Categories
SELANGOR

Ketua Pembangkang Selangor anggap kenaikan gaji wajar

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 28 NOV: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) menganggap kenaikan saraan untuk anggota pentadbiran kerajaan negeri, Speaker dan Timbalan Speaker juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu adalah berpatutan serta wajar.

Shamsuddin berkata, hal itu berikutan kenaikan terakhir pada 2011 yang dilakukan perlu dikaji semula selaras dengan meningkatnya bebanan tugas tanpa mengira masa, perbelanjaan untuk masyarakat yang diwakili dan kos sara hidup semakin meningkat.

sl“Memang wajar sebab ia selaras daripada aspek pelarasan gaji yang dibuat di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan juga aspek kutipan hasil Selangor yang semakin meningkat.

“ADUN Selangor dinaikkan tidak melebihi 70 peratus daripada kenaikan yang diterima ADUN di Sarawak,” katanya di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Shamsuddin menganggap kenaikan itu adalah motivasi kepada semua yang terbabit dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

shuhaimi isu lompat partiADUN (PKR-Seri Muda) Shuhaimi Shafiei pula menganggap keputusan itu adalah satu inisiatif kepada semua pihak terbabit dalam menjayakan dasar kerajaan negeri.

“Ia satu semakan semula memandangkan ia kali terakhir pada 2010 hanya membabitkan ADUN tetapi kali ini secara menyeluruh termasuk gaji Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker. Kita harap ia akan menyuntik semangat semua anggota kerajaan dan legistatif dalam mengurus tadbir lebih baik lagi,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Persimpangan Bertingkat Sebelah I-City Tidak Pakai Wang Rakyat

SHAH ALAM 29 NOV : Persimpangan bertingkat bersebelah I-City akan dibina menggunakan dana yang diperuntukkan oleh tabung Kerajaan Negeri yang menerima sumbangan daripada pemaju-pemaju di negeri ini.

Justeru, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak dakwaan Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias bahawa pembangunan persimpangan bernilai RM 46 juta itu menggunakan dana rakyat.

“Kita tidak menggunakan wang rakyat sebaliknya peruntukan diambil daripada pemaju-pemaju yang membayar mengikut sistem kiraan ‘Gross Development Value’ (Nilai Pembangunan Kasar).

“Ini bermakna, semakin tinggi atau besar pembangunan, semakin tinggi sumbangan kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya sewaktu perbahasan usul peruntukan pembangunan 2012 di Sidang DNS hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid memberitahu keputusan pembangunan persimpangan bertingkat itu diputuskan sebelum tahun 2008 lagi.

“Namun, perlaksanaanya tidak jelas maka kita bertindak untuk mengubah cara perlaksanaanya agar kesemua proses dari awal direkod dengn telus dan jelas untuk tujuan audit.

“Itulah sebabnya juga kita memasukkannya dalam belanjawan negeri,” tegasnya.

Bagaimanapun, Abdul Khalid yang juga Adun Ijok berkata beliau tidak mencampuri urusan perlaksanaan tersebut.

Segala perancangan dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan dipantau oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertindak sebagai perunding bagi projek tersebut.

Categories
SELANGOR

Adun BN Dilantik Sertai Jawatankuasa Dun

SHAH ALAM 27 MAC : Sidang Dewan Rakyat hari ini menerima beberapa usul penting berhubung perlantikan Ahli Jawatankuasa Khas Kerajaan Negeri yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Usul pertama adalah perlantikan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) yang melibatkan Adun Kajang, Lee Kim Sin sebagai Pengerusi Jawatankuasa menggantikan Adun Sungai Burong, Mohd Shamsudin Lias (BN) seterusnya mengekalkan Shamsudin sebagai Ahli Jawatankuasa.

Sementara itu, Adun Meru, Dr. Abd Rani Osman turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa menggantikan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Kerajaan.

Bagi Usul Kedua pula, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menggantikan mendiang Adun Bukit Gasing, Edward Lee.

Seterusnya, Sidang Dewan menyaksikan perlantikan Adun Sungai Air Tawar, Raja Ideris Raja Ahmad (BN) sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah untuk menggantikan Adun Taman Templer, Datuk Sri Subahan Kamal (BN).

Kesemua perlantikan dilakukan berdasarkan Peraturan-peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor.