Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Melaka dan Kedah berkurang, Perlis pulih

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Jumlah mangsa banjir di Melaka dan Kedah menunjukkan penurunan manakala keadaan banjir di Perlis semakin pulih dengan kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu ditutup.

Keadaan di Johor pula tidak berubah setakat petang ini.

Di Melaka, jumlah mangsa terjejas banjir terus menurun daripada 24 mangsa daripada sembilan keluarga kepada 14 mangsa (empat keluarga) setakat 4 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa adalah dari daerah Alor Gajah dan ditempatkan di PPS Sekolah Rendah (SK) Durian Tunggal.

“Dua lagi PPS di daerah itu iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal ditutup pada 2 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Di Kedah, tiga PPS ditutup sekali gus menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan berkurangan kepada 736 orang daripada 200 keluarga setakat 4 petang ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana APM Kedah Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata tiga PPS tersebut membabitkan dua di daerah Baling dan satu di Kubang Pasu.

“Kedua-dua PPS di Baling iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Siong dan SK Tunku Putera ditutup pada pukul 2 petang tadi, manakala PPS di Kubang Pasu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun ditutup 12 tengah hari.

“Tiga PPS tersebut sebelum ini menempatkan seramai 24 mangsa daripada 11 keluarga, bagaimana pun terdapat beberapa PPS menyaksikan sedikit pertambahan jumlah mangsa setakat 4 petang tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, secara keseluruhan seramai 736 mangsa daripada 200 keluarga di empat daerah di negeri ini berada di 10 PPS dengan Pendang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 292 mangsa daripada 75 keluarga di dua PPS.

Daerah Kota Setar pula mencatatkan seramai 275 mangsa daripada 80 keluarga di empat PPS, diikuti Kubang Pasu dengan 120 mangsa daripada 30 keluarga di dua PPS dan Pokok Sena di mana seramai 49 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

Di Perlis, banjir semakin pulih dan semua PPS di Arau yang menempatkan penduduk terjejas sejak semalam, telah ditutup petang ini.

Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Mohammad Hazam Ismail, semua penduduk telah pulang ke rumah masing-masing susulan banjir di kediaman mereka telah surut dan PPS diisytiharkan tutup sepenuhnya pada 2.30 petang tadi.

Sementara itu, di Johor, jumlah mangsa banjir kilat di daerah Pontian masih kekal seramai 18 orang daripada empat keluarga setakat 4 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata kesemua penduduk daripada Kampung Paya Embun itu ditempatkan di PPS SK Melayu Raya sejak 9 malam tadi.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata setakat ini keadaan cuaca di kawasan berkenaan mendung, bagaimanapun, paras air dilihat hampir surut sepenuhnya.

– BERNAMA