Categories
ADN SELANGOR

40 mangsa banjir Banting masih di pusat pemindahan

KUALA LANGAT, 4 JAN: Seramai 40 mangsa banjir di daerah ini masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) akibat hujan lebat sejak kelmarin.

Wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin berkata mangsa dari 12 keluarga itu ditempatkan di Balai Raya Kampung Banting dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang.

“Hujan agak lebat dan faktor fenomena air pasang menyebabkan kediaman di Kampung Sungai Nangka dan Kampung Kelanang dinaiki air tetapi tidak tinggi seperti sebelum ini.

“Kita mengambil beberapa tindakan antaranya menyediakan pam bagi menyedut air untuk mengurangkan limpahan ke kediaman penduduk,” katanya selepas meninjau mangsa banjir di dua PPS tersebut.

Hasnul menambah sistem perparitan di sebahagian besar kawasannya berada dalam keadaan baik manakala Kampung Kelanang, Kanchong Darat dan Kanchong Tengah perlu ditambah baik.

Semalam, paras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melepasi tahap bahaya (merah) apabila mencatatkan bacaan setinggi 4.34 meter melebihi paras normal 4.20m.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Vaksin bergerak di Pasar Besar Meru dan Morib esok

SHAH ALAM, 21 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak berada di Kompleks Pasar Besar Meru, Bandar Baru Klang dan Balairaya MPKK Kg Sri Jugra, Morib esok.

Program bagi memastikan tiada penduduk negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.

Orang ramai yang berminat perlu membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan masukkan kod baucar yang betul.

Kod baucar BBK22SEP perlu dimasukkan bagi Selvax Kompleks Pasar Besar Meru, Bandar Baru Klang manakala DM22SEP untuk Selvax Balairaya MPKK Kg Sri Jugra, Morib.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September dari jam 9 pagi hingga 5 petang di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berperingkat.

Antara DUN terlibat ialah Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil, Subang Jaya dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.

 

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Morib bawa isu rumah terbengkalai ke sidang Dewan Negeri

SHAH ALAM, 24 OGOS : Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib akan membawa isu rumah terbengkalai di kawasannya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ini.

Hasnul Baharuddin berkata selain itu, isu pandemik Covid-19 turut menjadi keutamaan untuk dibahas meskipun angka kes wabak di Morib tidak terlalu tinggi.

“Selaku timbalan speaker DNS, ruang untuk saya berbahas agak terbatas tetapi saya akan perjuangkan mengenai isu rumah terbengkalai dan ladang dusun durian.

“Malah kebajikan rakyat yang terkesan disebabkan Covid-19 juga diambil perhatian,” katanya menerusi rancangan bual bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor, malam tadi

Persidangan penuh DNS dijadualkan berlangsung sembilan hari di Bangunan Annex di sini, bermula kelmarin hingga 6 September.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rakyat terpaksa menanggung kesusahan apabila keadaan politik tidak stabil akibat perebutan kuasa.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor. Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Negeri laksana program beri manfaat rakyat bukan sekadar `pemanis mulut’

SHAH ALAM, 25 OGOS : Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor komited membantu rakyat dalam semua aspek terutama ketika rakyat berdepan pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin berkata bantuan yang disalurkan bukan sekadar retorik sebaliknya dibuktikan dengan pelbagai manfaat yang diterima rakyat.

Malah katanya, Kerajaan Negeri juga komited mencegah penularan wabak dengan menubuhkan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) serta melaksanakan program saringan bersasar dan Vaksin Selangor (Selvax).

“Pentadbiran kerajaan PAKATAN sentiasa proaktif, bukan sekadar retorik atau pemanis mulut sahaja tetapi kita komited melaksanakan agihan bantuan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rancangan bual bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan pertama tahun lalu, Kerajaan Negeri mengambil berat golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil yang terkesan sekaligus menjamin kelangsungan hidup rakyat.

Sepanjang tahun lalu, negeri ini menyediakan dua pakej bantuan Selangor Prihatin dan program pemulihan ekonomi, malah Belanjawan 2021 mengambil kira faktor ekonomi tidak menentu akibat wabak tersebut.

Pakej bantuan disediakan seperti berikut:

1. Selangor Prihatin Fasa 1 (20 Mac 2020) – RM127.8 juta
2. Selangor Prihatin Fasa 2 (1 April 2020) – RM272.5 juta
3. Pelan Pemulihan Ekonomi (13 Julai 2020) – RM55.85 bilion
4. Pakej Kita Selangor 1.0 (20 Januari 2021) – RM73.877 juta
5. Pakej Kita Selangor 2.0 (9 Jun 2021) – RM551.56 juta

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Pemancing dikhuatiri lemas di Batu Laut Morib, Banting

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seorang lelaki dikhuatiri lemas setelah terjatuh dari bot semasa dalam perjalanan untuk pergi memancing ikan di Batu Laut Morib, Banting, kira-kira 50 kilometer dari sini, petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.53 malam dan tiba di lokasi pada 9 malam.

“Tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting telah ke lokasi dan membuat pencarian di persisir pantai dan membuka pos kawalan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hafisham berkata sebarang informasi terkini mengenai mangsa berusia 27 tahun itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

— BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat vaksin bergerak Morib suntik lebih 20 warga emas terlantar

SHAH ALAM, 21 JUN: Seramai 27 individu terlantar sakit di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menerima suntikan imunisasi Covid-19 dari pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak kelmarin.

Ahli Dewan Negeri Hasnul Baharuddin berkata majoriti penerima merupakan warga emas yang tidak mampu berjalan, terlantar dan perlu dibantu.

“Sepatutnya 29 individu terima suntikan namun dua darinya tidak sihat dan terpaksa ditangguh. Ada juga penerima merupakan orang muda yang terlantar akibat kemalangan.

“Proses suntikan agak rumit kerana penerima perlu didaftarkan dahulu selain faktor kesihatan diambil kira. Semua penerima setuju disuntik,” katanya kepada SelangorKini.

Timbalan speaker Dewan Negeri Selangor berkata PPV menggunakan kenderaan pacuan empat roda itu mempunyai dua pasukan bagi memastikan proses berjalan lancar.

“Seorang doktor pakar juga turut menyertai pasukan ini. Penerima terpilih disenaraikan oleh pusat khidmat dan ketua kampung,” katanya.

PPV bergerak merupakan yang pertama di negeri ini bagi membantu mempercepat usaha mencapai imuniti kelompok.

Kenderaan yang disediakan hasil kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN terbabit.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Morib DUN pertama di Selangor sedia PPV bergerak, tumpu pedalaman

SHAH ALAM, 20 JUN: Sebuah kenderaan pacuan empat roda menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak pertama di negeri ini bagi membantu mempercepat usaha mencapai imuniti kelompok.

Kemudahan disediakan hasil kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin berkata PPV bergerak akan memudahkan orang ramai menerima suntikan vaksin khususnya warga emas dan pesakit terlantar di rumah.

“Saya berterima kasih kepada PKD Kuala Langat kerana menjayakan pelaksanaan inisiatif ini di DUN Morib bagi meningkatkan jumlah penduduk yang divaksin.

“Semoga dengan usaha ini dapat mengurangkan kes Covid-19 dan DUN Morib kembali ke zon hijau,” katanya yang turut melancarkan PPV terbabit di Klinik Kesihatan Bandar, Banting semalam.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor menambah individu yang memerlukan kemudahan tersebut boleh menghubungi penyelaras DUN atau wakil rakyat kawasan masing-masing untuk pengumpulan senarai nama sebelum diproses oleh PKD.

Jelas Hasnul, keutamaan diberi kepada penduduk di kawasan pedalaman, perkampungan Orang Asli dan lokaliti yang mencatat kluster Covid-19 tinggi.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk susah sekitar Morib dapat bantuan makanan

MORIB, 3 APRIL: Sebanyak 200 pek makanan segar diagihkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Morib bagi meringankan beban mereka.

Wakil rakyatnya berkata sumbangan bernilai RM5,000 meliputi ayam mentah dan sayuran membantu golongan terkesan mendepani kesan perintah kawalan.

“Semua makanan segar ini kita dapat daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Kita harap sumbangan ini sekurang-kurangnya menjimatkan perbelanjaan makanan asas mereka dalam tempoh satu ke dua minggu,” kata Hasnul Baharuddin pada program di Balai Raya MPKK Seri Jugra.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu.

Hasnul, yang juga timbalan speaker Dewan Negeri Selangor turut bercadang meneruskan program terbabit untuk membantu lebih ramai golongan memerlukan.

Menerusi Pakej Kita Selangor yang diumum pada 20 Januari, sejumlah RM100,000 diperuntuk kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi melaksanakan program Mesra Rakyat.

Ahli parlimen negeri ini turut mendapat manfaat RM50,000 bagi tujuan sama. Program meliputi perolehan bekalan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan makanan dalam tin yang boleh diagih secara terus.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Morib sumbang RM58,000 bantu masjid, surau terjejas PKP

SHAH ALAM, 19 MAC: Sebanyak 48 masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menerima sumbangan berjumlah RM58,000.

Bantuan melalui peruntukan DUN dikhususkan kepada rumah ibadat yang terjejas pendapatan berikutan penangguhan aktiviti imarah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin berkata sebanyak RM2,000 diagihkan kepada 10 masjid sementara 38 surau menerima RM1,000 setiap satu.

“Sumbangan dikreditkan ke akaun bank penerima bagi kategori masjid manakala selebihnya diproses secara berperingkat. Diharap sumbangan meringankan beban institusi untuk menjelaskan bil utiliti dan keperluan kecil,” tulisnya di Facebook.

Masjid terpilih ialah Masjid Al Muttaqin Kampung Permatang Pasir, Masjid Sultan Abdul Samad Seri Jugra,Masjid Al Islah Kampung Sawah dan Masjid Al Istiqomah Kampung Sungai Buaya.

Selain itu, Masjid At Taqwa Pekan Banting, Masjid Diraja Sulan Alaeddin Kampung Bandar, Masjid Al Azim Kampung Kelanang dan Masjid As Solihin Kampung Kanchong Darat.

Turut menerima sumbangan ialah Masjid Jamek Jamaiyah Kampung Morib dan Masjid An Nur Kampung Kanchong Tengah.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Elak banjir, longkang sekitar Morib dibersihkan setiap dua bulan

SHAH ALAM, 20 DIS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor membersihkan longkang dan parit di kawasan Morib setiap dua bulan bagi mengelak banjir kilat.

Bagaimanapun, wakil rakyat Morib berkata kedudukan beberapa kawasan yang rendah menyebabkan air sering naik terutama kebun penduduk di Jalan Sungai Hantu Kelanang.

Hasnul Baharuddin memaklumkan isu sama turut berlaku di Permatang Pasir, hadapan Institut Kemahiran Belia Negara dan Bandar Banting Baru.

“JPS buat pembersihan ikut jadual tetapi disebabkan kawasan tersebut rendah, maka pergerakan air agak lambat. Longkang juga tidak mampu menampung aliran air yang tinggi susulan hujan lebat,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, penduduk terlibat akan diberi pencerahan minggu depan berhubung isu perparitan dan langkah mengatasinya bersama JPS dan Jabatan Kerja Raya.

 

Categories
PBT SELANGOR

MDKL beri amaran kepada penganjur di Pantai Morib

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 OGOS: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memberi amaran untuk menyenaraihitamkan penganjur program yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan ketika menganjurkan aktiviti, di Pantai Morib.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, hal itu kerana sikap penganjur yang membiarkan sampah memenuhi kawasan berkenaan selepas mengadakan satu program berhampiran pantai itu khususnya baru-baru ini.

Katanya, sebelum kelulusan diberi, pihaknya sudah menyatakan syarat yang perlu dipatuhi antaranya memastikan pantai berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada sebarang sampah sarap.

“Bagaimanapun, ada masyarakat tidak bertanggungjawab sengaja buang sampah merata-rata di Pantai Morib sehingga mengundang ketidakselesaan pengunjung selain mencemarkan pemandangan pantai itu sendiri.

“Saya mahu mengingatkan kepada semua penganjur yang diberi kelulusan anjurkan sebarang aktiviti di Pantai Morib supaya sentiasa patuh syarat ditetapkan sekiranya tak mahu nama mereka disenarai hitamkan dan tindakan keras diambil,” katanya.

Pada masa sama, katanya, sikap pengunjung yang membuang sampah merata-rata dan tidak menghiraukan amaran turut menyumbang kepada kekotoran, di kawasan itu.

“Sikap itu menjadi punca kegagalan pelbagai pihak untuk menangani isu ini, sekali gus menyumbang kepada sampah haram.

“Sedangkan banyak pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta bertungkus-lumus berusaha bagi pastikan kelestarian alam sekitar kekal terjamin dengan menjalankan pelbagai program serta aktiviti, dalam daerah ini,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR

11,000 motorsikal berhimpun di Morib

OLEH HAZIQ ISMAIL

BANTING, 29 APR: Kira-kira 11,000 motorsikal klasik berhimpun di Dataran Pantai Morib sempena Majlis Penutupan Grand Gathering: The Largest Retro Bikes In The World di sini hari ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, program yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan memberi peluang kepada generasi muda untuk melihat pelbagai jenis motosikal lama yang masih digunakan sehingga hari ini.

“Ada lima negara menyertai kita pada hari ini iaitu United Kingdom, Singapura, Thailand, Indonesia dan juga negara kita sendiri,” katanya.

Mohamad Zain berkata, penganjuran sejak 2013 itu dijadikan sebagai landasan menghimpunkan peminat dan pengumpul motosikal retro di seluruh negara.

Jelasnya, dari segi keselamatan pula program itu bekerjasama dengan Polis dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Aspek keselamatan motosikal amat ditekankan pada program ini dan kita tidak mahu statistik kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motorsikal terlampau tinggi,” katanya.

Beliau berharap penunggang motorsikal meningkatkan sifat saling bertolak ansur, berhemah dan bertanggungjawab.

Terdahulu, perhimpunan itu tercatat dalam Malaysia Book of Records tahun 2014 kerana berjaya mengumpulkan 5,084 motorsikal klasik dalam satu-satu acara dan memadamkan rekod lama (4,100 motosikal retro).

=EZY=