Categories
AGENDA NASIONAL

Tahap kesediaan 250 anggota, aset diuji dalam Eksesais Tembadau Lima Divisyen

KOTA KINABALU, 25 NOV: Keupayaan 250 anggota dan pegawai serta pelbagai aset ketenteraan Markas Lima Divisyen di sini diuji dalam ‘Eksesais Tembadau Lima Divisyen’ bagi memastikan pasukan itu sentiasa bersedia mempertahankan negara khususnya Sabah dari segala bentuk ancaman.

Panglima Divisyen Kelima Infantri Mej Jen Datuk Mohd Halim Khalid berkata eksesais bermula hari ini hingga 1 Disember depan dilaksanakan berdasarkan konsep peperangan konvensional dalam bentuk pos pemerintah menggunakan sistem tempur Battle Tek IV.

“Keupayaan anggota dan aset tentera perlu sentiasa diuji bagi memastikan kesiapsiagaan untuk menjamin keselamatan negara.

“Justeru latihan ini dilaksanakan bagi mengukur tahap kesiapsiagaan dan atur gerak formasi di bawah naungan Markas Lima Divisyen serta dilaksanakan di sekitar Kem Lok Kawi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan eksesais itu di sini hari ini.

Tembadau merupakan spesies banteng (lembu hutan) liar yang hanya terdapat di kepulauan Borneo menjadi lambang Markas Lima Divisyen di Kem Lok Kawi terletak lebih 15km di selatan bandaraya Kota Kinabalu.

Pasukan itu dikenali dengan moto dalam bahasa Bajau ‘Nerang Separang’ bermaksud ‘Tangkas Menggempur’.

Mohd Halim berkata pelaksanaan eksesais itu diharap dapat dimanfaat sebaiknya untuk mengetahui sebarang kekurangan dan kelemahan pasukan.

“Apabila eksesais ini selesai kita, akan buat laporan dan menilai sejauh mana keupayaan anggota dan aset yang kita ada. Sekiranya ada aset yang rosak atau tidak berfungsi dengan baik, kita akan kemukakan ke pihak atasan agar ia segera diselesaikan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kita terus diperkasa,” katanya.

– BERNAMA