Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Gol Supermokh buat England ‘terduduk’

MOKHTAR DAHARI membawa bola dari tengah padang. Sambil berlari lincah – dengan liuk tubuh mengelirukan – beliau pantas menggelecek dua pemain England.

Sebaik sahaja melepasi Alan Kennedy dan David Needham, dua pemain England bertaraf bintang, Mokhtar melepaskan rembatan kencang sebaik sahaja memasuki petak penalti.

Bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah masih ingat. Tendangan itu menerjah ke bucu kanan gawang pada minit ke-34. Penjaga gol Joe Corrigan, pemenang Piala Eropah bersama Manchester City pada 1970, terduduk dibuatnya.

Jaringan Supermokh menghapuskan kelebihan gol yang dihasilkan Alan, pemain yang digeleceknya sebelum menjaringkan gol penyamaan. Alan sebenarnya pemain pertahanan paling mahal di England pada tahun berkenaan.

Namun, larian ‘lipas kudung’ Mokhtar membantunya melepasi Alan, yang tiga tahun kemudian menyumbat gol kemenangan Liverpool ketika menewaskan Real Madrid dalam kejohanan Piala Eropah.

“Perlawanan itu adalah salah satu aksi terbaik kami dan Mokhtar menjaringkan gol yang cukup memukau, dia terlalu bagus untuk disekat pemain England,” kata Reduan kepada SelangorKini ketika mengimbau perlawanan pada 1978 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Sebenarnya, Reduan mengakui kehadiran skuad England mengerunkan pemain negara. Masing-masing terbayang mereka bakal dibelasah skuad bimbingan Bobby Robson. Sebaliknya, keputusan berkesudahan seri 1-1.

“Waktu main lawan England B, kami fikir akan dibelasah teruk. Tetapi sebaliknya berlaku, walhal yang datang pemain-pemain hebat,” kata pemain tengah negara antara 1973 hingga 1981.

Selain mereka, pasukan kebangsaan dibarisi antaranya Rashid Hassan, Jamal Nasir, Yahya Jusoh, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Abdah Alif dan Shukor Salleh.

Menewaskan Arsenal

Sebelum perlawanan itu pun, Mokhtar sudah mempamer kehebatannya. Dua jaringannya pada 1975 pernah menumbangkan Arsenal, sebuah kelab ternama divisyen satu (ketika itu) Liga Inggeris.

Setahun kemudian, majalah World Star Soccer menamakan beliau sebagai penyerang terbaik Asia.

Mokhtar dianggap pemain bola sepak sempurna pada era itu, malah pemuda kelahiran Setapak dianggap lebih handal daripada pemain legenda Korea Selatan dan kelab Bayer Leverkusen, Cha Bum-kun.

“Orang Korea suka Mokhtar, dan setiap kali kami ke sana, mereka selalu membincangkan tentang dia,” kata Reduan, naib presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kuala Lumpur, kini berusia 68 tahun.

Mokhtar menjaringkan 125 gol bersama Harimau Malaya dan 177 gol untuk Selangor. Beliau juga beraksi dalam Jemputan Selangor menentang juara 20 kali Liga Argentina, Boca Juniors yang diketuai Diego Maradona pada 1982.

Siang kerja bank

Bagi Reduan, pemain tempatan masa kini – walaupun memasuki era profesional – belum ada setaraf Mokhtar. Antara 70-an hingga 80-an, Mokhtar bukan sahaja digeruni pada peringkat Asia, bahkan sebahagian pemain Eropah juga kagum kepadanya.

“Bayangkanlah, zaman itu masih amatur, bukan semi profesional mahupun profesional, siang hari ada yang kerja bank, tapi kita khususnya Mokhtar mampu menakutkan lawan dengan aksi atas padang,” katanya.

Abd Mohd Khalid Mohd Ali, pemain skuad Olimpik Moscow pada 1980, pula percaya formula kehebatan Mokhtar adalah rajin berlatih dan berdisiplin tinggi setiap masa – itu sahaja.

Beliau juga mendapati tiada pemain selepas era itu setanding dengan Mokhtar. Dalam tempoh mutakhir, hanya bekas jaguh Selangor, Safee Sali memiliki sekelumit iras gaya legenda itu.

“Cumanya pada saya Safee agak lemah dari segi tenaga dan stamina,” katanya sambil berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berusaha mencari bakat muda bagi mengisi keunggulan yang ditinggalkan Mokhtar.

Sekalipun sudah 29 tahun pemergian Mokhtar genap pada 11 Julai, kelibat beliau masih diingati ramai. Kehilangan terus dirasai, tiada galang gantinya. Bak kata Reduan:

“Hanya ada satu Mokhtar, tiada dua atau tiga, tidak ada penganti, Mokhtar tetap Mokhtar.”

Categories
SELANGOR

Tengku Zarina gembira nama Mokhtar Dahari terus dikenang

Oleh: AFIX REDZUAN

KELANA JAYA, 11 OKT: Isteri Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim gembira dengan penggunaan nama lagenda sukan Selangor untuk penganjuran kejohanan bola sepak dalam usaha mencungkil bakat muda.

Katanya, pertandingan di peringkat sekolah menerusi kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari merupakan platform sesuai untuk terus mengenang lagenda negara itu.

MokhtarBeliau berkata demikian selepas bersama-sama menyaksikan perlawanan akhir bola sepak di antara SMK Tinggi Kajang dan SMK Meru.

“Sebenarnya mengenai penggunaan nama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari saya rasa sangat gembira.

“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, pembangunan bola sepak dari peringkat akar umbi sangat penting bagi Negeri Selangor dan negara.

“Saya rasa ini kejohanan terbaik untuk menggunakan nama Allahyarham,” katanya.

Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2015 merupakan penganjuran tahun kedua hasil cetusan ilham DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

APiala Mokhtar Daharillahyarham Mokhtar Dahari merupakan lagenda bola sepak kebanggaan negara meskipun meninggal dunia hampir 24 tahun.

Beliau bermain di posisi penyerang dengan jersi bernombor 10 pernah membantu The Red Giants memenangi Piala Malaysia sebanyak 10 kali.

Lebih manis, beliau pernah bermain bersama lagenda Argentina, Diego Maradona dalam satu perlawanan menentang kelab Boca Juniors selain menghasilkan jaringan penyamaan terbaik ketika bertemu pasukan England B pada tahun 1978.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor sedia jalan khas iktiraf Datuk Mokhtar Dahari

Oleh: HAFIZAN TAIB

SABAK BERNAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri merancang pelbagai program bagi memperingati dan memberi pengiktirafan kepada lagenda bola sepak Selangor dan Malaysia, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata sesungguhnya Mokhtar adalah lagenda dan ikon sukan khususnya bola sepak yang menjadi pujaan rakyat dan negara.

Katanya, Kerajaan Negeri mempunyai pelbagai perancangan untuk dijayakan bagi mengenang jasa bakti Mokhtar serta boleh menjadi tatapan generasi masa kini.

mokhtar pix“Sememangnya, Kerjaan Negeri menganggap Mokhtar Dahari adalah lagenda dan ikon kepada bola sepak Selangor.

“Antara perancangan kita adalah akan menyediakan satu jalan atas nama Datuk Mokhtar Dahari berhampiran Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang sudah disiapkan.

“Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) juga baru melancarkan kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari yang menjadi program tahunan bagi mengisi kalendar bola sepak Selangor,” katanya kepada Selangor Kini, semalam.

Katanya, ia adalah langkah awal dilakukan Kerajaan Negeri bagi mengiktiraf dan mengekalkan Mokhtar selaku ikon bola sepak dan sukan di Selangor.

amirudin shari“Datuk Mokhtar Dahari adalah imej dan ikon terpenting dalam bola sepak Selangor,” katanya.

Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari bermula 10 hingga 22 November ini bagi pasukan bawah 17 tahun bertujuan mencungkil bakat baru.

Pada 13 November lalu, Google Malaysia memaparkan seni lakaran atau ‘doodle’ Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sempena ulang tahun kelahiran ke-61.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor taja RM120,000 Piala Dato’ Mokhtar Dahari

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 NOV: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) buat julung kali menganjurkan pertandingan bola sepak di bawah 17 tahun bagi merebut “Piala Dato’ Mokhtar Dahari” (PDMD).

Dengan tajaan berjumlah RM120,000 pertandingan ini telah disertai oleh 594 orang pemain bola sepak daripada 33 pasukan sekolah menengah di daerah Petaling Perdana dan Petaling Utama.

Perangsang SelangorKejohanan ini bermula pada 10 November 2014 sementara perlawanan akhir PDMD dijangka akan berlangsung pada 22 November 2014 di Stadium Mini MPSJ.

Majlis perasmian Kejohanan PDMD disempurnakan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim, sambil disaksikan oleh Datuk Emran Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Induk PDMD serta Pengurus Kanan Tanggungjawab Sosial Korporat, Mohd Fauzi Mohd Ghazali.

Mohd Salleh berharap Kejohanan PDMD ini dapat melahirkan jaguh bola sepak yang mampu memartabatkan negeri Selangor dan Malaysia di pentas antarabangsa, seperti legenda bola sepak Mokhtar Dahari.

DSC_0165“Kami ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Perangsang Selangor atas sokongan dan tajaan kejohanan ini,” katanya pada Majlis Perasmian PDMD.

Pasukan-pasukan yang terlibat dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan format kejohanan secara liga di mana johan dan naib johan setiap kumpulan akan layak ke pusingan suku akhir.

Pada perlawanan pembukaan, SMK USJ 23 menumpaskan SMK USJ 8 dengan keputusan 1-0 hasil jaringan hasil sepakan penalti J. Prakash, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik dan menerima jersi eksklusif bernombor 10, sempena memperingati Mokhtar Dahari.

Kejohanan akan berlangsung selama 13 hari di tujuh lokasi di sekitar Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya, iaitu Padang Dato’ Satim, Stadium Mini SMK USJ 23, Padang Awam USJ 11, Padang SUK A, Padang SUK B, Padang PKNS B dan Padang Astaka.

Pasukan yang layak ke pusingan suku akhir akan menerima jersi eksklusif tajaan Perangsang Selangor.

Selain itu, johan PDMD akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 serta piala pusingan, naib johan (RM4,000), tempat ketiga (RM3,000), manakala tempat keempat (RM2,000).

EZY

Categories
SELANGOR

Jasa Mokhtar Dahari diabadikan nama jalan di Selangor

SHAH ALAM 8 JULAI: Sumbangan dan pengorbanan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari mengharumkan nama negara dalam arena bola sepak antarabangsa terus dihargai apabila nama legenda bola sepak negara itu diabadikan pada jalan di Selangor.

Dinamakan Persiaran Mokhtar Dahari, ia terletak antara persimpangan ke Meru dan Puncak Alam hingga ke persimpangan arah Shah Alam.

mokhtar pixIsteri Allahyarham, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, 58 berkata, beliau dan keluarga gembira dengan pemilihan nama arwah suaminya dan tidak mempunyai sebarang bantahan mengenainya.

“Perbincangan mengenai pemilihan nama jalan itu telah dilakukan bersama kerajaan negeri dan pejabat Sultan Selangor tidak berapa lama dahulu.

“Saya dan keluarga tidak kisah sangat apa pun yang mereka hendak buat, syarat utama mesti menjaga nama baik arwah (Mohkhtar Dahari),” katanya dipetik mStar Online.

Allahyarham Mokhtar pernah mengharumkan nama negara di pentas sukan bola sepak dunia bermula 1972 sehingga 1985.

Dikenali sebagai Super Mokh, allahyarham yang meninggal dunia 23 tahun lepas itu disifatkan sebagai seorang yang tegas dan berdikasi dengan kerja dan sentiasa berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa tanpa cepat putus asa.

Gambar: Mstar Online

Categories
SELANGOR

Dataran Komuniti Mokhtar Dahari Kenang Jasa Super Mokh

Dataran Super Mohk 01

PANDAN 20 DIS: Dewan serbaguna yang akan dibina semula di Jalan Pandan Mewah, Kg Pandan akan dinamakan sebagai Dataran Komuniti Moktar Dahari sempena mengenag lagenda bola sepak Selangor dan Malaysia itu.

Perkara ini dicadangkan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad.

Menurutnya mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 7 November lalu meluluskan peruntukan di bawah Geran Selangorku untuk membina semula dewan yang sedia ada di situ.

“Di sebelah dewan tersebut terdapat sebuah padang yang digunakan untuk bermain bolasepak oleh penduduk tempatan.

“Adalah dicadangkan padang ini dinaiktaraf dan bersama-sama dengan dewan yang baru itu dinamakan Dataran Komuniti Mokhtar Dahari.

“Allahyarham Mokhtar Dahari pernah tinggal dan bermain bolasepak di Kg Pandan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Setakat ini tidak ada sebarang mercu tanda di kampung itu untuk memperingati jasa-jasa Allahyarham.

Walau bagaimanapun cadangan ini adalah tertakluk kepada persetujuan keluarga Allahyarham.

Cadangan-cadangan rekabentuk dewan itu yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dipamerkan kepada penduduk Kg. Pandan.

MPAJ menyiapkan lukisan-lukisan dan dokumen tender untuk dewan tersebut dan bersedia meneruskan kerja-kerja selanjutnya.

Anggaran dewan yang baru ini adalah lebih kurang RM500,000 dan akan mengambil masa 8 bulan untuk menyiapkannya.

Adalah diharapkan majikan Allahyarham seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga akan dapat menyumbang kepada projek mewujudkan dataran ini memandangkan Allahyarham pernah mengharumkan nama PKNS ketika bermain untuk pasukan bolasepak mereka.

“Sebagai Ahli Dewan Negeri kawasan tersebut, saya berpandangan telah tiba masanya dataran ini diwujudkan agar nama Allahyarham tidak dilupakan oleh generasi akan datang di samping menyediakan kemudahan awam yang secukupnya untuk rakyat,” katanya.