Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam diperingat tidak terlibat dengan gerakan antivaksin

PUTRAJAYA, 1 APRIL: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengingatkan penjawat awam agar tidak terlibat dengan gerakan atau kumpulan antivaksin.

Beliau berkata mereka yang didapati berbuat demikian termasuk membuat, menerbit atau mengedar kenyataan, khabar angin atau berita berhubung antivaksin, boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Jabatan Perdana Menteri di sini.

Pada masa sama, beliau turut mengajak penjawat awam mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

“Saya berharap dengan adanya program vaksinasi Covid-19 ini dapat membantu membasmi wabak ini, seterusnya membolehkan kita semua kembali kepada norma kehidupan yang lebih kondusif dan sejahtera,” katanya.

Mohd Zuki adalah antara penerima vaksin Covid-19 yang telah melengkapi dos beliau, dengan suntikan pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech pada 25 Feb dan dos kedua pada 18 Mac.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Penjawat awam diseru jadikan 2021 tahun lonjakan kecemerlangan

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengajak semua penjawat awam menjadikan tahun 2021 ini sebagai Tahun Lonjakan Kecemerlangan Sektor Awam.

Menurutnya, lonjakan kecemerlangan itu perlu digerakkan menerusi pemantapan modal insan dengan kompetensi masa depan, pengukuhan organisasi lebih fleksibel, pengurusan dan pembangunan projek yang pantas serta berimpak tinggi.

Selain itu, katanya penyampaian perkhidmatan juga perlu berteraskan teknologi digital dan revolusi industri 4.0 dan ia selaras dengan harapan serta cabaran yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Lonjakan kecemerlangan ini pula perlul dilaksanakan berasaskan nilai-nilai ‘Kepercayaan Untuk Berkhidmat’ dan dipacu oleh prinsip F.A.S.T.E.R atau flat, agile, streamlined, tech-enabled, efficient and resilient yang sering saya nyatakan sebelum ini.

“Meskipun kita masih berusaha mengimbangkan kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dengan kesihatan serta ancaman wabak, namun saya percaya senja pandemik yang kelam pada tahun 2020 akhirnya akan sirna, dan fajar masa depan baharu yang lebih cerah akan terus bersinar pada tahun 2021 ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook.

Mohd Zuki berkata 2020 melabuhkan tirainya dengan seribu satu episod cabaran penuh mehnah (sengsara) dan rintangan serta ujian, namun berjaya diharungi bersama.

Ia bermula dengan usaha mengekang pandemik Covid-19 yang menyaksikan kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan serta memastikan setiap rakyat Malaysia terus kekal berdaya tahan menerusi strategi ekonomi dan sosial yang efisien dan pantas.

“Kita kemudiannya terus mengorak langkah proaktif memulihkan ekonomi yang terjejas menerusi empat inisiatif utama iaitu PRIHATIN, PRIHATIN Tambahan, PENJANA, KITA PRIHATIN dan pelaksanaan Belanjawan 2021 yang telah diluluskan oleh sidang Parlimen baru-baru ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam merangkumi petugas barisan hadapan serta di sebalik tabir seperti yang menguruskan logistik dan sumber manusia kerana bertungkus lumus mendepani cabaran pandemik Covid-19.

“Anda adalah sebenar-benarnya Wira dan Wirawati Negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Capai KPI gerakkan ekonomi, ikut perancangan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan diingatkan untuk memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi program menggerakkan ekonomi pasca Covid-19 tercapai.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata mesyuarat pertama mengenai perkara itu telah diadakan baru-baru ini.

“Saya beri ingatan sekali lagi kepada semua ketua setiausaha (kementerian) dan ketua pengarah (jabatan) akan keperluan mereka untuk memastikan KPI yang ditetapkan itu tercapai. Ini (pencapaian KPI yang ditetapkan) adalah antara faktor untuk menggerakkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil keahlian kepada 75 ahli Koperasi KOBUNITI Selangor Berhad dalam satu majlis di sini, hari ini.

Pada 6 September lepas, Mohd Zuki menetapkan KPI kepada semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan supaya program menggerakkan ekonomi dilaksanakan mengikut perancangan susulan banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual ekoran pandemik Covid-19.

Sementara itu ditanya mengenai cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam digantikan dengan sistem baharu, Mohd Zuki berkata beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Itu mungkin cadangan mereka dan (setakat ini) Ceupacs belum minta lagi kepada kita. Saya rasa belum sampai lagi di peringkat pertimbangan kerajaan,” katanya.

Khamis lepas, Ceupacs dilaporkan akan mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan bagi mencadangkan sistem saraan baharu menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam.

-BERNAMA