Categories
AGENDA NASIONAL

KLIA guna sistem sinaran ultraungu automatik bendung Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memulakan proses nyah cemar bagasi yang tiba dengan sistem sinaran ultraungu automatik (UV) baharu untuk membendung penularan Covid-19 dan memastikan keselamatan di lapangan terbang terus berada pada tahap tertinggi.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata inisiatif terkini Airports 4.0 itu merangkumi bebuli UV yang dipasang pada terowong tertutup dalam sistem pengendalian bagasi (BHS) yang menyahjangkit bagasi secara automatik apabila melalui sistem konveyor.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata syarikat itu membuat pelaburan yang besar dalam teknologi UV kerana ia terbukti berkesan menghapuskan pencemaran di permukaan seperti kulapuk, bakteria dan biofilem mikrob yang lain.

“Sebelum ini, kami memasang ruang UV yang menghasilkan sinaran UV bagi mengelakkan penularan patogen bawaan udara untuk tandas kami,” katanya.

MAHB meneruskan usaha tersebut melalui penggunaan terowong UV untuk mengurangkan risiko daripada pencemaran mikrob bukan sahaja untuk pelanggan, malah kepada kakitangan di lapangan yang mengendalikan bagasi.

“Sebagai pengendali lapangan terbang, adalah penting untuk kami memastikan pengalaman pelanggan secara keseluruhannya diuruskan dengan berhati-hati dengan mengambil kira pelbagai titik sentuhan semasa perjalanan.

“Penumpang diberi jaminan mengenai keselamatan mereka apabila mengambil beg yang telah disanitasi dan bersih di bahagian tuntutan semula. Kami sedang melakukan langkah menambah baik aset utama bagi BHS dan terowong disinfeksi UV adalah antara ciri-ciri tetap terkini itu,” katanya.

MAHB berkata dua daripada empat terowong itu telah dipasang manakala selebihnya dijangka siap pada bulan depan.

Dengan pelancaran Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 pada bulan lepas, MAHB berharap agar perjalanan udara akan pulih secara berperingkat dan ia komited untuk memastikan perjalanan penumpang adalah selamat dan lancar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi antara tujuh terbaik dunia

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) merupakan antara hanya tujuh lapangan terbang di dunia yang diiktiraf oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) atas prestasinya yang terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik kepada pelanggan.

Maklum balas daripada penumpang mengenai LGK diperoleh melalui Kaji Selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) suku tahun yang dijalankan setiap tahun oleh ACI sebagai penanda aras global untuk lapangan terbang dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata pengiktirafan daripada penumpang akan memberi motivasi kepada komuniti lapangan terbang dan rakan kongsi untuk terus memberikan yang terbaik walaupun menghadapi tempoh mencabar.

“Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka yang berterusan dan berada di barisan hadapan.

“Kami berharap orang ramai akan mendapat semula keyakinan mereka terhadap perjalanan udara berikutan kami terus melaksanakan langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi di lapangan terbang dan memastikan pengalaman penumpang tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LGK akan menyertai ACI Director-General’s Roll of Excellence yang diwujudkan pada 2011 untuk memberikan pengiktirafan tambahan kepada lapangan terbang yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang.

LGK telah disenaraikan dalam ACI Director-General’s Roll of Excellence berdasarkan pencapaiannya yang memenangi pelbagai anugerah ASQ dalam tempoh lima tahun sejak 10 tahun lepas.

Lapangan terbang itu sentiasa mendapat markah yang tinggi untuk perkhidmatan pelanggan dan memenangi anugerah ACI seperti Lapangan Terbang Terbaik Mengikut Wilayah dan Lapangan Terbang Terbaik bagi saiz (dua – lima juta penumpang setahun).

“Pengiktirafan ini juga menjadi bukti kepada komitmen dan usaha kami untuk terus meningkatkan kualiti dan tahap perkhidmatan.

“Pasukan dipacu oleh janji kami untuk mewujudkan hubungan yang ceria, justeru, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan kami,” kata Mohd Shukrie.

Sebagai pintu masuk ke salah satu destinasi percutian paling popular di negara ini, LGK dinaik taraf dan diperluaskan pada 2018 untuk menampung 4.0 juta penumpang setahun.

Lapangan terbang itu mencatatkan sebanyak 2.9 juta pergerakan penumpang pada 2019, meningkat lapan peratus daripada 2018.

Lapangan terbang itu juga telah melalui penambahbaikan yang berjaya dari segi komersial pada tahun lepas yang meningkatkan pengalaman runcit dan sajian makanan supaya penumpang dapat menikmati pengalaman unik di lapangan terbang.

Penambahbaikan itu telah menghasilkan beberapa pencapaian untuk pulau itu, yang membawa masuk jenama baharu seperti Charles & Keith, Costa dan Burger King.

-BERNAMA