Categories
SELANGOR

Tahniah rakyat Selangor, tujuh tahun tolak rasuah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 SEP : Rakyat Selangor wajar berbangga ditadbir Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) yang bebas rasuah selama tujuh tahun mentadbir negeri terkaya itu.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Mohd Shafie Ngah berkata sehingga kini belum ada pemimpin Kerajaan Negeri didakwa walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) begitu responsif dan agresif terhadap sebarang maklumat berkaitan perbuatan rasuah di Selangor.

Katanya, ia berbeza dengan Kerajaan Negeri di era Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang kerap berhadapan pelbagai skandal semasa berkuasa.

Shafie Ngah“Rakyat di Selangor layak berbangga kerana membuat pilihan yang tepat pada 2008 dan 2013 memilih Pakatan.

“SPRM meletakkan tahap siap siaga yang tinggi di Selangor berbanding negeri lain sejak Pakatan mentadbir.

“Kita dapat lihat bagaimana kes kematian mendiang Teoh Beng Hock di mana akhirnya tiada kes tetapi SPRM begitu tegas dan pantas jalankan siasatan,” kata Shafie kepada Selangor Kini, baru-baru ini.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan bukan sahaja bebas rasuah bahkan berjaya membendung amalan pembaziran dan ketirisan yang berlaku di era BN.

Jelas beliau, keadaan ini membolehkan penduduk di Selangor menerima pelbagai manfaat menerusi konsep perkongian hasil negeri kepada rakyat.

Pada Mac lalu, genap tujuh tahun Pakatan menerajui Selangor selepas memenangi 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), 2008.

Pada PRU-13, 2013, kepercayaan pengundi Selangor bertambah kukuh apabila Pakatan menambah lapan lagi kerusi kepada 44 kesemuanya berbanding PRU-12.

-NR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

MPKj Muktamad Tutup Bazar Ramadan Di Reko Sentral Kajang

MPKj 01

SHAH ALAM 11 JULAI : Keputusan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan di Reko Sentral Kajang, Bangi adalah untuk mengelak daripada perselisihan faham antara pemilik kedai dan penganjur bazar selain kesesakan lalulintas di kawasan itu.

Pegawai Korporat Dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata pihaknya membuat  keputusan tersebut setelah mendapat aduan daripada peniaga pasaraya di situ.

MPKj juga membuat keputusan itu setelah merujuk kepada Kerajaan Negeri tetang bazar itu yang diadakan di situ sejak tiga tahun lalu.

“Kita ada membuat rujukan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang tidak menyokong untuk membenarkan Karnival Bazar Ramadan di situ kerana beberapa isu.

“Antaranya aduan daripada peniaga di kawasan tersebut dan adanya pasar raya besar di kawasan itu.

“Faktor-faktor inilah yang menjadi asas kepada penutupan bazar tersebut,” kata Izlan ketika dihubungi.

Beliau menambah penutupan itu juga kerana masalah aliran trafik di kawasan itu yang mengganggu kedai yang sedia ada.

Bazar Ramadan tersebut adalah anjuran Persatuan Penduduk Langat Jaya. Keputusan penutupan bazar tersebut dikecam oleh peniaga bazar dengan ada yang menyatakan mereka telah mengeluarkan modal untuk membeli barangan untuk berniaga.

“Keputusan ini adalah muktamad yang berdasarkan kepada keputusan mesyuarat dan sebarang keputusan sudah diputuskan dalam mesyuarat dan kita berpegang kepada keputusan itu,” kata Izlan.

Sementara itu, ADUN Bangi, Mohd Shafie Ngah merayu agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan nasib kira-kira 200 pejaja yang ingin menyertai bazar itu.

Katanya, peniaga tersebut sudah mengeluarkan modal yang besar untuk meniaga di kawasan itu dan penutupan itu akan menjejaskan peluang pendapatan mereka.

Ujarnya, masalah aliran trafik yang menjadi isu boleh diatasi kerana wujud jalan alternatif di kawasan itu.

Tambahnya, karnival ini sudah berjalan selama tiga tahun dan tapak perniagaan alternatif sudah penuh.

“Saya mohon dipertimbangkan dan diadakan perbincangan dengan para peniaga,” kata beliau.