Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 1,000 sertai Seldec, usahawan baharu digalak mendaftar

SHAH ALAM, 22 JUN: Lebih 1,000 usahawan kecil dan mikro menyertai program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) sejak dilancarkan setahun lalu.

Pengurus besar pembangunan perniagaannya berkata sambutan menggalakkan itu menunjukkan usaha Kerajaan Selangor membantu golongan terbabit berhasil dan pendaftaran dari individu yang baharu menceburi bidang perniagaan dialu-alukan.

“Seldec dilancarkan pada Oktober 2019 namun apabila wabak Covid-19 berlaku, kita luaskan program ini kepada rakyat terkesan.

“Dalam tempoh setahun, lebih 6,000 pembeli menggunakan platform ini untuk membeli belah,” kata Mohd Fauzan Elham dalam rancangan Bual Bicara Seldec: Platform Bantu Peniaga Selangor di Facebook Media Selangor hari ini.

Beliau berkata platform e-dagang itu diberi mandat untuk bangunkan keseluruhan ekosistem termasuk pesanan, penghantaran dan bayaran.

“Peniaga hanya perlu pasarkan produk di portal dan selebihnya kami akan bantu termasuk pemasaran serta promosi,” katanya.

Pada Oktober 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelancaran Seldec bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Rai ulang tahun pertama, Seldec tawar hadiah termasuk iPhone 12

SHAH ALAM, 22 JUN: Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk iPhone 12 kepada pelanggan sempena sambutan ulang tahun pertamanya esok.

Pengurus besar pembangunan perniagaannya berkata pemenang merupakan pembeli di portal e-dagang tersebut antara 16 April hingga 31 Mei lalu yang ditentukan menerusi cabutan bertuah.

“Esok kita akan pilih 50 pembeli bertuah yang menerima wang tunai berjumlah RM100 seorang. Mereka merupakan pembeli nilai barangan RM50 ke atas.

“Pusingan kedua akan dilakukan dalam masa terdekat dengan menawarkan iPhone 12 sebagai hadiah utama selain barangan elektrik,” kata Mohd Fauzan Elham dalam rancangan Bual Bicara Seldec: Platform Bantu Peniaga Selangor hari ini.

Beliau berkata senarai pemenang diumumkan jam 9 malam menerusi program maya yang disiarkan di Facebook Seldec.

“Kami akan terus membangunkan platform e-dagang ini dengan lebih hebat bagi membantu orang awam terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Pada Oktober 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelancaran Seldec bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

Bagaimanapun program mula berjalan sepenuhnya pada Jun tahun lalu bagi memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.

Categories
AGENSI SELANGOR

Khidmat pesanan makanan dapurSELDEC akan dilancar

SHAH ALAM, 8 FEB: Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) akan melancarkan khidmat penghantaran makanan panas dapurSELDEC dalam tempoh terdekat.

Pengurus besar pembangunan perniagaannya berkata sebagai permulaan, inisiatif tersebut menawarkan pesanan makanan dalam talian untuk Subang Jaya dan Shah Alam sebelum memperluaskannya secara berperingkat ke seluruh negeri.

“Kita hanya mengambil pesanan makanan dari restoran, penjaja atau rumah terlebih dahulu. Insya-Allah selepas ini akan diperluaskan untuk pasar pagi dan pasar malam.

“Perkhidmatan dapurSELDEC menetapkan tempoh penghantaran kepada pelanggan antara 30 minit hingga dua jam,” kata Mohd Fauzan Elham kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata industri perkhidmatan dijalankan secara dalam talian di negara ini dijangka terus meningkat pada tahun ini dan dijangka berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus memperkasa sektor ekonomi digital.

Sebelum ini Seldec turut menawarkan khidmat penghantaran barangan basah antaranya daging segar tempatan, ikan, ayam dan ayam kampung selain kuih tempatan, beras, minyak dan kambing perap.

Pada 13 Julai tahun lepas, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata landasan perniagaan itu akan digunakan untuk memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en .

Categories
AGENSI SELANGOR

Seldec bakal tawar khidmat hantar makanan panas ekspres

SHAH ALAM, 13 JAN: Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) akan menawarkan khidmat penghantaran makanan panas secara ekspres ke seluruh Lembah Klang bermula tahun ini.

Pengurus besar pembangunan perniagaannya berkata rangkaian diperluas susulan permintaan tinggi terhadapnya yang berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus memperkasa sektor ekonomi digital.

Menurut Mohd Fauzan Elham portal dan sistem aplikasi Seldec Rider sedang dinaik taraf bagi menubuhkan komponen tersebut melalui medium berkenaan.

“Kita menerima banyak permintaan, majoriti usahawan yang menyertai program e-bazar Ramadan Selangor tahun lalu berminat menguruskan perniagaan tersebut.

“Jika sebelum ini, pelanggan perlu membuat tempahan sehari sebelum tetapi kali ini ia akan dihantar pada hari sama dengan adanya kategori makanan panas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pembentangan hala tuju pembangunan usahawan 2021 diketuai Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail di Hotel De’ Palma di sini semalam.

Pada masa sama, Mohd Fauzan menjangka jumlah usahawan mikro baharu berdaftar dengan landasan perniagaan itu meningkat empat kali ganda tahun ini berbanding 800 setakat ini.

Katanya, sasaran itu mengambil kira kerjasama yang akan dijalin dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk membawa kira-kira 4,000 usahawan sebagai projek perintis dalam ekonomi digital.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd dilancar pada 24 Jun tahun lalu dengan menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en .