Categories
SUKANKINI

ARRC: Zaqhwan tekad bantu pasukan raih kedudukan terbaik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 NOV: Mohd Zaqhwan Zaidi berharap dapat menamatkan musim 2018 dengan keputusan podium sekali gus membantu pasukannya berada di kedudukan terbaik dalam kategori berpasukan SuperSports 600cc pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, minggu ini.

Pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing diwakilinya berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 120 mata, 29 mata di belakang Webike Ikazuchi Racing (149 mata) manakala Manual Tech KYT Kawasaki Racing, kedua (130 mata).

Sementara itu, dalam kedudukan individu, Zaqhwan berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan 94 mata, 42 mata di belakang pendahulu keseluruhan, Anthony West (136 mata).

Menyedari peluang merampas kedudukan keseluruhan agak sukar, Zaqhwan berkata, kini beliau bertekad sekurang-kurangnya membantu pasukan mengungguli kedudukan keseluruhan berpasukan.

“Jurang 42 mata dengan pendahulu agak jauh, dengan hanya 50 mata maksimum menanti pelumba menjadikan tugas untuk muncul juara keseluruhan agak sukar.

“Ia ditambah dengan persaingan sengit di antara tiga lagi pelumba yang berada di atas saya ketika ini termasuk rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman namun apa sahaja boleh berlaku,” kata juara keseluruhan SuperSports 600cc musim 2014 dan 2016 itu.

Dalam pada itu, pelumba berusia 22 tahun itu berkata, apa dilihatnya peluang mengembalikan gelaran terbaik kepada pasukan lebih terbuka andai dirinya mampu memenangi kedua-dua perlumbaan minggu ini kerana jurang yang tidak begitu ketara.

“Walaupun begitu, saingan sudah tentu sangat sengit terutama dengan kumpulan pendahulu lain dan juga pelumba tuan rumah.

“Setidak-tidaknya saya mahu meraih satu gelaran juara untuk musim ini,” katanya yang meraih pencapaian terbaik sebagai naib juara Perlumbaan 1 pusingan keempat di India, Oktober lalu.

 

Categories
SUKANKINI

ARRC: Zaqhwan buru kemenangan pertama

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 OKT: Mohd Zaqhwan Zaidi berhasrat menamatkan kemarau gelaran juara SuperSports 600cc apabila turun beraksi pada pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia pada 12 hingga 14 Oktober ini.

Zaqhwan berkata, beliau sangat berharap dapat memenangi perlumbaan minggu ini namun rekodnya di litar itu tidak begitu baik di mana pada musim lalu sekadar menduduki tempat keempat pada perlumbaan kedua sebelum mengalami kemalangan dan tidak dapat beraksi pada Perlumbaan 2.

“Saingan sudah tentu bukannya mudah, ditambah dengan kehadiran pelumba tuan rumah dan juga faktor keadaan litar agak mencabar di sini.

“Bagaimanapun, saya akan memberikan yang terbaik dan turut yakin kemampuan jurutera pasukan untuk menyediakan jentera terbaik kepada saya,” katanya.

Selepas empat pusingan, Zaqhwan yang turut beraksi dalam saingan 1000cc di Kejuaraan Seluruh Jepun kini menghuni tangga kelima keseluruhan dengan mengumpul 65 mata selepas tidak beraksi pada pusingan kedua di Australia.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu iaitu juara keseluruhan musim 2014 dan 2016 setakat ini masih belum meraih sebarang gelaran juara sepanjang empat pusingan lalu dengan pencapaian terbaik muncul naib juara pada pusingan keempat berlangsung di Madras, India, Ogos lalu.

Kali terakhir Zaqhwan muncul juara ialah pada Perlumbaan 1 sewaktu pusingan keenam ARRC di Litar Buriram, Thailand yang membantunya untuk bergelar naib juara keseluruhan di belakang seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman.

Categories
SUKANKINI

Zaqhwan fokus ARRC di India

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi kini fokus mengharungi saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC), di Litar Lumba Motor Madras, India, hujung minggu ini.

Beliau yang baharu sahaja selesai menyertai saingan berprestij Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8-Hour di Suzuka, Jepun, minggu lalu tidak menganggap ia sebagai beban apabila perlu terus bertandang ke India untuk saingan ARRC.

Pelumba yang membawa cabaran Honda Asia Dream Racing di Kejuaraan Suzuka 8-Hour itu berjaya menamatkan saingan di tangga ketujuh bersama rakan sepasukan, Troy Herfoss (Australia) dan Andi Farid Izdihar (Indonesia), satu tangga lebih baik berbanding keputusan diraih, pada musim lalu.

Berpuas hati dengan pencapaian itu, Zaqhwan, 23, berkata, tumpuannya kini terarah mempertahankan kemenangan diraih di India dalam saingan SuperSports 600cc musim lalu.

“Hampir dua bulan kami melakukan persediaan rapi untuk menghadapi perlumbaan Suzuka 8-Hour menggunakan jentera 1000cc, berbeza dengan jentera 600cc ARRC.

“Walaupun masih penat kerana baru selesai perlumbaan Endurance, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memberikan yang terbaik di ARRC,” katanya.

Beliau berkata, misinya adalah kembali ke podium ARRC setelah berjaya muncul juara dalam Perlumbaan pertama dan kedua, pada tahun lalu.

Pada masa sama, beliau berharap dapat meraih podium pertama untuk musim ini selain membantu Musashi Boon Siew Honda Racing memperbaiki pungutan mata berpasukan.

“Perlumbaan di Suzuka 8-Hour tahun ini lebih sukar ekoran faktor cuaca tidak menentu dan kami bergelut dengan beberapa masalah pada peringkat awal, namun dapat menanganinya sehingga penghujung perlumbaan dan gembira dapat memperbaiki pencapaian musim lalu,” katanya.

Zaqhwan kini menduduki tangga ke-10 SuperSports 600cc dan masih memburu podium pertama, musim ini.

Categories
SELANGOR

Cub Prix: Zaqhwan yakin Azroy mampu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 JUL: Pelumba SuperSports negara, Mohd Zaqhwan Zaidi percaya Azroy Hakeem Anuar mampu menggalas tanggungjawab dan menggantikannya dalam pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing.

Ia berdasarkan prestasi dipamerkan pada perlumbaan CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar MAEPS, Serdang, 7 dan 8 Julai lalu.

Menjelang perlumbaan Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix di Jasin, Melaka, minggu ini, Zaqhwan yakin Azroy mampu meneruskan aksi cemerlang sebagaimana dipamerkan dalam sesi latihan dan kelayakan CP150 di Selangor itu.

“Saya ada melihat aksi Azroy di MAEPS dan telah menunjukkan peningkatan ketara dengan sentiasa berada dalam kelompok pelumba hadapan ketika sesi latihan juga kelayakan, cuma kesilapan sewaktu perlumbaan akhir menyebabkannya hanya menamatkan saingan di kedudukan ke 10.

“Sama seperti saya di peringkat awal dalam saingan leas perdana, Azroy perlu lebih berhati-hati dan bertenang dan mungkin dengan pengalaman demi pengalaman dalam perlumbaan selepas ini, dia akan semakin matang dan mampu menjadi juara,” katanya yang akan menyertai Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8-Hour, 27 hingga 29 Julai ini.

Zaqhwan, juara CP130 2014 adalah pelumba utama Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing beberapa musim lepas namun terpaksa mengetepikan saingan CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini selepas memutuskan memberi tumpuan terhadap perlumbaan 1,000cc di Kejuaraan Seluruh Jepun dan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC).

Sementara itu, menyentuh tentang persediaan perlumbaan 8-Hour, Zaqhwan berkata, beliau sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Tahun ini saya akan bergandingan dengan dua pelumba berbeza berbanding musim lalu.

“Sesi latihan di Suzuka sepanjang beberapa minggu ini menunjukkan keputusan positif dan kami meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok sepuluh pasukan terbaik,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Penat bukan alasan – Zaqhwan

SHAH ALAM, 13 JUL: Kepenatan bukan alasan untuk Mohd Zaqhwan Zaidi tidak memberikan aksi terbaik dalam saingan CP150 menjelang perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Pelumba utama Givi Honda Yuzy Racing itu berada di Jepun sejak beberapa minggu lepas bagi menjalani sesi latihan dan ujian rasmi perlumbaan berprestij, Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8 Hour di Litar Suzuka.

Bagaimanapun, Zaqhwan hanya dijadualkan pulang ke Malaysia esok sebelum turun memulakan saingan di litar Maeps pada pagi Sabtu.

NRP_9852“Penat memang penat. Tidak ada masa yang cukup untuk saya berehat. Jadual di Suzuka agak padat dan kemudian terus pulang ke Malaysia. Sampai sahaja di Malaysia, terus berlumba di Maeps,” jelas Zaqhwan.

“Tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak memberikan aksi terbaik. Lawan tetap lawan. Cuma saya tidak sempat untuk menguji jentera sejak cuti rehat sepanjang puasa dan hari raya. Harapnya semua dalam keadaan baik minggu ini.”

Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dijadualkan bersambung semula setelah cuti rehat panjang di MAEPS, Serdang pada 15 dan 16 Julai ini.

Selepas empat pusingan, Zaqhwan kini berada di tangga keempat keseluruhan dengan 33 mata, 18 mata di belakang pendahulu, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) yang mengumpul 51 mata.

SHZ_5243Mengulas tentang saingan Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8 Hour, Zaqhwan berkata, segalanya berjalan dengan baik.

“Catatan masa juga lebih baik berbanding tahun lepas. Cuma saya masih belum berpuas hati kerana masih gagal mencapai sasaran masa yang saya sasarkan,”katanya.