Categories
AGENDA NASIONAL

Caruman baharu KWSP dikredit ke Akaun 1 bagi tingkatkan simpanan

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Caruman baharu diterima oleh ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat pengeluaran dana akan dikreditkan dahulu ke Akaun 1 sepenuhnya hingga keseluruhan jumlah pengeluaran diambil dapat diganti semula, kata Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah.

Setelah itu, beliau berkata pecahan caruman akan kembali kepada 70 peratus ke Akaun 1 dan 30 peratus ke Akaun 2.

“Ini adalah usaha kerajaan untuk menambah baik simpanan ahli yang telah membuat pengeluaran melalui skim i-Sinar dan i-Citra untuk meringankan beban ditanggung berikutan impak pandemik Covid-19,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata berdasarkan statistik semasa dan mengambil kira pengeluaran skim i-Sinar dan i-Citra, hanya 27 peratus daripada ahli aktif berumur 18 hingga 55 tahun dijangka mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi kuantum simpanan asas yang ditetapkan mengikut umur.

Beliau menjawab pertanyaan soalan tambahan oleh Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mengenai usaha kerajaan dalam memastikan simpanan KWSP dalam Akaun 1 mencukupi untuk menampung keperluan asas selepas persaraan.

Sebelum itu, Shahar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan juga terus meneliti kaedah-kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat dapat kembali ke tahap sepatutnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Negara ambil pendekatan seimbang bagi kemasukan bank digital

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan yang seimbang bagi membolehkan kemasukan bank digital dengan tawaran nilai yang kukuh dan berkeupayaan memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

“Melalui pendekatan ini, BNM menetapkan had ke atas aset kumulatif yang boleh dijana oleh bank digital agar tidak melebihi RM2 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun awal operasi.

“‘Fasa asas’ ini bertujuan untuk bank digital menunjukkan daya maju dan kekukuhan operasi mereka, manakala di pihak BNM, tempoh tersebut adalah bagi memantau prestasi dan sebarang risiko yang mungkin timbul,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee yang ingin tahu mengenai cadangan BNM untuk mengeluarkan lesen bank digital bagi urusan perbankan konvensional dan secara Islam serta status semasa dan bagaimana kementerian akan mengawal selia perbankan digital.

Mohd Shahar berkata tempoh rundingan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital telah tamat pada 30 Jun 2020.

Katanya, BNM menerima hampir 50 maklum balas dan kini sedang mengkaji semua maklum balas itu sebelum memuktamadkan dokumen dasar pelesenan bank digital dan membuka permohonan bagi lesen tersebut.

Beliau berkata bank digital perlu mematuhi keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759), termasuk keperluan berkaitan standard kehematan, pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna serta pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

“Sepanjang tempoh fasa asas yang dinyatakan, bank digital berlesen juga tertakluk kepada keperluan pengawalseliaan yang lebih mudah berbanding institusi perbankan sedia ada berkaitan dengan kecukupan modal, mudah tunai, ujian tekanan dan keperluan penzahiran awam.

“Ini bersesuaian dengan objektif untuk menggalakkan pertumbuhan dan inovasi oleh bank-bank digital terutamanya dalam usaha meningkatkan akses kewangan kepada segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Lebih dua juta peminjam dihubungi bank bantuan bayar balik

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Lebih dua juta peminjam dihubungi bank untuk ditawarkan bantuan pembayaran balik setakat 28 Ogos 2020, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, institusi perbankan berbincang dengan 1.1 juta peminjam yang memberi maklum balas dan hampir 300,000 peminjam mengesahkan yang mereka betul-betul memerlukan bantuan pembayaran balik, manakala selebihnya sedang mempertimbangkan opsyen bantuan yang disediakan.

“Angka ini dijangka akan terus meningkat dengan ketara apabila peminjam boleh memohon dengan mudah melalui pelbagai saluran yang telah disediakan,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris (BERSATU) yang ingin tahu mengenai jumlah kelompok bersasar termasuk kumpulan yang tiada pekerjaan kerana terjejas akibat Covid-19 yang menikmati lanjutan moratorium pinjaman.

Katanya daripada permohonan bantuan pembayaran balik pinjaman yang lengkap diterima dan diproses, sebanyak 97 peratus diluluskan.

“Proses permohonan bagi pelanggan individu dijangka mengambil masa antara satu hingga lima hari manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka mengambil masa antara tiga hari hingga dua minggu selepas permohonan lengkap diterima bank,” katanya.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.

-BERNAMA