Categories
PBT SELANGOR

Projek inovasi MPHS kumpul lapan tan barangan kitar semula

SHAH ALAM, 31 JAN: Sebanyak lapan tan barangan kitar semula berjaya dikumpul dalam tempoh setahun melalui projek inovasi kitar semula Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Barangan tersebut diperoleh dari lima kawasan projek rintis Sisa Jadi Dana (Sidina) membabitkan Kuala Kubu Bharu, Perumahan Desa Melor Serendah, Perumahan Adenium Bukit Beruntung, Perumahan Jalan Inai Bukit Beruntung dan Taman Rajawali, Kalumpang.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd memaklumkan Perumahan Adenium mencatat jumlah kutipan barangan kitar semula tertinggi dengan 2.5 tan.

“Program Sidina ini berjaya menyelamatkan 2.5 tan karbon dioksida daripada dilepaskan ke udara,” katanya dalam kenyataan.

Dilancar pada 16 Ogos 2020 di bawah unit kempen, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, beliau berkata projek inovasi itu bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar selain menjana pendapatan melalui amalan kitar semula.

“Matlamat akhir program Sidina adalah sampah ke tapak pelupusan dikurangkan dan rakyat dapat menjana pendapatan dari aktiviti kitar semula.

“Seterusnya dana diperolehi digunakan untuk membayar cukai taksiran. Dalam kata lain, bayar cukai guna sampah,” katanya yang menyasarkan program Sidina dapat dikembangkan ke peringkat seterusnya.

Pusat kitar semula pintar Adenium, Bukit Beruntung disempurnakan perasmiannya oleh EXCO Alam Sekitar, Hee Loy Sian semalam.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Peluang menang RM5,000 sempena pengisytiharan Majlis Perbandaran Hulu Selangor

SHAH ALAM, 21 OKT: Orang ramai berpeluang memenangi RM5,000 sempena pengisytiharan Majlis Perbandaran Hulu Selangor, hari ini.

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memaklumkan pertandingan berbentuk kuiz itu akan diadakan ketika siaran langsung pengisytiharan menerusi Facebook Korporatmdhsofficial.

Katanya, syarat penyertaan orang ramai perlu mengikuti, menanda tanda suka dan komen #HuluSelangorTerusMaju pada siaran langsung berkenaan.

“Jawab lima soalan yang akan diberikan di penghujung siaran langsung dengan peserta yang berjaya menjawab kelima-lima soalan dengan cepat dan betul akan diumumkan sebagai pemenang,” katanya menerusi Facebook.

Katanya, penyertaan dibuka kepada semua kecuali kakitangan agensi itu dengan jawapan yang disunting pada ruangan komen tidak akan dikira.

Sementara itu, menerusi poster yang dikongsi di Facebook, 10 pemenang akan dipilih menerusi kuiz berkenaan untuk memenangi hadiah RM5,000.

Pada 8 September, Mohd Hasry Nor Mohd mengangkat sumpah sebagai yang dipertua MDHS.

Dalam ucapannya beliau mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kerana bakal dinaik taraf ke majlis perbandaran pada 21 Oktober depan.

“Saya akan memastikan usaha-usaha mantan yang dipertua sebelum ini dapat diteruskan selari dengan corak pentadbiran semasa dalam memastikan pengiktirafan menjadi perbandaran ini dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS akan tutup kawasan rekreasi jika tidak patuh SOP

SHAH ALAM, 18 SEPT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memberi amaran tidak teragak-agak akan menutup semua kawasan rekreasi sekiranya pengunjung tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Yang Dipertuanya berkata sejak Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Jumaat lepas kawasan rekreasi di luar bandar sesak dengan kehadiran luar biasa orang ramai.

Mohd Hasry Nor Mohd berkata tinjauan dilakukan di beberapa kawasan mendapati orang ramai mula alpa dengan pematuhan SOP apabila penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka mula diabaikan.

“Kami memahami perasaan dan keinginan orang awam untuk keluar bebas setelah lama dikurung bersama keluarga menjalankan aktiviti harian seperti sebelum ini tetapi diharap semua bekerjasama dengan mematuhi garis panduan serta SOP demi keselamatan dan kesihatan kita.

“Aspek penguatkuasaan akan diperketatkan terutamanya di kawasan pelancongan dan rekreasi pada hujung minggu. Pihak berkuasa juga akan membuat pemantauan dan mengambil tindakan sekiranya pengunjung gagal mematuhi peraturan termasuk menutup kawasan berkenaan,” katanya menerusi Facebook.

Mohd Hasry berkata lebih mengecewakan kawasan rekreasi turut menjadi kotor apabila pengunjung tidak menjaga kebersihan dengan meletakkan sampah sarap di celah pokok, batu serta membuang sisa makanan ke dalam sungai.

“Sikap bertanggungjawab dalam mematuhi SOP dan menjaga kebersihan perlu ditanam dalam diri sendiri dan tidak perlu diingatkan lagi kerana rakyat sudah sedia maklum dengan langkah penjagaan diri dalam hidup dengan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, MDHS berkongsi 13 kawasan rekreasi di bawah seliaannya iaitu Air Terjun Serendah; Sungai Inki, Kalumpang; Hutan Pelajaran Sungai Kedondong; Kolam Air Panas Kerling; Kolam Air Panas Kuala Kubu Bharu dan Kolam Air Panas Hulu Tamu, Batang Kali.

Selain Air Terjun Sungai Chiling; Air Terjun Semangkok; Air Terjun Sungai Tinggi; Air Terjun Pertak; Alor Lempah; Sungai Selangor dan Air Terjun Sungai Chiling.