Categories
AGENDA NASIONAL

MetMalaysia: Luruan monsun melemah, cuaca semakin baik

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Luruan monsun yang melanda negara telah pun melemah dan keadaan cuaca dijangka bertambah baik mulai 1 hingga 7 Mac ini.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh ramalan, cuaca pada sebelah pagi dijangka hujan di satu dua tempat sahaja di pantai timur Semenanjung dan timur Sabah.

“Pada sebelah petang hingga awal malam, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat dan timur Sabah,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dan kedua untuk kawasan perkapalan di perairan Laut China Selatan berkuat kuasa hingga 1 Mac ini.

MetMalaysia turut menasihati orang awam agar sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat terkini dan sahih.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Fasa peralihan monsun berterusan hingga pertengahan Mei

PUTRAJAYA, 19 MAC: Fasa peralihan monsun dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei tahun ini dengan kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku khususnya pada petang dan awal malam, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya perkara itu dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2021 yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini.

“Cuaca panas dan kering masih boleh berlaku dan akan reda sepenuhnya menjelang April tahun ini. Fenomena ini adalah normal, berlaku sekitar Feb hingga April setiap tahun dan tiada cuaca panas yang luar biasa diramal akan berlaku tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata jumlah hujan bulanan terendah pada Februari tahun ini adalah di Pulau Langkawi dan Alor Setar, Kedah dengan 0.0mm manakala suhu maksimum tertinggi adalah 36.8ْC di Kuala Krai, Kelantan pada 26 Februari lepas.

Sementara itu menurutnya 1,586 kes pembakaran terbuka dilaporkan bagi tempoh 1 Jan hingga 10 Mac tahun ini, dan 29 kes kebakaran berskala besar telah dilaporkan, yang melibatkan hutan simpan kekal, belukar dan hutan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

Tuan Ibrahim berkata JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 52 saman, 37 kompaun, 62 notis arahan,168 surat arahan dan 26 penyediaan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka.

“Kerajaan akan mengambil tindakan serius bagi membenteras isu kebakaran di tapak pelupusan sampah haram, di samping menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan serta belukar tanah gambut yang menjejaskan kualiti udara serta menyebabkan jerebu tempatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering dengan meningkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka dan jerebu tempatan yang menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam.

Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan yang ditubuhkan pada 1997 dan bermesyuarat secara dwi tahunan, bertanggungjawab untuk melaporkan status semasa berhubung keadaan jerebu dan cuaca panas kering yang melanda negara.

Jawatankuasa itu dianggotai pelbagai agensi kerajaan yang berkait rapat dengan pengurusan bencana jerebu termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Kesihatan, JAS dan MetMalaysia.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor siap sedia hadapi peralihan monsun

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 7 MEI: Jawatankuasa Tebatan Banjir Selangor sudah diarah bersiap sedia menghadapi perubahan monsun ekoran cuaca tidak menentu minggu ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia selaras dengan strategi 6P yang digunapakai Kerajaan Selangor untuk mengatasi keadaan banjir di negeri itu.

hujan1Katanya, jawatankuasa itu akan memastikan semua strategi dapat disempurnakan dalam persediaan menghadapi banjir dengan kerjasama semua agensi kerajaan.

“Kita sudah minta urusetia task force untuk keluarkan surat kepada pihak berwajib menjalankan kerja persiapan banjir.

“Kita juga sudah mengarahkan supaya semua kerja penyelenggaraan selesai dan bersedia menghadapi lebihan hujan,” katanya kepada Selangor Kini.

ZaidyTerdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca dalam minggu ini tidak menentu di Pantai Barat Semenanjung ekoran berlakunya peralihan monsun daripada Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya.

Jabatan itu menjangkakan berlaku hujan lebat dan kilat pada waktu petang.

Bagi mengatasi masalah itu, Kerajaan Selangor menggunapakai strategi 6P merujuk kepada penyelarasan sistem maklumat lengkap, penilaian dan perancangan, pemantauan pembangunan, penguatkuasaan, penyelarasan dan pengesyoran tindakan.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Penduduk perlu peka perkembangan terkini hujan monsun mulai 7 Januari

Oleh: DATUK DR  EWON EBIN

Berdasarkan perkembangan terkini, MetMalaysia menjangkakan satu episod hujan monsun akan berlaku di mulai 7 atau 8 Januari 2015 dan sehubungan dengan itu saya menasihatkan penduduk yang terdedah kepada risiko banjir musim tengkujuh untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini cuaca.

Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak menjalankan aktiviti rekreasi atau sukan laut berikutan dengan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora (Kategori Kedua) iaitu Angin Kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan WP Labuan dijangka berterusan sehingga Ahad, 4 Januari 2015.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Nasihat hujan lebat peringkat kuning pada 24 Disember 2014 kepada Amaran Hujan Lebat (Peringkat Jingga), dikeluarkan oleh Met Malaysia untuk Sabah pada 30 Disember 2014 yang berkuatkuasa sehingga 2 Januari 2015 akan pulih mulai 3 Januari 2015.

Saya juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak mempercayai dengan maklumat yang tersebar di media sosial mengenai Ribut Tropika “JANGMI” kerana ribut tropika JANGMI itu telah lenyap sepenuhnya di Laut Sulu pada 31 Disember 2014.

Lokasi terakhir ribut tropika ini ialah di Latitud 8.9 Utara dan Longitud 121.7 Timur, iaitu kira-kira 527km ke Timur Laut Sandakan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia melalui agensinya, MetMalaysia, akan sentiasa memantau keadaan cuaca seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sebarang perkembangan terkini mengenai ramalan keadaan cuaca ini akan dimaklumkan kepada pihak berwajib demi kepentingan orang ramai.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan maklumat cuaca buruk atau tsunami yang tidak sahih yang banyak tersebar dalam media sosial.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Talian Hotline1-300-22-1MET<tel:1-300-22-1638> atau melawati laman sesawang MetMalaysia iaitu www.met.gov.my<http://www.met.gov.my/> dan laman sosial MetMalaysia di facebook <https://www.facebook.com/malaysiamet> atau twitter <https://twitter.com/malaysiamet>.

# Datuk Dr Ewon Ebin oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi