersial dan laluan yang tiada perkhidmatan bas sedia ada bagi kemudahan penduduk.

691eb4ae-e558-4152-aa8f-146f7bfcf0b2“Pemilihan laluan hubungan antara daerah adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Stanco Pengangkutan Awam Negeri Selangor Bil.5/2015, mencadangkan supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memilih laluan sosial untuk menghubungkan antara daerah,” katanya.

Katanya, Bas Smart Selangor itu dilengkapi WIFI, Sistem Maklumat Penumpang (Pis), Penyediaan “Bus Stop Pole”, Panel Led, kemudahan Oku (W/C Platform/Ramp, W/C Bound Area) dan Sistem Posisi Global (Gps).

Buat masa ini, perkhidmatan bas sedia ada (berbayar) di daerah Kuala Langat hanya membabitkan tujuh destinasi iaitu Banting ke Klang, Putrajaya, KLIA, Kuala Lumpur dan juga lokasi dalam daerah yang dikendalikan syarikat Cityliner.

-nR-

Categories
SELANGOR

1,400 sertai INOV-8 MDKL Trail Run 2016

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 17 FEB: Seramai 1,400 peserta dari lapan buah negara bakal menyertai ‘INOV-8 MDKL Trail Run 2016’ di Paya Indah Wetlands pada 27 Mac ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali, berkata acara itu bertujuan meningkatkan pertumbuhan pelancongan sukan selaras hasrat Kerajaan Negeri dalam aspek ‘sports & eco-tourism’.

Katanya, antara negara terlibat adalah Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Brunei, Thailand, Filipina, Singapura dan Malaysia.

mohd azhar mohd ali mdkl“Program mendapat kerjasama erat daripada Cyclic Sport ini turut menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pemenang.

“Juara akan membawa pulang hadiah berupa kasut INOV8 bernilai RM700 beserta 2XU top & bottom calf, naib johan menerima kasut INOV8 bernilai RM600 dan 2XU top & bottom calf, manakala tempat ketiga mendapat kasut INOV8 bernilai RM500 dan 2XU top & bottom calf,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengurus Acara Cyclic Sport, Azlihana Abdul Rahim berkata, acara kali ini akan menampilkan kelainan yang pasti menarik minat peserta.

“Para peserta akan melakukan larian melalui denai dan tanah lembab Paya Indah Wetlands di mana para peserta juga akan menikmati pengalaman larian menarik sambil menikmati flora dan fauna serta hidupan liar dan unggas,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Skuad PANTAS MDKL sentiasa bersedia hadapi bencana

Oleh : HAFIZAN TAIB

BANTING, 26 SEP: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menerusi skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana di kawasan seliaannya.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali, berkata komiten itu diambil bagi menjamin keselamatan orang awam selain memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.

mohd azhar mohd ali mdkl“Kami sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlaku bencana seperti kejadian pokok tumbang dan kebakaran.

“Skuad Pantas MDKL juga bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Malaysia, Jabatan Perhutanan dan JKR Kuala Langat dalam usaha memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa bencana,” katanya.

Sebelum ini, MDKL menjalankan tindakan segera memotong dan mengalih pokok tumbang di kawasan perindustrian Telok Panglima Garang.

POKOK TUMBANGKejadian berpunca dari sebatang pokok tumbang menghempap pokok berhadapan sehingga masuk ke dalam kawasan kilang.

Sementara sebatang pokok besar turut tumbang menghalang sepenuhnya laluan dari Jalan Waja menuju ke Kampung Sijangkang.

Operasi pembersihan membabitkan 13 batang pokok itu digerakkan melalui skuad Pantas MDKL diketuai Pegawai Penyelaras, Miskon Karim, bersama kira-kira 10 anggota Pantas dengan kerjasama JKR Kuala Langat membabitkan jengkaut dan lori.

Dalam pada itu, Azhar menasihatkan arang ramai untuk lebih berwaspada ketika memandu dalam keadaan cuaca tidak menentu yang boleh mengundang risiko pokok tumbang.

-NR-

Suasana acara Himpunan Basikal Klasik Semalaya di Dataran Pantai Morib

Dataran Pantai Morib meriah dengan deretan basikal tua dan klasik milik 300 peserta yang berhimpun dari seluruh tanah air. Exco Dr. Ahmad Yunus Hairi bersama YDP Majlis Daerah Kuala Langat, Mohd Azhar Mohamed Ali merasmikan acara ini.