Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jelajah Selangor Xtiv Virtual 2022 dilancar, cari bakat baharu e-sukan

KUALA LANGAT, 6 MAC: Kerajaan Negeri melancarkan Jelajah Selangor Xtiv Virtual 2022 khusus untuk belia dalam usaha merapatkan hubungan dengan golongan tersebut selain mencari bakat pemain e-sukan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata golongan belia merupakan aset penting yang perlu diberi perhatian menerusi pelbagai aktiviti sukan serta pembangunan.

“Program ini adalah yang pertama untuk generasi muda dan perlu diteruskan kerana belia sudah lama tidak ada aktiviti jelajah seperti ini selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menerusi jelajah ini banyak program dianjurkan yang dapat mencungkil bakat golongan belia seperti silat dan beberapa pertandingan e-sukan lain. Insya-Allah selepas ini jelajah akan dibawa ke daerah lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian dan pelancaran Jelajah Selangor Xtiv Virtual 2022 di Dataran Morib di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin.

Tambahnya, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran jelajah kali pertama ini namun perlu ditingkatkan lagi dengan penglibatan pelbagai pihak antaranya persatuan e-sukan, motosikal dan beyblade.

“Contohnya apabila kita buka beyblade, kita perlu ada modul bagaimana hendak rekrut peminat sukan ini supaya mereka boleh masuk ke pertandingan lebih besar lagi,” katanya.

Selangor memperkenal program e-sukan sesuai dengan trend baharu menerusi  program Xtiv Virtual sejak 2020 dengan lebih 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Acara dipertandingkan termasuk PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021, FIFA Pro Club, Selangor Xtiv Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge.

Selangor satu-satunya negeri berjaya menganjurkan pertandingan sukan secara maya berskala besar berserta hadiah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Lima skrin gergasi dipasang, mudahkan tonton separuh akhir Badminton Asia

SHAH ALAM, 19 FEB: Lima skrin gergasi disediakan di luar Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) hari ini bagi memudahkan peminat menonton perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Mohd Khairuddin Othman berkata inisiatif tersebut berikutan jumlah penonton dibenarkan ke gelanggang terhad 200 orang bagi setiap sesi pertandingan.

“Kita terima permintaan menggalakkan malah ada penonton yang sanggup menunggu di luar SCCC bagi menggantikan kekosongan kerusi,” katanya menambah pemasangan skrin bergantung keadaan cuaca.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin yang juga EXCO pembangunan sukan berkata bilangan kerusi akan ditambah kepada 800 jika skuad negara layak ke perlawanan akhir.

Malaysia ke peringkat separuh akhir selepas skuad lelaki menjuarai Kumpulan B manakala skuad wanita mendahului Kumpulan Y dengan kedua-duanya dijadual menentang Korea Selatan.

Segelintir penyokong yang hadir memberi sokongan ketika aksi terakhir kumpulan B menentang Jepun pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 18 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SUKANKINI

Selangor cadang anjur sidang kemuncak sukan antarabangsa, himpun pemain seluruh dunia

SHAH ALAM, 16 FEB: Selangor merancang menganjurkan Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa pada September tahun ini bagi menghimpunkan pemain sukan dari seluruh dunia.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kertas cadangan berhubung penganjuran acara berprestij itu sedang disediakan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

“Saya telah minta Pengarah Eksekutif MSN Selangor (Mohamad Nizam Marjugi) agar sediakan beberapa kertas cadangan untuk kita adakan acara peringkat dunia seumpama itu.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Insya-Allah, kita juga akan berhubung rapat dengan persatuan berkaitan seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Konfederasi Badminton Asia (BAC) yang komited untuk membantu pelaksanaannya,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini malam tadi.

Mohd Khairuddin menambah program tersebut juga adalah kesinambungan daripada BATC yang berjaya dilaksanakan melalui kerjasama pihak terbabit.

“Maka dengan sokongan Kerajaan Negeri dan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari), kita mempunyai keyakinan penuh untuk beralih kepada acara yang lebih besar daripada ini (BATC),” katanya.

Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sejuta dijangka tonton kejohanan badminton Asia setiap hari

SUBANG JAYA, 15 FEB: Siaran langsung Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang membuka tirainya di Pusat Konvensyen Setia City hari ini dijangka menarik sejuta penonton setiap hari.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Khairuddin Othman meramalkan sukan berprestij itu mendapat sokongan lebih 20 negara Asia dan dunia sekali gus mempromosi Selangor dalam pelbagai aspek.

“Kesannya dapat membantu meningkatkan ekonomi negeri melalui penggunaan fasiliti, penginapan hotel, kehadiran pelancong serta penjualan makanan dan minuman,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam BATC 2022 malam tadi.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk V Subramaniam di Ballroom Hotel Sunway & Resort di sini.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Khairuddin Othman berucap pada Majlis Makan Malam dan Penghargaan Penaja Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 di Hotel Sunway & Resort, Subang Jaya pada 14 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mohd Khairuddin berkata kejohanan melibatkan 142 peserta dari lapan negara akan membantu pembangunan industri sukan dan meningkatkan kepakaran agensi negeri dalam penganjuran bidang itu.

“Kita harap selepas ini dapat laksanakan kejohanan sukan di peringkat dunia. Mungkin pengalaman BATC 2022 mengajar kita untuk anjur pertandingan lebih besar,” katanya lagi.

Kejohanan sehingga Ahad ini ditaja Kerajaan Selangor dan anak syarikat antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Invest Selangor dan KDEB Waste Management.

Turut terlibat ialah Permodalan Negeri Selangor Berhad, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama BAM dan Badminton Asia.

BATC yang disertai Malaysia, Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan menjadi sesi kelayakan Asia untuk Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Thailand pada Mei.

Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor jadi platform sukarelawan, bantu lebih ramai masyarakat

SHAH ALAM, 7 FEB: Kerajaan Selangor mahu menjadikan negeri ini sebagai platform sukarelawan bagi membantu lebih ramai masyarakat, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Berikutan itu, Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya bercadang menubuhkan pasukan sukarelawan mengikut bidang tertentu sebagai langkah menarik lebih ramai ahli.

“Contohnya wujudkan sukarelawan muzik. Kita pusing setiap daerah untuk cari bakat baharu. Kita tubuhkan beberapa lagi supaya ramai minat,” katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor di Dewan Jubli Perak semalam.

Majlis dirasmikan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena merai lebih 700 ahli Sukarelawan Selangor (SERVE) yang terlibat kerja pascabanjir.

Selain SERVE, Selangor turut memiliki satu lagi pasukan sukarelawan, Team Selangor yang aktif membantu masyarakat berdepan kesusahan seperti banjir dan terputus bekalan air.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Sukarelawan Selangor umpama bot kecil selamatkan mangsa di tengah bencana

SHAH ALAM, 6 FEB: Sukarelawan Selangor (SERVE) yang ditubuh tahun lalu memainkan peranan penting dalam menangani bencana termasuk membendung penularan Covid-19 dan membantu mangsa banjir pada Disember lalu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata sumbangan sukarelawan termasuk mahasiswa yang menyertai SERVE amat dihargai Kerajaan Negeri.

“SERVE berkhidmat tanpa mengira waktu dan bencana. Bukan hanya ketika banjir pada bulan lalu tetapi juga sejak penularan Covid-19.

“Pasukan ini menjadi ‘bot kecil’ selamatkan rakyat ketika bencana,” katanya dalam Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor di bangunan pentadbiran negeri di sini petang ini.

Lebih 700 ahli SERVE dirai dalam program berkenaan. Mereka turut dihiburkan persembahan kumpulan Gerhana Skacinta dan pemain gitar terkenal Joe Wings.

Dalam majlis sama, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melancarkan pasukan sukarelawan Khidmat Untuk Malaysia bagi membantu rakyat yang ditimpa bencana.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar lancar Khidmat Untuk Malaysia, sinambungan Sukarelawan Selangor

SHAH ALAM, 6 FEB: Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan sukarelawan Khidmat Untuk Malaysia hari ini bagi membantu kebajikan rakyat terutama ketika berdepan bencana.

Ketua pembangkang berkata inisiatif yang merupakan kesinambungan penubuhan Sukarelawan Selangor (SERVE) bertujuan meringankan beban dan derita masyarakat selain melahirkan sifat kemanusiaan dalam diri ahlinya.

“Ketika banjir pada Disember tahun lalu saya lihat ramai anak muda tampil (membantu). Saya terkesan kerana setiap tempat ada sahaja ratusan anak muda bertungkus lumus dengan sukarela, prihatin, peka terhadap mangsa terutama di Selangor.

“Jadi,saya usulkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Mohd Khairuddin Othman (pembangunan generasi muda) untuk meneruskan usaha anak muda ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor (SERVE) 2022 di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Dengan prestasi (SERVE) yang cemerlang ini kita lebarkan ke seluruh negara dengan semangat sukarelawan dan manusia,” kata presiden Parti Keadilan Rakyat ketika melancarkan pasukan berkenaan dalam  Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor.

Majlis di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah itu bertujuan meraikan lebih 700 ahli SERVE yang terlibat kerja pascabanjir dan turut disertai Mohd Khairuddin serta Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil.

Kumpulan ska popular Gerhana Skacinta dan gitaris utama Wings, Joe tampil menghiburkan tetamu.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

LZS bantu bina semula 32 rumah mangsa banjir di Hulu Langat

SHAH ALAM, 5 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menampung kos pembinaan semula 32 rumah di Hulu Langat yang hanyut dan hancur akibat banjir bulan lalu, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata pejabat tanah dan daerah juga menyumbang sejumlah dana bagi memastikan proses pembinaan rumah berjalan lancar.

Beliau yang mengetuai jawatankuasa penyelarasan pascabanjir daerah itu menjelaskan bantuan diberi kepada semua dengan syarat tanah rumah adalah milik mangsa.

“Bantuan ini bukan hanya untuk asnaf tetapi mana-mana mangsa yang kehilangan rumah.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas taklimat situasi terkini banjir di Hulu Langat di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Buat masa sekarang mangsa tinggal menumpang di rumah saudara mara. Ada yang tinggal di kabin disediakan Kerajaan Negeri atau menyewa. Bayaran bulanan juga ditanggung LZS,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 29 Disember Dato’ Menteri Besar memaklumkan Hulu Langat menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dan mengalami kerosakan sekali gus memerlukan lebih proses pembersihan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia diikuti Sri Muda, Shah Alam dan Bukit Lanchong, Subang Jaya.

Sebelum itu Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM2 juta daripada dana Selangor Bangkit disalur ke Hulu Langat bagi memulihkan semula sebahagian besar daerah itu yang terkesan banjir.
memulihkan semula sebahagian besar daerah itu yang terkesan banjir.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 4,700 sukarelawan negeri bantu bersihkan lokasi bah

SHAH ALAM, 4 JAN: Seramai 4,783 Sukarelawan Selangor (SERVE) digerakkan bagi membantu pembersihan pascabanjir di kawasan terjejas bencana di negeri ini mulai 19 Disember lalu.

Pembersihan di Petaling melibatkan 2,291 orang, Hulu Langat (1,301), Sepang (310), Kuala Langat (264), Klang (247), Kuala Selangor (226), Gombak (112) dan Hulu Selangor (32).

EXCO pembangunan generasi muda berkata kapasiti sukarelawan bergantung lokasi yang parah antaranya Petaling dan Hulu Langat yang memerlukan banyak tenaga kerja.

“Matlamat kita supaya kerja pembersihan dapat diselesaikan segera di samping memberi keselesaan kepada mangsa,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau turut mempelawa individu yang berminat menjadi sukarelawan negeri untuk mendaftar di laman web Majlis Sukan Negeri Selangor.

Orang ramai yang memerlukan khidmat bantuan pembersihan pascabanjir boleh menghubungi Pusat Koordinasi Sukarelawan Selangor di talian 011-57529196/011-5752939.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor, terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas dengan beberapa misi bantuan digerakkan sejak tahun lalu.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Jawatankuasa khas mudahkan bantuan pascabanjir diagih saksama

HULU LANGAT, 23 DIS: Jawatankuasa khas pascabanjir di Hulu Langat menjadi medan komunikasi semua pihak termasuk sukarelawan bagi menyelaras dan melancarkan proses pembersihan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman menjelaskan usaha terbabit juga membantu proses agihan makanan dan keperluan secara saksama kepada mangsa terkesan.

“Kita faham ramai hendak bantu, jadi kita agihkan semua mengikut keperluan mangsa supaya proses lancar. Yang hendak bantu, datang jumpa kita supaya tidak berkeliaran tidak tentu arah.

“Kita mahukan komunikasi, mudah agihkan tugasan selain pastikan semua mangsa dapat bantuan,” katanya ditemui di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai hari ini.

Mohd Khairuddin, yang mengetuai organisasi itu berkata penubuhan jawatankuasa dapat mengelak kesesakan di kawasan banjir hingga menjejaskan proses pembersihan.

“Bila terlalu ramai, tong RORO (Roll On Roll Off) susah hendak masuk, justeru kita minta mereka yang mahu bantu supaya sokong tindakan ini untuk mudahkan semua,” katanya.

Siang tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan penubuhan jawatankuasa berkenaan bagi menyelaras pemulihan banjir di Hulu Langat.

Beliau turut mengumumkan perbelanjaan RM2 juta daripada peruntukan Selangor Bangkit untuk membangunkan semula daerah itu yang terjejas teruk akibat banjir.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

10 sekolah jadi medan cungkil bakat baharu bola sepak

SHAH ALAM, 2 DIS: Sebanyak 10 buah sekolah di negeri ini dijadikan platform bagi mencari bakat baharu bola sepak bermula dari peringkat akar umbi, kata EXCO sukan.

Lima daripadanya merupakan akademi tunas meliputi Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, SK Putra Heights 2, SK Kajang, SK Batu Sembilan 9 dan SK Taman Bunga Raya 2, Hulu Selangor.

Sementara pusat latihan daerah merangkumi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun, SMK Meru, SMK Shah Alam, SMK Kuala Kubu Bahru dan SMK Tinggi, Kajang, jelas Mohd Khairuddin Othman.

“Kerajaan Negeri melalui Persatuan Bolasepak Selangor dan Majlis Sukan Negeri Selangor sentiasa peka dengan program mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sabak Ahmad Mustain Othman berhubung cadangan membuka klinik bola sepak dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Mohd Khairuddin berkata Kelab Bola Sepak Selangor juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri melalui program Soccer Schools dengan penyertaan 80 pelajar dari setiap 12 sekolah di dua daerah.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Karnival kerjaya mega hanya di Shah Alam, tiada lagi jelajah

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan karnival kerjaya mega yang berpusat di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri mulai tahun depan.

EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata kaedah itu lebih berkesan di samping rakyat dapat menumpu kepada satu lokasi sahaja.

“Kita jangka untuk melaksanakan karnival kerjaya mega dua kali setahun di sini sahaja selepas ini berbanding menganjurkan jelajah seperti sebelum ini.

“Tiada lagi jelajah kerana kita rasa kaedah ini lebih efektif dan orang awam tidak perlu pergi merata tempat sebaliknya dapat tumpu di sini sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan penutup Program Karnival Kerjaya Jelajah Selangor Bekerja 2021 Siri 6 di sini semalam.

Menurutnya, sebanyak 8,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada siri jelajah terakhir itu membabitkan Perusahan Otomobil Nasional (Proton), DRB-HICOM, Parkson Corporation, Old Town Kopitiam, Nando’s Chickenland, Prudential dan BSN Takaful.

Beliau berkata sejak karnival itu bermula pada 23 Oktober sehingga siri kelima, seramai 1,891 peserta hadir ditemuduga dan 484 diterima bekerja.

“Manakala, 832 peserta layak untuk ditemuduga kali kedua…Kita harap pencari kerja dapat mengambil peluang untuk hadir dan terima pekerjaan ditawarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata dengan adanya karnival itu pihaknya menyasarkan kadar pengangguran darpat dikurangkan daripada 4.4 peratus kepada 3.7 peratus pada tahun depan.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi lima siri jelajah tersebut yang diadakan di Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Petaling.