Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM peruntuk RM30,000 beli kelengkapan sekolah murid susah, anak yatim

PUCHONG, 17 DIS : KDEB Waste Management (KDEBWM) memperuntuk RM30,000 untuk menyediakan kelengkapan sesi persekolahan pada tahun depan, kata pengurus besar operasinya.

Mohd Idris Mohamed Yusof berkata hampir 200 anak yatim dan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara, Seri Setia dan Sekinchan menerima manfaat tersebut.

“Setakat ini kita salurkan di tiga DUN ini terlebih dahulu, kita sedang meneliti sekiranya ada menerima permohonan dari kawasan lain pada masa akan datang, jika ada keperluan kita pertimbang untuk bantu.

“Kita harap sumbangan ini memberi semangat kepada pelajar kurang berkemampuan untuk meneruskan sesi persekolahan pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada 64 anak yatim dan pelajar DUN Kinrara di Dewan Serbaguna MBSJ BK5, Kinrara di sini hari ini.

Turut hadir EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han.

Pada masa sama, KDEBWM bercadang akan menganjurkan pelbagai aktiviti mendidik pelajar sekolah mengenai kempen kesedaran menjaga alam sekitar pada masa akan datang.

“Selain sumbangan barang sekolah, ini juga salah satu program tanggungjawab sosial korporat kita bagi mendidik dan beri kesedaran kepada pelajar untuk menjaga kebersihan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM serah 30 tong sampah kepada IPD Kuala Langat

KUALA LANGAT, 13 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) hari ini menyumbang 30 tong sampah jenis MGB120L kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini.

Pengurus Besar Operasi KDEBWM Mohd Idris Mohamed Yusof berkata serahan itu bagi menggantikan tong sampah sedia ada yang sudah rosak.

“Kita harap dengan serahan tong ini proses pembuangan sisa domestik di kawasan IPD Kuala Langat menjadi lebih sistematik dan bersih.

“Kita percaya ia juga akan menjadikan pemandangan di sini lebih indah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan tong tersebut di IPD Kuala Langat di sini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Logistik dan Teknologi IPD Kuala Langat Inspektor Abdul Raheem Eliyas turut mengucapkan terima kasih kepada KDEBWM dan berharap inisiatif itu diteruskan dari semasa ke semasa.

“Insya-Allah kita akan meletakkan tong ini di tempat strategik sekitar IPD termasuk kuarters.

“Usaha ini juga selaras untuk menjayakan hasrat Kerajaan Negeri ke arah menceriakan alam sekitar,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM serah 125 unit tong sampah, buang sisa secara teratur

AMPANG, 12 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyumbang 125 tong sampah jenis MGB120L untuk kegunaan penduduk Kampung Melayu Ampang di sini, hari ini.

Tong sampah itu ditempatkan di Lorong Merbau, Lorong Seraya, Lorong Jati dan Lorong Pinang manakala sebuah tong sampah kitar semula diletak di Pusat Khidmat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 7.

Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management Mohd Idris Mohamed Yusof

Pengurus Besar Operasi KDEBWM Mohd Idris Mohamed Yusof berkata serahan itu bagi memudahkan penduduk dan kontraktor pembersihan memproses pembuangan sampah domestik lebih teratur.

“Kita difahamkan sebelum ini rata-rata penduduk di sini membuang sampah dalam pelbagai medium seperti tangki air, beg dan kebuk simen.

“Dengan serahan tong baharu ini kita percaya ia akan lebih teratur, seragam dan bersih. Saya berharap penduduk menggunakan tong ini sebaiknya dan tidak melakukan vandalisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan tong tersebut di Dewan MPKK Kampung Melayu Ampang di sini hari ini.

Sumbangan itu diserahkan kepada Ketua Kampung Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu Ampang Daing Muhammad Najib Bachok.

Sementara itu Mohd Idris berkata, KDEBWM selaku syarikat yang mengendali pengurusan sisa pepejal di Selangor menitikberatkan masalah dihadapi penduduk dan bersedia membantu jika ada keperluan.

Daing Muhamad Najib

Manakala, Daing Muhammad Najib berterima kasih kepada pihak KDEBWM dan berharap penduduk di kampung itu tidak menyalahgunakan manfaat itu.

“Penduduk perlu gunakan kemudahan ini sebaiknya dengan tidak buang sampah di luar tong. Pemberian ini juga membuatkan pemandangan di kampung lebih cantik dan seragam.

“Kita juga berharap KDEBWM menyumbang lebih banyak tong pada masa depan termasuk meletakkan di depan kedai-kedai,” katanya.