Categories
ADN SELANGOR

ADN Jeram beri sumbangan, bantu penduduk terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 27 MAC: Sejumlah 500 set barangan keperluan dapur disumbangkan kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri Jeram semalam, yang berdepan kesukaran akibat penularan Covid-19, kata Ahli Dewan Negeri (ADN)nya.

Mohd Shaid Rosli berkata sumbangan melalui peruntukan khas Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 diumumkan Kerajaan Negeri baru-baru ini bagi meringankan beban mereka terutama apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April depan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang prihatin dengan kesusahan rakyat yang hilang sumber pendapatan,” katanya kepada SelangorKini.

Menerusi pakej rangsangan itu Amirudin memberi kelonggaran kepada ADN untuk menggunakan peruntukan sehingga RM30,000 bagi tujuan berkenaan.

Peruntukan minimum untuk inisiatif itu berjumlah RM1.68 juta.

Categories
ADN SELANGOR

Pemaju digesa selesai laluan Jalan Meru Tambahan akhir Jun 2020

PUNCAK ALAM, 29 OKT: Pemaju yang terbabit dalam projek menaik taraf Persiaran Mokhtar Dahari diberi tempoh sehingga akhir Jun 2020 bagi menyiapkan laluan dari Jalan Meru Tambahan menghala Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh di sini.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, perkara itu diputuskan melalui mesyuarat pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya Kuala Selangor dan lima pemaju terbabit dalam proses menaik taraf jalan berkenaan, pada 25 Oktober lalu.

“Walaupun pemaju meminta sehingga hujung tahun hadapan, namun saya memaklumkan kepada mereka bahawa pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram dan saya sendiri akan membantu mempermudahkan segala urusan berkaitan agensi kerajaan.

“Pemaju meminta tempoh yang lama kerana pembesaran jambatan memerlukan masa untuk kerja-kerja asas.

“Keseluruhan jalan termasuk jambatan akan mempunyai tiga lorong di kiri dan kanan jalan apabila siap kelak,” katanya melalui status di Facebooknya, semalam.

Shaid berkata, pihaknya turut mengarahkan pemaju untuk menyiapkan laluan dari Jalan Meru Tambahan ke Econsave Puncak Alam sebelum 31 Disember tahun ini.

Katanya, ia akan mempunyai dua lorong kiri serta kanan apabila siap nanti.

“Mohon supaya kita semua bersabar sementara proses ini disiapkan sepenuhnya. InshaAllah Bandar Puncak Alam akan lebih maju dan lebih baik infrastrukturnya pada masa akan datang,” katanya.

SelangorKini sebelum ini melaporkan, projek menaik taraf Laluan B49 Persiaran Mokhtar Dahari yang menelan kos RM114 juta mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan infrastruktur rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dipetik sebagai berkata, projek terbabit memberi faedah kepada penduduk di kawasan Sunway Kayangan, Kayangan Height, Alam Budiman dan penduduk sekitar.

Katanya, skop projek itu membabitkan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang empat kilometer bermula dari Persimpangan Cahaya SPK hingga Persimpangan Jalan Buloh FT 3214, dua jejambat baharu dan kerja pengalihan utiliti sedia ada.

Categories
SELANGOR

ADN – Tangguh caj parkir hingga status dinaik taraf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 JUN: Penguatkuasaan caj parkir kenderaan berbayar di daerah Kuala Selangor wajar ditangguhkan sehingga Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit yang melaksanakan caj parkir kenderaan berkenaan.

“Saya tidak bersetuju buat masa ini kerana kawasan yang dicadangkan oleh MDKS adalah bukan kawasan komersial.

“Di bandar Puncak Alam setakat ini tidak mempunyai kemudahan yang lengkap seperti balas polis, balai bomba, institusi perbankan (Maybank/CIMB/RHB) dan pejabat kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 3 Jun lalu, SelangorKini melaporkan pelaksanaan caj bayaran parkir kereta membabitkan jumlah keseluruhan 6,090 tapak di Kuala Selangor, Tanjong Karang, Bestari Jaya, Puncak Alam dan Saujana Utama.

Difahamkan, kadar bayaran dikenakan adalah 50 sen sejam bermula 8 pagi hingga 6.30 petang (Isnin hingga Jumaat), kecuali pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkhidmatan penguatkuasaan MDKS belum mampu melaksanakannya berikutan merujuk prestasi penguatkuasaan PBT itu yang lemah.

“Pendapatan penduduk masyarakat di daerah Kuala Selangor masih sederhana dan masih dalam proses pembangunan sosio ekonomi,” katanya.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri turut menyuarakan bantahan terhadap tindakan MDKS yang mengeluarkan notis makluman mengenakan caj bayaran tempat letak kereta di daerah itu bermula 1 Julai ini.

Tindakan itu dilihat tidak bertepatan dengan waktu memandangkan ia berlaku ketika masyarakat setempat sedang dihimpit dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi.

 

Categories
SELANGOR

ADN bimbang, Sky Mirror lemah aspek keselamatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC: Lokasi pelancongan Sky Mirror di Kuala Selangor dilihat lemah dari aspek keselamatan terutamanya pengangkutan bot yang membawa pelancong tempatan mahupun luar negara.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, beliau bimbang Kerajaan Negeri dan Persekutuan berisiko menerima nama buruk sekiranya berlaku kemalangan yang mengakibatkan pelancong.

Katanya, ia berikutan lokasi pelancongan itu menerima pelancong paling ramai dari Negara China.

“Saya kesal kerana Sky Mirror ini dipromosikan sehingga ke luar negara termasuk Ireland dan beberapa negara lain, tetapi aspek keselamatan terabai.

“Lebih menakutkan apabila ada pengusaha bot tanpa lesen membawa penumpang sehingga 30 orang, dan sudah tentu ia membahayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohd Shaid berkata, beliau berharap supaya Kerajaan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memandang serius isu terbabit daripada terus meruncing.

“Saya juga tidak mahu lagi mendengar ada pemilik bot yang didakwa membayar pihak tertentu bagi membolehkan operasi haram mereka berjalan lancar.

“Kegiatan ini perlu dicegah segera supaya tidak ada kecelakaan berlaku,” katanya.

Kini, Sky Mirror menjadi lokasi wajib pelancong ketika berkunjung ke Kuala Selangor sejak beberapa tahun lalu.

Lokasi itu turut menerima jolokan Salar De Uyani Malaysia kerana seakan sama dengan Salar De Uyani di Bolivia iaitu hamparan tebing pasir pantai seakan cermin.

Foto Kredit: Tourism Selangor / Sky Mirror Tour & Travel