Categories
SELANGOR

Gergasi Merah Kuning Sasar Sekurang-Kurangnya Satu Piala

team bola sepak selangor 2013 03

SHAH ALAM 5 JAN: Pengurus pasukan bola sepak Liga Super Selangor, Irfan Bakti Abu Salim, 62, mensasarkan untuk mendapat sekurang-kurangnya satu piala pada musim 2013 ini.

Katanya, walaupun pasukan Selangor kehilangan beberapa tonggak utama seperti Safiq Rahim dan beberapa pemain lain yang berhijrah ke pasukan lain, ia tidak akan menggagalkan cita-cita pasukan itu dalam memburu kejuaraan ke-33 Piala Malaysia pada edisi tahun ini.

“Rata-rata pemain Selangor merupakan muka baru dan muka lama kini bersemangat memburu setiap piala kejohanan pada tahun ini walaupun kita kehilangan beberapa tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain,” katanya ketika sidang media selepas sesi perkenalan pasukan bola sepak Selangor musim 2013 di Stadium Shah Alam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ahli-ahli Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Dr Yunus Hairi, Dr Yaakob Sapari serta ahli Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor.

Sementara itu, muka-muka baru yang bakal membarisi pasukan itu pada tahun ini adalah S Kunalan, Sharbinee Alawee Ramli, Mahalli Jasuli, Abdul Shukur Jusoh, Muhammad Ramzul Zahini Adenan, Muhammad Afiq Azmi, Mohd Raini Md Noor, Mohd Fairuz Abdul Aziz, Kavichelvan serta tonggak import seperti Francis Forkey Doe dan Michal Kubala.

Dalam pada itu, Abdul Khalid mengharapkan pasukan Selangor dapat memperbaiki prestasi pada tahun lalu yang hanya berjaya menduduki tangga ketiga dalam Liga Super serta gagal mara ke final aksi Piala Malaysia apabila tumpas kepada Kelantan di peringkat separuh akhir.

“Diharap pasukan Selangor dapat menjadikan contoh seperti pasukan lain seperti pasukan Sime Darby yang berjaya mara ke peringkat akhir Piala FA walaupun tidak dibarisi pemain berstatus bintang tetapi berjaya juga mara sejauh itu,” katanya.

Dalam pada itu, ketua pasukan yang baru, Asraruddin Putra Omar, 25, berharap setiap pemain dapat menunjukkan prestasi terbaik bagi menghargai sumbangan dan sokongan peminat bola sepak di Selangor.

Katanya, kegagalan mendapatkan sebarang piala pada tahun lalu wajar dijadikan pembakar semangat dalam usaha meningkatkan lagi imej pasukan bola sepak selangor yang dikenali Gergasi Merah Kuning itu.

Pemain senior bola sepak Selangor, Amri Yahyah, 32, berkata, beliau akan memberikan khidmat yang terbaik dalam usaha merealisasikan impian peminat bola sepak di negeri ini untuk melihat Selangor mendapat sekurang-kurang satu piala pada tahun ini.

“Walaupun tidak dilantik menjadi kapten, ia tidak sama sekali menjejaskan saya dalam usaha membantu pasukan Selangor mendapatkan piala pada tahun 2013 ini,” katanya.

Selain itu, pasukan Selangor yang bakal bertanding pada kejohanan Piala AFC tahun ini turut dibarisi muka-muka lama seperti Mohd Bunyamin Omar, Mohd Nasriq Baharom, Solihin Kanasian, Mohd Fitri Shazwan, Norazlan Razali serta pemain pertahanan import, Ramez Jamal Dayoub.

team bola sepak selangor 2013 02 team bola sepak selangor 2013 05 team bola sepak selangor 2013 01 team bola sepak selangor 2013 04