Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pemulihan ekonomi Malaysia bergantung dagangan global – kajian

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Belanjawan 2021 Malaysia akan mengurangkan kemerosotan ekonomi, tetapi pemulihan ekonomi bergantung kepada perdagangan global, menurut Moody’s Analytics.

Ahli Ekonominya, Denise Cheok berkata sekatan pergerakan di Eropah dan Amerika Syarikat mewujudkan risiko penurunan ketara, walaupun terdapat vaksin.

“Pengedaran vaksin mengambil masa dan perbelanjaan pengguna dijangka hanya meningkat secara beransur-ansur,” katanya dalam nota hari ini.

Belanjawan 2021 Malaysia adalah yang terbesar dalam sejarah negara, dengan sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan untuk tahun semasa.

Mengenai eksport negara, katanya Malaysia akan menaikkan cukai eksport ke atas minyak sawit mulai Januari 2021.

“Ini dijangka meningkatkan eksport pada Disember berikutan pembeli daripada permintaan beban hadapan India dan China,” katanya.

Beliau berkata eksport pertanian Malaysia pada November didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap minyak sawit dan produk yang berkaitan.

Sementara itu, katanya jualan runcit, yang rendah sejak suku kedua tahun lepas, dijangka kekal berada di bawah paras sebelum pandemik Covid-19 hingga pertengahan tahun ini.

Cheok berkata sentimen pengguna dan pelabur terjejas pada November selepas lonjakan kes Covid-19 dicatatkan yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan separa di kebanyakan negeri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Vaksin Covid-19 bantu percepat pulih niaga, sektor terjejas – Moody’s

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Vaksin untuk Covid-19 akan membantu mempercepatkan pemulihan dalam sektor yang terjejas oleh pandemik, tetapi untuk kebanyakan perniagaan, kelangsungan akan terus mencabar sehingga virus itu tidak lagi dilihat sebagai ancaman kesihatan awam ketara, menurut Moody’s Investors Service.

Katanya pandemik menyebabkan kerosakan besar kepada sektor paling teruk terjejas dan terus memberi kesan kepada keadaan dan prospek kewangan mereka, dengan penularan virus berulang dan langkah sekatan pergerakan mengurangkan permintaan.

“Risiko kegagalan perniagaan meningkat dengan ketara apabila lebih lama pandemik itu menghalang kembali kepada aktiviti normal,” menurut agensi penarafan antarabangsa itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Sukar untuk mengetahui jumlah perniagaan bertahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang dengan pendapatan di bawah normal.

Perniagaan bersaiz kecil dan sederhana di negara-negara maju dan pasaran sedang pesat membangun adalah berisiko dan kebanyakannya ditutup berikutan kejutan aliran tunai berpanjangan, katanya.

“Mereka yang bertahan mempunyai tanggungjawab berat membina semula lembaran imbangan mereka selain menghadapi perubahan ketara dalam tatalaku pengguna dan pola permintaan.”

Oleh itu, katanya walaupun aktiviti ekonomi kembali pada tahap baik apabila vaksin boleh didapati dengan meluas, impak ekonominya dan persekitaran operasi berubah dirasai untuk tempoh lama.

Mengenai vaksin, Moody’s berkata walaupun kejayaan ujian Fasa 3 vaksin tersebut merupakan pencapaian besar, terdapat banyak halangan di hadapan termasuk memenuhi syarat kelulusan oleh pengawal selia di negara masing-masing, pengeluaran berbilion dos diperlukan untuk vaksinasi secara besar-besaran, memastikan penyimpanan baik dan membina rangkaian pengedaran.

Setakat ini, Pfizer Inc, AstraZeneca Plc dan Moderna Inc mengumumkan keberkesanan vaksin mereka untuk Covid-19.

Moody’s berkata pengedaran dijangka secara berperingkat apabila pengawal selia meluluskan vaksin, dengan pegawai kesihatan memberi keutamaan kepada akses untuk pekerja penjagaan kesihatan dan mereka yang dalam profesion lain berisiko tinggi, serta mereka paling mudah terdedah kepada Covid-19, seperti orang tua dan individu di rumah penjagaan.

Dua pemboleh ubah penting dalam kejayaan vaksin secara keseluruhan untuk memerangi pandemik ialah kesediaan masyarakat untuk mendapatkan vaksin dan jumlah peratusan penduduk yang perlu diberi vaksin supaya penularan virus itu dapat dikawal.

Ketersediaan vaksin dijangka berbeza di setiap negara, dengan kos dan akses menjadi halangan utama terutamanya bagi negara kurang maju.

Katanya banyak negara maju dan pasaran sedang pesat membangun berpendapatan sederhana mendapat kontrak untuk ratusan juta dos vaksin.

Penduduk di negara-negara ini menjadi antara yang pertama mendapat vaksin, dengan ekonomi mereka mendapat manfaat daripada penurunan krisis kesihatan awam.

Semakin cepat krisis kesihatan di sesebuah negara berkurangan, semakin kukuh pemulihan ekonomi negara itu, katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Pertumbuhan pasaran baharu susut 3.5 peratus – Moody’s

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Kos ekonomi krisis akibat Covid-19 di tengah-tengah penutupan ekonomi global, tidak termasuk China terkumpul dengan cepat, dengan ekonomi pasaran baharu diunjurkan mencatat pertumbuhan -3.5 peratus pada 2020, turun dari jangkaan 3.2 peratus sebelumnya berlakunya wabak tersebut.

Ekonomi China dijangka tumbuh satu peratus pada 2020.

Dalam satu kenyataan, Moody’s Investors Service berkata ia menjangkakan ekonomi negara maju G-20, sebagai satu kumpulan, akan merosot sebanyak 5.8 peratus pada 2020. Walaupun dengan pemulihan secara beransur-ansur, pertumbuhan sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 di kebanyakan negara maju dijangka dapat berada di bawah tahap sebelum berlakunya penularan COVID-19 (coronavirus).

“Penguncupan aktiviti ekonomi pada suku kedua menjadi teruk dan pemulihan keseluruhan pada separuh kedua tahun ini berlaku secara beransur-ansur.

“Pemulihan juga mungkin tidak sama di semua sektor kerana kebimbangan jangkitan mengubah tingkah laku pengguna walaupun sekatan aktiviti perniagaan dan mobiliti ditarik balik,” kata Naib Presiden Moody, Madhavi Bokil.

Beliau berkata perbelanjaan dalam aktiviti ekonomi yang memerlukan hubungan manusia yang tinggi seperti makan di luar, pergi ke pawagam, perjalanan udara dan menggunakan pelbagai pengangkutan, tidak mungkin menjadi normal sepenuhnya sehingga kadar jangkitan turun ke tahap yang sangat rendah atau vaksin atau rawatan yang berkesan tersedia untuk virus tersebut.

“Banyak perniagaan berusaha untuk kekal bertahan dalam keadaan ini, dan akhirnya beberapa perniagaan ditutup tanpa mengambil kira sokongan dasar terhadap ekonomi,” katanya.

Permintaan terhadap minyak secara beransur-ansur meningkat pada separuh kedua tahun ini seiring dengan pelonggaran langkah-langkah penjarakan sosial. Bagaimanapun, peningkatan permintaan ini, digabungkan dengan had penyimpanan, menunjukkan bahawa pengeluaran inventori akan menjadi perlahan.

Hasilnya, Moody’s menjangkakan harga minyak akan kekal rendah, dengan purata Brent US$35 setong (US $ 1 = RM4.35) dan kontrak untuk West Texas Intermediate (WTI) tahun ini ialah pada harga US$30 setong.

Madhavi berkata harga Brent dan WTI masing-masing naik hingga secara purata US$45 dan $40 setong, pada tahun 2021, kerana peningkatan aktiviti ekonomi secara beransur-ansur.

Penutupan yang lebih lama atau berulang akan merosakkan ekonomi sebenar, yang berpotensi mencetuskan krisis kewangan. Dalam senario seperti itu, kejutan ekonomi akan menghasilkan krisis kewangan jauh lebih buruk daripada pengalaman krisis kewangan global, dari segi skala.

Ketidaksamaan yang semakin meningkat, kerana bahagian yang paling lemah mengalami kejutan, akan menyebabkan ketidakpuasan sosial dan ketidakstablian politik, katanya.

-BERNAMA