Categories
SELANGOR

Teng : Peraturan Sedia Ada Memadai Untuk Mengawal Kelakuan, Perkataan Tidak Sopan

SHAH ALAM 27 NOV : Dewan Negeri Selangor (DNS) berpendirian peraturan sedia bagi menangani istilah tidak sopan sudah memadai untuk mengawal disiplin dan kelakuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di dalam persidangan.

Speaker DNS, Datuk Teng Chang Kim berkata peraturan tersebut tidak perlu ditambah atau dipinda bagi mengambil tindakan terhadap Adun yang mengeluarkan kata-kata seksis.

“Saya rasa istilah atau kata seksis diucapkan boleh dianggap termasuk dalam istilah sama macam biadap dan semua Adun tahu mereka tidak boleh mengucapkan kata-kata seperti itu.

“Bagi saya sama. Jadi tidak perlu sebarang pindaan terhadap perkara 36(4) atau diwujudkan peraturan baru untuk tindakan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam sidang Khamis lalu, Datuk Mohd Isa Abu Kassim (BN – Batang Kali) mengeluarkan kata-kata tidak sopan semasa Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong membuat pengulungan tentang status hutan simpan di kawasan Taman Templer.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan bahawa satu usul akan dikemukakan dalam sidang Parlimen untuk meminda peraturan parlimen bagi melarang Ahli Parlimen daripada membuat kenyataan seksis.

Dalam perkembangan lain, Teng menyatakan DNS sedang dalam perancangan membina laman sesawang sendiri dan ia dijangka dimulakan pada tahun depan.

Categories
NASIONAL

Usul Tindakan Disiplin Terhadap Adun Umno Seksis Bakal Dicadangkan


SHAH ALAM, 26 NOV : Adun Pakatan Rakyat Selangor akan mencadangkan usul agar Adun Umno-BN, Datuk Mohd Isa Abu Kassim dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berikutan kata-kata yang menghina kaum wanita yang dikeluarkan beliau Khamis lalu.

Usul yang bakal dicadangkan minggu ini akan menyeru agar satu tindakan disiplin di ambil terhadap Adun Batang Kali itu kerana kenyataannya semasa sesi pengulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2013 di dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

Cadangan tersebut bakal diusulkan kerana Mohd Isa sebelum ini enggan menarik balik kenyataan tersebut serta meminta maaf dengan alasan beliau tidak menyebut kata-kata itu.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata hansad sidang Dewan Negeri Selangor jelas menunjukkan beliau menyebut kata-kata itu.

“Saya lebih meluat apabila ianya dibangkitkan oleh (Adun Subang Jaya) YB Hannah Yeoh, beliau menafikan kononnya beliau tidak menggunakan perkataan itu, tetapi terbukti apabila hansad diedarkan, terang-terang perkataan itu wujud.

“Sebenarnya pihak Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) telah pun berbincang dan dipersetujui supaya dibawa satu usul yang dibentangkan ke dalam dewan dalam masa seminggu ini untuk memanggil Batang Kali dibicarakan di bawah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Kenyataan seperti itu, tak menggambarkan rasa hormat dia pada wanita dan kalau orang menyebut seperti itu kepada isteri, ibu atau anak perempuannya, apa perasaan dia,” ujar Rodziah kepada TV Selangor hari ini.

Pada Khamis lalu, Mohd Isa didakwa mengeluarkan kata-kata tidak sopan semasa Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong membuat pengulungan tentang status hutan simpan di kawasan Taman Templer.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor Haniza Talha pula mengingatkan bahawa semua wanita lain juga mempunyai hak untuk dihormati seperti mana ibu Mohd Isa sendiri.

“Boleh tak dia bergurau begitu kepada emak dia? Tentu tidak, kalau tak boleh apa bezanya dengan wanita lain sebab wanita lain juga ada hak untuk dihormati,” kata yang juga Adun Taman Medan.

Haniza juga menyarankan agar pengundi wanita di Dun Batang Kali ‘mengajar’ Adun tersebut dengan menolak beliau dalam pilihan raya akan datang.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata Mohd Isa wajar meminta maaf kepada Elizabeth.

Artis popular, Abby Abadi pula menyifatkan kenyataan Mohd Isa itu sebagai kenyataan biadab yang hanya dikeluarkan oleh individu yang kurang moral.

“Kenyataan seperti itu tak boleh terima, keterlaluan, keluar topik, lebih-lebih lagi bila dikeluarkan oleh seseorang yang sepatutnya dijadikan contoh oleh masyarakat di kawasan yang dijaganya,” kata Abby kepada TV Selangor.

Categories
SELANGOR

Strawberry Leisure Farm Tarikan Baru Pelancong Selangor

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri Selangor telah mengenal pasti beberapa produk pelancongan di negeri ini yang mempunyai potensi untuk menarik pelancongan dalam dan luar negara.

Antara tarikan terbaru adalah ladang strawberry yang terletak berhampiran Batang Kali dan bersempadanan dengan Negeri Pahang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong ketika menjawab soalan soalan Adun Batang Kali, Mohd Isa Abu Kassim bahawa tarikan terbaru tersebut telah dibuka semenjak 2009 lagi.

“Produk yang terbaru berhampiran Batang Kali yang juga menjadi tumpuan ialah seperti Starwberry Leisure Farm yang mejadi tumpuan pelancongan dalam dan luar negara.

“Semenjak ia dibuka pada Ogos 2009, ia telah dapat menarik pengunjung seramai 500,000 orang sehingga ke hari ini,” ujar beliau di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Selain itu, beberapa padang golf turut dikenal pasti mempunyai potensi untuk menarik pelancong-pelancong ke Negeri Selangor.

“Begitu juga dengan Bukit Beruntung Golf Course yang menjadi tumpuan para pemain golf khususnya pelancong-pelancong dari negara Korea.

“Pada masa yang sama terdapat pembangunan Mines Golf City of Bukit Beruntung yang bakal menjadi golf courseĀ  terulung di negara ini,” kata beliau yang juga merupakan Adun Bukit Lanjan itu.

Sebelum itu Elizabeth turut memberitahu usaha membangunkan produk pelancongan di Negeri Selangor dibuat secara menyeluruh dan bukannya ditumpukan kepada sesetengah kawasan sahaja.

“Kerajaan Negeri turut berusaha membangunkan produk-produk pelancongan seluruh negeri Selangor dan tidak tertumpu kepada sesetengah kawasan sahaja.

“Kawasan-kawasan berpotensi ini akan dipromosikan kepada pelancong luar sebagai kawasan-kawasan tarikan baru yang terdapat di seluruh Negeri Selangor,” kata beliau lagi.