Categories
AGENDA NASIONAL

Mosti analisa pergerakan tanah guna teknologi penderiaan jauh angkasa

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menganalisa pergerakan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, menggunakan teknologi penderiaan jauh atau remote sensing angkasa.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata analisa berkenaan dibuat menggunakan teknologi yang dibangunkan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Beliau berkata tujuh jenis maklumat berkaitan penderiaan jauh dan imej satelit boleh memberi maklumat awal berkaitan pergerakan tanah sekali gus membantu menangani risiko berkaitan tanah runtuh seperti kejadian di Taman Bukit Permai 2, Khamis lalu.

“Sebelum ini, sudah berlaku kejadian sama (tanah runtuh) di Kemensah dan kami pernah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya menerusi ‘System E-Slope’ yang membantu berkaitan pembangunan cerun.

“Ini adalah kerjasama MYSA dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Ahmad Amzad berkata Mosti berperanan memberikan maklumat yang diperlukan menggunakan satelit sekali gus membantu kerajaan dalam membuat keputusan dan lain-lain.

Pada Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Selangor mampu urus agih vaksin jika bekalan cukup

SHAH ALAM, 3 JUN: Selangor mampu mengurus pemberian suntikan dos vaksin Covid-19 kepada penduduk lebih banyak berbanding kadar sedia kala pada masa ini.

Namun, EXCO kesihatan awam berkata pihaknya tidak boleh menggerakkan pusat pemberian vaksin (PPV) ke tahap maksimum berikutan dos yang diterima negeri terhad.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hanya menerima 615,000 bekalan dos vaksin setakat kelmarin (1 Jun) iaitu 434,070 jenis Pfizer BioNTech, Sinovac (146,440) dan AstraZeneca (34,700).

Beliau turut menyangkal laporan portal bertajuk ‘Selangor Received 2.9 Million Covid-19 Vaccine Doses: Mosti’, malah menganggap data Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) “banyak kecelaruan”.

“Oleh itu, saya menggesa supaya pelaksanaan PPV dapat dijalankan secara telus dengan informasi data yang lebih tepat dan terkini,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor cuma terima 615,000 dos vaksin, bukan 2.9 juta

SHAH ALAM, 3 JUN: Selangor cuma menerima 615,000 bekalan dos vaksin setakat kelmarin, bertentangan dengan data Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

EXCO kesihatan awam menjelaskan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) setakat 1 Jun hanya menerima 434,070 vaksin Pfizer BioNTech selain Sinovac (146,440) dan AstraZeneca (34,700).

“Maka, tidak timbul isu Selangor mendapat bekalan sebanyak 2.9 juta dos vaksin dan mustahil untuk Selangor mempunyai lebihan 2.5 juta dos untuk disimpan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam kenyataan hari ini.

Menyangkal laporan portal bertajuk ‘Selangor Received 2.9 Million Covid-19 Vaccine Doses: Mosti’, beliau berkata banyak kecelaruan dalam data kementerian itu, malah tidak selari dengan statistik pemberian dan penerimaan vaksin di Selangor.

“Kedua, terdapat negeri-negeri yang memberikan vaksin lebih daripada bekalan yang diterima. Situasi ini menunjukkan data yang dikeluarkan adalah tidak tepat dan sangat mengelirukan,” katanya lagi.

Dr Siti Mariah juga menambah keseluruhan vaksin yang telah diberi ialah 425,970 dos berdasarkan statistik Bilik Gerakan Negeri Selangor iaitu fasa pertama melibatkan 233,874 dos dan fasa kedua (192,096 dos).

Menjelaskan pengagihan vaksin diurus Kementerian Kesihatan sepenuhnya, beliau berkata bekalan yang diperuntuk kepada negeri disalur kepada JKNS sebelum ke bahagian farmasi, pusat kesihatan daerah dan pusat pemberian vaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak perlu bimbang, vaksin Covid-19 dilulus selamat diguna

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Menganalisis data untuk memilih vaksin Covid-19 yang terbaik dan tepat buat rakyat Malaysia sangat penting untuk memastikan rakyat yakin terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin.

Atas sebab itu, Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam menegaskan apa sahaja vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), agensi yang bertanggungjawab meluluskan vaksin, adalah selamat digunakan di negara ini.

“Orang ramai perlu tahu ia adalah lebih rumit (untuk memahami keberkesanan vaksin) daripada hanya (melihat) kepada angka. Inilah sebabnya mengapa NPRA akan menganalisis semua data klinikal, dengan protokol yang berbeza dan akan memutuskan adakah vaksin itu selamat dan berkesan untuk digunakan di Malaysia.

“NPRA bekerja siang dan malam menganalisis semua data ini. Ini bukan proses yang mudah, jadi kita harus memberi mereka masa untuk memastikan bahawa apa sahaja (vaksin) yang mereka luluskan adalah vaksin terbaik untuk kita. Pada masa ini, NPRA telah memberikan persetujuan bersyarat kepada vaksin Pfizer. Sekiranya mereka meluluskan vaksin lain dan saya ditawarkan untuk mengambil vaksin, saya dengan senang hati melakukannya,” katanya kepada Bernama.

Dr Mohd Ghows berkata disebabkan pandemik Covid-19, teknologi RNA (mRNA) messenger, yang telah wujud beberapa tahun yang lepas, kini digunakan untuk pembangunan vaksin dan telah terbukti selamat dan berkesan.

Merujuk kepada vaksin Pfizer dan Moderna yang telah menggunakan teknologi mRNA dan mencapai kadar keberkesanan yang tinggi pada tahap lebih daripada 95 peratus, beliau berkata teknologi itu jauh lebih mudah dan cepat untuk dibuat (turutan), sambil menambah bahawa bagi jangka masa panjang, vaksin itu juga berkemungkinan lebih murah untuk dihasilkan melalui kaedah mRNA.

“Satu perkara yang sebenarnya telah dilakukan Covid-19 ini adalah, ia merevolusikan teknologi mRNA kerana sebelum ini masyarakat meragui mRNA, namun beberapa vaksin pertama yang dikeluarkan adalah daripada vaksin mRNA, yang telah menunjukkan keberkesanan yang sangat tinggi iaitu Pfizer dan Moderna.

“Sebagai contoh, vaksin baharu mRNA dapat dihasilkan dalam masa kira-kira enam minggu. Begitulah cepatnya kita dapat mengubah turutan mRNA mengikut kepelbagaian varian. mRNA bersifat sintetik, jadi kita boleh menganalisis turutan dan membuat yang baharu berdasarkan varian yang kita mahukan. Selepas Covid-19, banyak vaksin yang akan menggunakan mRNA kerana ia cepat, murah dan juga sangat selamat. Itu adalah kriteria utamanya,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Ghows menasihati orang ramai untuk sentiasa mencari sumber yang tepat dan memeriksa fakta yang berkaitan dengan sebarang maklumat mengenai vaksin Covid-19 seperti laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akaun media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Berdasarkan statistik, beliau berkata terdapat 138 juta dos vaksin yang telah diberikan di lebih 70 negara di seluruh dunia, tanpa sebarang laporan kematian yang dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19.

Beliau bagaimanapun berkata terdapat individu yang mengalami reaksi alahan setelah divaksinasi, dengan jumlah kes yang rendah dilaporkan.

“Jadi, bagi mereka yang mengalami alahan teruk, mereka harus memberitahu doktor mengenainya. Untuk mengatasi masalah ini, kerana kami tahu terdapat individu yang mempunyai reaksi alahan terhadap vaksin, maka setelah anda mendapat vaksin anda harus menunggu antara 15 hingga 30 minit sebelum pulang, kerana kita mahu doktor memantau sebarang reaksi, (bagaimanapun) kesnya sangat rendah.

“Saya belum pernah mendengar orang berubah menjadi ‘zombi’ atau mereka tumbuh sepasang sayap setelah diberi vaksin. Tidak ada bukti bahawa kematian itu secara langsung disebabkan vaksin Covid-19,” katanya sambil menambah bahawa mendapatkan vaksin sangat penting untuk melindungi bukan hanya seorang individu, tetapi masyarakat secara keseluruhan.

“Semakin lama pandemik Covid-19 berlarutan, semakin banyak jenis virus akan wujud kerana ia secara semula jadinya akan bermutasi,” katanya.

“Kita perlu menggunakan vaksin untuk melindungi masyarakat sebaik mungkin. Inilah sebabnya mengapa slogan kami adalah ‘lindungi diri, lindungi semua’. Jika anda ditawarkan vaksin, sila ambil. Ia bukan hanya untuk melindungi anda, tetapi juga melindungi semua orang.

“Orang ramai perlu mendapatkan fakta yang sebenar. Contohnya, dapatkan maklumat tepat dengan melayari laman web KKM untuk melihat fakta terkini. Jauhi kumpulan anti vaksin atau mereka yang menghasut bertujuan menakut-nakutkan mengenai virus dan vaksin,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksinasi penting, pulih kembali ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Program vaksinasi bagi mencegah pandemik Covid-19 yang dirancang kerajaan untuk orang ramai adalah penting bagi mewujudkan imuniti kelompok sekali gus membolehkan ekonomi negara kembali pulih.

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Teknologi, Pengkomersialan dan Perkhidmatan STI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata apabila imuniti kelompok tercapai maka penularan Covid-19 akan dapat dikawal kerana majoriti penduduk sudah memiliki ketahanan terhadap virus itu.

“Apabila kita mempunyai ketahanan dalam kumpulan yang besar terhadap sesuatu virus, kita boleh hampir bergerak dan berhubung dalam keadaan normal.

“Jadi, peluang untuk kita membuka ekonomi itu lebih besar kerana setiap rakyat atau individu telah divaksinasikan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bual Bicara terbitan Bernama TV malam ini yang bertajuk ‘Covid-19: Kepentingan Vaksin & Imunisasi.’

Imuniti kelompok merujuk kepada keadaan penularan jangkitan yang rendah kerana sebahagian besar masyarakat mempunyai imuniti terhadap jangkitan itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) berkata hampir RM27 juta atau lebih 80 peratus penduduk Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 menjelang suku pertama tahun depan.

Beliau berkata bekalan vaksin pertama dijangka diterima pada penghujung Februari ini dengan kumpulan pertama penerima vaksin pada awal Mac dan program vaksinasi ini berjalan secara berperingkat selama 12 bulan.

Sementara itu, Felow Akademi Sains Malaysia Datuk Dr Madeline Berma berkata beliau optimis bahawa program vaksinasi Covid-19 akan mempercepatkan usaha merancakkan kembali ekonomi negara khususnya ekonomi domestik yang terkesan teruk akibat pandemik tersebut

“Kalau dulu pada awal kemunculan wabak, kita hanya bergantung kepada pencegahan dengan cara penjarakan fizikal dan perintah kawalan pergerakan sahaja.

“Tetapi dengan adanya vaksin, ia seolah-olah satu cahaya yang selama ini ditunggu-tunggu kerana ia dapat menyelesaikan penularan Covid-19,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19 selamat, tiada kesan sampingan jangka panjang – Mosti

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menegaskan vaksin Covid-19 yang akan diguna pakai nanti tidak memberi kesan sampingan memudaratkan kepada kesihatan untuk jangka masa panjang.

Timbalan Menterinya Ahmad Amzad Hashim berkata vaksin itu telah diuji secara klinikal dan akan dikawal selia Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.

“Semua vaksin mempunyai kesan sampingan, yang penting kesan sampingan itu tidak teruk dan berbahaya, namun setakat ini berdasarkan data yang kami terima tidak ada kesan serius terhadap vaksin ini.

“Sebahagian besar kesan sampingan adalah sementara sahaja misalnya rasa sakit apabila disuntik, sebahagiannya mungkin demam atau loya,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Ahmad Amzad berkata pihaknya akan memberi pendedahan dan menyalurkan maklumat yang tepat berkenaan vaksin bagi meyakinkan dan membuang keraguan masyarakat, sekali gus mencapai sasaran 70 peratus rakyat menerima vaksin Covid-19 pada suku pertama tahun ini.

Sehingga ini Malaysia menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech untuk memperoleh 12.8 juta dos vaksin. Negara juga bakal menerima 6.4 juta lagi dos vaksin daripada AstraZeneca selain daripada beberapa lagi pembekal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mosti: Vaksin Pfizer berkesan 95 peratus cegah Covid-19

KUALA LUMPUR,17 DIS: Pemilihan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer adalah berdasarkan laporan interim ujian klinikal yang menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus dalam mencegah jangkitan wabak itu, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata laporan itu diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember lalu, malah kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanan vaksin itu.

“Vaksin ini juga mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

“Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin itu di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, di sini.

Selain itu, beliau berkata Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan sebelum ini, sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa tiga ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok sehingga 70 peratus jumlah populasi negara.

Pengumuman mengenai perkara itu dan senarai keutamaan penerima vaksin akan dibuat dalam masa terdekat, katanya.

Khairy berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PAKATAN-Bagan) berhubung kos, keberkesanan, liputan vaksin serta jaminan perubatan kesan sampingan vaksin itu, selain penjelasan dan rasional pemilihan vaksin keluaran Pfizer.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19: Sasaran 70 peratus suku pertama 2021, tumpu golongan dewasa

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Sasaran 70 peratus rakyat Malaysia yang menerima vaksin Covid-19 pada suku pertama 2021 tertumpu kepada golongan dewasa untuk negara mencapai imuniti kelompok, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ini kerana apabila imuniti kelompok berjaya dicapai, individu tidak menerima vaksin sukar mendapat jangkitan Covid-19.

“Akan ada mereka yang tidak akan dapat divaksin kerana kebanyakan vaksin Covid-19 yang dibangunkan ini belum lagi diuji kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, jadi mereka sudah pasti tidak dapat menerima vaksin yang pertama tahun depan.

Jadi ini mungkin peratusan yang tidak akan mendapat vaksin, kita akan tumpukan kepada dewasa untuk kita mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan akan memperoleh maklumat awal serta maklumat interim berkenaan keselamatan vaksin itu agar tidak ada rakyat Malaysia menjadi ‘tikus makmal’.

Katanya, kerajaan meneliti data klinikal disediakan oleh syarikat vaksin terutama syarikat yang memberi perolehan bagi vaksin itu.

“Saya jangkakan mengikut perancangan sekarang, suku tahun pertama tahun depan kita akan dapat perolehan (vaksin) yang pertama dan satu pengumuman akan dibuat tidak lama lagi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Menjawab celahan Lim Lip Eng (PAKATAN-Kepong) mengenai kriteria pemilihan negara dalam perolehan vaksin Covid-19, Khairy berkata kementerian sedang berbincang dengan syarikat dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan China untuk menentukan bilangan atau portfolio vaksin terbaik untuk Malaysia.

Beliau berkata sebelum kerajaan membuat perolehan vaksin, penelitian turut dibuat mengenai sama ada vaksin itu memberikan “sterilizing immunity” iaitu menghentikan jangkitan atau hanya bertindak menghentikan jangkitan daripada menjadi gejala yang serius.

Sementara itu, Khairy turut memaklumkan sebuah jawatankuasa bebas bagi menilai vaksin COVID-19 ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 yang dipengerusikan pakar epidemiologi Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dan disertai sembilan anggota lain dengan kepakaran seperti virologi, imunologi molekular dan penyakit berjangkit.

“Kita ambil pendekatan ini supaya penentuan bagi vaksin ini tidak dibuat oleh mana-mana kementerian tetapi mendapat rujukan kepakaran secara bebas.

Perkara ini kita akan perluaskan kepada pakar lain supaya apabila kita menentukan strategi vaksinasi kebangsaan bagi Covid-19, kita akan mendapat pandangan daripada pelbagai pakar dan tidak terhad kepada MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya bagi menjawab celahan Dr Dzulkefly Ahmad (PAKATAN-Kuala Selangor) yang bertanyakan keterlibatan pakar selain kementerian terlibat dalam perolehan vaksin itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mosti anggar RM3 bilion bekalan vaksin Covid-19, diperoleh suku pertama 2021

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menganggarkan RM3 bilion diperlukan pada tahun hadapan bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapat kemudahan bekalan vaksin Covid-19.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata perkara berkenaan juga dimaklumkan kepada Kementerian Kewangan.

“Saya maklumkan kepada menteri kewangan yang sekurang-kurangnya kita perlu imunisasi 70 peratus daripada rakyat Malaysia dan saya minta RM3 bilion untuk disediakan bagi tahun depan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor).

Terdahulu, ketika menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) berhubung jaminan kecukupan bekalan vaksin, Khairy berkata beberapa rundingan telah dan sedang dimuktamadkan dengan pembangun vaksin di seluruh dunia termasuk bersama kerajaan China.

Khairy berkata Menteri Luar China Wang Yi menerusi lawatan pada 13 Oktober lepas juga telah mengumumkan Malaysia berada dalam senarai keutamaan untuk menerima vaksin daripada China.

Beliau turut mengulangi kenyataannya bahawa bekalan vaksin awal dijangka diperoleh pada suku pertama 2021 dengan wajaran pertama untuk tiga peratus populasi negara yang terdiri daripada petugas barisan hadapan.

Khairy berkata akses vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi dan akan diangkat sebagai keutamaan sejajar dengan COVID-19 ini dilihat sebagai satu keperluan asas awam.

Menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Edris (Bersatu-Libaran) berhubung perkembangan terkini rundingan dengan Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax), beliau berkata Malaysia kini dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan penyertaan badan antarabangsa itu

“Dari segi harga yang ditawarkan, indicative price adalah dari segi maksimumnya USD21 untuk satu vaksin, jadi kita masih lihat beberapa klausa dalam perjanjian dengan Covax itu yang perlu diperhalusi lagi. Kita harap akan dapat menandatangani penyertaan dalam Cobax ini dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan Covax hanya sebahagian daripada keperluan negara untuk mendapatkan bekalan vaksin, dan sebahagian besar lagi bekalan akan diperolehi melalui rundingan dua hala dengan negara lain atau syarikat lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia bakal terima bekalan vaksin Covid-19 suku pertama 2021

SHAH ALAM, 24 OKT: Malaysia dijangka memperoleh bekalan vaksin Covid-19 mulai suku pertama tahun depan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berkata keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.

“Setakat ini KKM telah berhubung dengan lapan calon vaksin yang kini berada di peringkat ujian klinikal fasa tiga,” menurut kenyataan bersama kementerian terbabit hari ini.

Menurut kenyataan lagi, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Katanya, kerajaan juga memuktamadkan rundingan dengan Covax yang mempunyai sembilan calon vaksin Covid-19 di bawah Global Alliance for Vaccine and Immunisation (Gavi) dan menyediakan peruntukan kewangan bagi pembelian melalui Tabung Covid-19 Kementerian Kewangan.

“Kerajaan komited untuk mendapat keputusan segera bagi perolehan vaksin Covid-19 bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam mendapatkan bekalan vaksin yang diluluskan dan terbukti selamat kelak,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Aplikasi telefon pintar kesan pergerakan

SHAH ALAM, 27 MAC: Malaysia sedang menyediakan aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan pergerakan individu dalam usaha mengekang penularan Covid-19, kata menteri sains, teknologi dan inovasi.

Khairy Jamaluddin berkata teknologi tersebut mampu mengesan sejarah pergerakan individu dijangkiti virus, termasuk kontak yang pernah berhubung dengan pesakit.

“Beberapa hari lalu, Singapura melancarkan aplikasi telefon bimbit bernama ‘TraceTogether’ yang boleh mengesan pergerakan rakyat mereka supaya apabila berlaku kes positif, mereka boleh melihat sejarah pergerakan.

“Mereka juga boleh memberi amaran kepada orang lain berhampiran dengan pesakit untuk membuat ujian (saringan),” katanya ketika menjadi moderator forum dalam talian di Facebook rasmi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) hari ini, seperti dilapor Berita Harian.

Forum bertajuk ‘Penyesuaian Terhadap Cabaran Covid-19’ itu disertai tiga ahli panel iaitu Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud (pakar epidemiologi); Prof Dr Shamala Devi Sekaran (pakar imunologi dan virologi); dan Prof Dr Mahendhiran Sanggaran Nair (data sains dan statistik).

Dilancarkan pada 20 Mac lalu, aplikasi TraceTogether boleh mengesan individu yang berada dalam jarak dua meter daripada pesakit Covid-19 sekurang-kurangnya selama 30 minit, menggunakan teknologi isyarat Bluetooth.

Pembangun aplikasi itu berkata, ia berguna apabila mereka yang dijangkiti tidak ingat siapa yang mereka berhubung rapat untuk tempoh tertentu.

Categories
NASIONAL

Geran Mosti: Kos projek RM130 juta tapi dapat RM150 juta

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 23 APRIL: Selepas diberikan dana geran Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berjumlah RM100 juta daripada Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti), syarikat NSE Resources Corporation Sdn Bhd (NSERC) turut diberikan satu lagi dana berjumlah RM50 juta.

“Ini bermakna NSERC berjaya mendapat peruntukan dana awam berjumlah RM150 juta daripada dua kementerian berbeza untuk mengusaha projek komersilnya.

rafizi-TI-01“Malah jumlah RM150 juta ini melebihi kos projeknya yang dimaklumkan kepada Mosti iaitu RM130 juta,” dedah Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu sidang media hari ini.

Dalam salinan surat dari NSERC kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kerajaan Terengganu bertarikh 27 Januari 2014 menyatakan dana berjumlah RM50 juta berkenaan sedang diteliti untuk kelulusan jangkamasa penyaluran dana jangkamasa terdekat oleh HSBC Amanah.

“Jumlah RM150 juta adalah satu jumlah yang sangat besar dan tidak wajar dibenarkan diperuntukkan kepada sebuah projek komersil milik syarikat swasta seperti ini,” katanya kepada media.

Dana terbaru ini di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha).

Jelas Ahli Parlimen Pandan lagi, beliau dihubungi melalui SMS oleh seorang individu yang mengaku sebagai pegawai Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berbincang dan mengesahkan maklumat yang didedahkan.

Kata beliau, kelulusan ini perlu dihentikan segera sehingga siasatan selesai.

Selain itu, beliau mencadangkan satu panel pakar bebas dilantik bagi menilai kandungan projek berkenaan serta panel khas dari Jabatan Ketua Audit Negara untuk menyiasat keputusan meluluskan dana itu.

EZY