Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

LZS peruntuk hampir RM400,000 baik pulih 11 sekolah rendah agama

SHAH ALAM, 20 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meluluskan peruntukan berjumlah RM397,825 untuk baik pulih 11 sekolah rendah agama di daerah Kuala Selangor.

Agensi itu memaklumkan setiap sekolah menerima antara RM19,000 hingga RM50,000 menerusi peruntukan diluluskan pada Disember tahun lalu.

“Kelulusan ini dalam bentuk surat jaminan (GL) dan membolehkan pihak sekolah menambah baik prasarana bagi meningkatkan keselesaan pelajar dalam mengikuti sesi pembelajaran.

“Alhamdulillah. Terima kasih pengeluar zakat,” katanya menerusi Facebook semalam.

Terdahulu, simbolik serahan cek cura disempurnakan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS kenal pasti 14 rumah asnaf terjejas banjir untuk dibina semula

SHAH ALAM, 18 JAN: Sebanyak 14 rumah asnaf fakir seluruh Selangor terjejas banjir pertengahan bulan lalu dikenal pasti untuk pembinaan semula setakat ini, manakala 56 lagi dibaik pulih.

Ketua divisyen operasi agihan asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata proses bancian sedang berjalan di lapan daerah sehingga akhir bulan ini bagi mengenal pasti asnaf memerlukan bantuan.

“Kita sasarkan 32 rumah asnaf fakir terlibat bencana akan dibina semula dan 150 lagi dibaik pulih,” kata Mohd Sabirin Mohd Sarbini kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata 64 rumah di Kampung Bukit Lanchong di sini yang menjadi lokasi paling teruk dilanda banjir dibanci sebagai asnaf fakir dan miskin.

Menurutnya, sebanyak 15 keluarga pula layak didaftarkan sebagai asnaf LZS dengan sebuah rumah akan dibina manakala 20 lagi dibaik pulih.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop (kanan) bersama petugas melihat keaadaan rumah mangsa banjir ketika LZS turun padang menjalankan bancian dan semakan di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam pada 11 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Sabirin turut memaklumkan buat masa ini ada mangsa banjir tinggal bersama saudara atau menyewa di luar, termasuk keluarga yang layak bantuan sewa rumah LZS.

Pada 11 Januari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop memaklumkan kerja pembinaan semula rumah asnaf terjejas dijangka bermula Februari ini dengan peruntukan RM93,000 bagi setiap unit.

Katanya, peruntukan rumah dibaik pulih pula berjumlah RM31,500 setiap unit mengikut jenis kerosakan.